Monday, June 13, 2016

KIFAYAH AL-GHULAM FI BAYAN ARKAN AL-ISLAM


Kitab Kifayah al-Ghulam  atau judul lengkapnya Kifayah al-Ghulam fi Bayan Arkan al-Islam wa Syuruthuh (كفاية الغلام  في بيان اركان الاسلام وشروطه), merupakan sebuah karya yang disusun dalam bahasa Melayu dalam tulisan Jawi, yang menghuraikan secara ringkas dan padat mengenai rukun Islam yang lima dan syarat-syaratnya. Sebagaimana judulnya, kitab ini disusun oleh pengarangnya sebagai rujukan dan teks pengajian bagi kanak-kanak atau pelajar peringkat permulaan.

Kitab Kifayah al-Ghulam ini disusun oleh Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minangkabawi seorang ulama kelahiran Indonesia. Beliau dilahirkan pada tahun 1712M di Teluk Belanga, Simabur, Kabupaten Tanah Datar, Sumatera Barat  dan meninggal pada tahun 1844M di Kabupaten Tanah Datar, Sumatera Barat ketika berusia 132 tahun. Beliau terkenal sebagai seorang ulama tasawuf dan penyebar Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah pada abad ke-19. Beliau dianggap sebagai pelopor ajaran Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Minangkabau khususnya dan di Indonesia pada umumnya. Selain itu, beliau juga dikenali sebagai ulama fiqh dan ahli kalam (teologi).

Kitab Kifayah al-Ghulam ini dimulai dengan pendahuluan (muqaddimah) oleh pengarangnya;

Aku mulai kitab ini dengan Nama ALLAH yang amat Murah lagi amat Mengasihani ”.

الحمد لله حق حمده والصلاة والسلام علي سيدنا محمد و علِي اله وصحبه اجمعين
Bermula segala puji bagi Allah Ta'ala akan sebenar-benar puji. Dan bermula rahmat ALLAH dan salam-Nya atas penghulu kita Nabi Muhammad saw dan atas keluarganya dan semua sahabatnya sekalian mereka itu ”

اعلم ان المكلفين مأمورون بالمعرفة والصلاة والزكاة والصوم والحج
Ketahui olehmu bahwasanya sekalian mukallaf disuruh dengan mengenal Allah dan mengerjakan Solat dan memberi zakat dan mengerjakan puasa dan mengerjakan Haji

Bermula yang lima itu, inilah rukun Islam seperti sabda Nabi :

بني الاسلام علي خمس شهادة ان لااله الاالله وان محمدا عبده ورسوله ، واقام الصلاة وايتا ءالزكاة ، وصوم رمضان ، وحج البيت من استطاع اليه سبيلا
Yakni dirikan Islam itu atas lima rukun, pertama mengucap dua kalimat syahadat. Dan kedua mendirikan shalat lima waktu dalam sehari semalam. Dan ketiga memberi zakat jikalau sampai hartanya itu nasab dan tahunnya. Dan keempat puasa pada bulan Ramadhan 30 hari di dalam 1 tahun. Dan kelima mengerjakan haji ke Baitullah bagi orang yang kuasa berjalan kepadanya ”.

Kandungan kitab ini, dibahagikan kepada lima bab atau fasal mengikut susunan rukun Islam yang disebutkan dalam hadis Rasulullah saw. Setiap rukun tersebut diberikan huraian oleh pengarangnya. 

Kitab ini boleh dibaca di pautan berikut;

كفاية الغلام في بيان أركان الإسلام وشروطه صفحة 58-59                

Semoga bermanfaat.

5 comments:

  1. Assalamu'alaikum...
    Senang sekali saya menemukan blog yang sangat bermanfaat ini.
    Saya minta izin untuk thalabul ilmi di blog ini.
    Terima kasih.
    Salam ukhuwah dari Indonesia.

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam.. terima kasih kerana sudi mengunjungi blog yang banyak kekurangan ini. silakan...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum warahmatullah. Alhamdulillah dengan ada blog ini usaha kami untuk mengenal karya-karya para ulama semakin mudah. Terima kasih sangat.

    Saya ingin bertanya, apakah memungkinkan untuk kami muat turun kitab karya syaikh al-Minangkabawi di atas?

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum warahmatullah. Alhamdulillah dengan ada blog ini usaha kami untuk mengenal karya-karya para ulama semakin mudah. Terima kasih sangat.

    Saya ingin bertanya, apakah memungkinkan untuk kami muat turun kitab karya syaikh al-Minangkabawi di atas?

    ReplyDelete
  5. Assalamu'alaikum saudara ku.
    Alhamdulillah wasyukurillah.
    Atas ada yang buat blog yang bermanfaat ini.
    Semoga saudara sehat selalu.
    Amiin

    ReplyDelete