Artikel
berikut merupakan sebuah petikan daripada tulisan al-Marhum Haji Wan Mohd
Shaghir Abdullah. Semoga bermanfaat.
Berdasarkan
penyelidikan, dapat diambil kesimpulan bahawa kitab "Faridatul Faraid" disusun adalah mengikuti jejak ulama' dunia
Melayu yang terkenal seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdush
Shamad al-Falimbani, dan lain-lain. Rujukan adalah berdasarkan kitab-kitab
turas 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang dapat dipegangi, sama ada dari
ulama' muktabar dunia Melayu atau pun ulama' muktabar bangsa Arab sendiri.
Kitab-kitab yang dirujuk termasuk karangan Syeikh Abu Hasan al-Asy'ari, dan
ulama'-ulama' sesudahnya. Maka diproses oleh Syeikh Ahmad al-Fathani,
diringkaskannya, lalu terkumpul dalam kitab "Faridatul Faraid". Jadi
secara global/garis besar perkara i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama'ah lengkap
dalam "Faridatul Faraid" ini.
Dalam
Natijah Al-Ahmadiah, Singapura bagi tahun 1345 H bersamaan 1926 – 1927 M,
termaktub, "Faridatul Faraid"
cap yang keenam kali huruf ats-tsani al-Islambuli yang elok bentuknya. Bicara
'Ilmu Ushulid Din yang suci daripada campuran bicara yang lain dan bersih
daripada ibarat yang lebih-lebih supaya mudah mengerti orang yang mengajinya
dan muthala'ahnya. Karangan al-Fadhil Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bun
Mustafa bin Muhammad al-Fathani…"
Kitab
"Faridatul Faraid" mempunyai riwayat tersendiri, saya kurang mengerti
apa sebab kitab tipis itu sangat diperbesar-besarkan oleh ulama'-ulama' Patani,
Kelantan, Kedah dan lain-lain. Sewaktu saya ke Bangkok pada tahun 1971, ramai
kalangan ulama' dan pelajar Islam di sana menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani
dengan "Tuan Faridah", sebagaimana di Jawa hingga tahun 1960an para
ulama'nya mengenal Syeikh Ahmad al-Fathani dengan sebutan "Tuan
Ngawamil". Demikian besar pengaruh kitab "Faridatul Faraid",
sehingga sangat ramai yang pernah belajar kitab ini, manakala mereka mendapat
anak perempuan lalu diberi nama dengan “Faridah”.
Sewaktu
saya ke Makkah pada tahun 1979, salah seorang ‘alim berasal dari Patani
mengatakan bahawa kitab Faridah jika diajar oleh orang yang lebih ‘alim lebih
sedap; lebih luas dan lebih mengasyikkan. Salah seorang Tuan Guru Pondok di
Patani mengatakan bahawa kitab "Faridatul Faraid" tetap akan
diajarkan di pondok-pondok dalam wilayah Patani. Menurut Tuan Guru Pondok
tersebut hingga ke hari ini tidak ada satu kitab Tauhid dalam bahasa Melayu
yang menyamai kemasyhuran kitab "Faridatul Faraid". Mereka menyebut
bahawa dalam kitab itu mempunyai erti yang tersirat baik ditinjau dari segi
susunan nahu dan sharaf mahupun penafsiran secara batin atau rahsia.
Kepercayaan seperti itu saya cuba membantah, bahawa saya tidak melihat
“Faridatul Faraid” itu lebih istimewa dari kitab-kitab Tauhid bahasa Melayu
lainnya.
Saya
tidak melihat bahawa ia mempunyai ilmiah yang tinggi. Dengan demikian banyak
Tuan Guru marah dan bermasam muka kepada saya. Namun setelah dijelaskan bahawa
saya menyimpan beberapa tulisan tangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang meliputi
banyak pemikiran untuk Islam dan Alam Melayu, yang tulisan ilmiah itu di
antaranya saya huraikan dalam buku “Syeikh Ahmad a-Fathani Ahli Fikir Terbesar
Alam Malayu”, kemarahan mereka terubat dengan penjelasan saya itu.
Dalam
tahun 1992, salah seorang ustaz yang pernah sebagai pensyarah di Nilam Puri
Kelantan bercerita, "Saya mengajar di banyak masjid dalam Kota Bharu
Kelantan, di antara kitab yang saya ajar ialah Faridatul Faraid oleh Tok Guru
Wan Ahmad al-Fathani. Cukup besar amal jariyah Tok Guru Wan Ahmad, kerana di
salah satu masjid saya mengajar tidak kurang yang hadir sekitar lima ratus
orang. Yang mengajar Faridah bukan saya sahaja, tetapi ramai ustaz lainnya.
Coba bayangkan dari dulu hingga sekarang Faridah masih tetap diajarkan, itulah
sebabnya saya katakan cukup banyak amal jariyah yang diterima oleh Tok Guru Wan
Ahmad, tuan punya kitab Faridah itu".
“Faridatul
Faraid” pernah diringkaskan dan pernah disyarahkan. Yang diringkaskan di
namakan “Pati Faridatul Faraid” yang
di usahakan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdullah al-Jambu Fathani. Syarahnya diberi
judul “Umdah Thalibil Mujtahid bi Syarhi
Faridah al-Faraid” diselesaikan tahun 1380 H/1960 M yang diusahakan oleh
salah seorang ulama Patani iaitu Tuan Guru Haji Abdullah bin Hj. Ibrahim bin
Abdul Karim al-Fathani al-Jabi.
Kitab
yang diringkaskan dan disyarahkan itu sudah sukar mendapatkannya di
kedai-kedai kitab, kerana hampir-hampir tidak berada di pasaran kitab lagi.
Sebaliknya kitab "Faridatul Faraid" yang asli masih mudah
mendapatkannya di hampir semua kedai kitab di Asia Tenggara. Yang berupa
ringkasan itu adalah merupakan kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali
diringkaskan. Adapun kitab syarah itu adalah merupakan kitab Melayu yang kedua
disyarahkan, kerana kitab Melayu pertama disyarah ialah “Sullamul Mubtadi”
karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang diusahakan oleh Syeikh Muhammad
Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathani, iaitu kitab yang meliputi tentang
Tauhid, Fiqh dan Tasawuf.
Terakhir
sekali sebagai bukti kitab "Faridatul Faraid" merupakan kitab Tauhid
yang paling banyak diajarkan di dunia Melayu sejak dulu hingga sekarang, di
bawah ini, saya perkenalkan semua edisi cetakan yang telah diketemukan. Cetakan
terawal adalah diusahakan pada masa pengarangnya masih hidup atas usaha beliau
sendiri. Cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah ak-Kainah, Makkah, 1313 H.
Cetakan-cetakan di percetakan ini yang telah ditemui ialah cetakan yang ketiga,
pertengahan bulan Zulqa'idah 1317 H. Dicetak lagi pada pertengahan bulan
Rabi'ul awwal 1325 H.
Terdapat
edisi cetakan oleh Matba'ah Dar al-Kutub al-'Arabiyah al-Kubra, Mesir, atas
perbelanjaan Ismail Fathani, anak pengarangnya, didapati cetakan yang ketiga,
Jumadil Akhir 1328 H. Terdapat lagi edisi cetakan oleh Matba'ah Mustafa al-Baby
al-Halaby, Mesir, Jumadil Akhir 1351 H, yang dinyatakan sebagai edisi cetakan
yang keenam. Dicetak lagi oleh percetakan yang sama tahun 1353 H/1934 M,
dinyatakan sebagai cetakan ketujuh. Terdapat lagi edisi cetakan oleh Matba'ah
Al-Ahmadiyah, nombor 50 Minto Road, Singapura, 1344 H bersamaan 1926 M,
dinyatakan sebagai edisi cetakan kelima, atas perbelanjaan Qadhi Haji Wan
Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Kemudian dicetak lagi oleh percetakan yang
sama, yang dinyatakan sebagai cetakan keenam 1345 H/1926-1927 M.
Terdapat
lagi edisi cetakan oleh Persama Press, 83 dan 85 Achen Street (Masjid Melayu)
Pulau Pinang, 1360 H/1941 M, dinyatakan sebagai cetakan ketiga.
Terdapat lagi edisi cetakan oleh Maktabah wa Matba'ah Dar al-Mu'arif, 173-C, Sungai Pinang Road, Pulau Pinang.
Terdapat lagi edisi cetakan oleh Maktabah wa Matba'ah Dar al-Mu'arif, 173-C, Sungai Pinang Road, Pulau Pinang.
Terdapat
edisi cetakan oleh Matba'ah Dar at-Thiba'ah al-Islamiyah, nombor 1/10, Jalan
Jering, Patani. Terdapat edisi cetakan oleh Matba'ah Sulaiman Mar'i, Singapura.
Dan edisi-edisi cetakan lain, di antaranya oleh Al-Ahliyah, Kota Bharu
(Kelantan), Nahdi (Bangkok), Bungkul Indah (Surabaya) dan banyak lagi yang
tidak dapat dibicarakan semuanya.
Dalam
penelitian yang telah saya buat, ternyata kitab "Faridatul Faraid"
adalah merupakan kitab Melayu/Jawi yang paling banyak kali dicetak. Juga paling
banyak nama percetakan yang pernah menanganinya. Dari segi jumlah naskhah
cetakan juga merupakan yang terbanyak kerana cetakan-cetakan yang dilakukan di
Timur Tengah setiap kali cetak dalam jumlah sepuluh ribu exemplar/naskhah. Dari
cetakan pertama (1313 H/1895 M) hingga kini, entah berapa juta naskhah yang
telah dicetak tidak dapat diketahui secara pasti. Hanya disimpulkan saja bahawa
ummat Islam Melayu yang memahami 'aqidah Ahlus Sunnah wal jama'ah melalui kitab
"Faridatul Faraid", dari dulu hingga sekarang sekian jutanya hanya
diketahui oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala saja.
Para ulama' yang
pernah selaku pentashih cetakan-cetakan "Faridatul Faraid" sangat
ramai, di antaranya yang dapat dikenalpasti ialah, cetakan terawal ditashih
oleh pengarangnya sendiri, dilanjutkan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad
al-Fathani. Cetakan Matba'ah Dar al-Kutub al-'Arabiyah al-Kubra ditashih oleh
Syeikh 'Abdur Razaq bin Muhammad Lampung (Ketua orang Lampung) dan Syeikh Ahmad
Thahir Khatib Kerue al-Jawi, kedua-duanya adalah murid pengarang kitab, Syeikh
Ahmad al-Fathani. Cetakan Persama Press ditashih oleh Syeikh Abdullah al-Makki.
Cetakan Maktabah wa Matba'ah Dar al-Mu'arif ditashih oleh 'Utsman Shalih
al-Azhari.
nk tanye, kitab ni nk dpt kat mana yer?
ReplyDeleteAllahuakbar, Mahu mencari pondok yang mengajar kitab ini sepenuh masa.
ReplyDeleteJafar Rawas kota Bharu kelantan.
ReplyDelete