Wednesday, January 15, 2014

20 Sifat Hati; yang Keji dan Terpuji


Dalam laman karya ulama kali ini, saya ingin kongsi bersama pembaca sekalian mengenai sebuah buku yang menjadi bacaan dan rujukan saya semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Buku yang berjudul “ 20 Sifat Hati; yang Keji dan Terpuji” ini merupakan karya guru saya semasa menuntut ilmu di SMA al- Ma’ahad al-Muhammadi Lelaki, Kelantan – iaitu Ust Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Muhammad (sekarang Dato’) – yang memegang jawatan Pengetua (Mudir) sekolah ketika itu. Beliau sekarang, merupakan Timbalan Mufti Kerajaan negeri Kelantan. 

Dato’ Haji Nik Abdul Kadir atau biasa dikenali sebagai Ust Nik Dir ini telah menghasilkan karya beliau ini, ketika beliau menjawat jawatan pengetua di SMA al-Maahad al-Muhammadi Pasir Pekan. Buku ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1985 di bawah “ Siri Panduan Hidup ” oleh Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Negeri Kelantan. Ia diterbitkan dengan dua edisi Rumi dan Jawi. Buku kecil yang setebal 32 halaman ini dijual dengan harga 50 sen senaskhah. Saya ada memiliki naskhah edisi Jawinya. 

Saya masih ingat, ketika saya belajar di SMA al-Maahad al-Muhammadi Lelaki dahulu, buku ini telah diterbitkan kembali dengan “edisi khas”  oleh pihak sekolah bertujuan memungut derma bagi pembinaan masjid sekolah. Buku edisi khas ini dicetak dengan tulisan Jawi, dengan cover (kulit luar) nya berwarna hijau muda dan dijual dengan harga RM 2.00. Buku ini ada dalam koleksi saya. Para pelajar telah diberikan peluang secara suka rela untuk menjual buku tersebut kepada masyarakat umum. Saya masih ingat, saya telah membawa balik 20 naskhah buku tersebut untuk dijual di kampung saya. 

Ketika melancarkan penjualan buku tersebut, Ust Nik Dir ada memberi amanat kepada para pelajar, katanya;  “ Beri buku (sumber ilmu) adalah lebih afdhal daripada memberi resit terima bagi tujuan meminta derma. Ini kerana kedua-dua belah pihak akan saling dapat manafaat. Pihak yang memberi derma akan dapat pulangan ilmu pengetahuan dan pihak yang memerlukan derma dapat menyelesaikan masalah pembinaan surau yang tertunggak sekian lama. Jika diberi resit sahaja, hanya satu pihak (pihak yang memerlukan derma) yang mendapat manafaat, sedangkan pihak yang mengeluarkan sedekah (derma) hanya mendapat resit sahaja ”[1]


Kandungan buku ini… 

Dalam pendahuluan buku ini, penyusun ada menyatakan “ Wajib atas setiap orang yang berakal dan sampai umur menyuci dan membersihkan hatinya daripada sifat-sifat yang tercela yang merosakkan hatinya dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji yang menyelamatkan dirinya di dunia dan akhirat ”. 

Dalam buku ini diterangkan 10 sifat hati yang keji – untuk dijauhi dan 10 sifat hati yang terpuji – untuk dihiasi hati dengannya. Berikut disenaraikan sifat-sifat tersebut;  

a. Sifat hati yang keji; 

1. Takbur 
2. Hasad dengki 
3. Marah 
4. Bakhil dan kasihkan harta 
5. Cintakan kemegahan 
6. Cintakan dunia 
7. Ujub (mengkagumi diri sendiri) 
8. Riya’ 
9. Loba makanan /Lahap makanan 
10. Banyak bercakap 

b. Sifat hati yang terpuji;  

1. Taubat 
2. Khauf (takut akan Allah) 
3. Zahid 
4. Sabar 
5. Mensyukuri nikmat 
6. Ikhlas 
7. Tawakal 
8. Kasih kepada Allah Ta’ala 
9. Redha akan qadha’ Allah Ta’ala 
10. Ingatkan mati 

Terdapat dua buku yang menjadi sumber rujukan utama karya ini, iaitu; (1) Anak Kunci Syurga, (2) Penawar Bagi Hati. Kedua-dua buku ini merupakan karya seorang ulama nusantara yang terkenal -yang pernah menjadi guru di Masjid al-Haram, Makkah, pada zamannya, iaitu al-‘Allamah al-Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muttalib al-Indonisi al-Mandili. 

Semoga bermanfaat.



[1] Amanat beliau ini saya petik dari blog sahabat lama saya di http://towardsmardhatillah.wordpress.com/2012/01/21/20-sifat-hati-yang-keji-dan-terpuji/


3 comments: