Tuesday, January 7, 2014

Fatawa Tentang Binatang Hidup Dua Alam


Buku “ Fatawa Tentang Binatang Hidup Dua Alam ” merupakan sebuah buku yang menghimpunkan beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh Syaikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad al-Fathani (w1908) yang menjawab persoalan yang berkaitan dengan ‘hukum memakan binatang yang hidup di dua alam’ (di darat dan air). Buku yang memuatkan fatwa Syaikh Ahmad Fathani  ini disusun kembali oleh cucu beliau, iaitu al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah – seorang tokoh pengkaji sejarah para ulama nusantara yang terkenal.


Kandungan utama buku ini adalah merupakan petikan atau sedutan dari karya Syaikh Ahmad Fathani yang berjudul “ al-Fatawa al-Fathaniyyah ”  dan ditambah dengan beberapa karya beliau yang lain, sama ada yang telah diterbitkan, mahupun yang masih merupakan catatan-catatan yang belum tersusun.

Dalam buku ini terdapat 4 koleksi fatwa Syaikh Ahmad al-Fathani yang dihimpun  dan diedit kembali serta di catatkan beberapa nota kaki yang bermanfaat diusahakan oleh al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir.

Di antara tujuan penyusunan buku ini, saya bawakan petikan sepatah kata penyusunnya sendiri;

“ Hal ini mengingatkan, bahawa baru-baru ini timbul masalah katak yang menjadi perbahasan hangat di kalangan Majlis Ulama Propinsi Sumatera Barat yang kemudiaan  berlanjutan pembahasannya oleh Majlis Ulama Indonesia (Pusat, Jakarta). Majlis Ulama Indonesia menerbitkan buku “ Fatwa Majlis Ulama Indonesia ”. Untuk membanding fatwa-fatwa ulama di masa kini, maka saya usahakanlah fatwa yang pernah dibuat oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Fatwa Syeikh Ahmad yang saya karang semula ini, dengan banyak perubahan bahasa, adalah khusus di lingkungan Mazhab Syafi’ie…..tanpa perbandingan dengan pendapat dan mazhab lainnya ”.

Di bahagian akhir buku ini dilampirkan salinan manuskrip  asli (tulisan tangan) dan salinan halaman “fatwa Syaikh Ahmad Fathani” yang telah dimuatkan dalam kitab al-Fatawa al-Fathaniyyah - yang menjadi rujukan utama bagi penyusunan buku ini. Selain itu dilampirkan juga riwayat hidup ringkas Syeikh Ahmad al-Fathani.

Buku ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Penerbit Hizbi, Shah Alam pada tahun 1990.  Ketebalan buku ini adalah 60 halaman, tidak termasuk kata pengantar penyusun (2 halaman) dan daftar isi kandungannya (1 halaman).

Sekian sahaja catatan ringkas mengenai buku ini. Semoga bermanfaat.
________________

Sumber:  Fatawa Tentang Binatang Hidup Dua Alam. Pustaka Hizbi, cet. 1/ 1990.

No comments:

Post a Comment