Friday, January 1, 2021

Inarah al-Duja Syarh ‘ala Tanwir al-Hija


Kitab Inarah al-Duja Syarh ‘ala  Tanwir al-Hija Syarh Safinah al-Naja (انارة الدجى شرح على تنوير الحجا نظم سفينة النجا) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang unik kerana ia disusun oleh Syeikh Muhammad bin Ali bin Husain al-Maliki, iaitu  seorang ulama mazhab Maliki yang sangat ahli dalam berbagai ilmu agama. Beliau juga sangat ter­pandang dalam bidang ilmu bahasa dan sastra Arab. Beliau dilahirkan di Makkah pada tahun 1287 H/1870 M) dan meninggal dunia tahun 1368 H (1948 M). Puncak kemasyhurannya adalah ketika beliau diangkat sebagai Mufti Mazhab Maliki di kota suci Makkah a1-Mu­karramah.

Kitab Inarah al-Duja ini disusun oleh Syeikh Muhammad Ali al-Maliki sebagai huraian (syarah) bagi kitab  Tanwir al-Hija Nazhm Safinah al-Naja (تنوير الحجا نظم سفينة النجا), iaitu sebuah karya  fiqh dalam bentuk nazam yang disusun oleh Syeikh al-'Allamah Ahmad bin Shiddiq al-Lasemi al-Fasuruani berdasarkan kitab Safinah al-Naja (سفينة النجا). Oleh itu, secara tidak langsung kitab Inarah al-Duja ini merupakan huraian bagi kitab Safinah al-Naja, yang asalnya disusun oleh Syeikh Salim bin Abdullah bin Sa'd bin Samir al-Hadhrami al-Syafi’i (1271H)

Menurut Syeikh Muhammad Ali al-Maliki,  nazam Safinah al-Naja berjudul Tanwir al-Hija ini telah menjadi hafalan di kalangan kanak-kanak dan para pelajar bangsa Melayu (Jawi). Beliau telah diminta oleh penyusun nazam (Syeikh Ahmad al-Fasirwani) agar menyusun sebuah huraian (syarah) bagi nazam tersebut sebagai penjelasan yang bermanfaat bagi para pelajar permulaan (mubtadi’). Judul asal yang diberikan oleh beliau bagi huraian ini ialah Inarah al-Duja bi Tanwir al-Hija bi Nazhm Safinah al-Naja (انارة الدجى بتنوير الحجا بنظم سفينة النجا).

Sekadar maklumat yang diperolehi kitab Inarah al-Duja ini pernah dicetak dengan cetakan kali keduanya pada tahun 1959 di Mesir oleh Syarikat wa Matba`at Mustafa Baba al-Halabi.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment