Monday, January 4, 2021

al-Ihathah bi Ahamm Masa’il al-Hidh wa al-Nifas wa al-Istihadhah

Kitab al-Ihathah bi Ahamm Masa’il al-Hidh wa al-Nifas wa al-Istihadhah (الإحاطة بأهم مسائل الحيض والنفاس والاستحاض) merupakan sebuah karya fiqh disusun oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki ().

Kitab  ini disusun secara khusus membahaskan berkenaan persoalan-persoalan berkaitan haid, nifas dan istihadah serta hukum hakam yang dengannya - merangkumi hukum taharah, sembahyang, puasa, tawaf, membaca  al-Quran, talak, pergaulan suami isteri dan sebagainya.

Kitab ini sangat perlu dibaca dan dipelajari kerana persoalan darah wanita adalah persoalan yang amat penting kerana ia membabitkan keabsahan ibadat utama yang dilakukan seperti solat dan puasa. Kejahilan seorang wanita tentang hukum-hukum yang berkaitan darah yang dilaluinya akan menyebabkan kedudukan ibadatnya tidak menentu sama ada sah atau tidak, dan apatah lagi mendapat penerimaan di sisi Allah S.W.T.

Perbincangan isi kandungan kitab ini adalah berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i, namun begitu pandangan para ulama mazhab lain juga turut dikemukakan sebagai perbandingan.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu dengan judul Hukum & Persoalan Darah-Darah Haid, Nifas Dan Istihadah oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Ramzi Omar dan diterbitkan  oleh Sinar Media Services pada tahun 2007 dengan  151 halaman.

Semoga bermanfaat.


1 comment: