Tuesday, August 1, 2017

LUBAB AL-HADITH (لـبـاب الـحـديـث)


Kitab Lubab al-Hadith  (لـبـاب الـحـديـث) adalah sebuah kitab hadis karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Suyuthi al-Syafi’i (849-911 H).

Kitab ini mengandungi 400 buah hadis Nabi saw, yang menerangkan mengenai fadhail al-a’mal (keutamaan sesuatu amalan), seperti keutamaan wuduk, keutamaan salat berjamaah, keutamaan bertasbih, dan lain-lain. Hadis-hadis tersebut disusunkan dalam 40 bab dan setiap bab mengandungi 10 buah hadis. Menurut al-Suyuthi, semua hadis yang dimasukkan di dalam kitab ini adalah hadis-hadis yang sahih yang boleh dipercayai.

Bentuk penyusunan kitab ini ada disebutkan oleh al-Suyuthi dalam pendahuluan kitab;

     فإني أردت أن أجمع كتابا للأخبار النبوية، والآثار المروية، بإسناد صحيح وثيق، فحذفت الأسانيد، وجعلته أربعين بابا، في كل بابٍ عشرةُ أحاديثَ، وسميته لباب الحديث".

Maka sesungguhnya saya ingin menghimpunkan sebuah kitab yang memuatkan beberapa hadis Nabi dan atsar (perkataan) para Sahabat yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih dan boleh dipercayai. Dan aku telah membuang beberapa sanadnya ( agar lebih ringkas ) dan saya menjadikannya dalam 40 bab dan setiap babnya saya masukkan 10 hadis. Saya menamakan kitab ini dengan nama " Lubab al-Hadis " (intisari dari hadis)”.

Secara berurutan, kitab ini dimulai dengan bab keutamaan ilmu dan ulama, lalu dilanjutkan dengan bab keutamaan Laa Ilaha Illallah, keutamaan basmalah, selawat atas Nabi saw, iman, wuduk, siwak, azan, solat berjamaah, Jumaat, masjid-masjid, berserban, puasa, ibadah fardhu, ibadah sunah, kelebihan zakat, sedekah, salam, doa, istighfar, dan berzikir kepada Allah.

Selanjutnya, bab kelebihan dan keutamaan bertasbih, taubat, fakir, nikah, beratnya hukum zina, azab bagi pelaku homoseksual, hukuman bagi peminum arak (khamar), keutamaan memanah, berbakti kepada kedua orang tua, mendidik anak, tawaduk, diam, mengurangi makan dan minum, menyedikitkan tertawa, menjenguk orang sakit, mengingat kematian, mengingat kubur, larangan meratapi mayat, dan diakhiri dengan bab keutamaan sabar apabila tertimpa musibah.

Kitab ini perlu ditelaah dan menjadi rujukan penting bagi seluruh umat Islam dan boleh menjadi bekal utama dan menambah perbendaharaan hadis bagi para muballigh dan da’i.

Kitab ini telah terjemahkan ke dalam Melayu (Indonesia) dan diterbitkan oleh pelbagai penerbitan, khusus di Indonesia. Terjemahan kitab ini boleh juga dibaca di pautan;  https://sites.google.com/site/lubabulhadist/home.

Sekadar pengamatan saya, kitab Lubab al-Hadis ini telah diberikan huraian (syarah) oleh dua orang tokoh ulama Nusantara (Melayu), iaitu;

a) Al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani al-Jawi (1314/1896), melalui karya yang berjudul Tanqih al-Qawl al-Hathith fi Syarh Lubab al-Hadith ( تـنـقـيـح الـقـول الـحـثـيـث بـشـرح لـبـاب الـحـديـث ). Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab. Ia menjadi rujukan para ulama dan penuntut ilmu di dunia Islam.

b) Al-‘Allamah Syaikh Wan ‘Ali bin Abdul Rahman al-Kalantani (1235-), yang terkenal dengan gelaran Syaikh Wan Ali Kutan, melalui karya yang berjudul al-Jawhar al-Mawhub wa Munabbihat al-Qulub. Kitab ini disusun dalam bahasa Melayu dan menjadi rujukan serta teks pengajian Islam di pondok-pondok dan masjid-masjid di Malaysia khususnya.

Kitab Lubab al-Hadis edisi Arabnya (file word) boleh dibaca dan di-download di pautan  http://almeshkat.net/images/icons/doc.png. Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment