Karya yang ingin dibicarakan secara
ringkas bagi mengisi catatan karya ulama
kali ini adalah sebuah buku yang
berjudul al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i (المدخل إلى مذهب الامام الشافعي). Buku
yang boleh diterjemahkan judulnya sebagai “ Pengantar Mazhab Imam al-Syafi’i ” ini disusun oleh Dr. Akram Yusuf
Umar al-Qawasimi.
Buku ini asalnya adalah sebuah kajian
ilmiah yang disusun oleh pengarangnya sebagai desertasi bagi memperolehi ijazah
doktor falsafah dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dari Fakulti Syariah,
Universiti Jordan pada tahun 2002. Karya ilmiah ini telah diterbitkan dengan
cetakan pertama oleh Dar al-Nafa-is, Jordan pada tahun 2003. Edisi cetakan
pertama ini telah diberikan kata pengantarnya oleh Prof. Dr Mustafa Sa’id al-Khin (1922-2008M)[1].
Kandungan buku al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i menghimpunkan kajian
lengkap mengenai kehidupan al-Imam Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H),
yang merangkumi sejarah hidup dan perkembangan keilmuannya. Berikut antara yang
dibincangkan dalam buku ini;
a)
Disiplin ilmu yang dikuasai dan
metodologi yang digunakan al-Imam al-Syafi’i.
b)
Karya-karya ilmiah peninggalan Imam
al-Syafi’i.
c)
Sejarah perkembangan mazhab Syafi’i.
d)
Istilah-istilah mazhab Syafi’i yang digunakan dalam karya Fiqh dan Usulnya.
Buku
ini perlu dibaca dan dimiliki oleh para pembaca supaya kita semua dapat
mencontohi semangat dan kesungguhan usaha seorang tokoh yang hebat ini dalam
menuntut dan mengembangkan ilmu pengetahuan, terutamanya yang berkaitan dengan
ilmu Fiqh dan Usul Fiqh secara keseluruhannya.
Terjemahan dalam bahasa
Melayu
Dalam
koleksi saya terdapat sebuah terjemahan bagi buku ini. Ia diterbitkan oleh al-Hidayah
Publications dengan cetakan pertama ada tahun 2012 dengan judul “ Ensiklopedia Imam al-Syafie Jilid 1 (Pengantar Mazhab al-Imam al-Syafie) ".
Buku
karya Dr. Akram Yusuf Umar al-Qawasimi ini diterbitkan sebagai pendahuluan bagi
sebuah edisi terjemahan karya yang lebih besar iaitu Ensiklopedia Imam Al-Syafie, iaitu terjemahan sebuah ensiklopedia yang
menghimpunkan karya-karya Imam al-Syafi’i, yang berasal dari versi Arabnya: Ensiklopedia Imam al-Syafie (موسوعة الامام الشافعي). Ensklopedia yang disusun dan ditahkik oleh Dr
Ahmad Badruddin Hassun ini telah diterbitkan oleh Dar Qutaibah, Beirut Lubanon dengan
cetakan pertama pada tahun 1996 dalam 10 jilid. Manakala
bagi edisi terjemahan dalam bahasa Melayu bagi Ensiklopedia ini bermula dari jilid 2 dan sehingga kini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publications
jilid ke 10 nya.
Versi
bahasa Arab buku al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i (المدخل إلى مذهب الامام الشافعي) ini boleh dibaca dan muat turun melalui pautan berikut;
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment