Kitab Fatawa
al-‘Iraqi merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan
fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh
al-Imam al-Hafiz al-Faqih al-Qadhi Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin
‘Abdul Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi (762-826H). Beliau adalah seorang ulama
ahli hadis (muhaddis) dan ahli fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang terkenal dan
menjadi rujukan para ulama sepanjang zaman.
Kitab “al-Fatawa” ini ditulis dan disusun sendiri oleh al-Imam
al-Hafiz Waliyuddin Abu Zur’ah al-‘Iraqi
ketika saat akhir hidupnya. Karya Waliyuddin al-‘Iraqi ini merupakan
karya fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang masyhur di kalangan para ulama selepas
kewafatan penyusunnya kerana ia menjadi rujukan dalam penyusunan beberapa kitab
fiqh dan sumber kepada beberapa kitab fatwa yang disusun oleh para ulama
selepasnya.
Penyusunan
kitab al-Fatawa ini juga dianggap oleh
para ulama sebagai sebuah kitab yang istimewa kerana kandungannya ditulis
sendiri oleh al-Hafiz Waliyuddin al-‘Iraqi. Sedangkan kebanyakan kitab fatwa
peninggalan para ulama terdahulu, tidak disusun sendiri oleh para ulama yang
dinisbahkan kepadanya, tetapi disusun dan dihimpun kembali oleh ulama lain yang
menjadi murid atau pengikut mereka, seperti kitab Fatawa al-Nawawi, Fatawa al-Subki
dan sebagainya.
Dalam
muqaddimah kitab fatwanya al-Hafiz Waliyuddin al-‘Iraqi menerangkan secara
ringkas manhaj penulisan fatwanya. Setiap fatwa yang terkandung dalam kitab
ini, dimulai dengan perkataan ( Su-iltu :
aku ditanya) dan disambutkan dengan jawapannya ( Fa ajibtu : maka aku jawab).
Kandungan
kitab ini hanya mengandungi fatwa-fatwa yang menyentuh perbahasan dalam bidang fiqh
sahaja, yang disusun mengikut bab-bab fiqh sebagaimana kitab-kitab fiqh yang
lain. Tajuk perbahasannya merangkumi kebanyakan tajuk-tajuk fiqh, iaitu dimulai
dengan Kitab al-Shalah dan diakhiri
dengan Kitab al-Da’awi wa al-Bayyinat.
Berdasarkan kitab al-Fatawa yang diterbitkan oleh Dar al-Fath li al-Dirasat wa
al-Nasyr, Jordan, iaitu dalam cetakan pertamanya pada tahun 2009, terdapat sebanyak 191 masalah yang telah dijawab
oleh al-Imam Waliyuddin al-‘Iraqi. Ketebalan kitab ini merangkumi 503 halaman
termasuk halaman isi kandungan dan beberapa lampiran yang berkaitan.
Kitab ini
boleh dimuat turun di pautan berikut;
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment