Monday, November 7, 2011

Tafsir Nur al-Ihsan – karya Muhammad Sa’id bin Umar bin Aminuddin

Kitab Tafsir Nur al-Ihsan merupakan sebuah terjemahan serta tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh al-Qadhi Haji Muhammad Sa'id bin Umar bin Aminuddinbin Abdul Karim (  1275H/1857M - 1350H/ 1932M ). Pengarang kitab ini adalah merupakan Qadhi daerah Jitra, Kedah. Tafsir Nur al-Ihsan adalah merupakan tasfir kedua yang ditulis didalam bahasa Melayu / Jawi selepas Turjuman al-Mustafid oleh Syaikh ‘Abdur Rauf ‘Ali al-Fanshuri.

Tafsir Nur al-Ihsan terdiri daripada empat juzuk (jilid). Juzuk pertama, terkandung terjemahan dan tafsir al-Quran mulai surah al-Fatihah hingga surah al-Maidah, setebal 296 halaman. Jilid tanpa tarikh ini dicetak oleh Mathbaah Dar Ihya al-Kutub al-Arabiyah, Mesir 1349 hijrah/1930. Dinyatakan hak mencetak tertentu bagi Muhammad Muhammad Saleh, guru agama Alor Star, Kedah. Cetakan pertama dengan perbelanjaan Muhammad Muhammad Ali Rawa.

Juzuk kedua, dari surah al-An'am hingga surah al-Isra setebal 429 halaman. Juzuk ketiga pula kandungannya mulai surah al-Kahfi hingga az-Zumar, setebal 432 halaman. Juzuk yang ketiga ini ada dinyatakan selesai menulis pada hari Isnin, 27 Zulhijjah 1345H. Juzuk keempat pula mengandungi surah al-Mukmin hingga surah an-Nas setebal 387 halaman. Ia selesai ditulis pada 1 Rabiulakhir 1346H / 27 Jun 1927.

Kitab ini masih beredar di pasaran kitab dan masih digunakan sebagai teks pengajian di masjid-masjid dan surau-surau.

Maklumat lanjut mengenai pengarang dan kitab tafsir ini, sila cari di sini;

No comments:

Post a Comment