Monday, November 14, 2011

Kitab Sair al-Salikin Ila ‘Ibadat Rabbil ‘Alamin - karya Syeikh Abdul Shomad al-Falimbani


Sair al-Salikin ila ‘Ibadati Rabbil ‘Alamin adalah merupakan sebuah karya agung tasawwuf didalam bahasa Melayu. Sebuah karya yang sangat terkenal di Nusantara. Kitab ini terdiri daripada 4 juzuk sebagaimana juga kitab ihya.

  • Juzuk pertama yang menyatakan ilmu ushuluddin dan segala perkara berkaitan dengan ibadat yang zahir – ditulis pada 1193H/1779M dan siap pada awal tahun 1194H/1780M di Mekah.
  • Juzuk kedua yang menyatakan adat yakni pada menyatakan hukum dan adab yang berlaku pada adat seperti makan-minum dan sebagainya - mulai ditulis pada 1194H/1780M dan selesai pada hari Sabtu, 19 Ramadan 1195H/1781di Thaif.
  • Juzuk ketiga pada menyatakan muhlikat yakni perkara-perkara yang membinasakan sekelian amal - mulai ditulis pada tahun 1195H/1781M dan diselesaikan pada 19 Safar 1197 H/1783 M di Makkah.
  • Juzuk keempat pada menyatakan munjiyat yakni perkara-perkara yang melepaskan daripada yang membinasakan sekelian amal - Syaikh Abdusshamad tidak menyebut tahun ia mulai menulisnya, tetapi beliau selesai menulisnya pada 20 Ramadan 1203H/1788 di Thaif.
Sebahagian besar isi kandung kitab ini adalah merupakan terjemahan daripada Lubabul Ihya iaitu mukhtasar (ringkasan) kitab Ihya Ulumiddin. Namun Syaikh Abdusshomad juga menaqalkan dari kitab-kitab lain. Antaranya yang sempat al-Faqir kutip sepintas lalu adalah:- Kitab-kitab karangan Imam al-Ghazali seperti Ihya Ulumiddin, Bidayah al-Hidayah, Madhmun, Jawahirul Qur’an, Minhajul ‘Abidin, Arbai’in fi Ushuliddin dan sebagainya; Al-Fushulul al-Ilmiyyah wa al-Ushuulul Hukmiyyah oleh al-Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad; Ghaits al-Mawahib al-‘Aliyah fi Syarh al-Hikam al-‘Athoiyyah oleh Ibn ‘Abbad; Al-Fusul al-Miftahiyyah wa al-Nafahat al-Ruhaniyyah oleh Syaikh Hussin bin ‘Abdullah BaFadhal; Sairus Suluk oleh Syaikh Qasim al-Halabi; Al-Durruts Tsamin fi Bayani al-Muhim min ‘Ilmiddin oleh al-Habib ‘Abdul Qadir al-‘Aidarus; Iqna oleh Syaikh Khatib al-Syarbini; Minhajul Qawim oleh Syaikh Ibn Hajar al-Haithami; Al-Ghunyah oleh Syaikh ‘Abdul Qadir al-Jailani; Syarh al-Raudhu al-Thalib oleh Syaikh Zakaria al-Anshari; Tuhfatul Muhtaj oleh Syaikh Ibn Hajar al-Haithami; Hikam oleh Ibn ‘Athoillah; Raudhah al-Thalibin oleh Imam Nawawi; Nashoih al-Diniyyah oleh Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad; Futuhatul Makkiyah oleh Syaikh Muhyiddin Ibn ‘Arabi; Uhud al-Muhammadiah oleh Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Hikam Ibn Ruslan; ad-Da'wah at-Tammah wa Tazkiratul 'Aammah oleh Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad; Hikam Abi Madyan; Risalah al-Makkiyah oleh Syaikh Tajuddin al-Naqsyabandi; Al-Nafahat al-Ilahiyyah fi Suluk al-Thariqah al-Muhamadiyah oleh Syaikh Muhammad bin ‘Abdul Karim al-Samman; Hidayatul Ahbab Fima Lil Khalwati Minas Syuruthi wal Adab – Syaikh Musthafa al-Bakri; Adabul Murid oleh Abu al-Najib Abdul Qahhar bin ‘Abdullah bin Muhammad al-Sahruwardi; Al-Fushul al-Fathiyyah oleh al-‘Arifbillah asy-Syaikh Hussin bin ‘Abdullah BaFadhal; Al-Minahus Saniyyah ‘ala al-Wasiyyah al-Matbuliyah oleh Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Risalah Asrarul ‘Ibadah oleh Syaikh Muhammad bin ‘Abdul Karim al-Samman; Risalah Anwarul Qudsiyah oleh Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Madarij al-Salikin oleh Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Fath al-Rahman Syarah Hikam Ibn Ruslan oleh Syaikh Zakaria al-Anshari; Al-Yawaqit wa al-Jawahir fi Bayani ‘Aqaid al-Akhbar- Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Masyariqul Anwar al-Qudsiyah fi Bayani ‘Uhudil Muhammadiyah oleh Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Zahrul Basim oleh Sayyid ‘Abdul Qadir; Al-Minan al-Kubra oleh Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani; Al-Amin fi Intifa’il Mayyiti Bil Qur’anil ‘Adzim oleh Syaikh Abdurrahman al-Tahawi dan banyak lagi yang tidak sempat al-Faqir kutip dan senaraikan disini.

Di dalam kitab ini juga, Syaikh ‘Abdusshomad telah mengkategorikan kitab-kitab tasawuf kepada 3 peringkat iaitu untuk dipelajari dan dikaji oleh golongan mubtadi, mutawassith dan muntahi. Adapun kitab yang beliau karang ini, beliau kagetorikan sebagai kitab lanjutan yang patut dikaji bagi murid yang mubtadi setelah mempelajari dan mengkaji kitab Hidayatus Salikin yang juga dikarang oleh beliau.

Walaupun kitab ini sudah berusia lebih 200 tahun, namun kandungan kitab ini bernilai tinggi dan bersifat ilmiyah tasawuf yang cukup mantap serta masih segar, relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan generasi kini. Oleh kerana itu ia masih dicetak dan beredar dipasaran kitab. Bagi meraikan kemampuan generasi sekarang yang ingin mempelajari kitab yang sangat bermanfaat ini, maka beberapa ulama dan penerbit kitab telah mengambil initiatif untuk mentahqiq, mentakhrijkan hadits-hadits, mengolah ayat dan sebagainya dan juga mentransliterasikan ke tulisan rumi seperti yang diusahakan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki an-Nadwi. Seterusnya beliau telah menerbitkannya di dalam dua versi iaitu jawi [dengan tulisan jawi moden] dan rumi. Usaha yang sama juga telah dilakukan oleh Penerbitan Pustaka Nasional di mana perbaikan bahasanya telah dilakukan oleh Ustaz Muhammad Labib dan seterusnya ditahqiq oleh al-Habib Sayyid Ahmad Semait.

Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani telah menulis pujiannya kepada pengarang kitab ini, Syaikh Abdusshamad al-Falimbani dan kitab Sairus Salikin ini, tatkala beliau mentahqiqkan kitab ini untuk dicetak pada zamannya ....

[D]ialah tuan itu yang mendapat pangkat kelebihan dan yang sangat nyata pada sekalian sifat kemuliaan dan berbekas usahanya berkekalan

[D]ialah tuan itu patut terpuji dengan sedia dan mengeluarkan zahir dan bathin beberapa daripada rahsia

[D]ialah yang yang ketunggulan pada masanya dan empunya taqwa, amal ibadat dan shalih, dan khusyu’ tawadhu’ dan tazalullnya

Tiadalah dapat dibandingkan pada masa itu

Tasarruf lidahnya berzikir kebanyakkan waktu

Dan sentiasa muraqabah pada Tuhan yang satu

Dan merata ia pada faidh kelimpahannya pada khas dan am

Dan tentulah kebajikannya dan budinya ‘alad dawam

Betapakah tiada yang demikian itu, kerana telah membukakan ia akan jalan ahli sufiyah kepada sekelian yang bodoh yang tiada mengerti [bahasa] ‘Arab. Senanglah kiranya engkau berbuat ‘amal dan dapatlah mengerti sekalian hal ehwal thariqat sufiyyah. Dan mudah-mudahan dapat hidayah engkau mengikut jalan mereka itu. Tiadalah jadi kebingungan ditipu oleh sekelian ahli bid’ah dan munafiq yang nyata sesat dan keji.


Beruntung besarlah kiranya bagi engkau mendapat kitab ini, bagi meng[h]ilangkan didalam kelupaan supaya tersedar dan ingat kepada Tuhan engkau. Maka terkayalah daripada mencari kitab-kitab yang lain, kerana sempurna mengandung empat rubu’ seperti yang tersebut didalam ihya. Maka seyogialah bagi yang menaruh ketinggian himmah dan ‘asyiq mengetahui sekelian ilmu ahli sufiyyah yang dihurai daripada pertambatan daripada sesat dan kesamaran yang tiada terbeza didalam fikiran. Bersegeralah ia mencapai kitab ini yang bersifat keelokkan dan megah sekelian perkataan. Dan ibarat yang indah-indah masyhur daripada bahasa Melayu yang sangat mudah.


Dahulu daripada thaba’ ini jaranglah mendapatnya, jika adapun tertentu dengan harga yang mahal. Syukurlah kita kepada Allah Subhanahuwa Ta’ala bi aunihi wa karamihi,

Dengan pertolongan [D]ia dapat dengan mudah,


Daripada mahal menjadi murah


Dan daripada gelap menjadi cerah


Maka sekarang ini lazimlah kamu sekelian mendapatinya


Maka daripada yang maklum, bahwasanya yang berulang-ulang itu terlebih manis dan baiknya. Ketahui olehmu hal sekelian saudara kami, bahwa thaba’ ini terlebih ashah daripada sekelian mathabi’. Istimewa pula kami muqabalah dengan barang yang muharrar akan dia atas asal naskhah asy-Syaikh ‘Abdul Qadir [bin ‘Abdurrahman [al]-Fathani pada ketika ia mengajarnya.


No comments:

Post a Comment