Sunday, June 27, 2021

al-Fawaid al-Mardhiyyah Syarh Mukhtashar al-Lathif

 

Kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah Syarh Mukhtashar al-Lathif (الفوائد المرضية شرح المختصر اللطيف) merupakan sebuah karya fiqh Mazhab Syafi’I yang disusun oleh al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ramli (919-1004H).

Kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah ini disusun sebagai huraian bagi kitab Mukhtashar al-Lathif (المختصر اللطيف) , iaitu sebuah ringkasan fiqh yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman Bafadhal al-Hadhrami (850-918H).

Antara yang menjadi kekaguman kita terhadap kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah adalah ianya telah ditulis berdasarkan ingatan dan hafazan sahaja tanpa merujuk mana mana kitab. Imam Syamsuddin Ramli menyebut dalam muqadimah kitabnya;

و علقته من حفظي من غير مراجعة كتاب

Dibandingkan dengan kitab-kitab syarah yang lain, Imam Ramli menyatakan bahawa syarahan beliau ini adalah ringkas , tanpa diletakkan perbahasan yang rumit seperti perbezaan-perbezaan pendapat  ulama mengenai sesuatu perbahasan. Ianya sekadar menghuraikan lafaz matan dan menyempurnakan maksud yang dikehendaki dalam matan.

Salah seorang pengajar Fiqh Mazhab Syafi’i, Dr Labib Najib Abdullah telah melihat bahawa kurangnya mereka yang mentahqiq kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah,  maka beliau telah berusaha mentahkik kitab ini dengan merujuk kepada 6 buah makhtutat (manuskrip) yang berada di Maktabah al-Ahqaf dan disempurnakan cetakannya.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Dhiya’, Kuwait pada tahun 2021, kandungan kitab ini merangkumi 256 halaman.

Sukacita juga dinyatakan bahawa muhaqiq kitab ini, Dr Labib Najib Abdullah telah mengadakan daurah kitab ini dan telah diletakkan di dalam youtube rakaman penuhnya. Daurah ini boleh diikuti di pautan  https://youtube.com/playlist...

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  الفوائد المرضية  (bukan terbitan Dar al-Dhiya').

Semoga bermanfaat.

2 comments:

  1. Salam ust.blh saya dapatkan no ust..saya nak berkenalan dgn ust...saya selalu ikuti blog ust...sgt berilmiah

    ReplyDelete