Friday, February 8, 2013

Tuhfah al-Thullab


Kitab Tuhfah al-Thullab atau judul penuhnya Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubabmerupakan karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H). Kitab ini adalah huraian (syarah) Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari bagi kitab karya beliau sendiri, iaitu kitab   Tahrir Tanqih al-Lubab ”. Oleh itu, kitab Tuhfah al-Thullab juga lebih dikenali sebagai kitab Syarh al-Tahrir.  

Manakala Kitab Tahrir Tanqih al-Lubab pula adalah ringkasan (mukhtashar) bagi Kitab Tanqih al-Lubab karya al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H ), iaitu sebuah ringkasan bagi kitab karya Imam Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ) yang berjudul al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi’i.

Di samping kitab syarahnya, Syaikh al-Islam juga telah meringkas kembali kitab al-Tahrirnya dengan kitab lain yang berjudul al-Taysir  iaitu sebuahr ingkasan kitab al-Tahrir yang disusun dalam bentuk nazam.

Ketokohan dan keilmuan pengarangnya yang tinggi telah mengangkat kedudukan kitab Tuhfah al-Thullab ini sebagai rujukan fiqh popular di kalangan ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab ini  telah diberikan komentar (hasyiah) oleh beberapa ulama, antaranya;

1.      Syihabuddin bin Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi (1069H).
2.      Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Syawbari al-Syafi'i (1069H).
3.      'Abdul Bar binAbdullah al-Ajhuri (1072H), dengan karyanya "Minhah al-Ahbab bi Syarh Tuhfah al-Thullab
4.      Syamsuddin Muhammad bin Dawud bin Sulaiman al-'Inani (1098H), dengan karyanya "Fath al-Karim al-Wahhab 'ala Syarh Tanqih al-Lubab".
5.      Hasan bin 'Ali bin Ahmad al-Manthawi al-Mudabighi al-Syafi'i (1170H).
6.     ‘Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim al-Syarqawi (1150-1227H), dengan kitabnya "Hasyiah 'ala Tuhfah al-Thullab bi Syarh. Tanqih al-Lubab".

Catatan Tambahan:

Sebagai catatan tambahan, selain Kitab Tuhfah al-Thullab karya Syaikh al-Islam ini, Kitab al-Tahrir (Tahrir Tanqih al-Lubab) juga telah disyarahkan pula oleh beberapa ulama, antaranya;

1. al-Imam Syamsuddin, Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad Syihabuddin al-Ramli al-Munufi, yang terkenal sebagai al-Syafi’i al-Shaghir (919-1004 H).

2. al-Imam Zaynuddin 'Abdul Rauf bin 'Ali al-Munawi al-Syafi'i (1031H) dengan karyanya yang berjudul "Ihsan al-Taqrir bi Syarh al-Tahrir"

3. Syaikh Shadiq Habannakah al-Maidani  dengan karyanya Syarh Tuhfah ath-Thullab bi Syarh Tanqih al-Lubab fiy Madzhab al-Syafi’i.

Kitab Tuhfatut Thullab Syarh Tanqih al-Lubab ini boleh didowload di pautan berikut;
Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment