Monday, August 16, 2021

Syarh Manzhumah al-‘Azizi (شرح منظومة العزيزي)


Kitab Fath al-Karim al-Rahman Fi Ma Yughtafar  Li al-Muwafiq Min al-Arkan (فتح الكريم الرحمن فيما يغتفر للموافق من الأركان) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-‘Allamah al-Syaikh al-Imam Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais al-Zamzami al-Zubairi (1187 H/1773M M-1240 H/1824 M). Beliau merupakan seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i yang terkenal di Makkah pada zamannya.

Kitab yang terkenal dengan judul Syarh Manzhumah al-‘Azizi (شرح منظومة العزيزي) ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi matan fiqh dalam bentuk nazam berjudul Manzhumah al-‘Azizi Fi al-Masail allati Yughtafar Li al-Muwafiq al-Takhalluf Fiha Bi Tsalatsah Arkan Thawilah (في المسائل التي يغتفر للموافق التخلف فيها بثلاثة أركان طويلة  منظومة العزيزي). Matan Manzhumah al-‘Azizi  “ yang membicarakan secara khusus mengenai beberapa permasalahan yang dibolehkan makmum muwafiq ketinggalan dari imammya dengan tiga rukun yang panjang” ini pula disusun al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M).

Kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi ini kemudiannya telah diberikan huraian dalam bentuk hasyiah oleh Syeikh al-Haris bin Hummam, melalui karya beliau yang berjudul Nushrah al-Halim Hasyiah Manzhumah al-‘Azizi (نصر الحليم حاشية منظومة العزيزي). Syeikh al-Haris adalah murid kepada Syeikh Muhammad Shalih al-Rais.

Manakala Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1265H), seorang ulama terkenal di Nusantara yang berasal dari Patani, telah memetik (menukil) dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kandungan kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi, iaitu karya gurunya al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais dan menghimpunkannya dalam sebuah  risalah yang diberi judul al-Bahjah al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام). 

Dalam risalah ringkas ini, Syaikh Daud memetik dan menterjemahkan kesemua 6 bait nazam daripada matan Manzhumah al-‘Azizi yang khusus menerangkan beberapa keadaan yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza perlakuannya dengan imam atau disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada diuzurkan ”. Setiap bait nazam tersebut telah diberikan huraiannya berdasarkan kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi karya Syaikh Muhammad Shalih al-Rais tersebut[1].

Saya belum lagi menemui kitab Fath al-Karim al-Rahman / Syarh Manzhumah al-‘Azizi ini dalam bentuk cetakan yang tersendiri. Namun begitu, kandungan kitab ini boleh dibaca dan dimuat turun melalui sumber berikut;

1.     Manuskrip di pautan https://al-mostafa.info/data/arabic/depot/gap.php?file=m010066.pdf 

2.     Kandungan kitab yang ditahkik oleh Dr Ali Shiddiq Syakar al-Hayali yang terdapat dalam Majalah  مجلة جامعة كركوك للدراسات الإنسانيةmelalui pautan https://www.iasj.net/iasj/download/3bcd96ad2295e37b .

Semoga bermanfaat.

__________________________________

1]. Syeikh Daud al-Fathani menterjemahkan keseluruhan isi kandungan kitab Syarh Manzhumah al-'Azizi yang meliputi matan dan huraiannya. Hanya bahagian pendahuluan dan penutup sahaja yang ditinggalkan oleh beliau, kerana beliau meletakkan pendahuluan dan penutupnya yang sendiri bagi karya beliau tersebut.

No comments:

Post a Comment