Kitab Cahaya Islam-Gugusan
Maulid Saiyidil Anam ditulis oleh Tuan Guru asy-Syahid Haji Sulong @
Haji Muhammad Sulum bin 'Abdul Qadir al-Fathani rahimahullah, ulama dan mujahid
Fathani Darus Salam sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun 1362
H/1943 iaitu dalam masa darurat suasana Perang Dunia Kedua.
Di bawah judul kitab, dinyatakan
juga, “Dan perihal asal bagi berbuat Maulid Yang Karim. Dan Menyatakan
kelebihan yang amim“.
Karya judul tersebut kemungkinan
terdiri dari beberapa jilid, tetapi yang sempat diterbitkan hanya jilid yang
pertama saja. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah Patani Press, pada 23
Rabiulakhir 1372 H, bererti 10 tahun setelah selesai ditulis.
Tumpuan utama kandungan kitab Cahaya
Islam adalah tentang Maulid Nabi Muhammad SAW. Namun pendekatan yang digunakan
jauh berbeza dengan penulisan-penulisan lain yang pernah dihasilkan oleh ulama
dunia Melayu yang terdahulu daripadanya. Hampir separuh kandungan jilid pertama
adalah membahas pembahagian bidaah.
Seterusnya dilanjutkan pula pendapat
para ulama-ulama yang terkenal dunia Islam tentang hukum mengadakan Maulid Nabi
Muhammad SAW.
Sebelum membahaskan lebih lanjut,
Haji Sulong al-Fathani menyatakan abstrak karangannya terlebih dahulu, iaitu:
1. Kenyataan
fasal bidaah, dan maknanya, serta segala bahagiannya.
2.Kenyataan
fasal dalil bagi sunat berbuat maulid, dan sunat bangun berdiri.
3.Kenyataan
fasal kelebihan berbuat maulid, dan kelebihan orang yang hadir pada majlisnya.
Mengenai yang pertama iaitu fasal
bidaah yang terkandung pada halaman 4-5 kitab tersebut, Haji Sulong al-Fathani
menulis, “Bahawa berbuat maulid itu bidaah, kerana tidak diperbuat oleh Nabi
SAW, dan begitu juga sahabat-sahabat dan ulama-ulama yang kemudian daripada
sahabat. Hingga sampai kepada tahun hijrah 300 tahun tiada ada
siapa-siapa yang berbuat akan dia. Dan kemudian daripada hijrah yang tersebut
itu barulah timbul maulid. Dan tatkala timbul maulid itu sentiasa orang-orang
Islam pada tiap-tiap negeri mengadakannya, istimewa pula negeri yang
besar-besar seperti Baghdad, negeri Syam, negeri Mesir, negeri Mekah, Madinah,
pada tiap-tiap tahun menghimpunkan manusia serta diperbuat beberapa kebajikan
daripada jamuan, dan membaca Quran, dan berzikir, dan membaca kisah maulid…”.
Namun, Haji Sulong al-Fathani
menolak pendapat golongan tertentu yang mengatakan bahawa mengadakan perayaan
maulid adalah bidaah yang keji (terlarang). Selanjutnya beliau menulis perkara
tersebut yang terkandung pada halaman 5-6, iaitu “Maka sesungguhnya berbuat
maulid itu bidaah. Akan tetapi masuk di dalam bahagian ‘bidaah hasanah’ diberi
pahala akan orang yang mengerjakan dia, seperti memperbuat ibadat yang sunat …
Maka perhamba sebutkan sedikit fasal bahagian bidaah kerana takut terkeliru di
atas mereka yang tidak tahu bahagian bidaah, maka ia berkata bahawasanya
berbuat maulid itu bidaah yang keji atau haram, seperti sangkaan mereka yang
telah disesatkan…”
Haji Sulong al-Fathani berpegang
bahawa merayakan maulid Nabi SAW adalah termasuk dalam kategori Bidaah
Hasanah atau sunat dikerjakan. Untuk menguatkan pendapat tersebut, beliau
memetik pendapat-pendapat di antaranya Sheikh Ibnu Hajar al-‘Asqallani, Imam
as-Sayuthi, al-Muhaddits Muhammad bin Mas’ud al-Kazaruni dan ulama-ulama
lainnya, sedangkan mereka adalah ulama ahli hadis yang sangat terkenal.
Semua pendapat ulama yang tersebut
dilengkapi dengan petikan yang agak panjang dan pada beberapa tempat disebut
pula kitab-kitab rujukan.
Pada penutup bahagian pengenalan
Cahaya Islam di halaman 42, karya Haji Sulong menulis, “Dan telah lalu
cerita Hikayat Raja al-Muzhaffar Abu Said, bahawasanya membelanjakan hartanya
pada berbuat maulid di dalam setahun 30 laksa dinar.
“Maka janganlah mengikut
pengugut-pengugut iblis, yang ia berkata kepada seseorang, “Janganlah engkau
belanjakan harta engkau kepada jalan kebajikan, lama-lama habis harta engkau
jadi papa, maka jadilah engkau orang miskin”. Maka itulah jadi bakhil dan lokek
tidak berbuat sesuatu kebajikan dengan hartanya. Maka minta Allah SWT
menjauhkan hal yang semacam itu daripada kita”
Artikel di atas, dipetik dengan
sedikit kemaskini dari aktikel susunan al-Marhum Haji Mohd Shaghir Abdullah
yang berjudul “Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani ” di pautan
No comments:
Post a Comment