Wednesday, July 20, 2016

ADAB AL-MUFTI WA AL-MUSTAFTI i


Kitab Adab al-Mufti wa al-Mustafti (أدب المفتي والمستفتي) merupakan sebuah kitab ilmu usul fiqh yang membicarakan secara khusus mengenai etika seorang mufti dan mustafti (orang yang bertanya) untuk mendapatkan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan agama. Kitab yang terkenal dan menjadi rujukan para ulama ini adalah sebuah karya al-Imam al-Hafiz Taqiyyuddîn Abu ‘Amr Utsman bin Abdurrahman bin Utsman bin Musa al-Kurdi al-Syaharazuri (577-643H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Shalah. Seorang ulama besar dalam bidang hadis dan fiqh mazhab Syafi’i. Nama beliau banyak disebut oleh para ulama Syafi’iyyah dalam kitab-kitab mereka. 

Sebenarnya, Ibn al-Shalah bukanlah orang pertama yang menyusun kitab dalam bidang ini, bahkan telah didahului sebelumnya oleh beberapa ulama yang lain, antara;

      a)    Abu al-Qasim Abdul Wahid bin al-Husain bin Muhammad al-Qadhi al-Shaimari (386H), dengan karyanya Adab al-Mufti wa al-Mustafti (أدب المفتي والمستفتي).

      b)   Al-Hafiz al-Mu-arrikh Ahmad bin ‘Ali bi Thabit al-Khathib al-Baghdadi (463H), dengan karyanya al-Faqih wa al-Mutafaqqih (الفقيه والمتفقه).

      c)   Al-Imam al-al-Hafiz Yusuf bin ‘Abdul Barr (368-463H), dengan kitabnya Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih (جامع بيان العلم وفضله).

     d)  Beberapa ulama lain dalam beberapa karya mengenai usul fiqh mereka seperti al-Juwaini, al-Ghazali, Abu Muzaffar al-Sam’ani, Abu Bakar al-Qaffal al-Shaghir, Abu Ishaq al-Isfirayaini, Abu Abdullah al-Halimi, Abu Ishaq al-Syairazi, Ilkiyalharasi dan selain mereka.

Dalam usaha penyusunan kitab beliau ini, Ibn al-Shalah telah mengambil manfaat dari karya-karya ulama sebelumnya. Ini menunjukkan wujud hubungan keilmuan di antara ulama terdahulu (al-mutaqaddimin) dan terkemudian (al-Mutaakhkhirin). Para ulama terkemudian banyak mengambil manfaat daripada karya ulama terdahulu, di samping beberapa tambahan idea-idea mereka dalam menghasilkan karya-karya bermutu dan dikagumi oleh para ulama selepas mereka.

Hubungan keilmuan ini, seterusnya disambung oleh Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Imam al-Nawawi telah memetik dan meringkaskan isi kandungan dari tiga buah kitab, iaitu dari karya Abu al-Qasim al-Shaimari, al-Khathib al-Baghdadi dan Ibn al-Shalah sebagaimana yang disebut di atas.  Karya beliau yang berjudul Adab al-Mufti wa al-Mustafti (آداب الفتوى والمفتي والمستفتي)  ini dimuatkan oleh al-Nawawi dalam muqaddimah kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (المجموع شرح المهذب).                    
                                                                                 
Kemudian al-Imam Ahmad bin Hamdan al-Harrani al-Hanbali (690H) telah memuatkan isi kandungan kitab Ibn al-Shalah ini dalam karya beliau yang berjudul Shifah al-Fatwa wa al-Mustafti (صفة الفتوى والمستفتي).

Seterusnya al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Abu Bakr al-Dimasyqi, yang terkenal dengan gelaran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (751H) juga telah memuatkan kandungan kitab Ibn al-Shalah ke dalam karya beliau yang berjudul I’lam al-Muqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (إعلام الموقعين عن رب العالمين).

Berterusanlah hubungan keilmuan ini di kalangan para ulama. dari generasi ke generasi berikutnya. Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Sayuthi (911H) yang datang kemudiannya telah memetik dan memuatkan sebahagian kandungan kitab Adab Mufti wa al-Mustafti ini ke dalam dua karya beliau, iaitu kitab Adab al-Fatwa (أدب الفتوى) dan kitab al-Radd ‘ala Akhlad ila al-Ardh wa Jahhala anna al-Ijtihad fi Kulli ‘Ashr Fardh (الرد على من أخلد إلى الأرض وجهل أن الاجتهاد في كل عصر فرض)

Kitab ini boleh dimuat turun melalui pautan أدب المفتي والمستفتي  /             http://waqfeya.com/book.php?bid=10794


Semoga bermanfaat

No comments:

Post a Comment