Saturday, July 17, 2021

Kitab-Kitab Fatwa Karya Para Ulama Mazhab Syafi’i

Insya Allah dalam catatan berikut disenaraikan beberapa kitab fatwa yang disusun oleh para ulama Mazhab Syafi’i. Semoga bermanfaat.


1Fatawa al-Qaffal - Abu Bakr Abdullah bin Ahmad  al-Marwazi al-Qaffal al-Shaghir 417H). 

2Fatawa al-Qadhi Husain - al-Qadhi al-Husain al-Marwarudzi (462H)

3Fatawa al-Ghazali  - Abu Hamid Muhammad al-Ghazali (505H)

4Fatawa wa Masa-il Ibn al-Shalah (فتاوى ومسائل ابن الصلاح) - Taqiyyuddîn Abu ‘Amr Utsman bin Abdurrahman al-Syahrazuri (577-643H).

5Fatawa al-Imam al-Nawawi (فتاوى الإمام النووي) - Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H)

6. Fatawa al-Subki fi Furu al-Fiqh al-Syafi'i - Taqiyuddin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi al-Subki (756H).

7Fatawa al-Azra’i (فتاوى الأذرعي) - Ahmad bin Hamdan bin Abdul Wahid al-Azra’i  (708-783H). 

8Fatawa al-Bulqini (فتاوى البلقيني ) - Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin Raslan al-Bulqini (805H). 

9Fatawa Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari   - Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H).

10. Fatawa al-‘Iraqi   - Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad al-‘Iraqi (762-826H).

11al-Hawi Li al-Fatawi (الحاوي للفتاوي) -  al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H)  

12al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra - Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H).

13al-Fatawa al-Hadithiyyah - Ahmad  Ibn Hajaral-Haytami (974H).  

14Fatawa al-Ramli  - Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Anshari (957H).

15Fatawa al-Khalili   - Muhammad bin Muhammad al-Khalili (1147H),

16Bughyah al-Mustarsyidin - Sayyid ‘Abdur Rahman bin Muhammad Ba ‘Alawi al-Hadhrami (1250- 1320),

17. al-Fatawa al-Fathaniyyah ( الفتاوى الفطانية )  - Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani  (1325/ 1908).

18Qurrah al-‘Ain bi Fatawa al-Syeikh Ismail al-Zain  - Syeikh Ismail bin Ismail bin Utsman al-Zain al-Makki al-Yamani (1352-1414H).

19al-Kalim Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah  -  Dr ‘Ali bin Juma’ah bin Muhammad  (1952 / 1371 -). 

Thursday, July 15, 2021

Nushr al-Halim Hasyiah Manzhumah al-‘Azizi

  

Kitab Nushr al-Halim Hasyiah Manzhumah al-‘Azizi (نصر الحليم حاشية منظومة العزيزيmerupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syeikh al-Harith bin Hummam[1]

Kitab ini disusun oleh pengarangnya sebagai hasyiah bagi kitab Syarh Manzumah al-'Azizi, yang disusun oleh guru beliau yang bernama al-'Allamah Muhammad Shalih bin Ibrahim al-Rayyis al-Zamzami al-Zubairi.

Manakala kitab Manzhumah al-‘Azizi fi Masa-il al-Jama’ah (منظومة العزيزي في مسائل الجماعة) pula  adalah sebuah sebuah matan fiqh dalam mazhab Syafi’i yang membicarakan secara khusus mengenai beberapa persoalan solat berjamaah, yang  disusun dalam bentuk nazam oleh al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M)[2]

Manuskrip kitab Nushrah al-Halim ini boleh dimuat turun di pautan  https://archive.org/compress/IMG0005_201405/formats=TEXT%20PDF,IMAGE%20CONTAINER%20PDF&file=/IMG0005_201405.zip.

Semoga bermanfaat.


[1] Nama ini dicatatkan oleh penyusun dalam muqaddimahnya, sebagai yang terdapat dalam manuskrip. 

[2]  Di antara karya lain Syaikh al-‘Azizi ialah kitab Hasyiah al-Fawa-id al-‘Aziziyyah ‘Ala Syarh Abi Syuja’ li Ibn Qasim al-Ghazzi, Iaitu kitab yang menghurai atau mengkomentarkan karya al-‘Allamah Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Qasim Muhammad al-Ghazzi al-Syafi‘i (918H) yang berjudul Fath al-Qarib al-Mujib atau terkenal sebagai Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Taqrib, yang merupakan huraian bagi Matn al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (533-593H).

Wednesday, July 7, 2021

Nahj al-Raghibin wa Subul al-Muttaqin

 

Kitab Nahj al-Raghibin wa Subul al-Muttaqin (نهج الراغبين وسبل المتقينadalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syeikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani (1183-1265H).

Kitab fiqh ini ditulis pada tahun 1226H/ 1811M di Mekah dan ia dicetak pada bahagian tepi kitab Bughyah al-Thullab li Murid Ma'rifah al-Ahkam bi al-Shawab (بغية الطلاب لمريد معرفة الاحکام بالصواب oleh Dar al-Tiba'ah al-Miriyyah al-Kubra, tanpa tahun. Kitab Bughyatul Thullb terdiri daripada dua jilid dan tebalnya 244 halaman dan 236 dengan ukuran 26.6cm. Kandungan kitab Nahj al-Raghibin yang dicetak di tepi kitab Bughyah al-Thullab ini sebagaimana kitab induknya - bermula dari halaman kedua jilid pertama dan berakhir di halaman 236 di jilid kedua.

Sebagaimana yang disebutkan oleh pengarangnya, kandungan kitab ini membincangkan hukum jual beli dan perkara yang berhubung dengannya. Di samping itu, juga membincangkan hukum jenayah, jihad, kehakiman, pendakwaan dan kesaksian.

Mengenai faktor yang mendorong Syeikh Daud Fathani menyusun kitab ini, berikut dibawakan petikan kata pendahuluan Syeikh Daud al-Fathani;

“ …telah menuntut daripada aku setengah daripada orang yang kami kasihi, yang berulang-ulang kepadaku bahawa aku terjemahkan dengan bahasa Jawi akan barang yang tiada terkaya daripadanya setengah daripada hukum berjual beli dan barang yang bergantung dengan dia dan barang yang melangkapi atasnya daripada segala hukum berjual beli  dan sedikit daripada beberapa hukum melukakan dan barang yang bergantungkan dengan dia daripada segala saksi dan hukum perang sabil  dan hukum jadi qadhi dan hukum da’wa dan saksi dan hukum merdehika.”

Di antara sumber rujukan utama bagi penyusunan kitab Nahj al-Raghibin ialah penulisan-penulisan fuqaha' mazhab Syafi'i yang muktabar iaitu;  Minhaj al-Thalibin,a Imam Abu Zakariyya Yahya bi Syaraf al-Nawawi (676.H)

ii)   Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, karya  al-Imam Ahmad Ibnu Hajar  al-Haytami (909-973H).

iii)   Nihayah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, karya Imam Syamsuddin Muhammad al-Ramli (1004H)

iv)   al-Najm Al-Wahhaj Syarh al-Minhaj, karya Muhammad ibn Musa bin Isa bin Alial-Damiri (742-808H)

v)    Manhaj al-Thullab dan Syarahnya Fath al-Wahhab, karya Shaikh al-Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (826-926H).

vi)     al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, karya Muhammad Khathib al-Syarbini (977H)

Sekadar maklumat yang diperolehi, kitab ini belum pernah diterbitkan secara tersendiri atau berasingan daripada kitab Bughyah al-Thullab.

Semoga bermanfaat.

Monday, July 5, 2021

al-Mawahib al-Madaniyyah ‘ala Syarh al-Muqaddimah al-Hadharamiyyah

 

Kitab al-Mawahib al-Madaniyyah ‘ala Syarh al-Muqaddimah al-Hadharamiyyah (المواهب المدنية على شرح المقدمة الحضرمية) adalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i, yang disusun oleh al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani al-Syafi’i (1127-1194H).

Kitab ini disusun sebagai hasyiah (komentar) bagi kitab al-Manhaj al-Qawim Syarh Masa-il al-Ta’lim (المنهج القويم شرح مسائل التعليم), iaitu sebuah karya al-Imam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (909-973/974H). Sedangkan kitab al-Manhaj al-Qawim pula merupakan kitab syarah (huraian) bagi kitab  Masa-il al-Ta’lim (مسائل التعليم) atau al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المقدمة الحضرمية), karya al-Imam Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H).

Di kalangan ulama mazhab Syafi’i, kitab al-Mawahib al-Madaniyyah ini juga dikenali dengan judul al-Hasyiah al-Kubra ‘ala Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (الحاشية الكبرى على شرح المقدمة الحضرمية). Kitab ini dipanggil al-Hasyiah al-Kubra kerana selain kitab ini, Syeikh Muhammad al-Kurdi ada menyusun kitab yang lain lebih kecil (kurang sedikit halamannya) sebagai hasyiah bagi kitab Manhaj al-Qawim. Kitab ini diberi judul al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala al-Manhaj al-Qawim (الحواشي المدنية على المنهح القويم). 

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Maktabah Thalib al-‘Ilm, Dimasyq, Syria (cet-1/2013), ia telah dicetakkan dalam 4 jilid. Manakala terbitan terkini oleh Dar al-Nour al-Mubin (cet-1/2021), ia dicetakkan dalam 6 jilid.

Semoga bermanfaat.

Saturday, July 3, 2021

Khabaya al-Zawaya ( خبايا الزوايا)

 

Kitab Khabaya al-Zawaya ( خبايا الزوايا) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu Abdullah Muhammad bin Bahadur al-Zarkasyi (745-794H).

Isi kandungan kitab ini menerangkan beberapa permasalahan fiqh yang disebut dalam dua buah kitab utama mazhab Syafi’i, iaitu; 

   1)   Kitab Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (فتح العزيز شرح الوجيز), karya Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i  (623H).     

  2) Kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin (روضة الطالبين وعمدة المفتين), karya Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).      

Dalam kitab ini, Imam al-Zarkasyi menukil dan menyusun kembali beberapa permasalahan fiqh yang terdapat dalam kedua-dua kitab tersebut berdasarkan bab-bab fiqh yang berkaitan, kerana terdapat beberapa permasalahan fiqh dalam kitab-kitab tersebut yang tidak diletakkan mengikut bab-bab sepatutnya.

Sebelum penyusunan kitab ini, ada di kalangan ulama tidak menjumpai beberapa permasalahan fiqh yang dicari dalam kitab karya dua Imam ini, kerana ia disebut dalam bab yang lain. Perkara ini menyebabkan mereka beranggapan permasalahan tersebut tidak disebut oleh dua Imam dalam kitab mereka itu, sedangkan ia sebenarnya ada disebutkan dan dijelaskan oleh mereka berdua.

Oleh itu, dengan penyusunan kitab Khabaya al-Zawaya ini, Imam al-Zarkasyi mengharapkan ia menjadi panduan dan memudahkan para ulama dan penuntut ilmu untuk merujuk pandangan Imam al-Rafi’i dan Imam al-Nawawi dalam kedua-dua kitab mereka. 

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  https://ia801300.us.archive.org/8/items/FP99589/99589.pdf.

Semoga bermanfaat.

Friday, July 2, 2021

Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad

 

Kitab Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad (تحفة الطلاب في نظم مسائل الإرشادmerupakan sebuah karya al-Qadhi Shafiyuddin Ahmad bin Umar al-Mazjad al-Zabidi al-Syafi’i (929H).

Kitab ini disusun dalam bentuk nazam (puisi) berdasarkan kitab al- Irsyad (الإرشاد) atau judul penuhnya Irsyad al-Ghawi ila Masalik al-Hawi (إرشاد الغاوي إلى مسالك الحاوي), iaitu sebuah karya al-Imam Ibn al-Muqri, Ismail bin Abu Bakr bin Abdullah al-Muqri al-Zabidi al-Yamani (755-837H). 

Kitab Tuhfah al-Thullab fi Nazhm Masa-il al-Irsyad ini mengandungi sebanyak 584 bait nazam.

Manuskrip kitab ini boleh dimuat turun di pautan  تحفة الطلاب في نظم مسائل الإرشاد.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, June 29, 2021

al-Mawahib al-Saniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah

 

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المواهب السنية بشرح المقدمة الحضرمية) merupakan sebuah karya fiqh mazhab al-Syafi’i yang disusun oleh Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’asyan al-Daw’ani al-Hadhrami (1220-1270H).

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المقدمة الحضرمية) atau juga dikenali dengan judul Masa-ilal-Ta’lim (مسائل التعليم), iaitu sebuah karya al-Imam Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). 

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah telah diringkaskan sendiri oleh Syeikh Sa’id Ba’asyan al-Daw’ani melalui karyanya yang berjudul Busyra al-Karim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim (بشرى الكريم بشرح مسائل التعليم). Perkara ini ada disebutkan oleh Syeikh Sa’id Ba’asyan dalam pendahuluan kitab Busyra al-Karim. Menurut beliau ketebalan kitab Busyra al-Karim hampir separuh ketebalan kitab asalnya (al-Mawahib al-Saniyah ).

Kitab Busyra al-Karim ini lebih terkenal sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Saniyyah, kerana ia telah dicetak dan diiterbitkan untuk bacaan dan rujukan para ulama dan penuntut ilmu. Sedangkan kitab al-Mawahib al-Saniyyah, penulis sendiri belum mendapat maklumat kewujudannya ketika ini, sama ada dalam bentuk manuskrip maupun bentuk cetakan.

Berdasarkan kitab Busyra al-Karim yang diterbitkan (cetakan 1 - 2004/1425) oleh Dar al-Minhaj, ia dicetak dalam satu jilid dengan 718 halaman. Kitab ini dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di بشرى الكريم / بشرى الكريم.

Semoga bermanfaat.

Monday, June 28, 2021

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah (الفوائد المكية)

 

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah (الفوائد المكية) atau judul lengkapnya al-Fawaid al-Makiyyah Fi Ma Yahtajuhu Thabah al-Syafi’iyyah Mn al-Masail wa al-Dhawabith wa al-Qawa’id al-Kulliyyah (الفوائد المكية فيما يحتاجه طلبة الشافعية من المسائل والضوابط والقواعد الكلية ) merupakan sebuah karya yang berkaitan usul dan qawaid fiqh yang disusun oleh al-Imam al-Sayyid ‘Alawi bin Ahmad bin Abdur Rahman al-Saqqaf al-Syafi’i al Makkiy (1255H-1335H).

Kitab ini sangat diperlukan dan menjadi panduan para ulama dan penuntut ilmu dalam mazhab Syafi’i kerana padanya sangat banyak terkandung faedah-faedah bagi setiap hukum hakam dalam Islam. Dalam kitab ini juga penyusunnya membahaskan mengenai kewajipan menuntut ilmu serta adab adab yang wajib dipelihara.

Sayyid ‘Alawi al-Saqqaf kemudiannya telah meringkaskan kitab al-Fawaid al-Makiyyah ini dengan sebuah karya beliau yang berjudul Mukhtashar al-Fawaid al-Makkiyyah Fi Ma Yahtajuhu Thaolabat al-Syafi’iyyah ().

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah boleh dimuat turun di pautan الفوائد المكية. Manakala kitab ringkasannya di pautan Mukhtashar al-Fawaid al-Makiyyah.

Semoga bermanfaat.

Sunday, June 27, 2021

al-Fawaid al-Mardhiyyah Syarh Mukhtashar al-Lathif

 

Kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah Syarh Mukhtashar al-Lathif (الفوائد المرضية شرح المختصر اللطيف) merupakan sebuah karya fiqh Mazhab Syafi’I yang disusun oleh al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ramli (919-1004H).

Kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah ini disusun sebagai huraian bagi kitab Mukhtashar al-Lathif (المختصر اللطيف) , iaitu sebuah ringkasan fiqh yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman Bafadhal al-Hadhrami (850-918H).

Antara yang menjadi kekaguman kita terhadap kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah adalah ianya telah ditulis berdasarkan ingatan dan hafazan sahaja tanpa merujuk mana mana kitab. Imam Syamsuddin Ramli menyebut dalam muqadimah kitabnya;

و علقته من حفظي من غير مراجعة كتاب

Dibandingkan dengan kitab-kitab syarah yang lain, Imam Ramli menyatakan bahawa syarahan beliau ini adalah ringkas , tanpa diletakkan perbahasan yang rumit seperti perbezaan-perbezaan pendapat  ulama mengenai sesuatu perbahasan. Ianya sekadar menghuraikan lafaz matan dan menyempurnakan maksud yang dikehendaki dalam matan.

Salah seorang pengajar Fiqh Mazhab Syafi’i, Dr Labib Najib Abdullah telah melihat bahawa kurangnya mereka yang mentahqiq kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah,  maka beliau telah berusaha mentahkik kitab ini dengan merujuk kepada 6 buah makhtutat (manuskrip) yang berada di Maktabah al-Ahqaf dan disempurnakan cetakannya.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Dhiya’, Kuwait pada tahun 2021, kandungan kitab ini merangkumi 256 halaman.

Sukacita juga dinyatakan bahawa muhaqiq kitab ini, Dr Labib Najib Abdullah telah mengadakan daurah kitab ini dan telah diletakkan di dalam youtube rakaman penuhnya. Daurah ini boleh diikuti di pautan  https://youtube.com/playlist...

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  الفوائد المرضية  (bukan terbitan Dar al-Dhiya').

Semoga bermanfaat.

Tuesday, June 15, 2021

Juz'un fi al-Tahni'ah fi al-A'yad wa Ghairiha

 

Kitab Juz'un fi al-Tahni'ah fi al-A'yad wa Ghairiha (جزء في التهنئة في الأعياد وغيرها) merupakan sebuah karya yang disusun oleh al-Hafiz Abu al-Fadhl Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani (773-852H). Beliau yang terkenal dengan julukan Ibnu Hajar al-'Asqalani ini adalah seorang ulama terkenal dalam bidang Hadis.

Kitab yang kecil ini mengandungi fatwa yang disusun oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani sebagai jawapan bagi persoalan yang berkaitan dengan ucapan tahniah ketika menyambut hari raya dan selainnya. Dalam kitab ini beliau mengeluarkan fatwa bahawa perkara tersebut adalah perkara yang masyru’ah (yang disyariatkan) dalam Islam. Fatwa ini muncul setelah beliau meneliti beberapa riwayat dan atsar dari para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in, serta pandangan para ulama mazhab yang empat. Semua riwayat dan pandangan para ulama yang menjadi penelitian dan rujukan beliau tersebut dihimpunkan dalam kitab ini.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Darul Basya-ir, Beirut (cetakan 1/2004), kandungan merangkumi 55 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan جزء في التهنئة في الأعياد وغيرها.

Semoga bermanfaat.

Friday, June 11, 2021

Ghayah al-Muna Syarah Safinah al-Naja

 

Kitab Ghayatul Muna Syarah Safinah al-Naja  ( غاية المنى بشرح سفينة النجا ) merupakan merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun Syeikh Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Ba ’Athiyyah ad-Du’ani al-Hadhrami.

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Safinah al-Naja fi Ushul al-Din wa al-Fiqh ( سفينة النجا في اصول الدين والفقه ), iaitu sebuah karya al-'Allamah Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami (1271H). Ia merupakan sebuah huraian kitab Safinah al-Naja yang agak meluas berbanding kitab-kitab syarah sebelumnya.

Dalam kitab Ghayah al-Muna ini, bukan sahaja dihuraikan kandungan asal kitab Safinah al-Naja, bahkan ditambahkan huraian bagi beberapa permasalahan fiqh yang tidak disebutkan oleh penyusun kitab Safinah al-Naja. Berikut ialah pembahagian kandungan kitab ini;      

1.  Huraian bagi kandungan asal kitab Safinah al-Naja, yang meliputi Kitab bersuci, Kitab Solat, Kitab Jenazah dan Kitab Zakat.

2.  Huraian bagi Kitab Puasa; ia merupakan tambahan yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi ketika penyusunan huraian bagi kitab Safinah al-Naja, yang berjudul Kasyifah al-Saja.

3.   Huraian bagi kitab Haji dan umrah, yang merupakan tambahan Syeikh Muhammad al-Du’ani sendiri bagi melengkapkan perbincangan mengenai bahagian ibadat. 

Kitab Ghayah al-Muna boleh dimuat turun di pautan http://bit.ly/Kitab-Ghoyatul-Muna-Syarah-Safinatun-Naja.

Semoga bermanfaat.

Friday, May 21, 2021

Mathla' An-Najmain


Kitab Mathla’  An-Najmain () merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Abdul Ghani Jabal Maraqy. 

Sebahagian besar kandungan kitab ini dipetik daripada kitab Mathla’ Al-Badrain wa Majma’ Al-Bahrain (), iaitu sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathani (). Walau bagaimana pun terdapat sedikit sebanyak tambahan sebagai penjelasan supaya mudah difahami oleh para pelajar dan juga orang awam. 

Kitab Mathla’ An-Najmain ini telah diterbitkan dalam dua jilid dengan edisi Rumi dan Jawi. Berikut disebutkan secara ringkas isi kandungan kedua-dua jilid tersebut;  

Mathla’ An-Najmain (1) – Membicarakan Tentang Bersuci, Solat, Orang Musafir dan Yang Keuzuran. Kitab ini mengandungi;

Bab bersuci (14 fasal) : Antaranya: *Cara bersuci.*Penggunaan bejana emas dan perak.*Hukum berwuduk. *Hukum istinja. *Adab melakukan qada hajat.*Yang membatalkan wuduk. *Wajib mandi dan fardu mandi.*Menyapu khof (moza). *Hukum tayamum. *Najis dan cara menghilangkannya.*Hukum haid, nifas dan istihadah. *Orang yang tiada dua pencuci (

فاقد الطَّهورَين). 

Bab solat jamak dan qasar (4 fasal) : Hukum solat jamak dan qasar.*Solat jamak ketika safar dan ketika hujan .*Jamak Asar bersama Jumaat. *Jamak takdim ketika hujan. 

Bab Solat Ketakutan. 

Bab Penggunaan Alkohol (2 fasal) : Penggunaan wangian yang bercampur alkohol. *Beberapa fatwa para ulama dahulu dan kini. 

 

Mathla’ An-Majmain (2) Membicarakan Ibadat Puasa, Zakat, Haji & Umrah. Kitab ini mengandungi lima bab ibadat iaitu; 

Bab Puasa - antara yang disentuh ialah syarat-syarat sah puasa, yang membatalkan puasa, orang yang harus berbuka, kifarat puasa dan fidyah. Pada iktikaf disentuh rukun-rukun dan syarat-syarat sah iktikaf. 

Bab Zakat --antara yang disentuh ialah ; orang yang wajib mengeluarkan zakat, jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat, nisab zakat, zakat fitrah dan orang yang berhak menerima zakat. 

Bab Haji dan Umrah - Antara yang disentuh ialah syarat-syarat wajib haji, miqat haji dan umrah, rukun-rukun haji dan umrah, syarat-syarat tawaf dan sai’i, wajib-wajib haji dan umrah, ihram haji dan umrah, tawaf wida’, dam (fidyah) dan sekatan. 

Bab Korban - disentuh tentang syarat-syarat sah korban, binatang yang patut dibuat korban dan hukum daging korban. 

Semoga bermanfaat.


Thursday, May 20, 2021

al-Anwar al-Saniyyah 'ala al-Durar al-Bahiyyah


Kitab al-Anwar al-Saniyyah ‘ala al-Durar al-Bahiyyah (لأنوار السنية على الدرر البهية) merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Qudus bin Abdul Qadir al-Khathib (1280-1335/1863-1917), seorang ulama asal Nusantara (Indonesia) yang terkenal di Makkah al-Mukarramah pada zamannya.

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Durar al-Bahiyyah fiima yalzamu al-Mukallaf min al-‘ulum al-syar’iyyah  (الدرر البهية فيما يلزم المكلف من العلوم الشرعية), iaitu sebuah kitab yang disusun oleh Syaikh al-‘Allamah Abu Bakr Utsman bin al-‘Arif Billah Sayyid Muhammad Zainuddin Syatha al-Dimyathi al-Syafi’i.

Syaikh Abu Bakr bin Muhammad Syatha al-Dimyathi (أبي بكر بن محمد شطا الدمياطي)  dilahirkan pada tahun 1266H/1850M dan wafat tahun 1310H/1893M. Beliau merupakan  seorang guru yang terkenal di Masjid al-Haram Makkah dan salah seorang murid al-‘Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan Mufti al-Syafi’iyyah di Makkah al-Mukarramah pada zamannya.

Kitab al-Anwar al-Saniyyah pula telah diberikan huraian (hasyiah) oleh Dr al-Nu'man al-Syawi dengan karyanya yang berjudul Hasyiah al-Aliy al-Mudhiyyah 'ala al-Anwar al-Saniyyah ( حاشية الآلي المضية علي الأنوار السنية ).

Kitab al-Anwar al-Saniyyah dan kitab al-Durar al-Bahiyyah boleh dimuat turun di pautan https://ia801005.us.archive.org/0/items/Figh16000/Figh17525.zip  (  لأنوار السنية على الدرر البهية  ( dan   https://ia800703.us.archive.org/24/items/feqh-02/1325-.zip     )  الدرر البهية  (.

Semoga bermanfaat,