Tuesday, January 22, 2019

Rahmat Allah Disebalik Perbezaan Mazhab



Buku Rahmat Allah Disebalik Perbezaan Mazhab merupakan sebuah karya terjemahan dari sebuah kitab berjudul Jazilah al-Mawahib Fi Ikhtilaf al-Mazahib (جزيلة المواهب في إختلاف المذاهب), iaitu sebuah karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi al-Syafi’i (847-911H). Manakala terjemahannya dalam Bahasa Malaysia diusahakan oleh Ustaz Muhammad Fadli Ismail dan diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, dengan cetakan pertamanya pada tahun 1996. Isi kandungan buku ini merangkumi 71 halaman.

Dalam buku ini Imam al-Suyuthi menerangkan kewujudan rahmat Allah SWT disebalik perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan umat Islam, khususnya di kalangan para Sahabat, para Imam Mujtahid dan mazhab-mazhab umat Islam.

Perbezaan pendapat yang berlaku dalam persoalan yang membabitkan ilmu fiqh sememangnya merupakan perkara biasa di kalangan umat Islam. Walaupun tidak dinafikan terdapat imbasan atau kesan negatif disebabkan perbezaan pendapat para fuqaha itu, tetapi kesan atau impak positifnya ke atas umat Islam sejagat adalah lebih meluas. Keadaan yang demikian pada hakikatnya lebih mendorong dan membawa pertumbuhan dan perkembangan ketamadunan ilmu sehingga ke seluruh dunia.

Buku ini dimulai dengan Prakata Penterjemah (ha. 1-5) dan Biografi Ringkas al-Imam al-Suyuthi (hal. 6-9).Berikut dilampirkan isi kandungan buku ini;

A. Terjemahan kitab Jazilah al-Mawahib ini dimulai dengan Muqaddimah Penyusun (Imam al-Suyuthi) (hal. 10-14). Perbincangan isi kitab ini kemudian dibahagikan kepada 6 bab (hal. 15-51), iaitu;

1.       Rahmat Di Sebalik Perbezaan.
2.      Perselisihan Di Kalangan Para Sahabat.
3.      Setiap Mujtahid Adalah Benar.
4.      Hukum Berpindah Dari Satu Mazhab Ke Mazhab Lain.
5.      Kelebihan Mazhab Syafie[1].
6.      Senarai Para Ulama Yang Pernah Menukar Mazhab.

B.   Lampiran (Tambahan Penterjemah);

1.       Sebab Berlakunya perbezaan Mazhab (hal. 53-59).
2.      Mengapa Bermazhab (hal.60-71).

Buku edisi arabnya,  boleh dimuat turun di pautan جزيلة المواهب في إختلاف المذاهب / 

Semoga bermanfaat.



[1] Berdasarkan  versi arabnya,  bab ini masih kandungan dari bab sebelumnya. Penterjemah telah membuat bab tambahan  yang berasingan dari bab asalnya. Lihat جزيلة المواهب في إختلاف المذاهب, terbitan Daral-I’tisham (hal. 45-52)

Sunday, January 20, 2019

Pesan Maha Kasih Dalam Kisah



Buku Pesan Maha Kasih Dalam Kisah merupakan sebuah karya yang diterjemah dan disadur dari sebuah kitab tafsir terkenal masa kini, iaitu Tafsir al-Sya’rawi. Dalam buku ini, mengandungi himpunan tafsir atau huraian yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi (1911-) terhadap beberapa ayat al-Quran yang mengandungi kisah-kisah sebagai pengajaran bagi manusia. Buku ini disusun dan diolah kembali dari kitab tafsir induknya oleh H. Zainal Ariffin MA dan H. Abu Ezzat Al-Mubarak MA. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Jiwa Sdn. Bhd, Kuala Lumpur dengan cetakan pertamanya pada tahun 2008. Ketebalan buku ini merangkumi 693 halaman.

Buku Pesan Maha Kasih Dalam Kisah ini sangat menarik untuk dibaca, kerana ia mengandungi kisah-kisah yang bermanfaat sebagai pengajaran dan teladan bagi manusia yang disampai secara langsung oleh Allah dalam al-Quran. Dalam kisah-kisah ini tercermin kasih sayang Allah SWT yang tiada tara terhadap para hamba-Nya.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada 4 bahagian;

1)      Pesan Maha Kasih Dalam Surah al-Baqarah (9 Kisah)
2)     Pesan Maha Kasih Dalam Surah Ali ‘Imran (7 Kisah)
3)     Pesan Maha Kasih Dalam Surah al-Nisa’ al-Maidah dan al-An’am (6 kisah)
4)     Pesan Maha Kasih Dalam Surah al-A’raf (15 ksah).

Semoga bermanfaat.


Kursus Qari dan Qariah



Buku Kursus Qari dan Qariah merupakan sebuah karya dalam bidang tajwid dan pembacaan al-Quran yang disusun oleh al-Fadhil Tuan Haji Abdullah al-Qari bin Haji Salleh (1937-), seseorang karyawan dan ilmuan agama yang terkenal di negeri Kelantan. Buku ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Pustaka Aman Press pada tahun 1982. Ketebalan buku ini merangkumi 236 halaman. Buku ini kerap diulang cetak oleh penerbit yang sama beberapa kali, namun saya tidak pasti cetakan terakhirnya. Dalam koleksi saya ada senaskhah buku ini yang diterbitkan pada tahun 2002 ( cetakan ke 26 ).

Kandungan buku ini dibahagikan kepada dua topik utama iaitu:

1. Membicara hal berkaitan dengan Tajwid al-Quran.

2. Membicara hal berkaitan teknik bacaan al-Quran.

Perbincangan mengenai seni bacaan al-Quran atau tarannum secara khusus dalam buku ini dapat dilihat pada topik yang kedua sahaja yang bermula daripada halaman 161 hingga 178 di mana terdapat dua sub-topik berkaitan dengannya iaitu:

1.       Membaca Quran dengan berlagu.

Dalam sub-topik ini penulis banyak membawakan hadith-hadith berkaitan dengan keharusan membaca al-Quran dengan berlagu dari pelbagai sumber rujukan disamping petikan beberapa ayat al-Quran yang bersesuaian dengan perkara yang diperbahaskan. Selain itu pandangan para ulama juga turut dimuatkan yang merangkumi pandangan fuqaha, muhadithin dan mufassirin dalam membicarakan hukum membaca al-Quran secara berlagu dari perspektif Islam. Selain itu Tuan Haji Abdullah al-Qari turut menyatakan kesan dan pengaruh lagu dalam pembacaan alQuran.

2.      Disekitar lagu-lagu Quran.

Sub-topik ini merupakan yang keenam dalam topik yang kedua di mana Tuan Haji Abdullah al-Qari memuatkan beberapa aliran lagu yang masyhur dalam pembacaan al-Quran seperti aliran Hijazi dan aliran Misri. Karya ini juga turut menjelaskan tingkatan suara yang bersesuaian dengan setiap lagu yang hendak dibaca supaya dapat menggambarkan pengertian atau maksud kandungan ayat-ayat al-Quran menjadi matlamat pengibadatan kepada Allah S.W.T.

Bagi melengkapkan lagi karya beliau ini, Tuan Haji Abdullah al-Qari telah menyusun karya yang lain yang berjudul Lanjutan Kursus Qari' dan Qariah. Buku ini telah diterbitkan sendiri oleh beliau melalui syarikatnya Pustaka ASA pada tahun 1988. Ketebalan buku ini merangkumi 82 halaman.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 16, 2019

Panduan Shalat Lengkap



Buku Panduan Shalat Lengkap : Tata Cara Shalat Sesuai Tuntunan Rasulullah merupakan sebuah karya terjemahan dalam bahasa Melayu (Indonesia) bagi Kitab al-Shalah (كتاب الصلاة), iaitu satu bahagian yang khusus membicarakan tatacara ibadat solat dari karya agung al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H) yang berjudul al-Umm (الأم). Buku ini diterjemahkan oleh Abdul Rosyad Shiddiq dan diterbitkan oleh Khatulistiwa Press, Jakarta. Ketebalan buku ini merangkumi 349 halaman (tidak termasuk halaman daftar isi, pengantar penerbit dan biografi singkat Imam Syafi’i).

Sebagaimana karya-karya para ulama silam yang lainnya, isi kitab al-Umm merupakan kumpulan tulisan dan pendapat Imam al-Syafi’i mengenai bidang fiqh yang telah diriwayatkan, ditulis atau dicatat oleh para murid beliau. Oleh itu, dalam kitab asalnya terdapat banyak dipermulaan ayatnya perkataan ‘al-Syafi’i berkata (قال الشافعي), ‘al-Rabi’ berkata (قال الربيع)’ dan sebagainya. Namun begitu, dalam penyusunan kembali buku ini, penterjemah telah membuat beberapa pengubahsuaian bagi memudahkan para pembaca, di mana perkataan-perkataan dipermulaan ayat tersebut telah dibuangkan dari teks terjemahan ini, tanpa merubahkan isi kandungan kitab asalnya. Oleh itu, penyusunan buku ini, seolah-olah ditulis secara langsung oleh Imam Syafi'i sebagaimana penyusunan buku-buku yang diterbitkan pada masa kini.

Buku ini menuntun kita untuk dapat solat secara sempurna, dengan mengikuti aturan-aturan yang telah ditetapkan secara rinci oleh Allah dan Rasul-Nya. Di mana  Rasulullah saw. secara tegas memerintahkan kepada umatnya untuk mengerjakan solat seperti yang baginda lakukan. Solat yang berbeza dengan yang baginda lakukan adalah tertolak.

Berbeza dengan buku panduan solat lainnya yang banyak beredar dalam masyarakat, buku ini ditulis oleh Imam al-Syafi’i, iaitu salah seorang imam mazhab dan seorang tabi'it tabi'in, yang masa hidupnya tidak terlalu jauh dari masa hidup Rasulullah saw. sendiri. Beliau mengamati langsung para ulama dan warga Makkah dan Madinah solat pada masa itu, juga hadits-hadits tentang solat yang banyak beredar di kalangan ulama dua kota suci tersebut.

Berikut dilampirkan isi kandungan buku ini, yang dibahagikan kepada 22 bab;

Bab 1: Dasar Rakaat Shalat Fardu
Bab 2: Orang Yang Shalat
Bab 3: Waktu Shalat
Bab 4: Menjamak Shalat
Bab 5: Shalah Orang Sakit
Bab 6: Azan dan Iqamat
Bab 7: Pakaian Orang Yang Shalat
Bab 8: Tempat yang Boleh dan Tidak Boleh digunakan untuk Shalat.
Bab 9: Menghadap Kiblat
Bab 10: Gerakan dan Bacaan Shalat, Dari niat sampai Salam
Bab 11: Sujud Sahwi
Bab 12: Sujud Tilawah dan Sujud Syukur
Bab 13: Shalat Witir Minimal satu Rakaat
Bab 14: Waktu-waktu Yang Dimakruhkan Untuk Shalat
Bab 15: Shalat Jamaah
Bab 16: Shalat Orang Musafir
Bab 17: Shalat Jumaat
Bab 18: Shalat Khauf
Bab 19: Shalat Idul Fitri dan Idul Adha
Bab 20: Shalat Gerhana Matahari
Bab 21: Shalat Minta Hujan
Bab 22: Shalat Jenazah.

Semoga bermanfaat.

Monday, January 14, 2019

Munyatul Musolli Versi Bahasa Malaysia


Buku Munyatul Musolli Versi Bahasa Malaysia ini adalah sebuah karya terjemahan (pengubahsuaian) dari bahasa Melayu Klasik (Patani) ke dalam Bahasa Malaysia bagi kitab Munyatul Musolli (منية المصلي) karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, seorang ulama terkenal di Nusantara. Usaha penyusunan kembali kitab ini dilakukan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Ramzi bin Omar. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Ilmuan, Selangor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2015.

Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan petikan “Kata Penterjemah”nya;

Kitab berjudul Munyatul Musolli yang Melengkapi Masail al-Durar waa al-La'ali (Dambaan Orang yang Solat yang Melengkapi Masalah-Masalah Bak Batu-Batu Permata dan Mutiara) merupakan kitab yang terkenal dalam kalangan masyarakat Islam di Nusantara. Walaupun ia merupakan kitab yang kecil saiznya berbanding sekian banyak kitab-kitab lain yan dikarang oleh Syeikh Daud al-Fatani, namun manfaatnya tersebar luas merentasi tempat dan masa. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Syeikh Daud al-Fatani merupakan salah seorang ulama yang membentuk hala tuju masyarakat Islam Malaysia dan Nusantara dalam menghayati amalan keagamaan mereka.

Kitab ini pada asalnya ditulis dalam bahasa Melayu Klasik sesuai dengan bahasa penulisan pada zaman Syeikh Daud. Justeru, ia agak sukar difahami oleh kebanyakan pembaca melainkan mereka yang terbabit secara langsung dalam pengajian kitab-kitab jawi klasik. Penterjemah (penyusun) merupakan di antara sekian ramai umat Islam di Malaysia yang mengambil manfaat daripada kitab terbabit, sama ada melalui pembelajaran mahu pun pengajaran. Pengalaman mengajar kitab tersebut kepada masyarakat mencetuskan inspirasi untuk membuat beberapa catatan kepada sesetengah isi kandungannya sebagai membantu menambahkan lagi kefahaman terhadap kitab  tersebut.

Catatan-catatan yang dibuat dimasukkan dalam bentuk nota kaki merangkumi ulasan sesetengah hukum-hukum feqah yang berkaitan, pengenalan kepada beberapa orang tokoh ulama yang disebutkan dalam kitab ini, serta sumber rujukan terhadap beberapa isi kandungan yang dirasakan perlu seperti sumber-sumber hadith dan rujukan kitab-kitab  yang berkaitan.

Dalam usaha mencatatkan beberapa fakta sebagai pencerahan kepada kitab ini, maka penyusun merasakan kitab ini perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia demi memudahkan lagi kefahamannya di kalangan pembaca. Justeru, apa yang ada pada tatapan pembaca merupakan naskah Munyatul Musolli yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, di samping beberapa pencerahan melalui nota-nota kaki yang dimasukkan.

Selain daripada itu, demi mengekalkan keaslian kitab terbabit maka kami sertakan versi asal kitab tersebut dalam tulisan jawi yang dimuatkan dibahagian belakang buku ini. Walaupun begitu, sistem tulisan jawinya ditukarkan kepada sistem ejaan jawi moden, namun lenggok bahasa atau uslubnya tetap kekal seperti bahasa asalnya.

Selain kitab Munyatul Musolli, dalam buku ini juga dilampirkan bersama sebuah karya Syeikh Daud al-Fatani yang lain yang berjudul Bahjatul Mardhiah. Kitab ini juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia daripada bahasa asalnya.

Buku ini perlu dimiliki dan menjadi bahan bacaan rujukan umat Islam, khususnya mereka yang sedang mentela’ah dan mempelajari isi kandungan kitab Munyatul Musolli. Buku ini boleh menjadi panduan yang berguna untuk memahami isi kandungan kitab Munyatul Musolli dengan lebih jelas dan tepat. 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 9, 2019

Ensiklopedia Hukum Wanita dan Kekeluargaan


Buku Ensiklopedia Hukum Wanita dan Kekeluargaan: Kajian Mendalam Masalah Wanita & Keluarga Dalam Perspektif Syariah Islam merupakan sebuah buku terjemahan bagi  kitab al-Mufashshal Ahkam al-Mar-ah wa al-Bayt al-Muslim Fi Syari’ah al-Islamiyyah (المفصل في أحكام المرأة و البيت المسلم في الشريعة الإسلامية). Kitab ini  merupakan sebuah kitab fiqh semasa yang disusun oleh seorang tokoh ulama fiqh dan pemikir Islam terkenal yang berasal dari negara Iraq, iaitu al-‘Allamah Syaikh Dr. Abdul Karim Zaidan (1917-2014).

Sebagaimana judulnya, kitab fiqh ini membincangkan permasalahan hukum yang khusus tentang fiqh wanita. Kalau kita telurusi lebih mendalam, sebenarnya kitab ini merupakan karya ilmu fiqh yang cukup lengkap, mulai dari urusan thaharah (bersuci) sampai urusan yang paling luas seperti pentadbiran negara, jihad dan seterusnya.

Terjemahan asal buku ini diterbitkan oleh Rabbani Press, Jakarta, Indonesia dengan judul Ensiklopedi Hukum Wanita dan Keluarga: Studi Terperinci Masalah Kewanitaan dan Keluarga Dalam Perspektif Hukum Islam. Manakala bagi edisi terbitan di Malaysia, ia diterbitkan oleh Pustaka Dini, Selangor (2007). Sebagaimana edisi Indonesia, edisi terbitan Pustaka Dini ini diterbitkan dalam 3 jilid.

Sebenarnya edisi terjemahan ini hanyalah terjemahan bagi bahagian (kitab) pertama kitab al-Mufashshal, iaitu kitab Ibadat. Sedangkan kitab asalnya ia dibahagikan kepada 9 bahagian (kitab) dan diterbitkan dalam 11 jilid.

Berikut adalah pembahagian kandungan buku terjemahan ini;

a)     Jilid 1:  Mengandungi bab 1: Solat (442 halaman).
b)  Jilid 2: Mengandungi 2 bahagian; iaitu Bab 2: Zakat,  dan Bab 3: Puasa (322 halaman).
c)      Jilid 3: Mengandungi bab 4: Haji (299 Halaman).

Sekadar pencarian saya, sama ada di kedai-kedai buku atau laman sesawang saya belum menjumpai maklumat atau buku terjemahan lengkap bagi kitab al-Mufashshal karya Syaikh Dr Abdul Karim Zaidan ini.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 2, 2019

Muqaddimah Ibnu al-Shalah (مقدمة ابن الصلاح)


Kitab Muqaddimah Ibnu al-Shalah (مقدمة ابن الصلاح) atau judul asalnya Ma’rifah Anwa’ ‘Ulum al-Hadis (  معرفة أنواع  علوم الحديث ) adalah sebuah kitab utama dalam bidang Mustalah al-Hadith yang disusun oleh al-Imam al-Hafizh Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H), yang terkenal dengam gelaran Ibn al-Shalah.

Kandungan kitab al-Muqaddimah ini terdiri daripada 65 bab yang membahas hal-hal berkenaan dengan hadis. Di mana 33 bab yang pertama menjelaskan berbagai istilah  dalam terminologi hadis yang memaparkan keadaan atau keontetikan hadis. Bab-bab berikutnya membahas tentang isnad/sanad (rantai periwayatan hadis). Juga dibahas mengenai etika seorang ahli hadis dan adab dalam mentranskripsi hadis. Bab terakhir membahas berbagai hal lain berkenaan dengan perawi hadis dan kaedah penamaan.

Pada awalnya Ibnu al-Shalah menyusun kitab Muqaddimah-nya ini sebagai sebahagian daripada modul kuliah Ilmu hadis kepada murid-murid beliau di Damsyik hingga tahun 1233M. Modul ini kemudian menerima banyak perhatian dari para ulama terkemudian. Di mana mereka telah menyusun kitab-kitab huraian dan ringkasan, atau menyusunnya kembali dalam bentuk nazam (syair). Kitab ini menjadi panutan (ikutan/rujukan) bagi buku-buku yang terbit setelahnya dalam pembahasan ilmu hadis.

Berikut adalah antara kitab-kitab ringkasan bagi kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah;

1.       al-Irsyad (الإرشاد), karya Imam Abu Zakariyya al-Nawawi.
2.      al-Taqrib (التقريب), karya Imam al-Nawawi (ringkasan al-Irsyad)
3.   Ikhtishar ‘Ulum al-hadis (اختصار علوم الحديث), karya al-Hafizh Ismail bin Umar Ibn Katsir
4.      Al-Khulashah (الخلاصة), karya al-Thayyibi.
5.      Al-Manhal al-Rawi (المنهل الروي), karya Badruddin bin Jama’ah.
6.      Al-Muqna’ (المقنع), karya Ibn al-Mulaqqan.
7.      Nukhbah al-Fikr fi Mustalah Ahl al-Athar, karya Ibn Hajar al-‘Asqalani

Lain-lain kitab yang berkaitan dengan Muqaddimah Ibn al-Shalah;

1.  Muhasin al-Ishthlilah (محاسن الاصطلاح  ), karya Syaikhul Islam al-Bulqini. Dalam kitab ini dilampirkan kandungan kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah.
2.  Al-Nukat ‘ala Muqaddimah Ibn al-Shalah (النكت على مقدمة ابن الصلاح), karya al-Zarkasyi.
3.  Al-Tqyid wa al-Iydhah Lima Uthlaq wa Ughlaq min kitab Ibn al-Shalah (التقييد والإيضاح لما أطلق وأغلق من كتاب ابن الصلاح), karya al-Hafizh Zaynuddin Abdul Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi.
4.     Alfiyyah al-Hadis (ألفية الحديث), karya al-Hafizh Abdul Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi. Kitab ini kemudiannya diberikan huraian oleh beliau sendiri melalui karyanya yang lain.
5.    Al-Nukat ‘ala Muqaddimah Ibn al-Shalah (النكت لابن حجر على مقدمة ابن الصلاح), karya Ibn Hajar al-‘Asqalani.
6.  Nuzhah al-Nazar, karya Ibn Hajar al-‘Asqalani. Kitab ini adalah huraian bagi kitabnya yang berjudul Nukhbah al-Fikr fi Mushtalah Ahl al-Athar, yang merupakan ringkasan kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah.
7.      Tadrib al-Rawi (تدريب الراوي), karya al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi. Kitab ini adalah huraian (syarah) bagi kitab al-Taqrib, karya Imam al-Nawawi.

Kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah ini boleh dimuat turun di pautan http://waqfeya.com/book.php?bid=2862 atau https://archive.org/details/molsalPDF


Rujukan


Semoga bermanfaat.

Sunday, December 30, 2018

AL-MUQADDIMAH (المقدمة)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang terkenal di kalangan ulama sebagai al-Muqaddimah (المقدمة). Insya Allah akan ditambah lagi  kitab-kitab lain. Semoga bermanfaat.

1. al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah Fi Fiqh al-Sadat al-Syafi-‘iyyah (المقدمة الحضرمية في فقه السادة الشافعية) adalah merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). Kitab ini juga dikenali dan disebut dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’iyyah dengan judul yang lain, iaitu Masa-il al-Ta’lim (مسائل التعليم), Muqaddimah Bafadhal (بافضل مقدمة) atau Mukhtashar Bafadhal (مختصر بافضل) dan al-Mukhtashar al-Kabir (المختصر الكبير). Baca lagi ...

2.   Muqaddimah Ibn Khaldun (مقدمة ابن خلدون) adalah sebuah karya terkenal al-Allamah Ibnu Khaldun atau nama penuhnya Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun (1332-1406M). Kitab ini sebenarnya merupakan sebuah muqaddimah (pengantar) bagi kitab karya Ibn al-Khaldun yang lebih besar yang berjudul al-'Ibrar, wa Diwan al-Mubtada' wa al-Khabar, fi Ayyam al-'Arab wa al-'Ajam wa al-Barbar, wa man Asharuhum min Dzawi  al-Sulthan al-'Akbar. Uniknya, pengantar kitab inilah yang justru lebih dikenali berbanding dengan buku aslinya. Buku pengantar yang berjudul al-Muqaddimah ini menjadikan nama Ibnu Khaldun begitu harum. Baca lagi...

3.   Muqaddimah Fath al-Bari (مقدمة فتح الباري) atau judul asalnya Hadyu al-Sari (هدي الساري) merupakan pengantar bagi kitab Fath al-Bariy bi Syarh Shahih al-Bukhari ( فتح الباري في شرح صحيح البخاري ), karya al-Imam al-Hafizh Abu al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar al-‘Asqalani al-Mishri (773-852H). Kitab Fathul Bari pula adalah kitab syarah (huraian) bagi kitab Shahih al-Bukhari yang paling baik dan paling lengkap. Baca lagi....

4.  Muqaddimah al-Zahidi (مقدمة الزاهدي)  atau lebih dikenali dengan judul al-Sittin Mas-alah (الستين مسألة) merupakan satu kitab fiqh mazhab Syafi’i yang ringkas, yang menghimpunkan enam puluh masalah agama yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Alim Abu al-‘Abbas Ahmad al-Zahid (819H), seorang  yang terkenal dengan kesalihannya dan banyak beribadat. Baca lagi....

5.  al-Muqaddimah fi al-Fiqh (المقدمة في الفقه) merupakan sebuah karya fiqh yang ringkas yang disusun berdasarkan Mazhab al-Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (849-911H). Baca lagi...

6.  Muqaddimah Ibnu al-Shalah (مقدمة ابن الصلاح) atau judul asalnya Ma’rifah Anwa’ ‘Ulum al-Hadis (  معرفة أنواع  علوم الحديث ) adalah sebuah kitab utama dalam bidang Mustalah al-Hadith yang disusun oleh al-Imam al-Hafizh Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H), yang terkenal dengam gelaran Ibn al-Shalah. Baca lagi...

7.  Kitab al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المقدمة الجزرية) adalah sebuah karya Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusuf al-Jazari al-Syafi’i (833H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu al-Jazari. Kitab yang disusun dalam bentuk bait-bait syair ini merupakan salah satu karya utama di dalam disiplin ilmu Tajwid. Baca lagi... 

    8.       

    9.       


Wednesday, December 19, 2018

Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan


Kitab Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan (غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Syamsuddin Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad Syihabuddin al-Ramli al-Munufi (919-1004 H).

Kitab Ghayah al-Bayan ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi matan fiqh yang terkenal, iaitu Matn al-Zubad (متن الزبد), yang juga dikenali dengan judul Manzhumah Shafwah al-Zubad atau Alfiyyah al-Zubad fi al-Fiqh al-Syafi’i. Sedangkan Matan Zubad adalah hasil karya Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Husain bin Hasan bin ‘Ali bin bin Ruslan al-Ramli al-Maqdisi al-Syafi’i (753H -844H).

Kitab Ghayah al-Bayan ini boleh dimuat turun di pautan غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان

Kitab ini juga boleh dibaca secara  atas talian (online)  di pautan غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان.


Semoga bermanfaat.

Saturday, December 15, 2018

Ringkasan Riyadhus Shalihin


Buku yang ingin dikongsikan bersama pembaca kali ini adalah sebuah buku yang berjudul Ringkasan Riyadhus Shalihin, yang diterbitkan oleh Syarikat Telaga Biru Sdn.  Bhd (cetakan 1/2018).

Kitab Riyadhus Shalihin (رياض الصالحين), ialah himpunan hadis yang disusun oleh seorang tokoh ulama besar dalam mazhab Syafi‘i iaitu Imam al-Hafizh Syeikhul Islam Muhyiddin Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) - yang lebih dikenali sebagai Imam al-Nawawi. Kitab ini menjadi rujukan dan kajian umat Islam seluruh dunia.

Manakala buku Ringkasan Riyadhus Shalihin ini  pula merupakan terjemahan bagi kitab ringkasan kitab Riyadhus Shalihin  yang berjudul Tahzib al-Nufus fi Tartib al-Durus (تهذيب النفوس في ترتيب الدروس), karya   Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabhani (1265-1350H/1849-1932M).

Kitab ini mengandungi ayat al-Quran dan hanya himpunan hadis sahih dan hasan yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim sahaja. Susunannya merangkumi hal-hal perundangan dalam agama yang membicarakan masalah akidah, syariah dan akhlak.

Semoga bermanfaat