Wednesday, September 19, 2018

HIDAYAH (هداية)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang dimulai dengan perkataan Hidayah (هداية). Insya Allah akan ditambah lagi  kitab-kitab yang lain. Semoga bermanfaat.

1)  Kitab Hidayah al-Salikin atau nama lengkapnya “Hidayah al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin” (هداية السالكين في سلوك مسلك المتقين) dan terjemahan judulnya “Pedoman Bagi Orang Yang Berjalan Pada Perjalanan Orang Yang Takut Akan Allah Ta‘ala”. Ia merupakan sebuah karya yang dihasilkan oleh seorang tokoh ulama Melayu terbilang iaitu Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani ketika beliau berada di Makkah. Kitab ini merupakan terjemahan dan huraian dalam bahasa Melayu bagi kitab Bidayatul Hidayah, karya al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H). Baca lagi..

2)  Kitab Hidayah al-Muta’allim wa ‘Umdah al-Mu’allim (هداية المتعلم وعمدة المعلم). Ia merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang lengkap meliputi bidang ibadat ibadah, munakahat, mu’amalat dan iinayat yang dikumpulkan dalam satu kitab. Kitab ini disusun oleh Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani, seorang ulama Melayu yang terkenal di Makkah pada zamannya. Baca lagi..

3)   Kitab Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (هِدَايَةُ الصِّبْيَانِ فِى مَعْرِفَةِ اْلإِسْلاَمِ وَاْلإِيــْمَانِ). Ia merupakan sebuah karya mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang disusun Syaikh Abu ‘Abdullah Husain Nashir bin Muhammad Thayyib al-Mas’udi al-Banjari (1863-1936M), yang mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.  Baca lagi..

4)  Kitab al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi (الهداية شرح بداية المبتدي). Ia merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Hanafi yang disusun oleh Imam Burhanuddin Abul Hasan Ali bin Abu Bakar al-Marghinani (530-593H). Kitab ini disusun sebagai huraian bagi sebuah karya beliau sendiri yang berjudul Bidayah al-Mubtadi ( بداية المبتدي). Kitab ini boleh dimuat turun di pautan http://waqfeya.com/book.php?bid=5009.

5)      

GHAYAH (غاية)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang dimulai dengan perkataan Ghayah  (غاية). Insya Allah akan ditambah lagi  kitab-kitab lain. Semoga bermanfaat.

1)   Kitab al-Ghayah fi Ikhtishar al-Nihayah (الغاية في اختصار النهاية ). Ia adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  Sulthanul ‘Ulama’ Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdul Salam (660H). Kitab al-Ghayah ini disusun sebagai ringkasan bagi kitab Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب ), karya al-Imam Abu  al-Ma'ali 'Abdul Malik bin 'Abdullah bin Yusuf bin Muhammad bin 'Abdullah al-Juwaini al-Naisaburi (419-478H). Baca lagi..

2)    Kitab al-Ghayah al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa (الغاية القصوى في دراية الفتوى). Ia adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Qadhi al-Qudhat Nashiruddin Abdullah bin Umar bin Muhammad bin Ali al-Baydhawi al-Syairazi (685H). Kitab al-Ghayah al-Qushwa ini asalnya disusun oleh al-Baydhawi sebagai ringkasan (mukhtashar) bagi kitab al-Wasith fi al-Mazhab, karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H). Namun begitu, kitab al-Ghayah al-Qushwa bukan sekadar ringkasan kitab al-Wasith, bahkan penyusunnya telah membuat beberapa penambahan dan penilaian terhadap beberapa permasalahan yang disebutkan dalam kitab al-Wasith. Baca lagi..

3)  Kitab al-Ghayah wa al-Taqrib (الغاية والتقريب) atau Matan Abi Syujaa’ (). Ia merupakan sebuah  matan fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun Imam Abu Syuja’ Ahmad bin al-Husain al-Asfahani (433-493H). . Baca lagi..

4)    Kitab Ghayah al-Maram fi Syarh Syuruth al-Ma’munm wa al-Imam (غاية المرام في شرح شروط المأموم والإمام) adalah sebuah karya fiqh yang disusun khusus mengenai syarat-syarat makmum dan imam dalam pelaksanaan solat berjemaah berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Munufi (919-1004H), sebagai huraian (syarah) bagi karya bapa beliau al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli (957H) yang berjudul Syuruth al-Ma’mun wa al-Imam (شروط المأموم والإمام). Baca lagi..

5)     Kitab al-Ghayah fi Syarh al-Hidayah fi ‘Ilm al-Riwayah (الغاية في شرح الهداية في علم الرواية) merupakan sebuah karya mengenai ilmu hadis yang disusun oleh al-Imam al-Hafizh Syamsuddin al-Sakhawi al-Syafi’i (831-902H).  Kitab al-Ghayah ini disusun sebagai huraian bagi kitab al-Hidayah fi ‘Ilm al-Riwayah (الهداية في علم الرواية), iaitu sebuah kitab yang disusun dalam bentuk nazam oleh al-Imam al-Hafizh Ibn al-Jazari (751-833H). Baca lagi.. 

6)   Kitab Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan (غاية البيان في شرح زبد ابن رسلان) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Syamsuddin Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad Syihabuddin al-Ramli al-Munufi (919-1004 H). Kitab Ghayah al-Bayan ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi Matn al-Zubad (متن الزبد), iaitu sebuah matan fiqh karya Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Husain bin Hasan bin ‘Ali bin bin Ruslan al-Ramli al-Maqdisi al-Syafi’i (753H -844H). Baca lagi…

7)   Kitab Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram  (غاية المرام في تخريج أحاديث الحلال والحرام) merupakan sebuah karya al-Muhaddits Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (), seorang ulama hadis yang terkenal masa kini. Kitab ini disusun secara khusus bagi meneliti status hadits-hadits yang dimuatkan oleh al-‘Allamah Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam karya beliau yang terkenal, iaitu kitab  al-Halal wa al-Haram (الحلال والحرام). Baca lagi....

Tuesday, September 18, 2018

al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية‎)


Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية) atau juga dikenali sebagai Tarikh Ibnu Katsir (تاريخ ابن كثير) adalah sebuah karya dalam bidang sejarah yang disusun oleh al-Hafizh Imaduddin Abu al-Fida Ismail bin Umar bin Katsir al-Quraisyi al-Bashri al-Dimasyqi, al-Syafi'i (774 H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu Katsir.

Kandungan kitab ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu;

a)  Bahagian pertama menyentuh sejarah awal penciptaan alam semesta, langit dan bumi, malaikat, manusia pertama, kemudian kisah para nabi dan umat-umat terdahulu hingga sejarah hidup Nabi Muhammad saw (dari lahir hingga kewafatan baginda). Bahagian ini bersumberkan al-Quran, Hadis dan karya para sejarawan Islam yang terkemuka seperti Imam al-Tabary, al-Waqidiy dan lain-lain lagi.        

b)   Bahagian kedua kitab ini mencatatkan sejarah pemerintahan Khulafa al-Rashidin, Kerajaan Umawiyyah, Kerajaan Abasiyyah dan kerajaan serta negara-negara yang merupakan pecahan daripada kerajaan Abasiyyah pada era keruntuhannya, sehingga ke saat ia ditakluki oleh Moghul yang berlanjutan ke tahun 774 Hijrah.

c)  Bahagian terakhir kitab ini pula mengutarakan mengenai peristiwa yang akan terjadi di akhir zaman seperti tanda-tanda datangnya kiamat, perjalanan di alam barzakh, kebangkitan kembali pada hari akhirat dan mengenai surga dan neraka. Kisah-kisah yang dipaparkan berdasarkan dari al-Quran dan hadits Nabi saw. Kitab ini diakhiri dengan kata-kata nasihat yang mengajak pembaca bertakwa kepada Allah S.W.T.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuk bahasa Melayu dan Indonesia.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Maktabah al-Ma’arif, Beirut, kitab ini telah diterbit dalam 15 jilid. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan البداية والنهاية‎ atau البداية والنهاية‎.

Semoga bermanfaat.

BIDAYAH (ﺑﺪﺍﻳﺔ)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang dimulai dengan perkataan bidayah (ﺑﺪﺍﻳﺔ). Insya Allah akan ditambah lagi  kitab-kitab lain. Semoga bermanfaat.

1.  Kitab Bidayatul Hidayah (ﺑﺪﺍﻳﺔ ﺍﺪﺍﻳﺔ). Ia merupakan sebuah karya dalam bidang tasawuf yang disusun oleh Hujjatul islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H). Kitab ini dianggap sebagai ringkasan atau intipati kepada kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin (احياء علوم الدين), karya teragung Imam al-Ghazali sendiri. Baca lagi..       
         
2.    Kitab Bidayah al-Hidayah Syarh Matn Umm al-Barahin (بداية الهداية شرح متن أم البراهين). Ia adalah sebuah karya dalam bidang aqidah berdasarkan mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Zayn bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (), seorang ulama terkenal dari Acheh, Indonesia. Kitab ini merupakan himpunan huraian dan ulasan di dalam bahasa Melayu terhadap kitab Umm al-Barahin(أم البراهين) , iaitu sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal, yang disusun al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H). Baca lagi.. 

3. Kitab Bidayah al-Mubtadi wa ‘Umdah al-Awladi (بداية المبتدي وعمدة الأولادي). Ia merupakan sebuah kitab menerangkan tiga bidang utama keilmuan Islam iaitu tauhid (akidah), fiqh, dan tasawuf. Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu beraksara Arab (Jawi). Mengenai penyusun kitab ini, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para pengkaji. Ini berlaku kerana penyusunnya tidak menyebutkan namanya, sama ada di bahagian pendahuluan kitab ataupun di bahagian akhir kitab sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para penulis kitab-kitab yang lain. Baca lagi.. 

4.  Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية) atau juga dikenali sebagai Tarikh Ibnu Katsir (تاريخ ابن كثير). Ia adalah sebuah karya dalam bidang sejarah yang disusun oleh al-Hafizh Imaduddin Abu al-Fida Ismail bin Umar bin Katsir al-Quraisyi al-Bashri al-Dimasyqi, al-Syafi'i (774 H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu Katsir. Baca lagi...

5.  Kitab Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtashid (بداية المجتهد و نهاية المقتصد) Ia adalah sebuah karya yang membahas tentang fiqh perbandingan mazhab, yang ditulis oleh al-Qadhi Abul Walid Muhammad bin Ahmad Bin Muhammad Ibnu Rusyd  al-Maliki al-Qurthubi (520-595H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibnu Rusyd al-Hafidh atau lebih dikenail dengan nama Averroes dalam literatur barat.

MINHAJ (منهاج)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang dikenali atau dimulai dengan perkataan minhaj (منهاج). Semoga bermanfaat.

1.   Kitab Minhajul ‘Arifin (منهاج العارفين). Ia adalah sebuah karya dalam bidang tasawuf yang disusun oleh Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid, Muhammad bin Ahmad  al-Ghazali al-Thushi (450-504H). Baca lagi..

2.     Kitab Minhajul Abidin (منهاج العابدين) atau judul lengkapnya Minhaj al-‘Abidin ila Jannah Rabb al-‘Alamin (منهاج العابدين إلى جنة رب العالمين) adalah sebuah kitab tasawuf karya Imam al-Mujaddid Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Kitab ini adalah karya terakhir Imam al-Ghazali., sebagai peninggalan berharga yang menjadi wasiat bimbingan terakhir beliau bagi umat Islam, sebelum menjelang kewafatannya. Baca lagi..

3.  Kitab Minhaj al-Wushul ila ‘Ilm al-Ushul (منهاج الوصول إلى علم الأصول). Ia merupakan sebuah karya dalam bidang Usul Fiqh aliran Mutakallimin atau Syafi’iyyah yang disusun oleh Imam al-Qadhi Nishiruddin Abu Sa’id Abdullah ‘Umar Muhammad al-Baydhawi al-Syairazi al-Syafi’i (685H). Jika disebutkan dengan judul ringkas al-Minhaj lil Baydhawi, maka ia merujuk kepada kitab ini. Baca lagi..

4.   Kitab Minhaj al-Thalibin Wa ‘Umdah al-Muftin (منهاج الطالبين وعمدة المفتين). Kitab ini disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). Ia merupakan ringkasan kitab al-Muharrar karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim al-Rafi‘i (624H). Walaupun ia merupakan ringkasan kitab al-Muharrar, namun keistimewaan kitabnya dianggap melebihi kitab al-Muharrar kerana Imam al-Nawawi telah memilih dan menambah pendapat  yang muktamad pada pandangan beliau. Baca lagi...

5.      Kitab al-Minhaj Fi Syarh Shahih Muslim (المنهاج في شرح صحيح مسلم). Ia adalah sebuah karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H),yang disusun sebagai huraian bagi kitab Shahih Muslim, iaitu karya al-Imam Abul Husain Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim bin al-Warid bin Kusyaz al-Qusyairi al-Naisaburi (204-261H), yang terkenal dengan gelaran Imam Muslim. Muat turun kitab ini di pautan https://www.almeshkat.net/images/icons/pdf.png.

6.   Kitab Minhaj al-Qashidin (منهاج القاصدين) atau judul lengkapnya Minhaj al-Qashidin wa Mufid al-Shadiqin (منهاج القاصدين ومفيد الصادقين) adalah sebuah karya al-Imam Jamaluddin Abu al-Faraj Abdurrahman bin Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin ‘Ubaidillah al-Qurasyi, yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Jauzi (510-597 H). Ia adalah sebuah karya dalam bidang tazkiyah al-nafsi (penyucian diri), atau juga dikenali dengan bidang tasawuf. Baca lagi..

7.      Kitab Minhaj al-Muslim (منهاج المسلم). Ia merupakan sebuah karya Syaikh Abu Bakr Jabir bin Musa al-Jazairi (1924-2018), seorang ulama terkenal dari Madinah, Arab Saudi. Kandungan kitab ini meliputi bidang akidah, adab (akhlak), ibadat dan muamalat.  Kitab ini boleh dimuat turun di pautan https://ia801600.us.archive.org/23/items/80184s/80184s.pdf.

Monday, September 17, 2018

AL-TAHRIR (التحرير)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang  dikenali atau dimulai dengan perkataan tahrir (التحرير). Semoga bermanfaat.

1.    Kitab al-Tahrir fi Furu’ al-Fiqh al-Syafi’i (التحرير في فروع الفقه الشافعي). Kitab ini adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Qadhi Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad al-Jurjani al-Syafi’i (482H). Baca lagi...

2.    Kitab Tahrir  Tanqih al-Lubab (تحربر تنقيه اللباب). Ia merupakan sebuah karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H). Kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Tahrir ini merupakan ringkasan bagi kitab Tanqih al-Lubab (تنقيه اللباب), iaitu karya al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H). Baca lagi..


3.   Kitab Tahrir Lughat al-Tanbih (تحرير لغات التنبيه ) atau judul lainnya al-Tahrir fi Syarh Alfazh al-Tanbih (التحرير في شرح ألفاظ التنبيه) merupakan sebuah karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Kitab ini disusun oleh Imam al-Nawawi bagi menghuraikan lafaz-lafaz atau istilah-istilah tertentu yang terdapat di dalam kitab al-Tanbih (التنبيه), karya al-Imam Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). Baca lagi...

Minhajul 'Arifin (منهاج العارفين)


Kitab Minhajul ‘Arifin (منهاج العارفين) adalah sebuah karya  dalam bidang tasawuf yang disusun oleh Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid, Muhammad bin Ahmad  al-Ghazali al-Thushi (450-504H).

Kandungan kitab ini dibahagikan kepada 27 bab, yang menghuraikan  secara ringkas beberapa istilah agama berdasarkan pendekatan tasawuf. Berikut adalah perkara yang dibincangkan dalam kitab ini;

1.       Penerangan bagi para murid (البيان نحو المريدين)
2.      Hukum  (الأحكام)
3.      Pemeliharaan (الرعاية)
4.      Niat (النية)
5.      Zikir (الذكر)
6.      Syukur (الشكر)
7.      Pakaian (اللباس)
8.     Berdiri tegap (القيام)
9.      Bersugi (السواك)
10.  Membuang air besar (التبرز)
11.   Bersuci (الطهارة)
12.  Al-Khuruj (الخروج)
13.  Masuk Masjid  (دخول المسجد)
14.  Pembukaan Solat (افتتاح الصلوات)
15.   Bacaan (القراءة)
16.  Rukuk (الركوع)
17.   Sujud (السجود)
18.  Tasyahhud (التشهد)
19.  Salam (السلام)
20. Doa (الدعاء)
21.  Puasa (الصوم)
22. Zakat (الزكاة)
23. Haji (الحج)
24. Keselamatan (السلامة)
25.  Uzlah (العزلة)
26. Ibadat (العبادة)
27.  Tafakur (التفكر)

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Darul Maqtham, Mesir pada tahun 2010, kandungan kitab ini merangkumi 48 halaman, termasuk halaman pengantar pentahkik dan halaman isi kandungannya.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan منهاج العارفين / منهاج العارفين .

Sekadar  pencarian saya,  saya belum menjumpai  edisi terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia. 

Semoga bermanfaat.