Tuesday, September 18, 2018

BIDAYAH (ﺑﺪﺍﻳﺔ)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang dimulai dengan perkataan bidayah (ﺑﺪﺍﻳﺔ). Insya Allah akan ditambah lagi  kitab-kitab lain. Semoga bermanfaat.

1.  Kitab Bidayatul Hidayah (ﺑﺪﺍﻳﺔ ﺍﺪﺍﻳﺔ). Ia merupakan sebuah karya dalam bidang tasawuf yang disusun oleh Hujjatul islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H). Kitab ini dianggap sebagai ringkasan atau intipati kepada kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin (احياء علوم الدين), karya teragung Imam al-Ghazali sendiri. Baca lagi..       
         
2.    Kitab Bidayah al-Hidayah Syarh Matn Umm al-Barahin (بداية الهداية شرح متن أم البراهين). Ia adalah sebuah karya dalam bidang aqidah berdasarkan mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Zayn bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (), seorang ulama terkenal dari Acheh, Indonesia. Kitab ini merupakan himpunan huraian dan ulasan di dalam bahasa Melayu terhadap kitab Umm al-Barahin(أم البراهين) , iaitu sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal, yang disusun al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H). Baca lagi.. 

3. Kitab Bidayah al-Mubtadi wa ‘Umdah al-Awladi (بداية المبتدي وعمدة الأولادي). Ia merupakan sebuah kitab menerangkan tiga bidang utama keilmuan Islam iaitu tauhid (akidah), fiqh, dan tasawuf. Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu beraksara Arab (Jawi). Mengenai penyusun kitab ini, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para pengkaji. Ini berlaku kerana penyusunnya tidak menyebutkan namanya, sama ada di bahagian pendahuluan kitab ataupun di bahagian akhir kitab sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para penulis kitab-kitab yang lain. Baca lagi.. 

4.  Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية) atau juga dikenali sebagai Tarikh Ibnu Katsir (تاريخ ابن كثير). Ia adalah sebuah karya dalam bidang sejarah yang disusun oleh al-Hafizh Imaduddin Abu al-Fida Ismail bin Umar bin Katsir al-Quraisyi al-Bashri al-Dimasyqi, al-Syafi'i (774 H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu Katsir. Baca lagi...

5.  Kitab Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtashid (بداية المجتهد و نهاية المقتصد) Ia adalah sebuah karya yang membahas tentang fiqh perbandingan mazhab, yang ditulis oleh al-Qadhi Abul Walid Muhammad bin Ahmad Bin Muhammad Ibnu Rusyd  al-Maliki al-Qurthubi (520-595H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibnu Rusyd al-Hafidh atau lebih dikenail dengan nama Averroes dalam literatur barat.

No comments:

Post a Comment