Tuesday, June 29, 2021

al-Mawahib al-Saniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah

 

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المواهب السنية بشرح المقدمة الحضرمية) merupakan sebuah karya fiqh mazhab al-Syafi’i yang disusun oleh Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’asyan al-Daw’ani al-Hadhrami (1220-1270H).

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المقدمة الحضرمية) atau juga dikenali dengan judul Masa-ilal-Ta’lim (مسائل التعليم), iaitu sebuah karya al-Imam Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). 

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah telah diringkaskan sendiri oleh Syeikh Sa’id Ba’asyan al-Daw’ani melalui karyanya yang berjudul Busyra al-Karim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim (بشرى الكريم بشرح مسائل التعليم). Perkara ini ada disebutkan oleh Syeikh Sa’id Ba’asyan dalam pendahuluan kitab Busyra al-Karim. Menurut beliau ketebalan kitab Busyra al-Karim hampir separuh ketebalan kitab asalnya (al-Mawahib al-Saniyah ).

Kitab Busyra al-Karim ini lebih terkenal sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Saniyyah, kerana ia telah dicetak dan diiterbitkan untuk bacaan dan rujukan para ulama dan penuntut ilmu. Sedangkan kitab al-Mawahib al-Saniyyah, penulis sendiri belum mendapat maklumat kewujudannya ketika ini, sama ada dalam bentuk manuskrip maupun bentuk cetakan.

Berdasarkan kitab Busyra al-Karim yang diterbitkan (cetakan 1 - 2004/1425) oleh Dar al-Minhaj, ia dicetak dalam satu jilid dengan 718 halaman. Kitab ini dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di بشرى الكريم / بشرى الكريم.

Semoga bermanfaat.

Monday, June 28, 2021

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah (الفوائد المكية)

 

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah (الفوائد المكية) atau judul lengkapnya al-Fawaid al-Makiyyah Fi Ma Yahtajuhu Thabah al-Syafi’iyyah Mn al-Masail wa al-Dhawabith wa al-Qawa’id al-Kulliyyah (الفوائد المكية فيما يحتاجه طلبة الشافعية من المسائل والضوابط والقواعد الكلية ) merupakan sebuah karya yang berkaitan usul dan qawaid fiqh yang disusun oleh al-Imam al-Sayyid ‘Alawi bin Ahmad bin Abdur Rahman al-Saqqaf al-Syafi’i al Makkiy (1255H-1335H).

Kitab ini sangat diperlukan dan menjadi panduan para ulama dan penuntut ilmu dalam mazhab Syafi’i kerana padanya sangat banyak terkandung faedah-faedah bagi setiap hukum hakam dalam Islam. Dalam kitab ini juga penyusunnya membahaskan mengenai kewajipan menuntut ilmu serta adab adab yang wajib dipelihara.

Sayyid ‘Alawi al-Saqqaf kemudiannya telah meringkaskan kitab al-Fawaid al-Makiyyah ini dengan sebuah karya beliau yang berjudul Mukhtashar al-Fawaid al-Makkiyyah Fi Ma Yahtajuhu Thaolabat al-Syafi’iyyah ().

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah boleh dimuat turun di pautan الفوائد المكية. Manakala kitab ringkasannya di pautan Mukhtashar al-Fawaid al-Makiyyah.

Semoga bermanfaat.

Sunday, June 27, 2021

al-Fawaid al-Mardhiyyah Syarh Mukhtashar al-Lathif

 

Kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah Syarh Mukhtashar al-Lathif (الفوائد المرضية شرح المختصر اللطيف) merupakan sebuah karya fiqh Mazhab Syafi’I yang disusun oleh al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ramli (919-1004H).

Kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah ini disusun sebagai huraian bagi kitab Mukhtashar al-Lathif (المختصر اللطيف) , iaitu sebuah ringkasan fiqh yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman Bafadhal al-Hadhrami (850-918H).

Antara yang menjadi kekaguman kita terhadap kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah adalah ianya telah ditulis berdasarkan ingatan dan hafazan sahaja tanpa merujuk mana mana kitab. Imam Syamsuddin Ramli menyebut dalam muqadimah kitabnya;

و علقته من حفظي من غير مراجعة كتاب

Dibandingkan dengan kitab-kitab syarah yang lain, Imam Ramli menyatakan bahawa syarahan beliau ini adalah ringkas , tanpa diletakkan perbahasan yang rumit seperti perbezaan-perbezaan pendapat  ulama mengenai sesuatu perbahasan. Ianya sekadar menghuraikan lafaz matan dan menyempurnakan maksud yang dikehendaki dalam matan.

Salah seorang pengajar Fiqh Mazhab Syafi’i, Dr Labib Najib Abdullah telah melihat bahawa kurangnya mereka yang mentahqiq kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah,  maka beliau telah berusaha mentahkik kitab ini dengan merujuk kepada 6 buah makhtutat (manuskrip) yang berada di Maktabah al-Ahqaf dan disempurnakan cetakannya.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Dhiya’, Kuwait pada tahun 2021, kandungan kitab ini merangkumi 256 halaman.

Sukacita juga dinyatakan bahawa muhaqiq kitab ini, Dr Labib Najib Abdullah telah mengadakan daurah kitab ini dan telah diletakkan di dalam youtube rakaman penuhnya. Daurah ini boleh diikuti di pautan  https://youtube.com/playlist...

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  الفوائد المرضية  (bukan terbitan Dar al-Dhiya').

Semoga bermanfaat.

Tuesday, June 15, 2021

Juz'un fi al-Tahni'ah fi al-A'yad wa Ghairiha

 

Kitab Juz'un fi al-Tahni'ah fi al-A'yad wa Ghairiha (جزء في التهنئة في الأعياد وغيرها) merupakan sebuah karya yang disusun oleh al-Hafiz Abu al-Fadhl Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani (773-852H). Beliau yang terkenal dengan julukan Ibnu Hajar al-'Asqalani ini adalah seorang ulama terkenal dalam bidang Hadis.

Kitab yang kecil ini mengandungi fatwa yang disusun oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani sebagai jawapan bagi persoalan yang berkaitan dengan ucapan tahniah ketika menyambut hari raya dan selainnya. Dalam kitab ini beliau mengeluarkan fatwa bahawa perkara tersebut adalah perkara yang masyru’ah (yang disyariatkan) dalam Islam. Fatwa ini muncul setelah beliau meneliti beberapa riwayat dan atsar dari para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in, serta pandangan para ulama mazhab yang empat. Semua riwayat dan pandangan para ulama yang menjadi penelitian dan rujukan beliau tersebut dihimpunkan dalam kitab ini.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Darul Basya-ir, Beirut (cetakan 1/2004), kandungan merangkumi 55 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan جزء في التهنئة في الأعياد وغيرها.

Semoga bermanfaat.

Friday, June 11, 2021

Ghayah al-Muna Syarah Safinah al-Naja

 

Kitab Ghayatul Muna Syarah Safinah al-Naja  ( غاية المنى بشرح سفينة النجا ) merupakan merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun Syeikh Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Ba ’Athiyyah ad-Du’ani al-Hadhrami.

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Safinah al-Naja fi Ushul al-Din wa al-Fiqh ( سفينة النجا في اصول الدين والفقه ), iaitu sebuah karya al-'Allamah Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami (1271H). Ia merupakan sebuah huraian kitab Safinah al-Naja yang agak meluas berbanding kitab-kitab syarah sebelumnya.

Dalam kitab Ghayah al-Muna ini, bukan sahaja dihuraikan kandungan asal kitab Safinah al-Naja, bahkan ditambahkan huraian bagi beberapa permasalahan fiqh yang tidak disebutkan oleh penyusun kitab Safinah al-Naja. Berikut ialah pembahagian kandungan kitab ini;      

1.  Huraian bagi kandungan asal kitab Safinah al-Naja, yang meliputi Kitab bersuci, Kitab Solat, Kitab Jenazah dan Kitab Zakat.

2.  Huraian bagi Kitab Puasa; ia merupakan tambahan yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi ketika penyusunan huraian bagi kitab Safinah al-Naja, yang berjudul Kasyifah al-Saja.

3.   Huraian bagi kitab Haji dan umrah, yang merupakan tambahan Syeikh Muhammad al-Du’ani sendiri bagi melengkapkan perbincangan mengenai bahagian ibadat. 

Kitab Ghayah al-Muna boleh dimuat turun di pautan http://bit.ly/Kitab-Ghoyatul-Muna-Syarah-Safinatun-Naja.

Semoga bermanfaat.

Friday, May 21, 2021

Mathla' An-Najmain


Kitab Mathla’  An-Najmain () merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Abdul Ghani Jabal Maraqy. 

Sebahagian besar kandungan kitab ini dipetik daripada kitab Mathla’ Al-Badrain wa Majma’ Al-Bahrain (), iaitu sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathani (). Walau bagaimana pun terdapat sedikit sebanyak tambahan sebagai penjelasan supaya mudah difahami oleh para pelajar dan juga orang awam. 

Kitab Mathla’ An-Najmain ini telah diterbitkan dalam dua jilid dengan edisi Rumi dan Jawi. Berikut disebutkan secara ringkas isi kandungan kedua-dua jilid tersebut;  

Mathla’ An-Najmain (1) – Membicarakan Tentang Bersuci, Solat, Orang Musafir dan Yang Keuzuran. Kitab ini mengandungi;

Bab bersuci (14 fasal) : Antaranya: *Cara bersuci.*Penggunaan bejana emas dan perak.*Hukum berwuduk. *Hukum istinja. *Adab melakukan qada hajat.*Yang membatalkan wuduk. *Wajib mandi dan fardu mandi.*Menyapu khof (moza). *Hukum tayamum. *Najis dan cara menghilangkannya.*Hukum haid, nifas dan istihadah. *Orang yang tiada dua pencuci (

فاقد الطَّهورَين). 

Bab solat jamak dan qasar (4 fasal) : Hukum solat jamak dan qasar.*Solat jamak ketika safar dan ketika hujan .*Jamak Asar bersama Jumaat. *Jamak takdim ketika hujan. 

Bab Solat Ketakutan. 

Bab Penggunaan Alkohol (2 fasal) : Penggunaan wangian yang bercampur alkohol. *Beberapa fatwa para ulama dahulu dan kini. 

 

Mathla’ An-Majmain (2) Membicarakan Ibadat Puasa, Zakat, Haji & Umrah. Kitab ini mengandungi lima bab ibadat iaitu; 

Bab Puasa - antara yang disentuh ialah syarat-syarat sah puasa, yang membatalkan puasa, orang yang harus berbuka, kifarat puasa dan fidyah. Pada iktikaf disentuh rukun-rukun dan syarat-syarat sah iktikaf. 

Bab Zakat --antara yang disentuh ialah ; orang yang wajib mengeluarkan zakat, jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat, nisab zakat, zakat fitrah dan orang yang berhak menerima zakat. 

Bab Haji dan Umrah - Antara yang disentuh ialah syarat-syarat wajib haji, miqat haji dan umrah, rukun-rukun haji dan umrah, syarat-syarat tawaf dan sai’i, wajib-wajib haji dan umrah, ihram haji dan umrah, tawaf wida’, dam (fidyah) dan sekatan. 

Bab Korban - disentuh tentang syarat-syarat sah korban, binatang yang patut dibuat korban dan hukum daging korban. 

Semoga bermanfaat.


Thursday, May 20, 2021

al-Anwar al-Saniyyah 'ala al-Durar al-Bahiyyah


Kitab al-Anwar al-Saniyyah ‘ala al-Durar al-Bahiyyah (لأنوار السنية على الدرر البهية) merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Qudus bin Abdul Qadir al-Khathib (1280-1335/1863-1917), seorang ulama asal Nusantara (Indonesia) yang terkenal di Makkah al-Mukarramah pada zamannya.

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Durar al-Bahiyyah fiima yalzamu al-Mukallaf min al-‘ulum al-syar’iyyah  (الدرر البهية فيما يلزم المكلف من العلوم الشرعية), iaitu sebuah kitab yang disusun oleh Syaikh al-‘Allamah Abu Bakr Utsman bin al-‘Arif Billah Sayyid Muhammad Zainuddin Syatha al-Dimyathi al-Syafi’i.

Syaikh Abu Bakr bin Muhammad Syatha al-Dimyathi (أبي بكر بن محمد شطا الدمياطي)  dilahirkan pada tahun 1266H/1850M dan wafat tahun 1310H/1893M. Beliau merupakan  seorang guru yang terkenal di Masjid al-Haram Makkah dan salah seorang murid al-‘Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan Mufti al-Syafi’iyyah di Makkah al-Mukarramah pada zamannya.

Kitab al-Anwar al-Saniyyah pula telah diberikan huraian (hasyiah) oleh Dr al-Nu'man al-Syawi dengan karyanya yang berjudul Hasyiah al-Aliy al-Mudhiyyah 'ala al-Anwar al-Saniyyah ( حاشية الآلي المضية علي الأنوار السنية ).

Kitab al-Anwar al-Saniyyah dan kitab al-Durar al-Bahiyyah boleh dimuat turun di pautan https://ia801005.us.archive.org/0/items/Figh16000/Figh17525.zip  (  لأنوار السنية على الدرر البهية  ( dan   https://ia800703.us.archive.org/24/items/feqh-02/1325-.zip     )  الدرر البهية  (.

Semoga bermanfaat,

Friday, March 26, 2021

Tugas Raqiib –‘Atiid Mencatat Rapi Semua Amalan Anda

 

Buku “Tugas Raqiib –‘Atiid Mencatat Rapi Semua Amalan Anda adalah sebuah buku yang disusun oleh al-Marhum Ust. Abdullah al-Qari bin Hj Salleh (1936 - 2020).

Buku setebal 116 halaman ini, diterbitkan sendiri oleh penyusunnya melalui syarikat penerbitannya Pustaka Angkatan Sayap Al-Islam (ASA), Kubang Kerian, Kelantan dengan cetakan pertama tahun 1991. Sekadar pengamatan saya, buku ini mungkin belum diterbitkan kembali oleh penterjemahnya atau mana-mana syarikat penerbitan lain.

Sebagaimana judulnya, isi kandungan buku ini membicarakan mengenai malaikat Raqib dan Atiq serta peranan / tugasan mereka.

Isi kandungan buku ini telah dibicarakan dalam 27 tajuk, antaranya;

1.       Lauh Mahfuudz Dan Hubungannya Dengan Amalan Manusia. 

2.       Pembahagian Malaikat Hafadzah.

3.       Sumber Pencatatan Rapi Malaikat.

4.       Hukum Mengingkari Malaikat Pencatat.

5.       Cukupkah Mengimani Malaikat Secara Keseluruhannya?

6.       Beberapa Nama Malaikat Pencatat.

7.       Alat-Alat Tulisan Malaikat.

8.       Siapa Dituliskan Amalan?

9.       Siapa Tak Dituliskan Amalan?

10.   Bahan-Bahan Catatan Malaikat.

11.   Keluhan Manusia Ditulis.

12.   Penulis Kanan dan Penulis Kiri.

13.   Tempat Duduk Malaikat Amat Dekat.

14.   Bagaimana Malaikat Menulis Amalan Hati.

15.   Malaikat Penulis Bertanya Allah.

16.   Penangguhan Dalam Menulis Amalan.

17.   Penulisan Amalan Pesakit.

18.   Penulisan Amalan Berterusan Sehingga Kiamat.

19.   Dosa-dosa yang dihapuskan.

20.   Janganlah Mengganggu malaikat Penulis.

21.   Malulah kepada Malaikat Pencatat.

22.   Amalan Malaikat Tak Ditulis.

23.   Buku Dikalung dan Disimpan.

24.   Suasana Terima Buku Amalan.

25.   Natijah Mengimani Malaikat Pencatat.

26.   Beberapa Penelitian Tokoh Ulama.

27.   Niyatkan, Rancang dan Berhati-hati.

Semoga bermanfaat.


Tuesday, March 23, 2021

Mawa’izhus Shalihiyyah fil Ahaditsin Nabawiyyah

 

Kitab Mawa’izhus Shalihiyyah fil Ahaditsin Nabawiyyah (مواعظ الصالحية في الأحاديث النبوية) (Petuah Orang-Orang Saleh dalam Hadits-Hadits Nabi) adalah sebuah karya ulama besar Nusantara asal Bengkel, Lombok (Nusa Tenggara), yaitu Tuan Guru Haji (TGH) Soleh Hanbali (TGH Soleh Bengkel).

Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu aksara Arab (Jawi) dan merupakan terjemah berbahasa Melayu dari kitab berbahasa Arab berjudul Maw'izah al-‘Ushfuriyyah (مواعظ العصفورية) yang berisi kajian atas hadits-hadits Nabi yang disertai dengan bubuhan hikayat-hikayat orang saleh yang penuh dengan hikmah dan keteladanan yang menggugah gairah keimanan.

Dalam halaman sampul tertulis judul dan keterangan demikian:

 اين كتاب بنما/ مواعظ الصالحية في الأحاديث النبوية/ ترجمة درفد/              مواعظ العصفورية في الأحاديث النبوية/ دان اياله يغ ملغكفي أتس أمفت فوله درفد ببراف حديث نبوية، بسرة ببراف فائدة   تاريخية، دان ببراف حكاية صوفية دان ببراف كبائكن أدابية دغن بهاس ملايو (اندونيسيا)                                                                                                                         

 “Ini kitab bernama Mawa’izhus Shalihiyyah fil Ahaditsin Nabawiyyah / terjemah daripada Hikayah al-‘Ushfuriyyah fi al-Ahadits al-Nabawiyyah/ dan ialah yang melengkapi atas empat puluh daripada beberapa hadits nabawi, beserta beberapa faidah tarikhiyyah, dan beberapa hikayat sufiyah dan beberapa kebaikan adabiyah dengan bahasa Melayu (Indonesia)”.

Keterangan penerjemah bahasa Melayu atas kitab tersebut terdapat di bawah judul di atas. Tertulis di sana:

أوله همب الله المذنب الجاني محمد صالح حنبلي بغكل لمبوك أنفناني عفر الله له ولوالديه ولمشايخه وللمسلمين آمين

 “Oleh hamba Allah al-mudznib al-jani (yang berdosa dan bersalah) Muhammad Soleh Hanbali Bengkel Lombok Ampenan, semoga Allah mengampuninya, juga kedua orang tuanya, guru-gurunya, dan semua umat Islam Amin.”

Kitab ini kemudian dicetak oleh Percetakan Salim Nabhan wa Awladuh, salah satu percetakan dan penerbit kitab-kitab karya ulama Nusantara yang produktif dan berbasis di Surabaya. Jumlah keseluruhan halaman versi cetak Salim Nabhan ini adalah 161 halaman. Tidak terdapat keterangan titimangsa penyelesaian karya ini, juga tidak didapati keterangan tahun cetak. Namun, besar kemungkinan kitab ini dicetak dalam rentang masa 1960-1970-an.

Saya sendiri mendapatkan versi cetakan ini di rak perpustakaan kantor PCNU Kota Surabaya, Jawa Timur, pada akhir bulan April yang lalu.

Kata pengantar (muqaddimah) kitab ini ditulis dalam halaman sampul juga. TGH Soleh Bengkel menuliskan pengantarnya dengan sangat singkat dan dalam bentuk puisi. Tertulis di sana:

 

انيله سوات فنداهلوان * دهادفكن كحضرة اخوان

دجهايكن الله موكا سؤراغ * مندغر حديث يغ جمرلغ

مك دتونيكندي كلائن اورغ * سفرت يغدغرث دغن ترغ

براغسياف ميمفيكن كسوداراث * امفت فوله حديث فد اكماث

دبغكيتكن الله دهاري قيامتث * فد كمفولن فقهاء دان علماءث

دكتاكن اورغ فولا بكيث * ماسق له شركا برغ فيتوث

 (Inilah suatu pendahuluan * dihadapkan kehadirat ikhwan

Dicahayakan Allah muka seorang * mendengar hadits yang cemerlang

Maka ditunaikan dia ke lain orang * seperti yang dengarnya dengan terang

Barangsiapa menyampaikan ke saudaranya * empat puluh hadits pada agamanya

Dibangkitkan Allah di hari kiamatnya * pada kumpulan fuqaha dan ulamanya

                Dikatakan orang pula baginya * masuklah surge [sem]barang pintunya).


Kitab ini mendapatkan taqrizh (endorsement) dari dua ulama besar Lombok, yaitu TGH Abdul Hafizh Salman (Kediri, Lombok), TGH Ibrahim al-Khalidi (Kediri, Lombok);

“ Adapun kitab Mawa’izh al-Ushfuriyyah (Petuah Burung Pipit) yang diterjemahkan oleh TGH Soleh Bengkel, adalah kitab berbahasa Arab karangan Syaikh Muhammad b. Abu Bakar al-Ushfuri. Biografi Syaikh al-‘Ushfuri sendiri tidak banyak diketahui”.

Namun demikian, kitab ini sangat populer di kalangan pesantren tradisional di Nusantara, karena kandungan isinya yang menarik dan penting. Mawa’izh al-Ushfuriyyah memuat 40 buah hadits (meski banyak yang mengkritik jika terdapat beberapa hadits dhaif/ lemah di dalamnya) disertai hikayat-hikayat keteladanan penggugah jiwa. Mawa’izh al-Ushfuriyyah mengetengahkan hikayat-hikayat moralitas yang dapat dijadikan pembaca dan pengkajinya untuk bagaimana menjalani kehidupan dengan semestinya.

Selain TGH Soleh Bengkel yang menerjemahkan kitab Mawa’izh al-Ushfuriyyah ke dalam bahasa Melayu beraksara Arab (Jawi), terdapat juga KH. Bisri Musthafa Rembang yang menerjemahkan kitab tersebut ke dalam bahasa Jawa beraksara Arab (Pegon).

Sumber : https://alif.id/read/ahmad-ginanjar/mawaizhus-shalihiyyah-kitab-al-ushfuriyyah-melayu-karya-tgh-soleh-bengkel-lombok-b209907p/

Monday, March 22, 2021

Tamrinul Lisan fi Ma'rifati Tajwidil Quran

 

Kitab Tamrinul Lisan fi Ma’rifati Tajwidil Quran (تمرين اللسان في معرفة تجويد القرآن) adalah karangan seorang ulama Nusantara asal Jambi (Sumatra) yang mengajar di Masjidil Haram di Makkah pada paruh pertama abad ke-20, yaitu Syaikh Hasan b. Yahya al-Jambi (dikenal dengan Syaikh Hasan Jambi atau Guru Hasan Anang Jambi, 1895-1940 M).

Tertulis keterangan pada halaman sampul judul kitab dan nama pengarang dalam bahasa Melayu Jawi bercampur bahasa Arab:

 انيله كتاب يغبرنما تمرين اللسان في معرفة تجويد القرآن/ كراغن همبا يغ فقير لاكي مغاجر دمسجد الحرام/ دمكة المشرفة يائت حسن بن الحاج يحي/ أورغ نكري جمبي الجاوي عفى/ الله عنه وعن والديه وعن/ حميع المسلمين/ آمين

Inilah kitab yang bernama ia Tamrinul Lisan fi Ma’rifah Tajwidil Qur’an/ karangan hamba yang faqir lagi mengajar di Masjidil Haram/ di Makkah al-Musyarrafah yaitu Hasan bin Haji Yahya/ orang negeri Jambi Jawi (Nusantara) ‘afa/ Allah ‘anhu wa ‘an walidaihi wa ‘an/ jami’ al-muslimin (semoga Allah berkenan mengampuninya, kedua orang tuanya, dan semua orang Muslim)/ amin.

Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu aksara Arab (Jawi) dan berisi kajian ilmu tajwid  (fonologi Arab) dan tatacara membaca Alquran yang baik dan benar. Dalam kolofon, didapati keterangan jika karya ini diselesaikan di Makkah pada Rabu, 20 Rajab 1344 H (1926 M). Syaikh Hasan Jambi menulis:

 دان تله سلسي اكو درفد مهيمفونكن اين كتاب يغ كجيل فد هاري ربوع فد تغكل دوافوله درفد بولن رجب تاهون سريبو تيكاراتوس أمفت فوله أمفت درفد هجرة نبي محمد سيد المرسلين

Dan telah selesai aku daripada me[ng]himpunkan ini kitab yang kecil pada hari Rabu pada tanggal Dua Puluh daripada bulan Rajab tahun Seribu Tiga Ratus Empat Puluh Empat [22 Rajab 1344] daripada Hijrah Nabi Muhammad Sayyidul Mursalin. 

 Kitab ini kemudian dicetak oleh Mathba’ah al-Taqaddum al-‘Ilmiyyah, Kairo, Mesir, pada  1345 H (1927 M). Percetakan tersebut dikelola oleh para ahli waris Syaikh Muhammad ‘Abd al-Wahid Bek al-Thubi. Versi cetakan al-Taqaddum al-‘Ilmiyyah ini menghimpun tebal kitab 44 halaman.

Dalam muqaddimah, pengarang menulis:

 هذه رسالة صغيرة سميتها تمرين اللسان في معرفة تجويد القرآن ألفته في غاية من الاضاح والبيان ليسهل فهمه على المبتدئين والإخوان التقطته من الكتب المشهورة التي ألفها علماء الكرام وإني كنت لست أهلا لهذا المنهج والمقام ولكن أرجو من الله تعالى أن يرزقني التوفيق والالهام. ورتبت هذه الرسالة بمقدمة وثلاثة وعشرين فصلا وخاتمتين راجيا من الله تعالى حسن الختام

Ini adalah risalah yang kecil yang aku namakan Tamrinus Shibyan fi Ma’rifah Tajwidil Qur’an. Aku mengarangnya dengan penjelasan yang gambling agar mudah difahami oleh para pelajar pemula dan para saudara. Aku merujuk pada beberapa kitab yang masyhur yang telah dikarang oleh para ulama besar. Sesungguhnya aku bukan orang yang ahli dalam bidang ini, namun aku berharap kepada Allah agar memberikanku petunjuk dan ilham. Aku menyusun risalah ini atas mukaddimah, dua puluh tiga pasal, dan dua penutup (khatimah). Aku juga berharap kepada Allah agar memberikanku husnul khatimah.

Kitab ini juga mendapatkan taqrizh (endorsement) dari lima orang ulama Makkah, yaitu Syaikh Muhammad Kamil, yang tercatat sebagai mudir al-ma’arif al-‘umumiyyah (kepala bidang pendidikan) Makkah, Syaikh ‘Abdullah b. Qasim Sanqura, ulama Makkah asal Senggora (Semenanjung) yang tercatat sebagai ra’is al-qurra fi Makkah (kepala para qurra di Makkah), serta tiga ulama besar Makkah asal Nusantara, yaitu Syaikh Muhammad Ramli b. Muhammad Zubaidi Fathani (asal Pattani), Syaikh Muhammad  Arsyad b. ‘Amru Sumbawa al-Jawi (asal Sumbawa, yang juga ditulis sebagai guru pengarang), dan Syaikh Muhammad b. Dawud al-Fathani (asal Pattani, yang juga ditulis sebagai kolega dekat pengarang).

Syaikh Hasan Jambi dilahirkan di Kampung Tengah, Jambi, pada 1895. Ayahnya, Haji Anang Yahya, seorang saudagar kaya sekaligus pemilik kedai penjualan kitab terbesar di kota Jambi. Pada 1919, Syaikh Hasan Jambi pergi ke Makkah dan bermukim di sana selama kurang lebih delapan tahun.

Di Makkah, beliau berguru kepada Syaikh Muhammad Arsyad Sumbawa, Syaikh Mukhtar Bogor, Syaikh Sa’id Yamani, Syaikh Abdullah Qasim Senggora, dan lain-lain.

 Pada tahun-tahun terakhirnya di Makkah, Syaikh Hasan Jambi mendapatkan lisensi untuk mengajar di Masjidil Haram. Ia pun mengajar di sana sejak sekira 1925 hingga 1927, di mana pada tahun terakhir ia pulang ke Jambi dan mengajar di Madrasah Nurul Iman, salah satu institusi pendidikan Islam tradisional yang terkemuka di tanah Jambi. Selang beberapa waktu kemudian, Syaikh Hasan Jambi pun diangkat untuk menjadi kepala Madrasah Nurul Iman selama kurang lebih sepuluh tahun lamanya (1928-1938).

Madrasah Nurul Iman sendiri didirikan pada  1915 yang hingga sekarang masih eksis. Nurul Iman menjadi salah satu institusi pendidikan terbesar dan terkemuka di Jambi pada masanya. Ada banyak ulama besar yang pernah mengajar di sana, yang bukan hanya berasal dari Jambi, tetapi juga dari Makkah.

Nurul Iman terhubung dengan jaringan intelektual ulama Nusantara-Timur Tengah yang berhaluan tradisionalis (Ahlus Sunnah wal Jama’ah/ Aswaja). Masa kejayaan institusi ini berlangsung pada 1920 hingga 1970-an. Di antara ulama terkemuka pada paruh pertama abad ke-20 M yang pernah berkunjung dan mengajar di Nurul Iman adalah Syaikh Sa’id Yamani beserta dua orang putranya, Syaikh Muhammad Shalih Yamani dan Syaikh Hasan Yamani, Syaikh Abdullah Shadaqah Zaini Dahlan (keponakan Saikh Ahmad Zaini Dahlan Makkah yang wafat di Karang Pawitan, Garut, Jawa Barat), Syaikh Muhammad ‘Ali b. Husain al-Maliki al-Makki,  dan lain-lain.

Melihat deretan nama-nama ulama di atas, sudah bisa dipastikan jika Syaikh Hasan Jambi dan Madrasah Nurul Iman Jambi terhubung dengan sangat kuat dengan ulama sezamannya dari tanah Jawa, yaitu Hadratus Syaikh KH. M. Hasyim Asy’ari (Tebuireng, Jombang, w. 1947).

Nama-nama ulama Makkah yang disebutkan di atas adalah juga para guru dan kolega dari Kiai  Hasyim. Mereka juga pada kurun masa 1925-1940-an berkunjung ke pesantren Tebuireng Jombang dan beberapa pesantren tradisional lainnya di Jawa. Ini artinya, Syaikh Hasan Jambi dan Madrasah Nurul Iman Jambi sangat berkerabat dekat dengan Jam’iyyah Nahdlatul Ulama (NU) dan pesantren-pesantren tradisionalis lainnya di Sunda-Jawa-Madura dan seluruh wilayah Nusantara lainnya.

Syaikh Hasan Jambi meninggalkan beberapa karya, yang ditulisnya dalam bahasa Melayu aksara Arab (Jawi). Di antara karya-karya beliau adalah;

1.       Taqribul ‘Awam  li Ma’rifatil Fiqh wal Ahkam dalam bidang kajian ilmu fikih,

2.       Nailul Mathlub fi A’malil Juyub dalam bidang kajian ilmu astronomi,

3.       Nurul Huda yang berisi pandangan Syaikh Hasan Jambi yang menolak pendapat-pendapat kaum muda di Sumatera,

4.       Ta’limus Shibyan dalam bidang kajian ilmu tauhid, dan

5.       Tamrinul Lisan dalam bidang kajian ilmu tajwid yang kita bicarakan di atas.

Sumber:  https://alif.id/read/ahmad-ginanjar/tamrinul-lisan-ilmu-tajwid-melayu-karya-syaikh-hasan-yahya-jambi-1926-b209845p/

Saturday, March 20, 2021

Islam Bermazhab atau Tidak Bermazhab

 

Buku Islam Bermazhab atau Tidak Bermazhab merupakan sebuah buku yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di bawah Siri Penerbitan Percuma Bil. (60). Buku ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 2016 (3,000 naskhah).

Kandungan buku ini adalah saringan dari sebuah karya asal yang disusun oleh al-‘Allamah al-Syahid Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti (1929-2013) seorang ulama terkenal dari Syria yang berjudul Alla Mazhabiyyah Akhthar Bid’ah Tuhahaddid al-Syari’ah (اللامذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة). Manakala saringannya telah diusahakan oleh al-Marhum Ustaz Mohd. Labib Ahmad.

Bagi Maklumat lanjut mengenai sejarah penerbitan buku ini dan sedikit informasi kandungannya, berikut dilampirkan petikan kata penyelenggara bagi penerbitan buku ini, iaitu Abdul Razak Mahmud.

Kebelakangan ini, berbarengan dengan munculnya era modenisma atau malah liberalisma yang  menyaksikan maraknya unsur kebebasan berfikir dalam kehidupan umat, termasuk dalam hal-hal agama, maka di sana sini bergaung slogan-slogan baharu yang mengajak umat ke arah fahaman “baharu” dalam agama atau dalam kehidupan beragama. Slogan-slogan ini yang berselindung di balik tabir “pembaharuan agama” atau “ reformasi agama” sangat gencar digerakkan di dunia Islam kini. Hasilnya, maka muncullah gerakan-gerakan ke arah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, galakan berijtihad, membuka kembali pintu ijtihad yang “kononnya” tertutup atau telah ditutup atau malah seruan-seruan ke arah menafsirkan semula al-Quran dan menilai kembali al-Hadith agar  supaya sesuai dengan kehendak zaman larangan bertaqlid dan lain-lain sebagainya. Pada masa yang bersamaan, terbitlah banyak buku-buku yang mendokong trend ini, di samping tak kurang pula muncul istilah-istilah yang dahulunya tak dikenal seperti Islam liberal, Islam rasional, Islam tanpa mazhab dan lain-lain.

Risalah kecil ini cuba membahas masalah ini dan berusaha menundukkannya secara tuntas. Benarkah orang tidak digalakkan bertaqlid, malah dilarang bertaqlid. Benarkah mazhab tidak perlu, malah mazhab menurut pandangan mereka tidak muncul kecuali setelah berlalu zaman Rasulullah s.a.w., zaman sahabat dan tabi’in. Maka itu, tanya mereka, sebelum mazhab muncul apakah yang menjadi ikutan umat? Jawapannya tidak lain tentulah al-Quran dan al-Sunnah. Demikian analogi mereka. Benarkah demikian, atau benarkah taqlid tidak dibenarkan? Jika benar demikian, maka akan ke manakah “orang awam” akan berpandu. Hendak berijtihad, atau paling dha’if, untuk memahami kitab, awak tidak mampu.

Di sebaliknya pula timbul persoalan: Apakah setiap orang layak berijtihad atau mampu memahami al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana yang diserukan oleh “tokoh-tokoh modernis” atau “pembaharu” ini? Jika demikianlah keadaannya, maka bagaimana pula halnya dengan orang awam atau awam al-Muslimin yang bukan sahaja tidak mampu memahami dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah, malah ramai pula yang buta huruf. Sejatinya pintu ijtihad tidak pernah “ditutup”. Ia sentiasa terbuka dan boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja yang layak dan ahli. Di sebaliknya pula, bagi mereka yang tidak layak dan bukan ahli, maka kepada mereka dibenarkan untuk bertaqlid kepada mana-mana imam mujtahid. Pada tahap ini, penting dicatat bahawa orang janganlah hendaknya mengecam taqlid, apa lagi secara melulu pula, sebagaimana yang dilakukan oleh “kaum muda” atau mereka yang berfikiran moden itu, kerana bukan semua orang mampu membebaskan dirinya daripada bertaqlid. Atau dalam perkataan lain bukan semua orang mampu berijtihad atau memenuhi syarat-syarat untuk menjadi mujtahid. Sebaliknya, bagi orang awam seperti kita, taqlid menjadi semacam suatu keharusan pula. 

Benarlah, bahawa para imam-imam mazhab tidak meminta orang awam agar bertaqlid kepada mereka, tetapi kalau setiap orang diminta supaya berijtihad, sedangkan syarat-syarat untuk berijtihad tidak ada atau tidak mencukupi, maka tak dapat tidak pada waktu itu akan lahirlah dalam masyarakat golongan “mujtahid gadongan” atau mujtahid jadi-jadian dengan masing-masing akan mengeluarkan pendapat atau fatwa dalam agama berdasarkan hawa nafsu atau kepentingan masing-masing pihak sehingga akan kucar- kacirlah agama kerana terlalu banyak pendapat yang saling berseleweran dan tidak benar. 

Akhirnya umat ini akan berpecah-belah, berpuak-puak, “sesat dan menyesatkan”. Mereka yang melarang bertaqlid, sebaliknya menggalakkan berijtihad, sebahagiannya adalah kerana dorongan untuk membuang kebekuan atau ke “jumud”an umat. Bagi mereka ini, kebekuan umat adalah terjadi kerana taqlid, tidak bersikap berani, tidak progresif, tidak rasional, tidak terbuka dan macam-macam lagi. Pada hal sebenarnya keterbelakangan umat ini bukan kerana amalan bertaqlid. Dalam perkataan lain, taqlid bukan menjadi biang keladi kepada kejumudan umat Islam kini. Penyakitnya terletak di tempat lain - bukan taqlid. Bagaimanapun, perbincangan mengenai hal ini tidak akan disentuh di sini kerana bukan pada tempatnya.

Buku ini adalah saringan daripada sebuah buku berbahasa Arab berjudul اللامذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة yang ditulis oleh seorang tokoh ulama’ Syria yang terkenal - Dr. Mohd. Sa’id Ramadhan al-Buti. Pada waktu buku ini saya baca pertama kali pada 1997, saya merasa sangat terkesan dan puas hati. Namun apa boleh buat, penguasaan bahasa Arab saya yang terhad tidak memungkinkan saya untuk penterjemahkan isi buku ini ke dalam bahasa Melayu.

Walaupun demikian, saking tertariknya saya kepada isi buku ini, sampai-sampai saya kemudian sempat mendiskusikannya dengan Ustaz Mohd. Labib Ahmad (alm.) sebelum menyerahkan naskhah buku berkenaan kepada beliau dengan harapan beliau akan berkenan menterjemahkannya ke bahasa Melayu, atau setidak-tidaknya, menyaring dan meringkaskannya untuk tatapan pembaca yang tidak berpeluang membacanya dalam bahasa Arab.

Saya ingat benar, pada saat itu saya masih lagi bertugas sebagai Editor Pengasuh (1991 - 2005). Maka alangkah gembiranya saya, apabila selepas dua bulan, saya tiba-tiba menerima kiriman dari beliau berupa naskhah saringan buku berkenaan yang ditulisnya dalam tiga bahagian. Apalagi, tanpa membuang waktu, saya lalu menyiarkan tulisan ini dalam tiga keluaran majalah Pengasuh; masing-masing pada bilangan 580 (Mei - Jun 2003), 581 (Julai - Ogos 2003) dan 582 (Sept - Ogos 2003).

Nah! Sekarang, bagi maksud agar supaya tulisan ini tersebar lebih luas, saya kembali mengambil inisiatif bagi menyunting semula naskhah ini dan menyelenggarakannya untuk diterbitkan dalam sebuah buku khusus agar mudah ditela’ah dan diteliti. Tidak lain tujuan saya dengan upaya ini, kecuali untuk menyajikan sebuah gagasan yang saya anggap sangat tepat dan jitu tentang konsep taqlid yang kini ramai dicemuh sebagai terkebelakang, kolot dan konsevartif. Mudah-mudahan, buku ini mampu memberikan sebuah wacana baharu kepada kita semua. Terima kasih. (11 Oktober 2015).

Buku ini boleh dibaca secara atas talian melalui pautan Islam Bermazhab atau Tidak Bermazhab.

Buku asalnya boleh dimuat turun di pautan https://ia801007.us.archive.org/7/items/Fiqh7000/Figh06302.zip

Semoga bermanfaat.

Thursday, March 18, 2021

Panduan Lengkap Solat Berjemaah Menurut Mazhab Syafi’e

 

Buku “Panduan Lengkap Solat Berjemaah Menurut Mazhab Syafi’e” merupakan sebuah karya fiqh mengenai solat yang disusun oleh H. Mujiburrahman dan diterbitkan oleh Pustaka Ilmi dengan cetakan pertama pada tahun 2001. Buku ini mengandungi 156 halaman.

Perbincangan dalam buku ini dikupas mengikut tajuk. Penulis membahagikan karya ini kepada 47 buah tajuk. Di mana 39 tajuk terawal memberi tumpuan utama mendedahkan dan memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai tatacara solat berjemaah berdasarkan mazhab Syafi’i yang menjadi pegangan umat Islam, khususnya di Malaysia. Di antara tajuk tersebut ialah solat berjemaah, pensyariatan solat berjemaah, solat yang paling utama berjemaah, hukum solat berjemaah, tempat solat yang lebih utama, solat dengan jemaah yang ramai jumlahnya, mempercepatkan langkah menuju ke masjid dan sebagainya.

Manakala tajuk-tajuk seterusnya dimasukkan beberapa keterangan tambahan mengenai beberapa isu dalam solat yang dianggap pihak tertentu sebagai tidak menepati sunnah atau bid’ah yang perlu ditinggalkan. Penulis membawakan hujah dan dalil sebagai mempertahankan amalan-amalan tersebut. Contohnya isu membaca usalli. Menurut penulis masalah ini di kenali dengan “talaffuz binniyyat” atau melafazkan niat iaitu mengucapkan lafaz niat dengan lidah sebelum takbir al-ihram. Penulis menegaskan bahawa melafazkan  niat ini adalah sunat. Beliau mendatangkan pelbagai hujah bagi menguatkan penyataannya seperti fatwa para ulama mazhab Syafi’i.

Rujukan utama karya ini ialah al-Qur‟an al-Karim dan kitab-kitab hadith. Selain itu, penulis karya ini juga merujuk kepada karya-karya fiqh turath seperti Nihayat al-Muhtaj, al-Mahalli, I’anah al-Talibin, Bujairimi ‟ala al-Minhaj, Hasyiah al-Syarqawi dan sebagainya. Penulis juga ada merujuk dua buah karya fiqh berbahasa Melayu (Indonesia) iaitu 40 Masalah Agama oleh Sirajudin Abbas dan Taudhih al-Adillah oleh Syafie Hazami – dua orang ulama terkenal dari Indonesia.

Secara umumnya karya ini menampilkan beberapa keistimewaan tertentu seperti bahasa yang mudah difahami, susunan yang teratur dan perbahasan isi yang baik. Namun, ia belum mencukupi untuk disenaraikan sebagai karya ilmiah. Justeru, karya popular ini baik untuk dimiliki oleh masyarakat sebagai bahan bacaan tambahan untuk memahami persoalan-persoalan solat jemaah menurut mazhab Syafi’i.

Semoga bermanfaat.

al-Isrâ’îliyyat wa al-Maudhû‘ât fi Kutub al-Tafsîr

 

Kitab al-Isrâ’îliyyat wa al-Maudhû‘ât fi Kutub al-Tafsîr (الإسرائيليات والموضوعات في كتب التفسير) adalah sebuah karya yang menyentuh perbahasan mengenai Israiliyyat dan hadis palsu dalam kitab-kitab tafsir. Kitab ini disusun oleh Syeikh Muhamad Abu Syahbah. Nama penuh beliau ialah Dr. Muhammad bin Muhammad bin Suwailim Abu Syahbah (1332-1403H /1914-1983M). Digelar dengan Abu Sadat. Beliau adalah seorang pakar hadith dan ulum al-Quran yang terkenal daripada Mesir.

Kitab ini dianggap disusun atas permintaan orang ramai serta gesaan dari gagasan Majma’ Buhûth al-Islamiyyah (Pusat Penyelidikan al-Azhar). Kitab ini dicetak pada tahun 1971 dan menjadi salah satu rujukan utama dalam perbahasan Israiliyyat. Kitab ini diangkat menjadi silibus bagi peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran di Universiti al-Azhar. Kitab ini juga telah diterjemahkan oleh ke dalam beberapa bahasa dunia termasuk dalam bahasa Malaysia dan Indonesia

Menurut Syeikh Abu Syahbah, judul asal yang dicadangkan bagi karya ini ialah al-Isrâ’îliyyat wa al-Maudhû‘ât fi Kutub al-Tafsîr, yang bermaksud Israiliyyat dalam kitab-kitab tafsir. Namun, beliau berpendapat adalah lebih baik menggabungkannya dengan hadith-hadith palsu (al-Maudhû’ât) kerana dalam kitab ini terdapat hadith-hadith palsu yang mendatangkan bahaya ke atas Islam dan Nabi Muhammad Saw. Maka terhasillah kitab al-Isrâ’îliyyat wa al-Maudhû’ât fi Kutub al-Tafsîr yang bermaksud kisah-kisah Israiliyyat dan hadith-hadith palsu dalam kitab-kitab tafsir.

Tujuan kitab ini ditulis ialah kerana dorongan dan desakan orang ramai menuntut beliau menulis berkaitan Israiliyyat ini antaranya Setiausaha Agung Majma’ Buhuth al-Islamiyyah dan Ahli Lembaga di Universiti al-Azhar iaitu Syeikh Abdul Halim Mahmud (Syeikhul Azhar kemudiannya) dan penggantinya Syeikh Muhammad Abdur Rahman Baisar. Dorongan ini bertepatan dengan keinginan yang ada dalam diri beliau iaitu mengarang sebuah kitab yang khusus menjelaskan tentang Israiliyyat yang terdapat di dalam kitab-kitab tafsir serta menyatakan kepalsuan dan kebatilannya. Ini kerana beliau telah lama mengkaji dan memberi tumpuan dalam bidang ini. Menyiapkan karya ini yang dirasakan sebagai kewajiban yang utama ke atas ulama’ Muslimin.

Masa yang telah ditetapkan untuk menyiapkan kitab ini adalah tiga bulan akan tetapi Syeikh Abu Syahbah mensyaratkan penambahan masa iaitu selama enam bulan. Namun, walaupun setelah pertambahan masa, beliau gagal menyiapkan pada waktu yang dijanjikan berikutan kekangan waktu dengan pelbagai bebanan dan tanggungjawab pada faktor usia yang semakin lanjut. Berikutan, bukanlah sifat beliau tergesa-gesa dalam sesuatu perkara. Matlamat yang ingin dicapai ialah kajian yang dijalankan dilakukan secara teliti dan berhatihati sehingga hatinya merasa tenang dan lapang dengan hasil kajian ditemui.

Kitab al-Isrâ’îliyyat wa al-Maudhû’ât fi Kutub al-Tafsîr sebuah karya yang kaya dengan pelbagai sumber rujukan. Rujukan beliau lebih menjurus kepada pengambilan dari pandangan ulama’ dan huffaz hadith serta imam-imam pengkritik yang menjadi sandaran dalam menyatakan kesahihan dan kedhaifan hadith. Bahkan, beliau turut mengambil pandangan bukan dari kalangan ulama hadith, akan tetapi turut menolak Israiliyyat dan hadith-hadith palsu dari sudut pandangan akal dan kajian sains serta teori-teori ilmiah baru. Sebagai amanah ilmu, setiap rujukan dinyatakan sumber pengambilan kerana bukan dari sifat beliau mendapat nama dan kedudukan tinggi sesuatu yang bukan miliknya.

Kitab ini dimulai dengan kata pengantar oleh penulis iaitu Syeikh Abu Syahbah diikuti dengan penerangan manhaj beliau secara ringkas. Sepertimana yang dinyatakan oleh Abu Syahbah kajian dasar yang panjang pada permulaan kitab bertujuan supaya pembaca dapat memahami asas sebelum menyelami perkara utama dan tujuan asal buku ini tanpa berlaku kekaburan.

Dalam usaha membersihkan kitab-kitab tafsir daripada kisah-kisah israiliyyat, kitab al-Isrâ’îliyyat wa al-Maudhû’ât fi Kutub al-Tafsîr karya Syeikh Abu Syahbah ini boleh diketengahkan sebagai sebuah contoh penulisan yang berjaya. Kitab ini telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam seluruh dunia. Sheikh Abu Syahbah telah menginfakkan kehidupannya dari muda lagi untuk berkhidmat disamping al-Quran dan al-Sunnah. Selari dengan pengakuan tersebut, beliau memiliki keluasan ilmu dalam pengkajian al-Quran dan al-Sunnah. Ketinggian ilmu yang dimiliki oleh Syeikh Abu Syahbah telah menghasilkan sebuah kerangka metodologi yang baik dan bernilai serta isi kandungan yang bermanfaat pada ummah.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan الإسرائيليات والموضوعات في كتب التفسير

Terjemahan kitab ini ada diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan judul Isra'iliyyat dan Hadith Palsu dalam Kitab-Kitab Tafsir. Sebahagian isi kandungan buku ini (hal. 1-28) boleh dimuat turun di pautan Isra'iliyyat dan Hadith Palsu dalam Kitab-Kitab Tafsir pdf.

Artikel di atas dipetik dan diubahsuai dari pautan METODOLOGI KITAB AL-ISRÂ'ÎLIYYAT WA AL-MAUDHÛ'ÂT FÎ KUTUB AL-TAFSÎR KARYA SHEIKH ABU SYAHBAH: SATU ANALISIS.

Semoga bermanfaat