Kandungan buku ini adalah
saringan dari sebuah karya asal yang disusun oleh al-‘Allamah al-Syahid Dr.
Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti (1929-2013) seorang ulama terkenal dari Syria yang
berjudul Alla Mazhabiyyah Akhthar Bid’ah Tuhahaddid al-Syari’ah (اللامذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة). Manakala saringannya
telah diusahakan oleh al-Marhum Ustaz Mohd. Labib Ahmad.
Bagi Maklumat lanjut mengenai
sejarah penerbitan buku ini dan sedikit informasi kandungannya, berikut
dilampirkan petikan kata penyelenggara bagi penerbitan buku ini, iaitu Abdul Razak
Mahmud.
Kebelakangan ini, berbarengan
dengan munculnya era modenisma atau malah liberalisma yang menyaksikan maraknya unsur kebebasan berfikir
dalam kehidupan umat, termasuk dalam hal-hal agama, maka di sana sini bergaung
slogan-slogan baharu yang mengajak umat ke arah fahaman “baharu” dalam agama atau dalam kehidupan beragama. Slogan-slogan
ini yang berselindung di balik tabir “pembaharuan agama” atau “ reformasi
agama” sangat gencar digerakkan di dunia Islam kini. Hasilnya, maka muncullah
gerakan-gerakan ke arah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, galakan
berijtihad, membuka kembali pintu ijtihad yang “kononnya” tertutup atau telah
ditutup atau malah seruan-seruan ke arah menafsirkan semula al-Quran dan menilai
kembali al-Hadith agar supaya sesuai
dengan kehendak zaman larangan bertaqlid dan lain-lain sebagainya. Pada masa
yang bersamaan, terbitlah banyak buku-buku yang mendokong trend ini, di samping
tak kurang pula muncul istilah-istilah yang dahulunya tak dikenal seperti Islam
liberal, Islam rasional, Islam tanpa mazhab dan lain-lain.
Risalah kecil ini cuba membahas
masalah ini dan berusaha menundukkannya secara tuntas. Benarkah orang tidak
digalakkan bertaqlid, malah dilarang bertaqlid. Benarkah mazhab tidak perlu, malah
mazhab menurut pandangan mereka tidak muncul kecuali setelah berlalu zaman
Rasulullah s.a.w., zaman sahabat dan tabi’in. Maka itu, tanya mereka, sebelum
mazhab muncul apakah yang menjadi ikutan umat? Jawapannya tidak lain tentulah
al-Quran dan al-Sunnah. Demikian analogi mereka. Benarkah demikian, atau
benarkah taqlid tidak dibenarkan? Jika benar demikian, maka akan ke manakah
“orang awam” akan berpandu. Hendak berijtihad, atau paling dha’if, untuk
memahami kitab, awak tidak mampu.
Di sebaliknya pula timbul persoalan: Apakah setiap orang layak berijtihad atau
mampu memahami al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana yang diserukan oleh
“tokoh-tokoh modernis” atau “pembaharu” ini? Jika demikianlah keadaannya, maka
bagaimana pula halnya dengan orang awam atau awam al-Muslimin yang bukan sahaja
tidak mampu memahami dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah, malah ramai pula yang
buta huruf. Sejatinya pintu ijtihad tidak pernah “ditutup”. Ia sentiasa terbuka
dan boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja yang layak dan ahli. Di sebaliknya pula,
bagi mereka yang tidak layak dan bukan ahli, maka kepada mereka dibenarkan
untuk bertaqlid kepada mana-mana imam mujtahid. Pada tahap ini, penting dicatat
bahawa orang janganlah hendaknya mengecam taqlid, apa lagi secara melulu pula,
sebagaimana yang dilakukan oleh “kaum muda” atau mereka yang berfikiran moden
itu, kerana bukan semua orang mampu membebaskan dirinya daripada bertaqlid.
Atau dalam perkataan lain bukan semua orang mampu berijtihad atau memenuhi
syarat-syarat untuk menjadi mujtahid. Sebaliknya, bagi orang awam seperti kita,
taqlid menjadi semacam suatu keharusan pula.
Benarlah, bahawa para imam-imam mazhab tidak meminta orang awam agar bertaqlid kepada mereka, tetapi kalau setiap orang diminta supaya berijtihad, sedangkan syarat-syarat untuk berijtihad tidak ada atau tidak mencukupi, maka tak dapat tidak pada waktu itu akan lahirlah dalam masyarakat golongan “mujtahid gadongan” atau mujtahid jadi-jadian dengan masing-masing akan mengeluarkan pendapat atau fatwa dalam agama berdasarkan hawa nafsu atau kepentingan masing-masing pihak sehingga akan kucar- kacirlah agama kerana terlalu banyak pendapat yang saling berseleweran dan tidak benar.
Akhirnya umat ini akan berpecah-belah, berpuak-puak, “sesat
dan menyesatkan”. Mereka yang melarang bertaqlid, sebaliknya menggalakkan berijtihad,
sebahagiannya adalah kerana dorongan untuk membuang kebekuan atau ke “jumud”an
umat. Bagi mereka ini, kebekuan umat adalah terjadi kerana taqlid, tidak
bersikap berani, tidak progresif, tidak rasional, tidak terbuka dan macam-macam
lagi. Pada hal sebenarnya keterbelakangan umat ini bukan kerana amalan
bertaqlid. Dalam perkataan lain, taqlid bukan menjadi biang keladi kepada
kejumudan umat Islam kini. Penyakitnya terletak di tempat lain - bukan taqlid. Bagaimanapun, perbincangan mengenai hal ini tidak akan disentuh di sini kerana
bukan pada tempatnya.
Buku ini adalah saringan daripada
sebuah buku berbahasa Arab berjudul اللامذهبية
أخطر بدعة تهدد الشريعة yang ditulis oleh seorang
tokoh ulama’ Syria yang terkenal - Dr. Mohd. Sa’id Ramadhan al-Buti. Pada waktu
buku ini saya baca pertama kali pada 1997, saya merasa sangat terkesan dan puas
hati. Namun apa boleh buat, penguasaan bahasa Arab saya yang terhad tidak
memungkinkan saya untuk penterjemahkan isi buku ini ke dalam bahasa Melayu.
Walaupun demikian, saking
tertariknya saya kepada isi buku ini, sampai-sampai saya kemudian sempat
mendiskusikannya dengan Ustaz Mohd. Labib Ahmad (alm.) sebelum menyerahkan
naskhah buku berkenaan kepada beliau dengan harapan beliau akan berkenan menterjemahkannya
ke bahasa Melayu, atau setidak-tidaknya, menyaring dan meringkaskannya untuk
tatapan pembaca yang tidak berpeluang membacanya dalam bahasa Arab.
Saya ingat benar, pada saat itu
saya masih lagi bertugas sebagai Editor Pengasuh (1991 - 2005). Maka alangkah
gembiranya saya, apabila selepas dua bulan, saya tiba-tiba menerima kiriman
dari beliau berupa naskhah saringan buku berkenaan yang ditulisnya dalam tiga bahagian.
Apalagi, tanpa membuang waktu, saya lalu menyiarkan tulisan ini dalam tiga
keluaran majalah Pengasuh; masing-masing pada bilangan 580 (Mei - Jun 2003),
581 (Julai - Ogos 2003) dan 582 (Sept - Ogos 2003).
Nah! Sekarang, bagi maksud agar
supaya tulisan ini tersebar lebih luas, saya kembali mengambil inisiatif bagi
menyunting semula naskhah ini dan menyelenggarakannya untuk diterbitkan dalam
sebuah buku khusus agar mudah ditela’ah dan diteliti. Tidak lain tujuan saya dengan upaya
ini, kecuali untuk menyajikan sebuah gagasan yang saya anggap sangat tepat dan
jitu tentang konsep taqlid yang kini ramai dicemuh sebagai terkebelakang, kolot
dan konsevartif. Mudah-mudahan, buku ini mampu memberikan sebuah wacana baharu
kepada kita semua. Terima kasih. (11 Oktober 2015).
Buku ini boleh dibaca secara atas talian melalui pautan Islam Bermazhab atau Tidak Bermazhab.
Buku asalnya boleh dimuat turun di pautan https://ia801007.us.archive.org/7/items/Fiqh7000/Figh06302.zip
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment