Perbincangan dalam buku ini
dikupas mengikut tajuk. Penulis membahagikan karya ini kepada 47 buah tajuk. Di
mana 39 tajuk terawal memberi tumpuan utama mendedahkan dan memberikan
kefahaman kepada masyarakat mengenai tatacara solat berjemaah berdasarkan
mazhab Syafi’i yang menjadi pegangan umat Islam, khususnya di Malaysia. Di
antara tajuk tersebut ialah solat berjemaah, pensyariatan solat berjemaah,
solat yang paling utama berjemaah, hukum solat berjemaah, tempat solat yang
lebih utama, solat dengan jemaah yang ramai jumlahnya, mempercepatkan langkah
menuju ke masjid dan sebagainya.
Manakala tajuk-tajuk seterusnya
dimasukkan beberapa keterangan tambahan mengenai beberapa isu dalam solat yang
dianggap pihak tertentu sebagai tidak menepati sunnah atau bid’ah yang perlu
ditinggalkan. Penulis membawakan hujah dan dalil sebagai mempertahankan
amalan-amalan tersebut. Contohnya isu membaca usalli. Menurut penulis masalah
ini di kenali dengan “talaffuz binniyyat” atau melafazkan niat iaitu
mengucapkan lafaz niat dengan lidah sebelum takbir al-ihram. Penulis menegaskan
bahawa melafazkan niat ini adalah sunat.
Beliau mendatangkan pelbagai hujah bagi menguatkan penyataannya seperti fatwa
para ulama mazhab Syafi’i.
Rujukan utama karya ini ialah
al-Qur‟an al-Karim dan kitab-kitab hadith. Selain itu, penulis karya ini juga
merujuk kepada karya-karya fiqh turath seperti Nihayat al-Muhtaj, al-Mahalli, I’anah
al-Talibin, Bujairimi ‟ala al-Minhaj, Hasyiah al-Syarqawi dan sebagainya.
Penulis juga ada merujuk dua buah karya fiqh berbahasa Melayu (Indonesia) iaitu
40 Masalah Agama oleh Sirajudin Abbas dan Taudhih al-Adillah oleh Syafie Hazami
– dua orang ulama terkenal dari Indonesia.
Secara umumnya karya ini
menampilkan beberapa keistimewaan tertentu seperti bahasa yang mudah difahami,
susunan yang teratur dan perbahasan isi yang baik. Namun, ia belum mencukupi
untuk disenaraikan sebagai karya ilmiah. Justeru, karya popular ini baik untuk
dimiliki oleh masyarakat sebagai bahan bacaan tambahan untuk memahami
persoalan-persoalan solat jemaah menurut mazhab Syafi’i.
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment