Sebagaimana
yang saya janjikan sebelum ini, ketika memaparkan catatan ringkas mengenai
Kitab Jawahir al-Bukhari karya al-Syeikh al-‘Allamah Musthafa Muhammad
‘Imarah, iaitu akan membuat beberapa catatan mengenai sebuah karya terjemahan
bagi kitab tersebut.
Berikut
saya lampirkan catatan ringkas mengenai Terjemahan Jawahir al-Bukhari,
yang ada dalam koleksi saya.
Judul:
Terjemah Jawahirul Bukhari[1]
Penterjemah:
Drs. Muhammad Zuhri
Penerbit:
Raja Murah al-Qana’ah, Indonesia
Tiada
catatan tahun terbitan dan bilangan cetakannya. Kemungkinan cetakan pertama
pada tahun 1979, berdasarkan tarikh yang dicatatkan di bawah kata pengantar
penterjemahnya, iaitu bulan Mei, 1979. Buku ini diterbitkan dalam dua buah buku
(jilid).
Buku
Terjemah Jawahirul Bukhari ini tidak dilampirkan muqadimah asal penyusunnya,
tetapi disediakan “ Kata Pengantar Penterjemah”.
Di
bahagian ‘Kata Pengantar Penterjemah’-nya, penterjemah menyebut judulnya
sebagai ‘TARJAMAH JAWAHIRUL BUKHARI’.
Penterjemah juga menyebutkan, “ di
bawah beberapa hadits dikemukakan sekedar uraian yang berhubung dengan hadist
tersebut yang mana uraian itu penterjemah ambil dari syarah yang dikemukakan
oleh Imam al-Qasthalani”.
Sekadar
menyinggung kata-kata penterjemah di atas, pada mulanya saya mengandaikan
penterjemah telah menterjemahkan teks-teks hadist dalam Jawahirul Bukhari,
kemudian beliau mengambil dan menterjemahkan syarahnya dari karya Imam
al-Qathalani[2]
dari kitab asalnya, iaitu Kitab Irsyad al-Sari li Syarh Shahih al-Bukhari.
Kemudian,
saya telah melihat dan membaca sepintas lalu kitab ‘Arabnya, khusus pada
cetakan ketiganya pada 1348H. Saya dapati syarah Imam al-Qasthalani itu memang
telah dilampirkan sendiri oleh penyusunnya Syeikh Musthafa Muhammad ‘Imarah dan
beliau telah menyatakan dalam
muqaddimahnya. Bahkan di bahagian hadapan ‘cover’nya telah dicatatkan judul
sebagai, “ Jawahir al-Bukhari wa Syarh al-Qasthalani 700 Hadits Masyruhah”.
Saya
telah membuat perbandingan antara dua syarah yang terkandung dalam buku
terjemahan dan buku asalnya, saya dapati ada perbezaan bentuk penyampaiannya.
Dalam buku asalnya ada dicatatkan dua bentuk huraian di bahagian nota kakinya, iaitu (1) huraian ringkas bagi beberapa perkataan dalam hadis. (2) huraian yang lebih terperinci yang diambil dari Syarah al-Qasthalani. Sedangkan dalam buku terjemahan diletakkan syarahnya selepas teks hadits dan huraiannya di kebanyakan tempat telah diringkaskan. Nampaknya penterjemah telah meninggalkan sebahagian teks asal yang terdapat kitab Jawahirul Bukhari bagi meringkaskan kandungan buku terjemahannya.
Kesimpulan,
saya berpendapat penterjemah telah membuat terjemahannya, sememangnya
berdasarkan Kitab Jawahir al-Bukhari yang telah ada huraian Imam al-Qasthalani
sebagai yang diterangkan di atas, Namun begitu, penterjemah juga telah membuat beberapa perubahan susunan huraiannya, seperti tidak memasukkan beberapa syair yang terdapat dalam huraiannya.
Huraian
hadits yang dilampirkan dalam buku terjemahan ini, sebagaimana kitab asalnya banyak dinukilkan pendapat ahli-ahli hadits terkenal
seperti Imam al-Kirmani, al-Nawawi, Ibnu Baththal, al-Khaththabi, dan beberapa
ulama yang lain.
Sebagai
penutup catatan ini, saya bawakan kata-kata penterjemah; “ Harapan penterjemah, semogalah terjemahan ini bermanfa’at dalam rangka
penyiaran ajaran Islam dikalangan masyarakat kita Indonesia ini. Kepada para
ulama penterjemah mengharapkan kritik yang bersifat membangun demi kesempurnaan
buku ini. Untuk itu penterjemah menyampaikan terima kasih.....
Semoga
bermanfaat.
[1] Sebagaimana yang ditulis di
bahagian hadapan ‘cover’nya. Namun di helaian dalamnya dicatatkan dengan Tarjamah Jawahirul Bukhari.
[2] Beliau ialah Imam Syihabuddin
Ahmad bin Muhammad al-Khatib al-Qasthalani (923H).
[3] Bukan
semua hadits dalam buku ini diberikan huraiannya. Dalam sesuatu tajuk, ada
hadits yang tidak diberikan huraian. Kadang kala, penterjemah menghimpunkan
beberapa hadits dalam satu tajuk dan
meletakkan huraiannya di akhirnya.
Salam. Bolehkan saya mendapatkan senaskah dengan cara pembelian.
ReplyDelete