Kitab al-Asybah wa al-Nazhair merupakan
sebuah kitab dalam bidang kaedah fiqh (al-Qawa’id al-Fiqhiyyah) yang disusun
oleh Imam Tajuddin Abu Nasr ‘Abdul Wahhab bin Taqiyuddin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi
bin ‘Ali bin Tamam al-Subki (727-771H).
Imam Tajuddin al-Subki mempelajari hadis di Mesir,
kemudian berpindah ke Damsyik bersama bapanya Taqiyyuddin al-Subki. Di Mesir,
beliau meriwayatkan hadis dari al-Hafiz al-Mizzi dan kemudiannya sentiasa mengikuti majlis ilmu
al-Hafiz al-Zahabi.
Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Beliau bersungguh-sungguh
mempelajari hadis, menulis catatan-catatan, bersungguh dalam mempelajari fiqh,
usul dan bahasa ‘Arab sehingga mahir dalam usia yang masih muda. Beliau
mempunyai ilmu balaghah yang hebat dan pemidato yang baik. Karya-karyanya
tersebar ketika hidupnya.”
Di Syam, beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara
(Qadhi al-Qudha)’ dan beberapa musibah menimpanya sepanjang menyandang jawatan
tersebut, namun beliau tetap bersabar terhadap musibah tersebut. Beliau
meninggal kerana sakit taun ketika umurnya 44 tahun.
Di antara karyanya yang besar ialah Jam’u al-Jawami’
fi Usul al-Fiqh, kitab Qawa’id Fiqhiyyah iaitu al-Asybah wan-Nazha-ir, Thabaqat
Syafiiyyah al-Kubra (dalam beberapa jilid) dan 2 jilid Syarah Mukhtasar ibn
al-Hajib al-Usuli.
Kandungan Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir;
Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya Tajuddin al-Subki dianggap di antara karya terbaik dalam bidang kaedah fiqh. Dalam kitab ini, Tajuddin al-Subki menyebut kaedah usul dan fiqh dan menghuraikannya dengan cukup baik. Perkara ini tidak menghairankan kerana beliau adalah seorang yang mendalam ilmunya dalam kedua-dua bidang - fiqh dan usul. Kehebatan ilmu beliau dimanifestasikan dalam kitab al-Asybah wa al-Nazha-irnya. Walaupun kitab ini tidak membincangkan masalah fiqh, namun ia adalah antara kitab terbaik dalam bidang kaedah fiqh kerana susunan bahasanya yang baik dan kemantapan idea yang dilontarkan ketika membincangkan sesuatu kaedah. Justru itu, ada ulama lain juga menurut metod penulisan Tajuddin al-Subki. Di antaranya Ibn Nujaim dan al-Sayuthi (911H) yang juga menulis kitab kaedah fiqh dengan menggunakan nama al-Asybah wa al-Nazha-ir.
Tajuddin al-Subki juga menyebut antara faktor yang mendorong beliau menulis kitabnya ialah melihat kepada kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya Ibn al-Wakil atau sebenarnya Abdullah bin al-Murahili (716H) yang memerlukan kepada penjelasan yang lebih mendalam. Beliau telah menyusun kembali karya Ibn al-Wakil tersebut dengan penyusunan yang lebih baik dari awal kitab hingga akhirnya kerana Ibn Wakil meninggal dalam keadaan isi karyanya itu bertebaran di sana-sini.
Tajuddin al-Subki telah menggunakan metod berikut
dalam penulisannya kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir, iaitu;
1. Memulakan kitab dengan 5 kaedah
asas dan menghuraikannya dengan cukup baik.
2. Menyebutkan kaedah-kaedah fiqh yang
penting yang dinamakan ‘al-Qawaid al-‘Ammah’ kerana ia tidak khusus kepada
sesuatu bab sahaja.
3. Menyebutkan dhawabit fiqhiyyah
dan menamakannya sebagai ‘al-Qawaid al-Khashshah’.
4. Menyebutkan beberapa masalah
Aqidah yang lahir darinya beberapa cabang fiqh yang diperlukan oleh seorang
ulama fiqh.
5. Membincangkan kaedah-kaedah usul
dan masalah-masalahnya.
6. Meletakkan satu bab yang
membincangkan beberapa kalimah bahasa Arab dari aspek Balaghah dan Nahu yang
muncul darinya beberapa cabang fiqh.
7. Meletakkan satu bab membicarakan
perselisihan pandangan di antara Abu Hanifah dan Imam Shafie.
8. Beliau mengakhiri kitabnya dengan
beberapa perbahasan yang penting dan perkara-perkara yang perlu diberi
perhatian.
Tajuddinal-Subki menggunakan metod yang cukup baik dalam penulisannya. Setiap kali beliau memulakan sesuatu bab, beliau akan menyebutkan satu pendahuluan ringkas memberikan gambaran perbincangannya. Dalam metodologi penulisan masakini, mungkin boleh disebut sebagai sinopsis. tajuddin al-Subki menyebut hampir 60 kaedah dengan huraian yang berbeza panjang dan ringkasnya.
Jika diteliti penulisan al-Subki dalam al-Asybah wa al-Nazha-irnya ini, didapati ciri-ciri berikut:
1. Pembentangan kaedah dengan ibarat
tersendiri yang tidak ada pada orang lain.
2. Membersihkan beberapa kaedah yang
diterima dari ulama terdahulu dan memberikan warna baru dari segi sighah dan
ibarat dengan cara yang lebih mantap.
3. Menyebut sighah berbeza bagi
sebahagian kaedah serta merujukkannya kepada mereka yang berkata demikian. Ini
dapat membantu memahami perkembangan ilmu kaedah fiqh.
Kesimpulannya, Kitab al-Asybah wa al-Nazha-ir karya
Tajuddin as-Subki adalah karya besar yang cukup hebat dalam bidang kaedah fiqh
yang memberikan sumbangan cukup berharga kepada khazanah ilmu Islam ketika itu
dan zaman selepasnya.
Assalamualaikum, share link terjemahan kitab ni please
ReplyDeleteassalam ada link untuk kitab ini
ReplyDelete