Kitab Jawahir
al-Bukhari (جواهر
البخاري) merupakan sebuah ringkasan (mukhtashar) bagi kitab Shahih
al-Bukhari yang disusun oleh Syeikh al-‘Allamah Musthafa Muhammad ‘Imarah
al-Mashri, seorang bekas guru di al-Madaris al-Amiriyyah, Mesir. Jumlah hadits
dalam kitab ini sebanyak 700 buah, yang dipilih oleh penyusunnya dari Kitab
Shahih al-Bukhari.
Di samping himpunan
hadist yang diringkaskan dari Shahih al-Bukhari, penyusun juga telah
melampirkan huraiannya[1]
yang diambil dari Kitab Irsyad al-Sari li
Syarh Shahih al-Bukhari, iaitu kitab yang menghuraikan Shahih al-Bukhari, karya
Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Khatib al-Qasthalani (923H). Berdasarkan
kandungannya, iaitu hadits dan syarahnya tersebut, kitab ini boleh juga
dianggap sebagai sebuah ringkasan bagi kitab Irsyad al-Sari karya al-Qasthalani
tersebut.
Berdasarkan beberapa cetakan
kitab edisi Arabnya, judul kitab ini dicatatkan sebagai ‘Jawahir al-Bukhari wa Syarh al-Qasthalani 700 Hadits Masyruhah’.
Kitab ini dimulai
dengan muqaddimah penyusunnya yang
agak panjang, memenuhi 7 halamannya. Muqaddimahnya diakhiri dengan beberapa
bait sya’ir[2]
yang menerangkan kembali mengenai kitab Jawahir al-Bukharinya. Di akhir bait
syair tersebut dicatatkan tahun 1341H, yang berkemungkinan tarikh cetakan
pertamanya[3].
Penyusun juga telah
melampirkan tarjamah (riwayat hidup) Imam al-Bukhari dan Imam al-Qasthalani. Di
akhir kitab Jawahir al-Bukhari ini dilampirkan beberapa kata-kata sanjungan
para ulama mengenai penyusun dan karya susunannya.
Kitab ini merupakan
ringkasan Shahih al-Bukhari menjadi rujukan dan teks pengajian hadist di
Nusantara. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia bagi
memudahkan umat Islam di Nusantara memahami dan mempelajarinya. Antara
terjemahan kitab ini yang dapat saya catatkan di sini, adalah;
1. Tazkir
al-Qabail al-Qadi fi Tarjamah al-Bukhari, terjemahan Tuan
Husain kedah (1935M). Ia telah diterbitkan pada tahun 1930M[4].
2. Terjemah
Jawahirul Bukhari, terjemahan Drs. Muhammad Zuhri dan
diterbitkan oleh Raja Murah al-Qana’ah, Indonesia
pada tahun 1979[5].
3. Saripati
Hadits al-Bukhari, terjemahan M. Abdul Ghoffar dan diterbitkan
oleh Pustaka al-Kautsar, Indonesia pada tahun 2002.
Kitab ini boleh dimuat turun di pautan جواهر البخاري / جواهر البخاري. Semoga bermanfaat.
[1] Syarahnya
diletakkan di bahagian nota kakinya. Syarah yang dilampirkan dalam kitab
Jawahir al-Bukhari ini merupakan ringkasan penyusun kepada huraian asal
al-Qasthalani.
[2] Jumlah syair yang disusun oleh
Syeikh Musthafa Muhammad ‘Imarah di akhir muqaddimahnya melebihi 20 bait – kata-katanya sungguh indah - yang
menunjukkan bahawa penyusunnya seorang sangat berbakat dalam bidang sastera.
[3] Berdasarkan
cetakan ketiganya pada 8 Zulhijjah tahun 1348H, dicatatkan juga cetakan
keduanya pada10 Syawal tahun 1345H.
[4] Catatan
ringkas kitab ini telah saya paparkan dalam blog ini, dengan judul “ Terjemahan Hadis Jawahirul Bukhari ”.
[5]
Buku edisi terjemahan ini ada dalam koleksi saya. Berdasarkan edisi tersebut,
sebenarnya tiada catatan tahun terbitan dan bilangan cetakannya. Tarikh ini,
merupakan andaian saya, berdasarkan tarikh yang dicatatkan di bawah kata
pengantar penterjemahnya, iaitu bulan Mei, 1979. Buku ini diterbitkan dalam dua
buah buku (jilid). Jika berkesempatan, insya Allah saya akan paparkan catatan
ringkas mengenai buku ini.
No comments:
Post a Comment