Showing posts with label mukhtashar Shahih Bukhari. Show all posts
Showing posts with label mukhtashar Shahih Bukhari. Show all posts

Monday, January 7, 2013

Jawahir al-Bukhari (جواهر البخاري)


Kitab Jawahir al-Bukhari (جواهر البخاري) merupakan sebuah ringkasan (mukhtashar) bagi kitab Shahih al-Bukhari yang disusun oleh Syeikh al-‘Allamah Musthafa Muhammad ‘Imarah al-Mashri, seorang bekas guru di al-Madaris al-Amiriyyah, Mesir. Jumlah hadits dalam kitab ini sebanyak 700 buah, yang dipilih oleh penyusunnya dari Kitab Shahih al-Bukhari.
Di samping himpunan hadist yang diringkaskan dari Shahih al-Bukhari, penyusun juga telah melampirkan huraiannya[1] yang diambil dari Kitab Irsyad al-Sari li Syarh Shahih al-Bukhari, iaitu kitab yang menghuraikan Shahih al-Bukhari, karya Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Khatib al-Qasthalani (923H). Berdasarkan kandungannya, iaitu hadits dan syarahnya tersebut, kitab ini boleh juga dianggap sebagai sebuah ringkasan bagi kitab Irsyad al-Sari karya al-Qasthalani tersebut.
Berdasarkan beberapa cetakan kitab edisi Arabnya, judul kitab ini dicatatkan sebagai ‘Jawahir al-Bukhari wa Syarh al-Qasthalani  700 Hadits Masyruhah’.
Kitab ini dimulai dengan muqaddimah penyusunnya yang agak panjang, memenuhi 7 halamannya. Muqaddimahnya diakhiri dengan beberapa bait sya’ir[2] yang menerangkan kembali mengenai kitab Jawahir al-Bukharinya. Di akhir bait syair tersebut dicatatkan tahun 1341H, yang berkemungkinan tarikh cetakan pertamanya[3].
Penyusun juga telah melampirkan tarjamah (riwayat hidup) Imam al-Bukhari dan Imam al-Qasthalani. Di akhir kitab Jawahir al-Bukhari ini dilampirkan beberapa kata-kata sanjungan para ulama mengenai penyusun dan karya susunannya.
Kitab ini merupakan ringkasan Shahih al-Bukhari menjadi rujukan dan teks pengajian hadist di Nusantara. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia bagi memudahkan umat Islam di Nusantara memahami dan mempelajarinya. Antara terjemahan kitab ini yang dapat saya catatkan di sini, adalah;
1.   Tazkir al-Qabail al-Qadi fi Tarjamah al-Bukhari, terjemahan Tuan Husain kedah (1935M). Ia telah diterbitkan pada tahun 1930M[4].

2.   Terjemah Jawahirul Bukhari, terjemahan Drs. Muhammad Zuhri dan diterbitkan oleh  Raja Murah al-Qana’ah, Indonesia pada tahun 1979[5].

3.  Saripati Hadits al-Bukhari, terjemahan M. Abdul Ghoffar dan diterbitkan oleh Pustaka al-Kautsar, Indonesia pada tahun 2002.
Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  جواهر البخاري جواهر البخاريSemoga bermanfaat.




[1] Syarahnya diletakkan di bahagian nota kakinya. Syarah yang dilampirkan dalam kitab Jawahir al-Bukhari ini merupakan ringkasan penyusun kepada huraian asal al-Qasthalani.
[2] Jumlah syair yang disusun oleh Syeikh Musthafa Muhammad ‘Imarah di akhir muqaddimahnya melebihi  20 bait – kata-katanya sungguh indah - yang menunjukkan bahawa penyusunnya seorang sangat berbakat dalam bidang sastera.
[3] Berdasarkan cetakan ketiganya pada 8 Zulhijjah tahun 1348H, dicatatkan juga cetakan keduanya pada10 Syawal tahun 1345H.
[4] Catatan ringkas kitab ini telah saya paparkan dalam blog ini, dengan judul “ Terjemahan Hadis Jawahirul Bukhari.
[5] Buku edisi terjemahan ini ada dalam koleksi saya. Berdasarkan edisi tersebut, sebenarnya tiada catatan tahun terbitan dan bilangan cetakannya. Tarikh ini, merupakan andaian saya, berdasarkan tarikh yang dicatatkan di bawah kata pengantar penterjemahnya, iaitu bulan Mei, 1979. Buku ini diterbitkan dalam dua buah buku (jilid). Jika berkesempatan, insya Allah saya akan paparkan catatan ringkas mengenai buku ini.

Sunday, December 30, 2012

Mukhtashar Ibn Abi Jamrah


Kitab Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah atau judul sebenarnya Jam'u al-Nihayah Fi Bad'i al-Khair wa al-Ghayah (والغاية الخير بدء في النهاية جمع) merupakan mukhtashar (ringkasan) bagi Kitab al-Jami’ al-Shahih al-Bukhari. Ia telah diringkaskan oleh al-Imam al-Muhaddith Abu Muhammad Abdullah Sa'ad bin Abi Jamrah al-Azdi al–Andalusi (699H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu Abi Jamrah. Beliau merupakan seorang muhaddith, sufi dan faqih.

Kitab mukhtasar yang lebih dikenali sebagai Mukhtasar Ibn Abi Jamrah ini memuatkan 294 hadis sahih yang disaring daripada 7397 buah hadis dalam al-Jami' al-Shahih al-Bukhari. Kitab ini, kemudiannya telah beliau syarahkan dan diberi judul "Bahjah al-Nufus wa Ghayatuha[1] bi Ma'rifati Ma Laha wa 'Alaiha."

al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani Abu al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar Al-‘Asqalani (852H), turut mengutip beberapa penjelasan yang terdapat dalam kitab Syarah "Bahjah al-Nufus" di dalam kitabnya  Fathul Bari.

Selain kitab Bahjah al-Nufus karya Ibn Abi Jamrah tersebut terdapat beberapa kitab lain yang disusun oleh ulama terkemudian bagi menghuraikan kandungan kitab Mukhtashar Ibn Abi Jamrah, antaranya; "Hasyiyah al-Syeikh Muhammad al-Sanwani ‘ala Mukhtashar Ibn Abi Jamrah", karya al-Syeikh Muhammad bin Ali al-Syafi’i al-Syanwani bekas Syeikh al-Azhar, Mesir.

Kitab Mukhtashar Ibn Abi Jamrah ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Mustafa Abdul Rahman dan diterbitkan oleh Dewan Pustaka Fajar.



[1] Setengah cetakan disebutkan dengan Bahjah al-Nufus wa Tahliluha…….