Friday, January 25, 2013

Tafsir al-Bayan


Kitab Tafsir al-Bayan merupakan sebuah kitab tafsir dalam bahasa Melayu/ Indonesia yang unggul di rantau ini. Ia dikarang oleh tokoh ulama Indonesia yang tidak asing lagi iaitu Prof. Dr. T.M Hasbi ash-Shiddieqy (1904-1975M).

Tafsir al-Bayan merupakan hasil karya ke dua yang dikarang oleh Prof. T.M Hasbi ash- Shiddieqy dalam bidang pentafsiran al-Qur’an selepas karyanya yang pertama iaitu Tafsir An-Nur yang diterbitkan pada tahun 1956.
Pada Muqaddimah tafsir ini, yang bertarikh Yokyakarta: 21 Mei 1966, pengarang menulis:
“Dengan inayah Allah Taala dan taufiq-Nya, setelah saya selesai dari menyusun Tafsir An-Nur yang menterjemahkan ayat dan menafsirkannya, tertarik pula hati saya kepada menyusun al-Bayan”[1]

Pengarang menyatakan sebab-sebab penulisan tafsir ini adalah untuk menyempurnakan sistem penterjemahan yang terdapat dalam Tafsir An-Nur karya pertamanya dalam bidang ini. Di samping itu, pengarang mendapati bahawa terjemahan-terjemahan al-Qur’an yang beredar di tengah-tengah masyarakat perlu dikaji dan ditinjau semula. Pengarang berkata di dalam kitab tafsirnya:
“Maka setelah saya memerhatikan perkembangan terjemahan al-Qur’an akhir-akhir ini, serta meneliti secara tekun terjemahan-terjemahan itu, nyatalah bahawa banyak terjemahan kalimat yang perlu ditinjau dan disempurnakan. Oleh karananya, dengan memohon taufiq daripada Allah Taala, saya menyusun sebuah terjemah yang lain dari yang sudah-sudah”[2]

Karyanya yang kedua ini juga merupakan terjemahan dan tafsir al-Qur’an dalam bahasa Indonesia yang diperkirakan dihasilkan oleh pengarang pada awal tahun 60-an lagi. Cetakan pertama kitab tafsir ini ialah pada tahun 1971 melalui terbitan PT. Alma’arif Bandung, dengan ukuran 15 x 22 cm.
Kitab tafsir ini dinamakan oleh pengarang dengan ‘al-Bayan’ , yang bererti;  “ Suatu penjelasan bagi makna-makna al-Qur’an ”, diambil sempena ayat al-Qur’an, dalam surah Ali ‘Imran ayat 138. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud;
“al-Qur’an adalah penerangan (bayan) bagi seluruh manusia dan nasihat bagi mereka yang bertakwa”

Prof. Dr. T.M Hasbi ash-Shiddieqy menggunakan metode tersendiri dalam menyusun dan mengolah Tafsir al-Bayan dan mempunyai kelainan dengan karya yang pertamanya. Kitab ini juga mempunyai keistimewaan dan perbezaan yang tersendiri berbanding dengan kitab-kitab tafsir lain.

Kitab ini terdiri dari dua jilid. Jilid pertama mengandungi nas-nas ayat al-Qur’an bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan ayat 74 surah al-Kahf. Kesemua terjemahan dan tafsiran bagi jilid pertama mengandungi 789 muka surat. Manakala jilid ke dua Tafsir al-Bayan ini, dimulai dari surah al-Kahf ayat ke 75 dan berakhir dengan surah al-Nas bersama terjemahan dan tafsirannya, yang kesemuanya terkandung dalam muka surat 789 sehingga muka surat 1604.

Artikel di atas merupakan nukilan ringkas dari buku yang berjudul, “Data-Data Terbitan Awal Penterjemahan & Penafsiran Al-Qur’an Di Alam Melayu[3], karya Muhammad Nur Lubis. Terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur, cetakan pertama 2002. Hal. 99-111. Sila baca buku tersebut untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai kitab ini.


[1] Lihat Tafsir al-Bayan, terbitan Sakun Book Servise, Singapura, jil. 1, hal. 7
[2] Ibid.
[3] Mereka yang berminat dengan maklumat perkembangan penterjemahan dan pentafsiran al-Quran dalam di Alam Melayu  patut membaca buku ini. Penyusun buku ini telah memaparkan maklumat penting mengenai 30 buah buku terjemahan dan tafsir yang disusun oleh para ulama di Malaysia, Indonesia dan Brunei.

2 comments:

  1. Saya sendiri belum memiliki buku tafsir al-bayan ini. Sekadar maklumat yang saya perolehi dari internet buku ini boleh dibeli secara online. Sila layari pautan berikut http://jualbukuislam.com/product.php?id_product=227

    ReplyDelete