Showing posts with label terjemahan jawahirul bukhari. Show all posts
Showing posts with label terjemahan jawahirul bukhari. Show all posts

Thursday, January 17, 2013

Terjemah Jawahirul Bukhari


Sebagaimana yang saya janjikan sebelum ini, ketika memaparkan catatan ringkas mengenai Kitab Jawahir al-Bukhari  karya al-Syeikh al-‘Allamah Musthafa Muhammad ‘Imarah, iaitu akan membuat beberapa catatan mengenai sebuah karya terjemahan bagi kitab tersebut.

Berikut saya lampirkan catatan ringkas mengenai Terjemahan Jawahir al-Bukhari, yang ada dalam koleksi saya.

Judul: Terjemah Jawahirul Bukhari[1]
Penterjemah: Drs. Muhammad Zuhri
Penerbit: Raja Murah al-Qana’ah, Indonesia

Tiada catatan tahun terbitan dan bilangan cetakannya. Kemungkinan cetakan pertama pada tahun 1979, berdasarkan tarikh yang dicatatkan di bawah kata pengantar penterjemahnya, iaitu bulan Mei, 1979. Buku ini diterbitkan dalam dua buah buku (jilid).

Buku Terjemah Jawahirul Bukhari ini tidak dilampirkan muqadimah asal penyusunnya, tetapi disediakan “ Kata Pengantar Penterjemah”.

Di bahagian ‘Kata Pengantar Penterjemah’-nya, penterjemah menyebut judulnya sebagai ‘TARJAMAH JAWAHIRUL BUKHARI’.  Penterjemah juga menyebutkan, “ di bawah beberapa hadits dikemukakan sekedar uraian yang berhubung dengan hadist tersebut yang mana uraian itu penterjemah ambil dari syarah yang dikemukakan oleh Imam al-Qasthalani”.

Sekadar menyinggung kata-kata penterjemah di atas, pada mulanya saya mengandaikan penterjemah telah menterjemahkan teks-teks hadist dalam Jawahirul Bukhari, kemudian beliau mengambil dan menterjemahkan syarahnya dari karya Imam al-Qathalani[2] dari kitab asalnya, iaitu Kitab Irsyad al-Sari li Syarh Shahih al-Bukhari.

Kemudian, saya telah melihat dan membaca sepintas lalu kitab ‘Arabnya, khusus pada cetakan ketiganya pada 1348H. Saya dapati syarah Imam al-Qasthalani itu memang telah dilampirkan sendiri oleh penyusunnya Syeikh Musthafa Muhammad ‘Imarah dan beliau telah  menyatakan dalam muqaddimahnya. Bahkan di bahagian hadapan ‘cover’nya telah dicatatkan judul sebagai, Jawahir al-Bukhari wa Syarh al-Qasthalani  700 Hadits Masyruhah”.

Saya telah membuat perbandingan antara dua syarah yang terkandung dalam buku terjemahan dan buku asalnya, saya dapati ada perbezaan bentuk penyampaiannya. Dalam buku asalnya ada dicatatkan dua bentuk huraian di bahagian nota kakinya, iaitu (1) huraian ringkas bagi beberapa perkataan dalam hadis. (2) huraian yang lebih terperinci yang diambil dari Syarah al-Qasthalani. Sedangkan dalam buku terjemahan diletakkan syarahnya selepas teks hadits dan huraiannya di kebanyakan tempat telah diringkaskan. Nampaknya penterjemah telah meninggalkan sebahagian teks asal yang terdapat kitab Jawahirul Bukhari bagi meringkaskan kandungan buku terjemahannya.

Kesimpulan, saya berpendapat penterjemah telah membuat terjemahannya, sememangnya berdasarkan Kitab Jawahir al-Bukhari yang telah ada huraian Imam al-Qasthalani sebagai yang diterangkan di atas, Namun begitu, penterjemah juga telah membuat beberapa perubahan susunan huraiannya, seperti  tidak memasukkan beberapa syair yang terdapat dalam huraiannya.

Huraian hadits yang dilampirkan dalam buku terjemahan ini, sebagaimana kitab asalnya banyak  dinukilkan pendapat ahli-ahli hadits terkenal seperti Imam al-Kirmani, al-Nawawi, Ibnu Baththal, al-Khaththabi, dan beberapa ulama yang lain.

Sebagai penutup catatan ini, saya bawakan kata-kata penterjemah; “ Harapan penterjemah, semogalah terjemahan ini bermanfa’at dalam rangka penyiaran ajaran Islam dikalangan masyarakat kita Indonesia ini. Kepada para ulama penterjemah mengharapkan kritik yang bersifat membangun demi kesempurnaan buku ini. Untuk itu penterjemah menyampaikan terima kasih.....

Semoga bermanfaat.


[1] Sebagaimana yang ditulis di bahagian hadapan ‘cover’nya. Namun di helaian dalamnya dicatatkan dengan Tarjamah Jawahirul Bukhari.
[2] Beliau ialah Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Khatib al-Qasthalani (923H).
[3] Bukan semua hadits dalam buku ini diberikan huraiannya. Dalam sesuatu tajuk, ada hadits yang tidak diberikan huraian. Kadang kala, penterjemah menghimpunkan beberapa hadits  dalam satu tajuk dan meletakkan huraiannya di akhirnya.

Monday, December 17, 2012

Terjemah Hadis Jawahirul Bukhari


Kitab yang ingin diperkenalkan secara ringkas dalam catatan ini merupakan karya seorang ulama berketurunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang terkenal itu. Ulama yang berdomisil di Kedah ini tercatat nama pada karya-karyanya ialah Sheikh Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udi al-Banjari al-Qadhi. Nama popular disebut Tuan Husein Kedah. Di antara karya-karyanya yang banyak terdapat sebuah karya hadis yang diberi judul Terjemah Hadis Jawahirul Bukhari.

Menurut pengkaji tersohor mengenai kitab jawi dan ulama nusantara al-Marhum Ust. Haji Wan Mohd Shaghir bin Abdullah;

 “ Belum diketahui tahun berapa karya ini diselesaikan penulisan oleh Tuan Husain Kedah, kerana yang terdapat pada penulis hanya juzuk yang pertama sama.

Cetakan pertama oleh al-Maktabah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, 1350 H. Pada mukadimah, Tuan Husein Kedah menyebut bahawa beliau terjemahkan daripada segala lafaz Hadis Jawahiril Bukhari dan sebahagian daripada Syarh al-Qastalani yang telah disebarkan oleh ulama Mesir moden, iaitu Sheikh al-Allamah Mustafa Muhammad Imarah al-Masriyah daripada kitab Hadiqatul Ahadisil Bukhari, lebih 700 hadis yang sahih sekeliannya. Tuan Husein menyebut judul sebenar terjemahannya itu dengan Tazkir Qabailil Qadhi fi Tarjamatil Bukhari.

Hadis-hadis yang dibicarakan di dalam kitab ini sebahagian besarnya adalah sama dengan yang terkandung dalam Mukhthasar Ibnu Abi Jamrah.

Terjemahan kitab ini[1] juga terdapat dalam bahasa Melayu yang diusahakan oleh Mustafa Abdur Rahman Mahmud, 1369 H/1950 M yang diberi kata pengantar oleh Sheikh Abdullah Fahim.Walau bagaimanapun, susunan dan model terjemahan kedua-dua kitab tersebut adalah tidak sama. Terjemahan Mustafa Abdur Rahman Mahmud lebih banyak merujuk kepada Hasyiyah ‘ala Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah lil Bukhari oleh al-Alim al-Allamah Sheikh Syinwani yang pernah dinobatkan sebagai Syeikhul Islam Universiti Al-Azhar ”.

Catatan di atas, merupakan petikan yang diubahsuai dari artikel yang bertajuk:  Penulisan hadis tokoh ulama nusantara’ karya al-Marhum Ust Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, yang asalnya disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 9 Mac 2009[2].

Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu terjemahan Kitab Mukhtashar Ibn Abi Jamrah.
[2] Namun rujukan saya hanyalah merujukkan kepada artikel yang disiarkan kembali di pautan http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2009/03/11/penulisan-hadis-tokoh-ulama-nusantara/#comments