Friday, July 17, 2020

Ilmu & Amalan Di Alaf Baru


Buku Ilmu & Amalan Di Alaf Baru adalah sebuah karya yang disusun oleh Dr. Basri Ibrahim dan diterbitkan oleh Darul Nu’man dengan cetakan pertamanya pada tahun 2000. 

Secara umumnya, buku ini mengutarakan tentang kepentingan menuntut ilmu dan adab-adab menuntut ilmu dalam Islam yang pernah dibicarakan oleh tokoh-tokoh ilmuan ulung Islam di dalam kitab-kitab karangan mereka. Adab-adab yang dikemukakan ini mengambil kira adab-adab menuntut ilmu pada masa lampau dengan adab-adab menuntut ilmu pada zaman kini.

Kemunculan buku ini dapat memberi sedikit sebanyak panduan kepada para ilmuan dan penuntut ilmu ke arah beriltizam kembali kepada adab-adab ilmu dalam Islam. Semoga mereka dapat menjadi para ilmuan ulung yang dapat dijadikan rujukan umat, bukan sahaja dari segi keilmuan mereka, bahkan juga dari segi akhlak dan perlakuan mereka. Ilmuan yang mana akhlak dan tindakannya adalah selaras.

Alaf baru merupakan alaf yang sangat mencabar terhadap ahli ilmu, kerana merupakan alaf yang tidak ada sempadan dari rempuhan budaya asing. Penguasaan ilmu dan teknologi canggih saja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan kemantapan jiwa dan akhlak yang mulia. Betapapun kehebatan manusia merakit pengetahuan jika tidak digunakan kepada kebaikan maka menjadi penyumbang kehancuran alam ini.

Menuntut ilmu merupakan strategi ke arah perubahan cara berfikir dan bertindak dalam masyarakat. Nilai dan martabat ilmu sangat tinggi, malah kelebihan Nabi Adam berbanding para malaikat ialah kerana ilmu yang Allah ajarkan kepadanya. Hari ini adab menuntut ilmu telah diketepikan oleh sesetengah pihak, yang mereka utamakan adalah perniagaan ilmu. Jika fenomena ini tidak berakhir, maka cahaya ilmu akan malap dan terpadam.

Semoga bermanfaat.

Thursday, July 2, 2020

al-Taznib fi al-Furu’ ‘ala al-Wajiz


Kitab al-Taznib fi al-Furu’ ‘ala al-Wajiz (التذنيب في الفروع على الوجيز), adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh al-Islam al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘i al-Qazwaini (555-624H).

Kitab al-Taznib ini disusun oleh al-Imam Abu al-Qasim al-Rafi’i sebagai huraian (syarah)[1] bagi kitab al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (الوجيز في فقه الإمام الشافعي), iaitu sebuah karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H).

Kitab al-Taznib ini telah diringkaskan oleh Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H) melalui karya beliau yang berjudul al-Muntakhab Mukhtashar al-Taznib (المنتخب مختصر التذنيب) .

Berdasarkan beberapa cetakan kitab al-Taznib, ia sentiasa dicetak bersama kitab al-Wajiz. Kedua-dua kitab ini boleh dimuat turun di pautan الوجيز في فقه مذهب الإمام الشافعي، ويليه: التذنيب في الفروع على الوجيز.   

Semoga bermanfaat.



[1] Selain kitab al-Taznib, Imam al-Rafi’i mempunyai kitab huraian yang lain bagi kitab al-Wajiz, iaitu;
a)   Kitab  al-Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز) atau juga terkenal dengan judul Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz.
b)    Kitab al-Syarh al-Shaghir (الشرح الصغير).

Saturday, June 27, 2020

al-Tanqih Syarh al-Wasith


Kitab al-Tanqih Syarh al-Wasith  (التنقيح في شرح الوسيط) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab al-Tanqih ini disusun oleh al-Imam al-Nawawi sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Wasith fi al-Mazhab (الوسيط في المذهب), iaitu sebuah karya fiqh yang disusun oleh al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).

Penyusunan kitab al-Tanqih ini tidak sempat diselesaikan oleh Imam al-Nawawi. Beliau hanya sempat menyusunnya sampai di pertengahan kitab al-Shalah (كتاب الصلاة), iaitu mengenai syarat-syarat solat.

Berdasarkan beberapa cetakan, kitab ini dicetak bersama kitab al-Wasith. Kitab ini boleh dimuat turun bersama dengan kitab al-Wasith di pautan التنقيح في شرح الوسيط

Semoga bermanfaat.

Sunday, June 21, 2020

al-Ta’jiz fi Ikhtishar al-Wajiz


Kitab al-Ta’jiz fi Ikhtishar al-Wajiz (التعجيز في اختصار الوجيز) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  al-Imam Tajuddin Abu al-Qasim Abdul Rahim bin Muhammad bin Muhammad al-Mawshuli (598-671H). Kitab ini disusun sebagai ringkasan bagi kitab al-Wajiz (الوجيز) , iaitu sebuah karya al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).

Sekadar maklumat yang diperolehi, manuskrip kitab ini masih ada tersimpan di beberapa  buah perpustakaan utama di timur tengah. Sebahagian isi kandungan kitab ini ada ditahkik oleh beberapa pelajar di beberapa universiti sebagai kajian ilmiah (tesis) bagi memperolehi ijazah sarjana mereka. Berikut antara kajian tersebut yang telah diterbitkan;

a) Kitab al-Nikah  hingga Kitab al-Nafaqah (كتاب النكاح إلى كتاب النفقة), oleh Zahrah Muhammad Umar al-Jabiri. Diterbitkan oleh Jami’ah al-Syaariqah pada tahun 2011 dengan 275 halaman.

b)   Kitab al-Thaharah (كتاب الطهارة), oleh Abdullah bin Fahd al-Syarif. Diterbitkan oleh Dar al-Manar dengan 253 halaman.

Berikut antara kitab-kitab yang disusun oleh para ulama yang berkaitan dengan kitab al-Ta’jiz;

a)   Tamyiz al-Ta’jiz (Syarh  ‘ala al-Ta’jiz) – karya al-Qadhi Syaraf al-Din Abu al-Qasim Hibatullah bin Abdul Rahim al-Barizi al-Hamawi al-Syafi’i (645-738H).

b)   Tashhih al-Ta’jiz – karya Quthbuddin Abu Abdullah Muhammad bin Abdul Shamad bin Abdul Qadir al-Sunbathi al-Mishri  (722H).

Semoga bermanfaat.

Wednesday, June 17, 2020

al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط)


Kitab al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط) adalah sebuah karya peninggalan al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). 

Walaupun saiz kitab ini sangat kecil berbanding karya-karya Imam al-Nawawi yang lain, namun kandungannya sangat penting dan padat dengan beberapa permasalahan agama yang penting. Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi telah memuatkan 9 perbahasan mengenai permasalahan yang perlu diketahui oleh para penuntut ilmu syariat.

Permasalahan pertama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan pandangan Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mengenai beriman kepada Qadar. Manakala perbahasan-permaslahan  berikutnya adalah berkaitan dengan permasalahan fiqh dan usul fiqh.

Kitab ini telah ditahqiqkan oleh Dr Muhammad Hasan Hito dan diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Dar al-Basya-ir al-Islamiyyah pada tahun 1986/ 1406 dengan ketebalan 48 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan الأصول والضوابط.

Semoga bermanfaat.

Karya-Karya Fiqh Imam al-Nawawi


Dalam catatan ini akan disenaraikan judul-judul kitab fiqh yang disusun oleh al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). Selain kitab yang ditulis khusus dalam bidang fiqh, disebutkan juga beberapa karya beliau yang lain yang juga  ada membincangkan permasalahan fiqh seperti karya dalam bidang usul fiqh dan hadis. Berikut disenaraikan antara karya beliau tersebut;
3.   Daqa-iq al-Rawdhah (دقائق الروضة)  
10.  al-Minhaj fi Syarh Shahih Muslim (المنهاج شرح صحيح مسلم )[1]
11.  Muhimmah al-Ahkam (مهمات الأحكام)[2]
14.  Nukat al-Muhazzab
15.  Nuktah al-Tanbih (النكت على التنبيه)
16.  Nuktah ‘ala al-Wasith (نكت على الوسيط)
21.  al-Tanqih Syarh al-Wasith  (التنقيح في شرح الوسيط)[3]
22.  Tuhfah Thalib  Syarh al-Tanbih[4]
24.  al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط)





[1] Walaupun ia merupakan kitab huraian hadis, namun begitu ia juga boleh dikatogori sebagai kitab fiqh Syafi’i kerana terdapat perbincangan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i.
[2] Karya beliau ini hanya sampai di pertengahan kitab al-Thaharah, iaitu mengenai kebersihan pakaian dan badan.
[3] Beliau hanya sempat menyusunnya sampai di pertengahan kitab al-Shalah, iaitu mengenai syarat-syarat solat.
[4] Beliau tidak sempat menyempurnakannya, hanya  di pertengahan kitab al-Shalah.

Tuesday, June 9, 2020

al-Khulashah Fi Ahaditsi al-Ahkam


Kitab al-Khulashah Fi Ahaditsi al-Ahkam atau nama lengkapnya “Khulashah al-Ahkam Fi Muhimmat al-Sunan  Wa Qawa’id al-Islam” (خلاصة الأحكام في مهمات السنن وقواعد الإسلام) adalah sebuah karya dalam bidang hadis ahkam, iaitu kitab hadis yang khusus hanya mengumpulkan hadis-hadis yang berkaitan dengan hukum fiqh. Kitab ini disusun oleh Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab ini menjadi rujukan para ulama sesudah Imam al-Nawawi sebagai sumber takhrij hadis-hadis ahkam.  Kebanyakan hadis-hadis hukum yang digunakan oleh fuqaha’ sebagai dasar “istinbath” fiqh telah dikumpulkan Imam al-Nawawi dalam kitab ini.

Kitab “Khulashah al-Ahkam” fokus pada hadis-hadis hukum yang diambil dari kitab-kitab hadis utama seperti Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Nasa-i, Sunan al-Tirmidzi, Sunan Ibnu Majah, Sunan al-Daroquthni, Sunan al-Baihaqi, Mustadrak al-Hakim, dan lain-lain. Hanya saja hadis-hadis hukum yang dikumpulkan oleh Imam al-Nawawi ini tidak lengkap. Beliau hanya sempat menyusun kitab ini sampai bab zakat saja. Barangkali usia al-Nawawi yang pendek (wafat dalam usia 45 tahun) yang menyebabkan kitab ini tidak sempat disempurnakan.

Mengenai faktor yang mendorong al-Nawawi menyusun kitab ini, ada diterangkan dalam muqaddimah kitab ini. Beliau menerangkan bahawa kitab “Khulashah al-Ahkam” disusun adalah didasarkan kepada pemahaman bahawa kaum muslimin wajib berqudwah kepada Rasulullah  dalam hal hukum dan adab. Juga demi melaksanakan perintah kembali kepada Rasulullah  jika terjadi “tanazu’” (perselisihan) yang hanya mungkin ditasfirkan kembali pada sunnah Rasul setelah beliau wafat. Juga demi menjaga diri agar tidak sampai terjatuh pada perkara yang diada-adakan (bid’ah)  yang tidak ada dasarnya dalam agama. Juga demi menjaga kaum muslimin agar hanya bertumpu pada hadis-hadis sahih saja dan selamat dari hadis-hadis dhoif, meskipun yang mengamalkannya banyak, bahkan meskipun disebutkan dalam kitab-kitab fikih besar. Juga untuk memberi pemahaman bahwa kebolehan beramal dengan hadis “dhoif” pada “fadhoil amal” itu tidak bersifat mutlak tapi bersifat “muqoyyad”. Sebelum menyusun kitab ini, al-Nawawi telah mengawalinya dengan beristikharah.

Kitab “Khulashah al-Ahkam” ini dipuji sejumlah ulama. Ibnu al-Mulaqqin mengatakan, “Seandainya saja al-Nawawi menyelesaikan kitab ini, maka akan menjadi kitab yang tiada taranya”. Al-Lakhmi berkata, “Tidak ada ahli hadis yang tidak memerlukannya, apalagi seorang ahli fikih.”

Perhatian ulama terhadap kitab ini juga cukup tinggi dengan bukti kitab ini dijadikan sebagai salah satu rujukan dalam hal “takhrij”. Di antara yang banyak merujuknya adalah al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam  kitab “al-Talkhish al-Habir” dan “Fathu Al-Bari” dan Imam al-Zaila’i dalam  kitab  “Nashbu al-Rayah”. Fakta ini sekaligus menunjukkan bahawa al-Nawawi juga seorang ahli hadis yang diakui.  

Adapun metode penulisannya, prinsip pentingnya adalah al-Nawawi hanya mengumpulkan hadis-hadis hukum. Jadi hadis-hadis yang terkait akidah, sirah, akhlak, zuhud dan semisalnya tidak ditulis.  

Dari sisi kualiti hadis, al-Nawawi hanya memasukkan hadis sahih dan hadis hasan saja. Hal ini penting, keraana sudah diketahui dalam ilmu fikih sebuah ketentuan yang menyatakan bahwa tidak boleh berhujjah dengan hadis “dhoif” dalam perkara halal-haram (hukum). Himpunan hadis “dhoif” dikumpulkan al-Nawawi secara terpisah dan diasingkan di akhir tiap bab (section). Tujuan al-Nawawi menulis hadis-hadis “dho’if” dalam kitab ini adalah agar diwaspadai dan diketahui sebagai hadis yang tidak boleh dijadikan hujjah dalam perkara hukum. Mengumpulkan hadis-hadis “dhoif” dalam “section” tersendiri seperti ini adalah kreativiti al-Nawawi yang nampaknya belum pernah dilakukan oleh ahli-ahli hadis yang lain yang mengumpulkan hadis-hadis “ahkam”.

Dalam penyusunan kitab ini, kekadang beliau  mengomentari terkait penekanan hukum yang dianggap beliau perlu. Misalnya pada saat beliau menerangkan “dhoif”nya hadis yang dijadikan dasar untuk menetapkan bahawa dalam solat hari raya perlu ada dua khutbah, bukan satu khutbah. Imam al-Nawawi menegaskan semua hadis yang dijadikan dasar itu “dhoif”. Manakala,  penetapan hukum dalam mazhab al-Syafi’i setelah solat hari raya disyariatkan khutbah dua kali bukan kerana ada hadis sahih/hasan tertentu yang menjadi dasar, tetapi kerana diqiyaskan dengan khutbah Jumaat.

Adapun berkaitan  “mukhorrij” hadis, jika hadis yang ditulis al-Nawawi tercantum dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim maka beliau cukup menyebutnya “muttafaqun ‘alaih”, atau “rawahu al-Bukhari”, “rawahu Muslim” dan yang semakna dengan itu. Jika ada perbedaan lafaz antara riwayat al-Bukhari dan Muslim maka dipilih salah satu lalu diterangkan dari mana diambil, misanya ditulis “wa lafzhuhu li muslim”. Jika ada “mukhorrij” lain selain Asy-syaikhan, mereka juga disebutkan. Jika al-Nawawi mengatakan “rawahu ats-tsalatsah” maka itu bermakna diriwayatkan Abu Dawud, al-Timidzi dan al-Nasai.

Imam al-Nawawi kadang-kadang juga melakukan “jarh” dan “ta’dil” pada riwayat-riwayat tertentu, terutama terhadap perawi hadis yang menjadi posisi kunci dalam hadis tersebut.

Himpunan hadis-hadis yang dikumpulkan al-Nawawi dalam kitab ini, dikelompokkan dalam sistem penggolongan “kutub” (chapters) dan “abwab” (sections). Secara keseluruhan, isi kitab ini terdiri dari sekitar lebih dari 20 “kutub” (chapters) dan 300 “abwab” (sections).

Manuskrip kitab ini boleh  ditemukan di antaranya di Al-Maktabah As-Sa’idiyyah di Hyderabad; India, Al-Jami’ah Al-Islamiyyah di Madinah, dll.

Kitab Khulashh  al-Ahkam telah diterbitkan oleh Mu-assasah Ar-Risalah dalam dua jilid setebal 1099 halaman atas jasa “tahqiq” Husain Isma’il Al-Jamal.


Semoga bermanfaat.


Tuesday, May 26, 2020

Mawahib al-Dayyan Syarh Fath al-Rahman


Kitab Mawahib al-Dayyan Syarh Fath al-Rahman ( مواهب الديان شرح فتح الرحمن) merupakan sebuah karya yang menbincangkan mengenai akidah, fiqh al-ibadah dalam mazhab al-Syafi’i dan ihsan (adab hubungan dengan Allah SWT). Kitab ini disusun oleh Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’asyan al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H].

Kitab Mawahib al-Dayyan ini disusun sebagai huraian bagi kitab Fath al-Rahman (فتح الرحمن), iaitu karya al-‘Allamah al-Syeikh Muhammad bin Ziyad al-Wadhahi al-Syar’abi (1135H), Qadhi dan Mufti negeri Zabid, Yaman pada zamannya. Kitab Fath al-Rahman merupakan kitab yang menerangkan mengenai akidah, hukum hakam  (fiqh) dan ihsan. Kitab yang ringkas ini disusun berdasarkan sebuah hadis Rasulullah saw yang terkenal dengan  nama Hadis Jibril ‘a.s. (حديث جبريل عليه السلام), yang kandungannya memaparkan dialog antara Nabi Muhammad s.a.w. bersama Jibril ‘a.s. mengenai Islam (الإسلام), iman (الإيمان) dan ihsan (الإحسان) serta tanda-tanda kiamat.

Berdasarkan kitab yang dterbitkan oleh Darul Minhaj, pada tahun 2004, kandungan kitab ini merangkumi 415 halaman. Semoga bermanfaat.

Tuesday, May 19, 2020

Hukum & Persoalan Darah-Darah Haid, Nifas Dan Istihadah


Buku Hukum & Persoalan Darah-Darah Haid, Nifas Dan Istihadah adalah sebuah karya terjemahan dari sebuah buku berbahasa Arab yang berjudul al-Ihathah bi Ahamm Masa’il al-Hidh wa al-Nifas wa al-Istihadhah (الإحاطة بأهم مسائل الحيض والنفاس والاستحاض). Karya asalnya disusun oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, manakala edisi terjemahannya disusun oleh Ustaz Muhammad Ramzi Omar. Buku ini diterbitkan  oleh Sinar Media Services pada tahun 2007 dengan  151 halaman.

Buku ini disusun secara khusus membahaskan berkenaan persoalan-persoalan berkaitan haid, nifas dan istihadah serta hukum hakam yang dengannya - merangkumi hukum taharah, sembahyang, puasa, tawaf, membaca  al-Quran, talak, pergaulan suami isteri dan sebagainya.

Buku ini sangat perlu dibaca dan dipelajari kerana persoalan darah wanita adalah persoalan yang amat penting kerana ia membabitkan keabsahan ibadat utama yang dilakukan seperti solat dan puasa. Kejahilan seorang wanita tentang hukum-hukum yang berkaitan darah yang dilaluinya akan menyebabkan kedudukan ibadatnya tidak menentu sama ada sah atau tidak, dan apatah lagi mendapat penerimaan di sisi Allah S.W.T.

Dalam perbincangan isi kandungan buku ini, selain pandangan mazhab Syafi’i, pandangan para ulama mazhab lain juga turut dikemukakan sebagai perbandingan.

Semoga bermanfaat.

Monday, May 18, 2020

Cahaya Yang Menerangi


Buku Cahaya Yang Menerangi adalah karya yang menghimpunkan 200 soal jawab bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki ()  dalam isu akidah dan hukum-hakam feqah. Soalan-soalan yang diajukan semasa sesi pengajian talaqqi ini dijawab oleh Syeikh Nuruddin secara spontan. Buku ini dterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd pada tahun 2017 dengan ketebalan merangkumi 164 halaman.

Usaha pembukuan soal jawab ini telah diambil inisiatif oleh Ustaz Muhadir Haji Joll  supaya manfaatnya dapat menyebar lebih luas kepada masyarakat.

 Antara permasalahan yang dijawab oleh Syeikh Nuruddin:
a)      Membawa atau memegang al-Quran digital.
b)      Solat menghormati waktu.
c)      Bangkai cicak dalam makanan.
d)     Air mata orang hidup menitis ke muka mayat.
e)   Pakaian bernajis disekalikan dengan pakaian lain di dalam mesin basuh dan banyak lagi. 

Semoga bermanfaat.

Kekeliruan Umat: Inilah Jawapannya


Buku Kekeliruan Umat: Inilah Jawapannya .. merupakan sebuah buku yang disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Seorang pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya. Buku setebal 341 halaman ini telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada 4 Julai 2014. 

Kandungan buku ini adalah himpunan 65 persoalan dan jawapan popular tentang perkara khilafiah yang sering diperdebatkan oleh masyarakat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam memahaminya. Dihurai dalam bentuk soal jawab ringkas dan padat untuk lebih mudah difahami dan dihafal berserta dalil-dalil al-Quran, hadis dan juga pendapat ulama yang muktabar. Sesuai dibaca oleh para penuntut ilmu dan masyarakat awam. 

Menurut penyusunnya, buku ini merupakan ringkasan bagi sebuah karya beliau yang lain, iaitu buku yang berjudul Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya.

Semoga bermanfaat.