Friday, July 17, 2020

Ilmu & Amalan Di Alaf Baru


Buku Ilmu & Amalan Di Alaf Baru adalah sebuah karya yang disusun oleh Dr. Basri Ibrahim dan diterbitkan oleh Darul Nu’man dengan cetakan pertamanya pada tahun 2000. 

Secara umumnya, buku ini mengutarakan tentang kepentingan menuntut ilmu dan adab-adab menuntut ilmu dalam Islam yang pernah dibicarakan oleh tokoh-tokoh ilmuan ulung Islam di dalam kitab-kitab karangan mereka. Adab-adab yang dikemukakan ini mengambil kira adab-adab menuntut ilmu pada masa lampau dengan adab-adab menuntut ilmu pada zaman kini.

Kemunculan buku ini dapat memberi sedikit sebanyak panduan kepada para ilmuan dan penuntut ilmu ke arah beriltizam kembali kepada adab-adab ilmu dalam Islam. Semoga mereka dapat menjadi para ilmuan ulung yang dapat dijadikan rujukan umat, bukan sahaja dari segi keilmuan mereka, bahkan juga dari segi akhlak dan perlakuan mereka. Ilmuan yang mana akhlak dan tindakannya adalah selaras.

Alaf baru merupakan alaf yang sangat mencabar terhadap ahli ilmu, kerana merupakan alaf yang tidak ada sempadan dari rempuhan budaya asing. Penguasaan ilmu dan teknologi canggih saja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan kemantapan jiwa dan akhlak yang mulia. Betapapun kehebatan manusia merakit pengetahuan jika tidak digunakan kepada kebaikan maka menjadi penyumbang kehancuran alam ini.

Menuntut ilmu merupakan strategi ke arah perubahan cara berfikir dan bertindak dalam masyarakat. Nilai dan martabat ilmu sangat tinggi, malah kelebihan Nabi Adam berbanding para malaikat ialah kerana ilmu yang Allah ajarkan kepadanya. Hari ini adab menuntut ilmu telah diketepikan oleh sesetengah pihak, yang mereka utamakan adalah perniagaan ilmu. Jika fenomena ini tidak berakhir, maka cahaya ilmu akan malap dan terpadam.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment