Wednesday, July 18, 2018

MIFTAHUL JANNAH (مفتاح الجنة)


Kitab Miftah al-Jannah (مفتاح الجنة) adalah sebuah karya dalam bidang aqidah (Usuluddin) yang disusun oleh Syaikh Muhammad Thayyib bin Mas`ud al-Banjari dalam bahasa Melayu (Jawi). Kitab ini merupakan terjemahan dan huraian bagi kitab Umm al-Barahin, karya Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al-Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Thayyib dalam bahasa Melayu bagi memudahkan umat Islam mempelajari dan memahami ilmu aqidah. Kata beliau;

“ Dan ada pun kemudian dari itu, tatkala ku lihat akan kebanyakan daripada orang Jawi tiada faham mereka itu akan kalam Arab kerana lemah mereka itu pada menuntut ilmu yang bahasa Arab, maka tiadalah mengenal oleh setengah daripada mereka ituakan tafsil segala ‘aqa-idul iman dan tiada mengenal ia akan dalilnya yakni tiada mengenal kebanyakan mereka itu akan tafsil simpulan iman yang lima npuluh seperti yang tersebut di dalam kitab Kifayatul ‘Awam atau enam puluh atau enam puluh enam seperti yang tesebut di dalam  Umm al-Barahin. Dan tiada mengenal mereka itu akan dalilnya yang ijmali tetap dalil sekalian ‘aqa-id yang tersebut ”.

Dalam penyusunan kitab ini, Syaikh Muhammad Thayyib al-Banjari telah menambah beberapa keterangan untuk menjelaskan lagi maksud ungkapan-ungkapan perkataan yang terkandung di dalam kitab Umm al-Barahin dengan merujuk kepada beberapa kitab syarah (huraian) dan hasyiahnya. Kata Syaikh Muhammad Thayyib;

“ Maka aku pungut bagi mereka itu segala simpulan iman daripada kitab Umm al-Barahin dengan bahasa mereka dan aku datangkan dengan dalil pada sisi madlulnya dan aku nyatakan segala makna tiap-tiap ‘aqa’id itu dengan barang yang aku tilik akan dia daripada segala syarah dan segala hasyiyah atas jalan memendekkan kerana memudahkan mereka itu ”.

Berdasarkan beberapa cetakan kitab ini, ia dicetakkan bersama tiga buah kitab yang lain, iaitu;
a)     Kitab Ushul al-Tahqiq pada ilmu usuluddin.
c)      Kitab Tajwid al-Quran.
d)     Risalah Asrarud Din li Ahlil Yaqin, karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien.


Semoga bermanfaat.

FAIDH AL-MALIK AL-'ALLAM (فيض الله الملك العلام)


Kitab Faidh al-Malik al-‘Allam li ma Isytamala ‘alaihi al-Nusuk min al-Ahkam (فيض الله الملك العلام لما اشتمل عليه النسك من الأحكام) adalah sebuah kitab ringkas yang menerangkan mengenai tatacara ibadat haji dan umrah berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis (1187-1240H).

Kitab ini telah diberikan huraian (syarah) oleh dua orang murid Syaikh Muhammad Shalih al-Rayyis, iaitu;

1)   al-'Allamah al-Sayyid Yusuf bin Muhammad bin Yahya bin Abu Bakr bin Ali al-Baththah al-Ahdal al-Husaini al-Zabidi (1246H), dengan karyanya yang berjudul Irsyad al-Anam ila Syarh Faidh al-Malik al-‘Allam li ma Isytamala ‘alaihi al-Nusuk min al-Ahkam (إرشاد الأنام إلى شرح فيض الله الملك العلام لما اشتمل عليه النسك من الأحكام).

2)  al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi (1230-1314H), dengan karyanya yang berjudul ‘Umdah al-‘Awam fi Syarh  Faidh al-Malik al-‘Allam (عمده العوام في شرح فيض الملك العلام).               

Saya belum dapat maklumat kitab Faidh al-Malik al-‘Allam ini dalam versi cetakan. Manakala manuskripnya  boleh dimuat turun di pautan https://al-mostafa.info/data/arabic/depot/gap.php?file=m016459.pdf.

Kitab Irsyad al-Anam pula boleh dimuat turun di pautan إرشاد الأنام   dan kitab ‘Umdah al-‘Awam di pautan عمده العوام.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, July 17, 2018

AQIDAH AL-NAJIN FI 'ILMU USHUL AL-DIN (عقيدة الناجين في علم أصولالدين)


Kitab ‘Aqidah al-Najin fi `Ilm Ushul al-Din (عقيدة الناجين في علم أصولالدين) merupakan sebuah karya dalam bidang aqidah dalam bahasa Melayu (Jawi). Kitab ini ditulis oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin bin Muhammad al-Fathani, yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal.

Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani menulis kitab ‘Aqidah al-Najin ini sebagai huraian bagi kitab Umm al-Barahin (أم البراهين), iaitu sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal di kalangan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari aliran al-Asya’irah.  Kitab ini adalah sebuah karya al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Kitab 'Aqidah al-Najin adalah sebuah kitab yang boleh dikategorikan sebagai “muktabar” dalam bidang aqidah, khususnya di Nusantara. Kepentingan dan kedudukan kitab 'Aqidah al-Najin ini sebenarnya berkait rapat dengan kedudukan dan reputasi teks induknya iaitu kitab Umm al-Barahin di Nusantara.

Tujuan karya ini ditulis, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani, adalah sebagai mengemukakan suatu terjemahan Melayu bagi kitab Umm al-Barahin karya Shaykh Sanusi untuk bacaan dan panduan pelajar dan umat Islam umumnya. Dalam hal ini Syaikh Zayn al-`Abidin al-Fathani menyebut dalam muqaddimah kitabnya;

“ Telah membaiki Allah Ta`ala bagiku dan bagi mereka itu akan bahawa aku suratkan bagi mereka itu suatu kitab pada menyatakan ilmu usuluddin pada hal aku terjemahkan daripada Muqaddimah Syaikh Sanusi serta aku tambahkan atasnya daripada beberapa kalam syarahnya dan hasyiahnya supaya nyata maksud daripada kalam syaikh itu dan jikalau tiada aku ahli bagi yang demikian itu sekali pun tetapi i`timadku kepada tawfiq al-Karim al-Wahhab[1] ”.

Dari sini, jelas bahawa 'Aqidah al-Najin bukan sekadar terjemahan Umm al-Barahin, bahkan lebih dari itu, ia boleh dikategorikan sebagai suatu komentari dan olahan peribadi Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani. Sumber olahan dan komentari ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani di atas, diambil dari syarah dan hashiyah Umm al-Barahin itu sendiri, sama ada yang dikarang oleh Syaikh Sanusi sendiri ataupun karya ulama lain seperti Syaikh Hudhudi dan sebagainya.

Kitab ini telah disempurnakan penulisannya oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin pada hari Sabtu bulan Jamad al-Akhir, tahun 1308 Hijrah.

Kitab 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din ini boleh dimuat turun di pautan عقيدة الناجين في علم أصولالدين atau  عقيدة الناجين في علم أصولالدين.

Catatan ringkas di atas dipetik dan diubahsuai dari artikel “ Beberapa Aspek Epistemologi al-Shaykh Zayn al-'Abidin B. Muhammad al-Fatani: Suatu Penelitian Awal Terhadap Karyanya 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din”, karya Wan Suhaimi Wan Abdullah. Semoga bermanfaat.



[1] al-Syaikh Zayn al-`Abidin bin Muhammad al-Fathani (t.t), `Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din, Thailand: Matba`ah bin Halabi, h. 2.

Monday, July 16, 2018

MAW'IZATUL LIN-NAS (موعظة للناس)


Kitab Maw’izatul Lin-Nas (موعظة للناس) merupakan sebuah karya fiqh yang ringkas yang ditulis dalam bahasa Melayu (Jawi). Kandungan kitab ini, menerangkan kaifiat (cara) sembahyang berdasarkan mazhab Syafi’i. Penulis kitab ini tidak diketahui, hanya ditulis di halaman hadapan kitab “ karangan orang sufi tiada menyatakan dirinya kerana warak dan tadharruknya”. Berdasarkan gaya bahasa yang digunakan dalam penulisan kitab ini, kemungkinan ia ditulis oleh seorang ulama dari Indonesia.

Kitab ini dicetak bersama kitab Miftahul Jannah, karya Syaikh Muhammad Thayyib bin Mas’ud al-Banjari, iaitu sebuah kitab mengenai akidah. Sekadar rujukan yang terbatas, saya belum menemui maklumat kewujudan versi cetakan kitab ini secara berasingan. Berdasarkan kitab Maw’izatul Lin Nas yang dicetak bersama kitab Miftahul Jannah, yang diterbitkan oleh Mathba’ah Bin Halabi, Patani, Thailand, - ketebalannya hanya merangkumi 11 halaman.

Penulisan kitab ini berdasarkan kaedah “ Soal Jawab ”. Selepas muqaddimah penulisnya, kandungan kitab ini mulai dengan penerangan mengenai rukun sembahyang. Kata penulis; “ Dan ketahui oleh mu bahawasanya rukun sembahyang itu tiga belas rukun. (pertama) Niat (Su-al), jika ditanyai orang kita berapa bagi niat. (Jawab) oleh mu, iaitu empat bagi ”. 

Di antara isi kandungan kitab ini, ialah;
a)     Rukun sembahyang
b)     Hikmat bilangan rakaat sembahyang lima waktu.
c)   Bersuci – syarat istinjak, fardu (rukun) mandi janabah, rukun (rukun) dan perkara yang membatalkan air sembahyang (wuduk).
d)     Syarat sah dan perkara membatalkan sembahyang.

Ini saja catatan ringkas saya terhadap kitab Muw’izatu Lin Nas. Semoga bermanfaat.

RISALAH BABUL JUMU'AH (رسالة باب الجمعة)


Risalah Babul Jumu’ah (رسالة باب الجمعة), adalah sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikh Husain bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani (Pontianak), yang khusus membicarakan mengenai sembahyang Jumaat berdasarkan mazhab Syafi’i.

Kitab ini selesai ditulis pada 28 Jamadilawal 1316H di Belitung. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317H. Selain cetakan ini, Risalah Babul Jumu’ah ini sentiasa dicetak pada bahagian tepi atau akhir karya Syaikh Husain al-Jawi yang berjudul Tuhfatur Raghibin.


Kandungan kitab ini;

Dimulai dengan Khutbah dan muqaddimah pada menyatakan dalil wajib sembahyang Jumaat. Seterusnya dikuti dengan 12 fasal,iaitu;

1)      Pada menyatakan kelebihan sembahyang Jumaat
2)     Pada menyatakan kecelaan meninggalkan Jumaat.
3)     Pada menyatakan syarat wajib Jumaat.
4)     Pada menyatakan syarat sah Jumaat.
5)     Pada menatakan rukun-rukun Jumaat.
6)     Pada menyatakan syarat dua khutbah. (Furu’: pada menyatakan tiada boleh jadi imam Jumaat, melainkan orang yang mendengar segala rukun )
7)    Pada menyatakan yang sunat-sunat bagi khatib.
8)    Pada menayatakan yang makruh bagi khatib.
9)   Pada aturan pergi sembahyang Jumaat.  (Tanbih: pada menyatakan barang yang dituntut didalam lafaz niat sembahyang Jumaat).
10) Pada menyatakan wirid-wirid lepas Jumaat.
11) Pada menyatakan kelebihan berjamaah dan kecelaan meninggalkannya.
12) Pada menyatakan hukum berjamaah sembahyang.

Kandungan kitab ini disudahi dengan sebuah ‘khatimah” (penutup) yang menyatakan setengah daripada uzur berjemaah dan Jumaat.

Kitab ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan  تحفة الراغبين في تقليد القول بصحة الجمعة بدون الأربعين. Kitab ini terletak di bahagian akhir kitab Tuhfatul Raghibin.. Semoga bermanfaat.

Sunday, July 15, 2018

Kifayatul Muhtaj fi al-Israk wal Mikraj (كفاية المحتاج في الإسراء والمعراج)


Kitab Kifayatul Muhtaj fi al-Israk wal Mikraj (كفاية المحتاج في الإسراء والمعراج) merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (), yang khusus membicarakan mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw.

Kifayah al-Muhtaj ini selesai ditulis oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani di  Makkah al-Musyarrafah, pada hari Selasa, antara waktu Zhuhur dan ‘Ashar, 27 Muharram 1224 H. Kitab ini merupakan terjemahan  isi kandungan Risalah Najmuddin al-Ghaithi dan syarahnya oleh Syeikh Ahmad Syihabuddin al-Qalyubi. Selain itu, Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani juga menggunakan kitab-kitab lain sebagai rujukan.

Kitab Kifayatul Muhtaj ini telah dicetak berulang-ulang kali dari dulu hingga sekarang. Di antara cetakan terawal kitab ini ialah cetakan yang kedua oleh Mathba‘ah at-Taraqqil Majidiyah, Makkah, 1330 H, ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.


Catatan di atas adalah petikan yang diubahsuai dari artikel di pautan Israk Mikraj dan Kebangkitan Ummah Siri 1 , oleh Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah. Semoga bermanfaat.

Saturday, July 14, 2018

TUHFATUL RAGHIBIN FI TAQLID AL-QAWL BI SHIHHATI AL-JUMU'AH BI DUN AL-ARBA'IN


Kitab Tuhfatul Raghibin fi Taqlid al-Qawl bi Shihhati al-Jumu’ah bi Dun al-Arba’in[1] (تحفة الراغبين في تقليد القول بصحة الجمعة بدون الأربعين) adalah sebuah karya[2] Syaikh Husain bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani (Pontianak)[3]. Kitab ini menerangkan keharusan bertaklid kepada pendapat lama (Qawl al-Qadimالقول القديم :) Imam al-Syafi’i yang mengatakan sahnya solat Jumaat dengan bilangan jamaah yang tidak mencukupi 40 orang.

Kitab ini selesai dituliskan pada 27 Syawal 1319H. Cetakan yang pertama kitab ini oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada 1319H.

Kandungan kitab ini mengandungan sebuah muqaddimah yang menerangkan perbezaan pendapat para ulama mengenai hukum menunaikan solat Jumaat dengan bilangan kurang daripada 40 orang. Perbahasan berikutnya dibahagikan kepada 20 fasal, antaranya ;

a)     Menerangkan mengenai qawl qadim dan qawl jadid,
b) Menerangkan nas qawl qadim dan pendapat ulama mazhab Syafi’i yang mengesahkan mengamalkannya.
c)     Hukum mengerjakan solat zuhur selepas solat Jumaat yang tidak cukup bilangan 40 orang.
d)     Mengenai taklid dan keharusan perpindahan mazhab
e)     Keutamaan taklid kepada Qawl Qadim daripada bertaqlid kepada mazhab lain.


Semoga bermanfaat.




[1] Selain kitab Tuhfatul Raghibin ini terdapat karya ulama lain yang sama judulnya dengan kitab ini, antaranya;
a)     Tuhfatur Raghibin  fi Suluk Thariqil Muttaqin, karya Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani (1847H)
b)  Tuhfah ar-Raghibin fi Bayan Haqiqatil Imanil Mu’minin wa ma Yufsiduhu min Riddatil Murtaddin, yang dikatakan karya Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari (1812M).

[2] Antara karya beliau yang lain ialah;
a)   Babul Jumu’ah , diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1316H di Belitung. Kandungan membicarakan hukum Jumaat. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317H. Selain cetakan ini sentiasa dicetak pada bahagian tepi karya beliau Tuhfatur Raghibin.
b)    Nuzhatut Tharaf fi Auzani Ilmi al-Sharf, diselesaikan pada 6 Syawal 1321H di Mekah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf. Cetakan pertama di Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada 16 Safar 1322H. Dicetak atas zimmah Sheikh Muhammad Majid bin Muhammad Shalih al-Kurdi al-Makki.

[3] Biodata ringkas beliau  dan antara sumber rujukan catatan ini, lihat  Ulama-ulama Pontianak dan karya mereka (bhg.2)


Wednesday, July 11, 2018

HIDAYATUSH SHIBYAN (هداية الصبيان)


Kitab Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (هِدَايَةُ الصِّبْيَانِ فِى مَعْرِفَةِ اْلإِسْلاَمِ وَاْلإِيــْمَانِ) merupakan sebuah karya mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang disusun Syaikh Abu ‘Abdullah Husain Nashir bin Muhammad Thayyib al-Mas’udi al-Banjari (1863-1936M), yang mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.  

Sebagaimana judulnya Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (Petunjuk Kanak-Kanak Pada Mengenal Islam dan Iman) kitab ini ditulis oleh penulisnya sebagai panduan umat Islam, khususnya bagi kanak-kanak atau mereka baharu mula ingin mempelajari ajaran Islam, sama ada dari aspek akidah atau syariatnya. Kitab banyak diajar di pondok-pondok pengajian Islam bagi mereka yang baru memasuki alam pondok.

Dan kitab ini telah selesai penulisannya oleh pengarang pada hari Isnin, 18hb. Muharram 1330 Hijrah bersamaan 08hb. Januari 1912 Masihi.

Secara umumnya kandungannya kitab ini dibahagikan kepada  7 bahagian, iaitu;

1)     Kata Pengantar penulis.
2)    Muqaddimah Fil Iman wal Islam. (Makna iman dan Islam,rukun Iman dan Islam dan sifat wajib bagi Allah SWT dab para Rasul).
3)    Kitab al-Shalah (Sembahyang), yang terbahagi kepada 11 fasal. (mengenai bersuci dan syarat sah dan perkara membatalkan  sembahyang serta  bang [azan] dan iqamat).
4)  Bab fi Arkan al-Shalah (Rukun-rukun Sembahyang). Terbahagi kepada 16 fasal. Fasal 1- 8, berkaitan dengan rukun sembahyang. Fasal seterusnya berkaitan dengan perkara sunat sembahyang, sembahyang sunat, qasar dan jamak, sembahyang berjamaah, berkaitan dengan sembahyang Jumaat, dan berkaitan dengan orang sakit dan jenazah.
5)  Bab al-Zakat. Terbahagi kepada 2 fasal. Fasal pertama berkaitan dengan pembahagian zakat dan fasal kedua mengenai beberapa masalah berkaitan dengan zakat.
6)    Bab al-Shiyam (Puasa).
7)    Bab al-Haj wal ‘Umrah. Berkaitan ibadat haji dan umrah.

Pada masa kini, kitab Hidayatush Shibyan ini telah disalin kembali dengan tulisan Rumi dan telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan bagi memudahkan generasi sekarang membaca dan memahami isi kandungannya.

Kitab Hidayatul Shibyan (edisi Jawi) ini boleh dibaca secara on line di pautan https://sites.google.com/site/kitabhidayatussibyan/.

Semoga bermanfaat.

TANBIHUL GHAFILIN (تنبيه الغافلين)


Kitab yang ingin dikongsi dengan pembaca kali ini, ialah sebuah kitab dalam Bahasa Melayu lama (tulisan Jawi) yang berjudul Tanbihul Ghafilin (تنبيه الغافلين). Kitab ini disusun oleh Syaikh Abdullah bin Abdul Mubin al-Fathani al-Syafi’i (), seorang ulama dari Patani. Kitab ini merupakan sebuah karya dalam bidang hadis Nabi saw. Sebahagian besar hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab ini adalah berkaitan dengan perbuatan dosa besar.

Kandungan yang terdapat di dalam kitab ini ialah sebanyak 12 bab iaitu :

1)  Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang meninggalkan sembahyang.
2)    Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang derhaka kepada ibubapa.
3)     Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang meminum khamar (arak).
4)     Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang berzina.
5) Menyatakn mengenai dengan siksaan orang-orang yang melakukan liwat(hubungan sesama jenis).
6)     Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang memakan riba.
7)     Menyatakn mengenai dengan orang-orang yang tidak redha dengan qada dan qadar Allah dan yang menyatakan mengenai dengan pahala orang-orang yang sabar.
8)    Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat.
9)     Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang membunuh orang lain tanpa hak yang betul.
10) Menyatakan mengenai dengan hak wanita ke atas suaminya dan orang yang memutuskan hubungan silaturahim dengan ahli keluarga.
11)  Menyatakan mengenai dengan Hari Kiamat.
12) Menyatakan mengenai dengan syurga dan isi-isi di dalamnya.

Kitab Tanbihul Ghafilin versi tulisan Rumi sudah ada diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan bagi memudahkan para pembaca kini menjadikan kitab ini sebagai bahan  bacaan dan rujukan mereka.


Beberapa catatan mengenai kitab Tanbihul Ghafilin karya Syaikh Abdullah al-Fathani

Berikut dibawakan maklumat ringkas kitab ini, berdasarkan kajian al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, katanya;

“ Sheikh Abdullah menghasilkan sebuah kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin, yang diselesaikan penulisannya tahun 1184 H/1770 M. Kitab tersebut juga masih beredar di pasaran kitab. Karyanya yang pertama ialah terjemahan Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi. Terdapat tiga versi terjemahan beliau, ada yang lengkap merupakan terjemahan keseluruhan kandungan kitab asalnya. Namun, yang beredar di pasaran hanyalah merupakan terjemahan petikan-petikan kandungannya saja.

Versi yang sebuah lagi lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Dua versi yang agak lengkap tidak pernah dicetak. Beberapa manuskrip daripada ketiga-tiga versi tersebut telah dijumpai penulis, sekali gus menjadikannya koleksi sebagai bahan-bahan rujukan ”[1].

Berdasarkan kenyataan Haji Wan Mohd Shaghir di atas, ini menjelaskan bahawa kitab Tanbihul Ghafilin (Jawi) yang dicetak dan menjadi bacaan serta rujukan umat Islam kini, merupakan ringkasan terjemahan dari kitab Tanbihul Ghafilin bi Ahaditsi Sayyidil Anbiya’ wal Mursalin karya al-Imam Abu Al-Laith al-Samarqandi al-Hanafi (375H). Di samping kitab ringkasan ini, terdapat versi lain terjemahan Tanbih al-Ghafilin yang lebih lengkap yang masih dalam bentuk manuskrip.

Berikut beberapa kesimpulan yang saya perolehi berdasarkan pengamatan saya terhadap Tanbihul Ghafilin (Jawi) yang dicetak;

a)   Kitab ini merupakan kitab ringkasan bagi terjemahan Tanbihul Ghafilin susunan Syaikh Abdullah al-Fathani. Ini berdasarkan teks di awal kitab “Ku mulai mukhtashar ini (كملأي  مختصر اين )”, yang bermungkinan dari kata peringkasnya. Wallahu a’lam.

b)  Kitab ini ditulis pada 1184H. Berdasarkan petikan kata pengarangnya; “ Maka adapun kemudian dari itu. Maka adalah tatkala hijrah Nabi saw seribu seratus dulapan puluh empat tahun, maka sanya telah meminta kepada ku seorang daripada sahabatnya yang .... padaku menghimpunkan suatu risalah pada menyatakan ilmu hadis....”. Menurut pandangan saya, ini merupakan kata-kata penulis asal kitab, iaitu Syaikh Abdullah al-Fathani yang dipetik oleh peringkasnya. Manakala berdasarkan kenyataan al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir, tarikh ini adalah tahun kitab ini selesai ditulis. Wallahu a’lam.

c)      Di akhir kitab terjemahan Tanbih al-Ghafilin tercatat “ (تم هذا الكتاب يائت حديث يغ برنما تنبيه الغافلين فد وقت عشاء فد مالم ثلاث تيك هاري بولن شعبان فد تاهون سريب تيك راتس انم هجرة نبي صلى الله عليه وسلم)”. Di mana, dinyatakan selesai penulisan kitab ini pada malam selasa, 3 hb Sya’ban tahun 1306H. Berdasarkan jarak di antara tahun mula ditulis, iaitu tahun 1184H, dan tahun selesainya 1306H yang agak jauh, iaitu mengambil masa selama 122 tahun, ini menunjukkan teks terakhir kitab ini adalah kata-kata daripada peringkasnya. Wallahu a’lam.

d) Jika dianggap kitab ringkasan ini sememangnya ditulis oleh Syaikh Abdullah sendiri, kerana melihat kepada teks dalam muqaddimahnya;

“ Maka adapun kemudian dari itu. Maka adalah tatkala hijrah Nabi saw seribu seratus dulapan puluh empat tahun, maka sanya telah meminta kepada ku seorang daripada sahabatnya yang .... padaku menghimpunkan suatu risalah pada menyatakan ilmu hadis yang muwafakat atas Ahli Sunnah wal Jama'ah pada hal aku memindahkan daripada bahasa Arab kepada Bahasa Melayu supaya beroleh manfaat dengan dia kiranya bagi barangsiapa yang tidak tahu bahasa Arab, maka memperkenankan oleh faqir yang daif lagi bebal yang tiada mempunyai ilmu dan amal pada hal aku berpegang kepada Allah Ta’ala, iaitu Haji Abdullah anak Abdul Mubin Syafi’i mazhabnya dan bahawa dijadikan kiranya mukhtashar (ringkasan) ini tulus ikhlas bagi hadrat-Nya yang mulia dan ku namai hadis ini Tanbih al-Ghafilin .................. Maka adalah kitab hadis ini aku jadikan dua belas bab”. 

Maka teks di awal kitab “Ku mulai mukhtashar ini (كملأي  مختصر اين ) sebagaimana di nota (a) hingga akhir bab ke 12 adalah daripada penulisan Syaikh Abdullah al-Fathani sendiri. Manakala teks terakhir sebagaimana dalam nota (c) di atas, kemungkinan adalah kata-kata penyalin (nasikh) kitab ringkasan terjemahan Tanbihul Ghafilin ini. Wallahu a’lam.

Kitab Tanbihul Ghafilin (Jawi) ini boleh dimuat turun di pautan https://ia801606.us.archive.org/24/items/TanbihAlGhafilin/Tanbih%20al-Ghafilin.pdf.

Semoga bermanfaat.


[1] Dipetik dari artikel berjudul Penulisan hadis tokoh ulama Nusantara, karya Haji Wan Mohd Shaghir bin Abdullah.