Sunday, July 22, 2018

SYIAH RAFIDHAH: DIANTARA KECUAIAN ULAMA DAN KEBINGUNGAN UMMAH


Buku: Syiah Rafidhah: Di Antara Kecuaian Ulama dan Kebingungan Ummah adalah sebuah karya Maulana Muhammad Asri Yusoff (). Kandungan buku ini menerangkan mengenai  beberapa penyelewengan Syiah Rafidhah yang wajib diketahui oleh setiap umat Islam. Buku ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1990, oleh Pustaka Bisyarah, Kubang Krian, Kota Bharu, Kelantan. Ketebalan buku ini merangkumi 96 halaman, tidak termasuk halaman Muqaddimah (2 halaman) dan Prakata (4 halaman).

Berikut dilampirkan Prakata Edisi Ke Empat buku ini oleh Maulama Muhammad Asri Yusoff untuk tatapan bersama;

“ Sebenarnya buku ini ditulis hampir dua puluh tahun lalu susulan polemik Sunnah Syiah yang telah berlaku antara saya (penulis) dengan Hassan Salleh dan beberapa orang Syiah lain di dalam akhbar Watan yang kemudiannya terhenti. la terhenti dengan diakhiri maqalah seorang Syiah bernama Mustafa Harun (nama samaran?) yang tidak dapat dijawab oleh penulis berikutan akhbar berkenaan tidak lagi mahu melanjutkan polemik tersebut.

Oleh kerana pada ketika itu penulis tidak mempunyai saluran lain untuk menjawab kekeliruan-kekeliruan dan kekarutan-kekarutan yang ditaburnya di dalam maqalahnya, maka penulis telah bertindak menulis buku ini dengan tidak lagi terikat kepada perbahasan-perbahasan yang telah berlarutan di dalam polemik sebelumnya malah sebaliknya penulis menekankan dan memfokuskan kepada pengenalan ajaran Syiah itu sendiri yang tidak diketahui masyarakat umum di samping mengemukakan pandangan-pandangan dan fatwa-fatwa yang telah diberi oleh ulama' Islam yang mu`tabar tentang Syiah di sepanjang sejarah ummat.

Tajuk buku ini tepat sekali dengan keadaan masyarakat Islam setempat khasnya dan di seluruh dunia `amnya terutama pada ketika is mula-mula diterbitkan kerana rata-rata ulama' Islam cuai dalam menangani persoalan ini manakala ummat pula benar-benar kebingungan dalam menghadapinya.

Ketika itu belum lagi keluar fatwa majlis fatwa kebangsaan atau mana-mana institusi agama Islam yang lain di tanah air kita tentang sesat atau tidaknya ajaran Syiah yang digembar-gemburkan oleh pengembang-pengembangnya di seluruh Nusantara. Penulis malah dijadikan bahan ejekan dan momokan pengikut-pengikut Syiah kerana sering mereka mengatakan bahawa tidak ada satu pun majlis agama atau mana-mana badan keagamaan lain menyenaraikan Syiah sebagai satu ajaran sesat dan menyeleweng. Hanya penulis dan segelintir peribadi jua yang beria-ia sangat meniupkan semangat anti Syiah di kalangan masyarakat!

Sekarang setelah keluarnya fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan juga fatwa dari Majlis-Majlis Ugama Islam di setiap negeri berhubung dengan kesesatan dan kekufuran Syiah di samping kesedaran yang agak meluas di kalangan 'ulama' dan masyarakat, keadaan telah banyak berubah. Buku-buku yang mendedahkan kebatilan Syiah karangan ulama Arab dalam bahasa 'Arab juga sudah berlambak-lambak. Jawapan-jawapan kepada buku-buku propaganda Syiah seperti buku "Dialog Sunnah-Syiah" dan buku "Akhirnya Ku Temui Kebenaran" telah diterbitkan dan disebarkan secara meluas. Namun saya tidak mengatakan segala-gala permasalahan telah selesai, Syiah tidak wujud lagi di bumi Malaysia ini, semua 'ulama' sudah tidak cuai lagi dan ummat pula sudah tidak kebingungan lagi justeru masih ramai ummat yang terus kebingungan dan tidak kurang pula bilangan 'ulama' yang terus cuai, meskipun telah terbit fatwa-fatwa tadi dan telah banyak pembongkaran hakikat ajaran Syiah telah dibuat oleh para 'ulama' kita di seluruh dunia.

Alhamdulillah buku ini walaupun kecil, telah berjaya menghilangkan kekeliruan sebilangan besar orang-orang yang telah terpedaya dengan Syiah bahkan ada yang menceritakan kepada penulis bahawa dia hampir-hampir menganut fahaman Syiah kerana diayah dan propaganda yang disebar mereka dengan begitu meluas menerusi buku-buku dan majalah-majalah tetapi telah terselamat daripada terjebak ke dalam gaung kesesatan mereka setelah membaca buku ini. Alhamdulillah sekali lagi.

Pembaca yang budiman!

Biar apa pun, anda mestilah ingat dan mengerti bahawa orang-­orang yang telah menganut fahaman Syiah di kalangan masyarakat kita ini sudah tentu ramai di antara mereka masih tetap di atas ajaran yang salah itu dan terus aktif mengamal di samping menyebarkannya walau pun secara senyap-senyap dan sulit.

Andaikan seseorang telah menganut ugama Syiah dari tahun tercetusnya revolusi Iran (1979) dan ketika itu dia telah mendapat anak, tentu sekali anak itu sekarang telah berumur  26 tahun. Seorang anak yang dididik dan diasuh dalam keluarga Syiah dengan ajaran-ajaran Syiah yang melampau, sudah tentu langsung tidak akan terdedah dengan ajaran Islam yang dihayati oleh kita Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.

Ini bererti bahawa bilangan orang-orang Syiah akan sentiasa bertambah secara tabi'i dengan berkembangnya sesebuah keluarga mereka dan akhirnya mereka akan membentuk satu kelompok masyarakat yang entah berapa pula jumlahnya.

Persoalan yang timbul sekarang ialah apakah usaha kita sebagai `ulama' yang tidak cuai, ummat yang tidak kebingungan? Apakah langkah-langkah yang diambil oleh insitusi-institusi agama yang telah mengeluarkan fatwa tentang kesesatan Syiah untuk mengembalikan mereka kepada Islam sejati dan seterusnya memulihkan 'aqidah mereka yang rosak itu benar-benar telah membawa kejayaan yang memuaskan? Atau segala yang dilakukan hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja??

Lihat saja kepada pergaduhan, kekecohan dan bunuh-membunuh yang saban hari berlaku di negara-negara Islam yang malang. Puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah perbezaan 'aqidah Ahli as-Sunnah dan Syiah. Sejarah menyaksikan bahawa golongan Syiahlah sentiasa menjadi talibarut kuasa-kuasa besar kuffar dalam usaha mereka menghancur clan memporak-perandakan ummat Islam.

LihatIah apa yang berlaku di hadapan anda sendiri di zaman ini, betapa peranan mereka dalam memecah-belahkan negara dan ummat Islam di 'Iraq, Afghanistan, Pakistan, Lubnan dan lain-lain. Kekecohan cetusan mereka sentiasa membawa kepada pertumpahan darah.

Mahukah kita melihat keadaan seperti itu berlaku juga di negara kita yang tercinta ini? Jika tidak maka marilah sama-sama kita hapuskan atau paling tidak kita kawal wabak ajaran sesat ini dengan serius seperti mana kita bersungguh-sungguh mahu menghapuskan dan mengawal penyakit-penyakit menular atau virus-virus yang mengancam nyawa manusia. Malah ajaran sesat ini bukan sahaja mengancam nyawa masyarakat bahkan menggugat kestabilan sesebuah negara dan yang paling dahsyat bagi ummat Islam ialah is memusnahkan 'aqidah dan ajaran yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya yang mulia.

Di dalam edisi baru terbitan Pustaka Bisyarah ini, sedikit perubahan dan pindaan dilakukan di sana sini. Apa yang diharapkan sangat ialah agar seramai mungkin pembaca akan mendapat manfaat dari penjelasan yang diberikan dan penulis berdoa semoga Allah memberi taufiq dan hidayah-Nya kepada orang-orang yang telah terpengaruh dengan fahaman Syiah. Tiada tempat memohon taufiq dan hidayah kecuali kepada Allah jua ”.


Berikut disenaraikan antara persoalan-persoalan  yang akan terjawab apabila membaca buku ini;

1)      Apakah ajaran Syiah itu dan  siapakah Syiah Rafidhah? Buku ini membongkarnya.

2)    Adakah Syiah itu merupakan satu daripada mazhab-mazhab dalam Islam atau ia merupakan agama yang tersendiri? Buku ini akan menjelaskannya kepada anda.

3)  Apakah punca kekeliruan sesetengah ulama tentang Syiah dan bilakah bermula usaha-usaha pendekatan antara Sunnah dan Syiah? Buku ini menyingkap kembali sejarahnya.

4) Apakah cara-cara yang biasa digunakan oleh pengembang-pengembang Syiah untuk mengeliru dan membingungkan ummah? Buku ini mendedahkannya.

5)   Akhir sekali apa pula pandangan-pandangan dan fatwa-fatwa ulama muktabar di sepanjang sejarah tentang Syiah? Buku ini memaparkannya di hadapan anda.


Semoga bermanfaat.

KHULASAH AL-JAWAHIR FI TASFIAH AL-KHAWATIR


Kitab Khulasah al-Jawahir Fi Tasfiah al-Khawatir (خلاصة الجواهر في تصفية الخواطر), adalah sebuah karya Tuan Guru Hj. Muhammad bin Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani, yang terkenal dengan gelaran Haji Sulong. Sebuah kitab mengenai akidah berdasarkan pegangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Tarikh selesai mentabyidhnya (تبييض) pada malam Ahad, 24 Muharram 1346H di Makkah al-Mukarramah. Kitab setebal 36 halaman (termasuk kulit depan), cetakan Matbaah al-Ahmadiyah Singapura pada tahun 1346H.

Kandungan kitab ini, memulakan bicaranya tentang nafi (نفي) dan isbat (اثبات) yang terdapat pada kalimah  لا اله الا الله  . Kemudian diikuti oleh perbahasan pertama tentang pengertian usaha menurut beberapa pandangan ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Dalam perbahasan kedua, pengarang memuatkan pula pengertian ikhtiyar dan hubung-kaitnya dengan usaha. Berkata Tuan Guru Hj. Sulong;

dan ini ikhtiyar lain daripada usaha dengan tiada khilaf dan tetapi adalah ia melazimkan bagi usaha. Maka barangsiapa mengisbatkan usaha nescaya mengisbat ia akan ikhtiyar yang zahiri dan yaitu perkataan ahlu sunnah dan barangsiapa menafikan dia nescaya menafi ia akan ikhtiyar yang zahiri dan yaitu perkataan kaum Jabariyah.....” (hal. 15).

Dalam khatimahnya, pengarang membahagikan mereka yang mengiktiqadkan segala sebab yang beradat kepada empat puak.


Catatan di atas dipetik dengan sedikit pengubahsuaian dari http://pusakamoyang.blogspot.com/2012/03/khulasah-al-jawahir.html

Semoga bermanfaat.

Wednesday, July 18, 2018

Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama'ah: Sebuah Huraian dari Perspektif Sejarah dan Konsep


Buku Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama'ah: Sebuah Huraian dari Perspektif Sejarah dan Konsep, merupakan sebuah buku yang menghimpunkan koleksi tulisan al-Marhum Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady (1943-2013), seorang tokoh pemikir dan intelektual terkenal di Malaysia. 

Buku ini diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), dengan cetakan pertamanya pada 2014. Ketebalan buku ini adalah 75 halaman, tidak termasuk halaman kata pengantar penyelenggara (2 halaman).

Kandungan buku ini asalnya adalah berupa siri-siri tulisan al-Marhum Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady dalam majalah Pengasuh sejak lebih dua dekad yang lalu. Bagi maksud agar supaya tulisan-tulisan ini dapat diabadikan dan lebih tersebar luas, penyelenggara bagi penerbitan buku ini, iaitu Ust. Abdul Razak Mahmud telah mengambil inisiatif bagi membukukan tulisan-tulisan ini.

Kandungan buku ini;

1)      Pengantar Penyelanggara.
2)     Definisi Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
3)     Punca Perselisihan Pendapat di Kalangan Umat Islam.
4)     Siapakah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
5)     Dasar-dasar yang disepakati Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
6)     Ancaman Terhadap Aqidah.
7)   Epistemologi Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah dan Kepentingannya dalam Pembinaan Tamadun Dunia Melayu (Lampiran).  

Dengan membaca dan menghayati isi kandungan buku ini, insya Allah akan memantapkan pengetahuan dan pegangan kita yang berasaskan kepada akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah. 

Semoga bermanfaat.

MIFTAHUL JANNAH (مفتاح الجنة)


Kitab Miftah al-Jannah (مفتاح الجنة) adalah sebuah karya dalam bidang aqidah (Usuluddin) yang disusun oleh Syaikh Muhammad Thayyib bin Mas`ud al-Banjari dalam bahasa Melayu (Jawi). Kitab ini merupakan terjemahan dan huraian bagi kitab Umm al-Barahinkarya Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al-Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Thayyib dalam bahasa Melayu bagi memudahkan umat Islam mempelajari dan memahami ilmu aqidah. Kata beliau;

Dan ada pun kemudian dari itu, tatkala ku lihat akan kebanyakan daripada orang Jawi tiada faham mereka itu akan kalam Arab kerana lemah mereka itu pada menuntut ilmu yang bahasa Arab, maka tiadalah mengenal oleh setengah daripada mereka ituakan tafsil segala ‘aqa-idul iman dan tiada mengenal ia akan dalilnya yakni tiada mengenal kebanyakan mereka itu akan tafsil simpulan iman yang lima npuluh seperti yang tersebut di dalam kitab Kifayatul ‘Awam atau enam puluh atau enam puluh enam seperti yang tesebut di dalam  Umm al-Barahin. Dan tiada mengenal mereka itu akan dalilnya yang ijmali tetap dalil sekalian ‘aqa-id yang tersebut ”.

Dalam penyusunan kitab ini, Syaikh Muhammad Thayyib al-Banjari telah menambah beberapa keterangan untuk menjelaskan lagi maksud ungkapan-ungkapan perkataan yang terkandung di dalam kitab Umm al-Barahin dengan merujuk kepada beberapa kitab syarah (huraian) dan hasyiahnya. Kata Syaikh Muhammad Thayyib;

Maka aku pungut bagi mereka itu segala simpulan iman daripada kitab Umm al-Barahin dengan bahasa mereka dan aku datangkan dengan dalil pada sisi madlulnya dan aku nyatakan segala makna tiap-tiap ‘aqa’id itu dengan barang yang aku tilik akan dia daripada segala syarah dan segala hasyiyah atas jalan memendekkan kerana memudahkan mereka itu ”.

Berdasarkan beberapa cetakan kitab ini, ia dicetakkan bersama tiga buah kitab yang lain, iaitu;
a)     Kitab Ushul al-Tahqiq pada ilmu usuluddin.
c)      Kitab Tajwid al-Quran.
d)     Risalah Asrarud Din li Ahlil Yaqin, karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien.


Semoga bermanfaat.

FAIDH AL-MALIK AL-'ALLAM (فيض الله الملك العلام)


Kitab Faidh al-Malik al-‘Allam li ma Isytamala ‘alaihi al-Nusuk min al-Ahkam (فيض الله الملك العلام لما اشتمل عليه النسك من الأحكام) adalah sebuah kitab ringkas yang menerangkan mengenai tatacara ibadat haji dan umrah berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis (1187-1240H).

Kitab ini telah diberikan huraian (syarah) oleh dua orang murid Syaikh Muhammad Shalih al-Rayyis, iaitu;

1)   al-'Allamah al-Sayyid Yusuf bin Muhammad bin Yahya bin Abu Bakr bin Ali al-Baththah al-Ahdal al-Husaini al-Zabidi (1246H), dengan karyanya yang berjudul Irsyad al-Anam ila Syarh Faidh al-Malik al-‘Allam li ma Isytamala ‘alaihi al-Nusuk min al-Ahkam (إرشاد الأنام إلى شرح فيض الله الملك العلام لما اشتمل عليه النسك من الأحكام).

2)  al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi (1230-1314H), dengan karyanya yang berjudul ‘Umdah al-‘Awam fi Syarh  Faidh al-Malik al-‘Allam (عمده العوام في شرح فيض الملك العلام).               

Saya belum dapat maklumat kitab Faidh al-Malik al-‘Allam ini dalam versi cetakan. Manakala manuskripnya  boleh dimuat turun di pautan https://al-mostafa.info/data/arabic/depot/gap.php?file=m016459.pdf.

Kitab Irsyad al-Anam pula boleh dimuat turun di pautan إرشاد الأنام   dan kitab ‘Umdah al-‘Awam di pautan عمده العوام.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, July 17, 2018

AQIDAH AL-NAJIN FI 'ILMU USHUL AL-DIN (عقيدة الناجين في علم أصولالدين)


Kitab ‘Aqidah al-Najin fi `Ilm Ushul al-Din (عقيدة الناجين في علم أصولالدين) merupakan sebuah karya dalam bidang aqidah dalam bahasa Melayu (Jawi). Kitab ini ditulis oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin bin Muhammad al-Fathani, yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal.

Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani menulis kitab ‘Aqidah al-Najin ini sebagai huraian bagi kitab Umm al-Barahin (أم البراهين), iaitu sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal di kalangan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari aliran al-Asya’irah.  Kitab ini adalah sebuah karya al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Kitab 'Aqidah al-Najin adalah sebuah kitab yang boleh dikategorikan sebagai “muktabar” dalam bidang aqidah, khususnya di Nusantara. Kepentingan dan kedudukan kitab 'Aqidah al-Najin ini sebenarnya berkait rapat dengan kedudukan dan reputasi teks induknya iaitu kitab Umm al-Barahin di Nusantara.

Tujuan karya ini ditulis, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani, adalah sebagai mengemukakan suatu terjemahan Melayu bagi kitab Umm al-Barahin karya Shaykh Sanusi untuk bacaan dan panduan pelajar dan umat Islam umumnya. Dalam hal ini Syaikh Zayn al-`Abidin al-Fathani menyebut dalam muqaddimah kitabnya;

Telah membaiki Allah Ta`ala bagiku dan bagi mereka itu akan bahawa aku suratkan bagi mereka itu suatu kitab pada menyatakan ilmu usuluddin pada hal aku terjemahkan daripada Muqaddimah Syaikh Sanusi serta aku tambahkan atasnya daripada beberapa kalam syarahnya dan hasyiahnya supaya nyata maksud daripada kalam syaikh itu dan jikalau tiada aku ahli bagi yang demikian itu sekali pun tetapi i`timadku kepada tawfiq al-Karim al-Wahhab[1].

Dari sini, jelas bahawa 'Aqidah al-Najin bukan sekadar terjemahan Umm al-Barahin, bahkan lebih dari itu, ia boleh dikategorikan sebagai suatu komentari dan olahan peribadi Syaikh Zayn al-'Abidin al-Fathani. Sumber olahan dan komentari ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin al-Fathani di atas, diambil dari syarah dan hashiyah Umm al-Barahin itu sendiri, sama ada yang dikarang oleh Syaikh Sanusi sendiri ataupun karya ulama lain seperti Syaikh Hudhudi dan sebagainya.

Kitab ini telah disempurnakan penulisannya oleh Syaikh Zayn al-‘Abidin pada hari Sabtu bulan Jamad al-Akhir, tahun 1308 Hijrah.

Kitab 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din ini boleh dimuat turun di pautan عقيدة الناجين في علم أصولالدين atau  عقيدة الناجين في علم أصولالدين.

Catatan ringkas di atas dipetik dan diubahsuai dari artikel “ Beberapa Aspek Epistemologi al-Shaykh Zayn al-'Abidin B. Muhammad al-Fatani: Suatu Penelitian Awal Terhadap Karyanya 'Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din”, karya Wan Suhaimi Wan Abdullah. Semoga bermanfaat.



[1] al-Syaikh Zayn al-`Abidin bin Muhammad al-Fathani (t.t), `Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din, Thailand: Matba`ah bin Halabi, h. 2.

Monday, July 16, 2018

MAW'IZATUL LIN-NAS (موعظة للناس)


Kitab Maw’izatul Lin-Nas (موعظة للناس) merupakan sebuah karya fiqh yang ringkas yang ditulis dalam bahasa Melayu (Jawi). Kandungan kitab ini, menerangkan kaifiat (cara) sembahyang berdasarkan mazhab Syafi’i. Penulis kitab ini tidak diketahui, hanya ditulis di halaman hadapan kitab “ karangan orang sufi tiada menyatakan dirinya kerana warak dan tadharruknya”. Berdasarkan gaya bahasa yang digunakan dalam penulisan kitab ini, kemungkinan ia ditulis oleh seorang ulama dari Indonesia.

Kitab ini dicetak bersama kitab Miftahul Jannah, karya Syaikh Muhammad Thayyib bin Mas’ud al-Banjari, iaitu sebuah kitab mengenai akidah. Sekadar rujukan yang terbatas, saya belum menemui maklumat kewujudan versi cetakan kitab ini secara berasingan. Berdasarkan kitab Maw’izatul Lin Nas yang dicetak bersama kitab Miftahul Jannah, yang diterbitkan oleh Mathba’ah Bin Halabi, Patani, Thailand, - ketebalannya hanya merangkumi 11 halaman.

Penulisan kitab ini berdasarkan kaedah “ Soal Jawab ”. Selepas muqaddimah penulisnya, kandungan kitab ini mulai dengan penerangan mengenai rukun sembahyang. Kata penulis; “ Dan ketahui oleh mu bahawasanya rukun sembahyang itu tiga belas rukun. (pertama) Niat (Su-al), jika ditanyai orang kita berapa bagi niat. (Jawab) oleh mu, iaitu empat bagi ”. 

Di antara isi kandungan kitab ini, ialah;
a)     Rukun sembahyang
b)     Hikmat bilangan rakaat sembahyang lima waktu.
c)   Bersuci – syarat istinjak, fardu (rukun) mandi janabah, rukun (rukun) dan perkara yang membatalkan air sembahyang (wuduk).
d)     Syarat sah dan perkara membatalkan sembahyang.

Ini saja catatan ringkas saya terhadap kitab Muw’izatu Lin Nas. Semoga bermanfaat.

RISALAH BABUL JUMU'AH (رسالة باب الجمعة)


Risalah Babul Jumu’ah (رسالة باب الجمعة), adalah sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikh Husain bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani (Pontianak), yang khusus membicarakan mengenai sembahyang Jumaat berdasarkan mazhab Syafi’i.

Kitab ini selesai ditulis pada 28 Jamadilawal 1316H di Belitung. Cetakan yang pertama oleh Mathbaah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317H. Selain cetakan ini, Risalah Babul Jumu’ah ini sentiasa dicetak pada bahagian tepi atau akhir karya Syaikh Husain al-Jawi yang berjudul Tuhfatur Raghibin.


Kandungan kitab ini;

Dimulai dengan Khutbah dan muqaddimah pada menyatakan dalil wajib sembahyang Jumaat. Seterusnya dikuti dengan 12 fasal,iaitu;

1)      Pada menyatakan kelebihan sembahyang Jumaat
2)     Pada menyatakan kecelaan meninggalkan Jumaat.
3)     Pada menyatakan syarat wajib Jumaat.
4)     Pada menyatakan syarat sah Jumaat.
5)     Pada menatakan rukun-rukun Jumaat.
6)     Pada menyatakan syarat dua khutbah. (Furu’: pada menyatakan tiada boleh jadi imam Jumaat, melainkan orang yang mendengar segala rukun )
7)    Pada menyatakan yang sunat-sunat bagi khatib.
8)    Pada menayatakan yang makruh bagi khatib.
9)   Pada aturan pergi sembahyang Jumaat.  (Tanbih: pada menyatakan barang yang dituntut didalam lafaz niat sembahyang Jumaat).
10) Pada menyatakan wirid-wirid lepas Jumaat.
11) Pada menyatakan kelebihan berjamaah dan kecelaan meninggalkannya.
12) Pada menyatakan hukum berjamaah sembahyang.

Kandungan kitab ini disudahi dengan sebuah ‘khatimah” (penutup) yang menyatakan setengah daripada uzur berjemaah dan Jumaat.

Kitab ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan  تحفة الراغبين في تقليد القول بصحة الجمعة بدون الأربعين. Kitab ini terletak di bahagian akhir kitab Tuhfatul Raghibin.. Semoga bermanfaat.

Sunday, July 15, 2018

Kifayatul Muhtaj fi al-Israk wal Mikraj (كفاية المحتاج في الإسراء والمعراج)


Kitab Kifayatul Muhtaj fi al-Israk wal Mikraj (كفاية المحتاج في الإسراء والمعراج) merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (), yang khusus membicarakan mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw.

Kifayah al-Muhtaj ini selesai ditulis oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani di  Makkah al-Musyarrafah, pada hari Selasa, antara waktu Zhuhur dan ‘Ashar, 27 Muharram 1224 H. Kitab ini merupakan terjemahan  isi kandungan Risalah Najmuddin al-Ghaithi dan syarahnya oleh Syeikh Ahmad Syihabuddin al-Qalyubi. Selain itu, Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani juga menggunakan kitab-kitab lain sebagai rujukan.

Kitab Kifayatul Muhtaj ini telah dicetak berulang-ulang kali dari dulu hingga sekarang. Di antara cetakan terawal kitab ini ialah cetakan yang kedua oleh Mathba‘ah at-Taraqqil Majidiyah, Makkah, 1330 H, ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.


Catatan di atas adalah petikan yang diubahsuai dari artikel di pautan Israk Mikraj dan Kebangkitan Ummah Siri 1 oleh Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah. Semoga bermanfaat.

Saturday, July 14, 2018

TUHFATUL RAGHIBIN FI TAQLID AL-QAWL BI SHIHHATI AL-JUMU'AH BI DUN AL-ARBA'IN


Kitab Tuhfatul Raghibin fi Taqlid al-Qawl bi Shihhati al-Jumu’ah bi Dun al-Arba’in[1] (تحفة الراغبين في تقليد القول بصحة الجمعة بدون الأربعين) adalah sebuah karya[2] Syaikh Husain bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani (Pontianak)[3]. Kitab ini menerangkan keharusan bertaklid kepada pendapat lama (Qawl al-Qadimالقول القديم :) Imam al-Syafi’i yang mengatakan sahnya solat Jumaat dengan bilangan jamaah yang tidak mencukupi 40 orang.

Kitab ini selesai dituliskan pada 27 Syawal 1319H. Cetakan yang pertama kitab ini oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada 1319H.

Kandungan kitab ini mengandungan sebuah muqaddimah yang menerangkan perbezaan pendapat para ulama mengenai hukum menunaikan solat Jumaat dengan bilangan kurang daripada 40 orang. Perbahasan berikutnya dibahagikan kepada 20 fasal, antaranya ;

a)     Menerangkan mengenai qawl qadim dan qawl jadid,
b) Menerangkan nas qawl qadim dan pendapat ulama mazhab Syafi’i yang mengesahkan mengamalkannya.
c)     Hukum mengerjakan solat zuhur selepas solat Jumaat yang tidak cukup bilangan 40 orang.
d)     Mengenai taklid dan keharusan perpindahan mazhab
e)     Keutamaan taklid kepada Qawl Qadim daripada bertaqlid kepada mazhab lain.


Semoga bermanfaat.




[1] Selain kitab Tuhfatul Raghibin ini terdapat karya ulama lain yang sama judulnya dengan kitab ini, antaranya;
a)     Tuhfatur Raghibin  fi Suluk Thariqil Muttaqin, karya Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani (1847H)
b)  Tuhfah ar-Raghibin fi Bayan Haqiqatil Imanil Mu’minin wa ma Yufsiduhu min Riddatil Murtaddin, yang dikatakan karya Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari (1812M).

[2] Antara karya beliau yang lain ialah;
a)   Babul Jumu’ah , diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1316H di Belitung. Kandungan membicarakan hukum Jumaat. Cetakan yang pertama oleh Mathbaah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317H. Selain cetakan ini sentiasa dicetak pada bahagian tepi karya beliau Tuhfatur Raghibin.
b)    Nuzhatut Tharaf fi Auzani Ilmi al-Sharf, diselesaikan pada 6 Syawal 1321H di Mekah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf. Cetakan pertama di Mathbaah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada 16 Safar 1322H. Dicetak atas zimmah Sheikh Muhammad Majid bin Muhammad Shalih al-Kurdi al-Makki.

[3] Biodata ringkas beliau  dan antara sumber rujukan catatan ini, lihat  Ulama-ulama Pontianak dan karya mereka (bhg.2)


Wednesday, July 11, 2018

HIDAYATUSH SHIBYAN (هداية الصبيان)


Kitab Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (هِدَايَةُ الصِّبْيَانِ فِى مَعْرِفَةِ اْلإِسْلاَمِ وَاْلإِيــْمَانِ) merupakan sebuah karya mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang disusun Syaikh Abu ‘Abdullah Husain Nashir bin Muhammad Thayyib al-Mas’udi al-Banjari (1863-1936M), yang mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.  

Sebagaimana judulnya Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (Petunjuk Kanak-Kanak Pada Mengenal Islam dan Iman) kitab ini ditulis oleh penulisnya sebagai panduan umat Islam, khususnya bagi kanak-kanak atau mereka baharu mula ingin mempelajari ajaran Islam, sama ada dari aspek akidah atau syariatnya. Kitab banyak diajar di pondok-pondok pengajian Islam bagi mereka yang baru memasuki alam pondok.

Dan kitab ini telah selesai penulisannya oleh pengarang pada hari Isnin, 18hb. Muharram 1330 Hijrah bersamaan 08hb. Januari 1912 Masihi.

Secara umumnya kandungannya kitab ini dibahagikan kepada  7 bahagian, iaitu;

1)     Kata Pengantar penulis.
2)    Muqaddimah Fil Iman wal Islam. (Makna iman dan Islam,rukun Iman dan Islam dan sifat wajib bagi Allah SWT dab para Rasul).
3)    Kitab al-Shalah (Sembahyang), yang terbahagi kepada 11 fasal. (mengenai bersuci dan syarat sah dan perkara membatalkan  sembahyang serta  bang [azan] dan iqamat).
4)  Bab fi Arkan al-Shalah (Rukun-rukun Sembahyang). Terbahagi kepada 16 fasal. Fasal 1- 8, berkaitan dengan rukun sembahyang. Fasal seterusnya berkaitan dengan perkara sunat sembahyang, sembahyang sunat, qasar dan jamak, sembahyang berjamaah, berkaitan dengan sembahyang Jumaat, dan berkaitan dengan orang sakit dan jenazah.
5)  Bab al-Zakat. Terbahagi kepada 2 fasal. Fasal pertama berkaitan dengan pembahagian zakat dan fasal kedua mengenai beberapa masalah berkaitan dengan zakat.
6)    Bab al-Shiyam (Puasa).
7)    Bab al-Haj wal ‘Umrah. Berkaitan ibadat haji dan umrah.

Pada masa kini, kitab Hidayatush Shibyan ini telah disalin kembali dengan tulisan Rumi dan telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan bagi memudahkan generasi sekarang membaca dan memahami isi kandungannya.

Kitab Hidayatul Shibyan (edisi Jawi) ini boleh dibaca secara on line di pautan https://sites.google.com/site/kitabhidayatussibyan/.

Semoga bermanfaat.