Tuesday, October 9, 2012

Karya-karya Fiqh Imam Jalaluddin al-Sayuthi

Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Kamaluddin Abu Bakr bin Muhammad al-Sayuthi al-Syafi’i (849-911H) merupakan seorang tokoh ilmuan Islam yang terkenal. Dalam bidang keilmuan Islam, beliau sangat terkenal sebagai seorang yang pakar dalam ilmu tafsir, hadis, fiqh, sejarah, dan bahasa. Boleh dikatakan setiap ilmu, yang beliau pelajari dan menguasainya, beliau akan menulis buku mengenainya. Jumlah karya beliau lebih kurang 600 buah kitab, meliputi beberapa kitab yang mempunyai beberapa jilid tebalnya, sehingga kitab yang kecil berbentuk risalah. Di antaranya ada yang telah dicetakkan dan banyak lagi masih dalam bentuk manuskrip.

Beliau terkenal sebagai al-Mufassir (ahli tafsir) melalui kitab tafsirnya dan yang berkaitan dengannya seperti al-Dur al-Mantsur, al-Jalalain dan al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran,  sebagai al-Muhaddits (ahli hadits) melalui pelbagai kitab haditsnya dan yang berkaitan dengannya seperti al-Jami’ al-Shaghir dan al-Lali al-Mashnu’ah fi al-Ahadits al-Mawdhu’ah,  sebagai al-Lughawi (ahli bahasa) melalui kitab bahasanya seperti Syarh al-Alfiyah Ibn Malik dan al-Fath al-Qarib ‘ala Mughni al-Labib, sebagai al-Shufi (ahli tasawwuf) melalui karya tasawwufnya seperti Mukhtashar al-Ihya’, sebagai al-Muarrikh (ahli sejarah) melalui kitab sejarahnya seperti Thabaqat al-Huffazh, Thabaqat al-Mufassirin dan Tarikh Khulafa’. Dalam bidang ilmu yang disebutkan, beliau begitu terkenal, karya dan pendapatnya biasa disebut oleh ulama dalam kitab-kitab mereka. Istimewa lagi dalam bidang tafsir dan hadits.


Karya Fiqh al-Sayuthi

Di samping kepakaran al-Sayuthi dalam bidang keilmuan di atas, beliau juga merupakan seorang al-Faqih (ahli fiqh) dalam mazhab al-Syafi’i, yang mempunyai beberapa karya  fiqh yang benilai dan bermutu ilmiah.   Setakat pengetahuan saya, nampaknya karya-karya fiqh al-Sayuthi ini, jarang atau tidak disebutkan oleh kebanyakan ulama al-Syafi’i yang mutaakhirin dalam kitab-kitab mereka. Dari jumlah karya fiqh al-Sayuthi yang menjadi rujukan ulama ialah Kitab al-Hawi li al-Fatawa dan kitab mengenai kaedah fiqhnya, iaitu al-Asybah wa al-Nazha-ir.

Dalam catatan ringkas ini, insya Allah saya akan menyenaraikan beberapa karya fiqh al-Sayuthi sebagaimana yang disebutkan dalam al-Mawsu’ah al-‘Arabiyyah al-Muyassarah, iaitu;

1.        al-Asybah wa al-Nazha-ir
2.      al-Hawi li al-Fatawa
3.       Durrat al-Taj Fi I’rab Musykil al-Minhaj
4.      al-Kafi fi Zawa-id al-Muhazzab ‘ala al-
5.      Hasyiah ‘ala al-Rawdhah
6.      al-Qinnah / al-Ghunyah  –Muhktashar al-Rawdhah
7.       al-Wafiy – Mukhtashar al-Tanbih
8.       al-Lawami’ wa al-Bawariq fi al-Jawami’ wa al-Fawariq
9.      al-Khulashah  - Nazhm al-Rawdhah
10.   Raf’u al-Khashashah Syarh al-Khulashah
11.     al-Waraqat al-Muqaddamah Syarh al-Rudh
12.    Hasyiah ‘ala Qith’ah al-Asnawi
13.    al-Yanbu’ fi ma Zada ‘ala al-Rawdhah min al-Furu’
14.    Tahshin al-Khadim
15.    al-‘Azb al-Salsal fi Tashhih al-Khilaf al-Mursal
16.    Tasynif al-Asma’ bi Masa-il al-Ijma’
17.    Syarh al-Tadrib al-Kafi fi Zawa-id al-Muhazzab ‘ala al-Kafi
18.    al-Jami’ fi al-Fara-id
19.   Jam’ al-Jawami’
20.  Syarh al-Rahabbiyah fi al-Fara-id
21.    Mukhtashar al-Ahkam al-Sulthaniyyah li al-Mawardi.

Insya Allah, dalam kesempatan yang lain, saya akan memaparkan pula karya-karya al-Sayuthi dalam yang bidang-bidang ilmu yang lain pula. Semoga bermanfaat.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, saya mencari dalam kitab ada menceritakan tentang Nur Muhammad, hadis sahih

    ReplyDelete