Friday, October 23, 2020

al-Ahammu Fi Fiqh Thalib al-Ilm (الأهم في فقه طالب العلم )

Kitab al-Ahammu Fi Fiqh Thalib al-Ilm Mukhtashar Kitab al-Taqrirat al-Sadidah (الأهم في فقه طالب العلم مختصر كتاب التقريرات السديدة) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i terkini yang menjadi rujukan para pelajar dan ulama. 

Kitab ini disusun oleh Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim al-Kaf sebagai ringkasan (mukhtshar) bagi karya beliau yang berjudul  al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah (التقريرات السديدة فى المسائل المفيدة).

Kitab ini boleh dimuat turun melalui pautan الأهم في فقه طالب العلم مختصر كتاب التقريرات السديدة .

Semoga bermanfaat.

Sullam al-Shibyan (سلم الصبيان )

Kitab Sullam al-Shibyan (سلم الصبيان ) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bahasa Melayu. Kitab ini disusun oleh al-Alim al-Allamah al-Faqih Tuan Guru Haji Chik Bin Ahmad al-Qodahi (1898 - 2002). Beliau merupakan anak murid kepada Tok Kenali, Tok Bermin Fathani juga kepada Abdullah Fahim.

Kitab ini boleh dikatakan kitab fiqh jawi paling lengkap dalam membicarakan bab Ibadat pada zaman ini. Di dalamnya terdapat berpuluh-puluh masalah yang berkaitan dengan Ibadat. Sesuai dijadikan rujukan dan digunakan untuk mengajar. Bahasa yang digunakan juga tidaklah terlalu lama atau terlalu moden

Berdasarkan terbitan Darul Busyra tahun 2020, kandungan kitab ini merangkumi 524 halaman. Semoga bermafaat.

Thursday, October 1, 2020

Husnul Uswah (حسن الاسوة )


Kitab Husnul Uswah (حسن الاسوة )  atau judul lengkapnya Husnul Uswah bima Tsabata MinaLlah wa Rasulih Fi al-Niswah ( حسن الأسوة بما ثبت من الله ورسوله في النسوة)  ini adalah salah satu karya monumental seorang ulama hadits dan fiqh yang terkenal Syaikh Muhammad Shiddiq Hasan Khan (1832-1890). Berbeza dengan karya-karya beliau yang lain, dalam kitab ini beliau secara khusus mengumpulkan ayat-ayat dan hadits-hadits yang khusus berkenaan dengan kaum wanita.

Kitab ini terbahagi kepada dua bahagian, bahagian pertama mengandungi tafsir dan penjelasan bagi beberapa ayat- al-Quran yang berkaitan dengan wanita. Manakala di bahagian kedua pula mengandungi tafsir dan penjelasan bagi beberapa hadis yang berkaitan dengan wanita.  

Cakupannya melingkupi masalah akidah, fiqhh ibadah, muamalah, adab, dan akhlak. Semua pembahasan dibagi dalam 194 bab tafsir, dan 482 bab hadits. .

Kitab ini merupakan karya yang paling lengkap dalam membahas ayat-ayat dan hadits-hadits tentang wanita yang disertai dengan penjelasan yang detail dan mudah difahami

Kitab ini telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia dan diterbitkan oleh Wafa Press.

Kitab dalam versi Arabnya boleh dimuat turun di pautan حسن الأسوة بما ثبت من الله ورسوله في النسوة. Semoga bermanfaat.

Tuesday, September 15, 2020

Pohon Agama Bahagian Rukun Iman


Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman  merupakan sebuah kitab dalam bahasa Melayu yang membicarakan mengenai akidah berdasarkan manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah. Kitab ini disusun oleh Yang Maha Mulia Maulana al-Sultan al-Mu’azzam ‘Ala’eddin Sulaiman Shah, iaitu sultan yang memerintah negeri Selangor pada tahun 1898 hingga 1938.

Berdasarkan Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman pada bahagian kulit buku bertulisan jawi tertulis:

Kitab Pohon Agama, Bahagian Rukun Iman (yang menghantarnya) Yang Maha Mulia Maulana al-Sultan al-Mu’azzam ‘Ala’eddin Sulaiman Shah, Khaladallah Mulakah wa ‘Alahu Amin. Pelajaran Kanak-kanak di Dalam Tempat Pelajaran Ugama Islam di Dalam Jajahan Selangor Darul Ehsan. Mudah-mudahan Dijadikan Manfaat yang Berkekalan, Mada al-Zaman, 15 Jamadilakhir 1349/1930. Taba‘ yang Ketiga, ditaba‘ oleh New Klang Press, Klang”

Menurut al-Marhum Ustaz Haji Wan Mohd. Shaghir; Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman, diselesaikan pada 1337H/1919M. Cetakan ketiga, Mathba‘ah New Klang Press, Klang, 15 Jamadilakhir 1349H/1930M.

Kitab ini telah disemak oleh Mufti Selangor ketika itu, iaitu Tengku Mahmud Zuhdi. Berikut dilampirkan pandangan beliau tentang kitab ini dimuatkan dengan kata-katanya:

Terlihatlah hamba yang daif atas kitab ini, Pohon Ugama, karangan bagi Yang Maha Mulia Sultan Selangor Maulana al-Mu‘azzam Sir Alauddin Sulaiman Syah... Maka patut dijadikan pelajaran kanak-kanak yang mubtadi pada tiap-tiap sekolah ugama supaya berkekalan manfaatnya istimewa pula..”.

Kandungan yang menjadi topik perbahasan keseluruhan ialah mengenai akidah. Dalam kitab ini kita akan dapat mengetahui kecenderungan mazhab dalam akidah baginda iaitu berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Metodologi penulisan kitab ini adalah berdasarkan soal-jawab, iaitu simbul huruf (س ) mewakili soalan, huruf (ج ) pula mewakili jawapan, kecuali dalam Pelajaran 10, 11, 12, 13, 14, 15, 16, 17 dan 18, iaitu dengan pendekatan penerangan secara langsung. Di samping itu pengarang turut memberikan soalan pengukuhan di akhir perbincangan bagi setiap pelajaran kecuali Pelajaran 10.47.

Contoh soal jawab pada Bahagian Agama: [Soalan] Apa Awaluddin, ertinya pertama-tama yang diwajibkan pada agama itu? [Jawapan] Awaluddin itu ma’rifatullah, ertinya mengenal Allah Ta’ala.

Kitab Pohon Ugama ini telah disusun ringkasan dan syarah (huraian)nya oleh cicit baginda pengarangnya, iaitu YM Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari. Berikut karya beliau yang berkaitan kitab Pohon Agama; 

1) Sharah Pohon Agama Sultan Ala’u al-Din Sulayman Shah Ibni Raja Muda Musa. 

2)  Aqidah Al-Sulaymaniyyah: Ringkasan Pohon Agama.

Kedua-dua kitab ini telah diterbitkan oleh Akademi Jawi Malaysia.

Semoga bermanfaat. 

Sunday, August 9, 2020

al-Imta’ bi Syarh Matn Abi Syuja’

Kitab al-Imta’ bi Syarh Matn Abi Syuja’  (الإمتاع بشرح متن أبي شجاع) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syeikh Dr Hisyam al-Kamil Hamid Musa (1972-) – seorang ulama dari Mesir.  Kitab ini telah diterbitkan oleh Dar al-Manar, Mesir – dengan cetakan pertamanya pada 2011/ 1432H. Kandungan kitab ini merangkumi 445 halaman.

Kitab al-Imta’ ini disusun sebagai huraian bagi kitab Matn Abi Syuja’ (متن أبي شجاع), iaitu sebuah matan fiqh mazhab yang terkenal yang disusun oleh al-Qadhi Abu Syuja’ Ahmad bin al-Husain bin Ahmad al-Ashfahaniy (593 H).

Secara bahasa,  al-imta’ bermakna sesuatu yang dinikmati dan bermanfaat. Ini sesuai dengan harapan penyusunnya Syeikh Hisyam Kamil, yang mengharapkan kitab ini bermanfaat dan dinikmati oleh para pemula yang ingin menekuni fikih dalam mazhab Imam Syafii rahimahullah.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan http://www.almeshkat.net/books/archive/books/Al-Imta.pdf

Semoga bermanfaat.

 

Friday, July 17, 2020

Ilmu & Amalan Di Alaf Baru


Buku Ilmu & Amalan Di Alaf Baru adalah sebuah karya yang disusun oleh Dr. Basri Ibrahim dan diterbitkan oleh Darul Nu’man dengan cetakan pertamanya pada tahun 2000. 

Secara umumnya, buku ini mengutarakan tentang kepentingan menuntut ilmu dan adab-adab menuntut ilmu dalam Islam yang pernah dibicarakan oleh tokoh-tokoh ilmuan ulung Islam di dalam kitab-kitab karangan mereka. Adab-adab yang dikemukakan ini mengambil kira adab-adab menuntut ilmu pada masa lampau dengan adab-adab menuntut ilmu pada zaman kini.

Kemunculan buku ini dapat memberi sedikit sebanyak panduan kepada para ilmuan dan penuntut ilmu ke arah beriltizam kembali kepada adab-adab ilmu dalam Islam. Semoga mereka dapat menjadi para ilmuan ulung yang dapat dijadikan rujukan umat, bukan sahaja dari segi keilmuan mereka, bahkan juga dari segi akhlak dan perlakuan mereka. Ilmuan yang mana akhlak dan tindakannya adalah selaras.

Alaf baru merupakan alaf yang sangat mencabar terhadap ahli ilmu, kerana merupakan alaf yang tidak ada sempadan dari rempuhan budaya asing. Penguasaan ilmu dan teknologi canggih saja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan kemantapan jiwa dan akhlak yang mulia. Betapapun kehebatan manusia merakit pengetahuan jika tidak digunakan kepada kebaikan maka menjadi penyumbang kehancuran alam ini.

Menuntut ilmu merupakan strategi ke arah perubahan cara berfikir dan bertindak dalam masyarakat. Nilai dan martabat ilmu sangat tinggi, malah kelebihan Nabi Adam berbanding para malaikat ialah kerana ilmu yang Allah ajarkan kepadanya. Hari ini adab menuntut ilmu telah diketepikan oleh sesetengah pihak, yang mereka utamakan adalah perniagaan ilmu. Jika fenomena ini tidak berakhir, maka cahaya ilmu akan malap dan terpadam.

Semoga bermanfaat.

Thursday, July 2, 2020

al-Taznib fi al-Furu’ ‘ala al-Wajiz


Kitab al-Taznib fi al-Furu’ ‘ala al-Wajiz (التذنيب في الفروع على الوجيز), adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh al-Islam al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘i al-Qazwaini (555-624H).

Kitab al-Taznib ini disusun oleh al-Imam Abu al-Qasim al-Rafi’i sebagai huraian (syarah)[1] bagi kitab al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (الوجيز في فقه الإمام الشافعي), iaitu sebuah karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H).

Kitab al-Taznib ini telah diringkaskan oleh Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H) melalui karya beliau yang berjudul al-Muntakhab Mukhtashar al-Taznib (المنتخب مختصر التذنيب) .

Berdasarkan beberapa cetakan kitab al-Taznib, ia sentiasa dicetak bersama kitab al-Wajiz. Kedua-dua kitab ini boleh dimuat turun di pautan الوجيز في فقه مذهب الإمام الشافعي، ويليه: التذنيب في الفروع على الوجيز.   

Semoga bermanfaat.



[1] Selain kitab al-Taznib, Imam al-Rafi’i mempunyai kitab huraian yang lain bagi kitab al-Wajiz, iaitu;
a)   Kitab  al-Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز) atau juga terkenal dengan judul Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz.
b)    Kitab al-Syarh al-Shaghir (الشرح الصغير).

Saturday, June 27, 2020

al-Tanqih Syarh al-Wasith


Kitab al-Tanqih Syarh al-Wasith  (التنقيح في شرح الوسيط) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab al-Tanqih ini disusun oleh al-Imam al-Nawawi sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Wasith fi al-Mazhab (الوسيط في المذهب), iaitu sebuah karya fiqh yang disusun oleh al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).

Penyusunan kitab al-Tanqih ini tidak sempat diselesaikan oleh Imam al-Nawawi. Beliau hanya sempat menyusunnya sampai di pertengahan kitab al-Shalah (كتاب الصلاة), iaitu mengenai syarat-syarat solat.

Berdasarkan beberapa cetakan, kitab ini dicetak bersama kitab al-Wasith. Kitab ini boleh dimuat turun bersama dengan kitab al-Wasith di pautan التنقيح في شرح الوسيط

Semoga bermanfaat.

Sunday, June 21, 2020

al-Ta’jiz fi Ikhtishar al-Wajiz


Kitab al-Ta’jiz fi Ikhtishar al-Wajiz (التعجيز في اختصار الوجيز) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  al-Imam Tajuddin Abu al-Qasim Abdul Rahim bin Muhammad bin Muhammad al-Mawshuli (598-671H). Kitab ini disusun sebagai ringkasan bagi kitab al-Wajiz (الوجيز) , iaitu sebuah karya al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).

Sekadar maklumat yang diperolehi, manuskrip kitab ini masih ada tersimpan di beberapa  buah perpustakaan utama di timur tengah. Sebahagian isi kandungan kitab ini ada ditahkik oleh beberapa pelajar di beberapa universiti sebagai kajian ilmiah (tesis) bagi memperolehi ijazah sarjana mereka. Berikut antara kajian tersebut yang telah diterbitkan;

a) Kitab al-Nikah  hingga Kitab al-Nafaqah (كتاب النكاح إلى كتاب النفقة), oleh Zahrah Muhammad Umar al-Jabiri. Diterbitkan oleh Jami’ah al-Syaariqah pada tahun 2011 dengan 275 halaman.

b)   Kitab al-Thaharah (كتاب الطهارة), oleh Abdullah bin Fahd al-Syarif. Diterbitkan oleh Dar al-Manar dengan 253 halaman.

Berikut antara kitab-kitab yang disusun oleh para ulama yang berkaitan dengan kitab al-Ta’jiz;

a)   Tamyiz al-Ta’jiz (Syarh  ‘ala al-Ta’jiz) – karya al-Qadhi Syaraf al-Din Abu al-Qasim Hibatullah bin Abdul Rahim al-Barizi al-Hamawi al-Syafi’i (645-738H).

b)   Tashhih al-Ta’jiz – karya Quthbuddin Abu Abdullah Muhammad bin Abdul Shamad bin Abdul Qadir al-Sunbathi al-Mishri  (722H).

Semoga bermanfaat.

Wednesday, June 17, 2020

al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط)


Kitab al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط) adalah sebuah karya peninggalan al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). 

Walaupun saiz kitab ini sangat kecil berbanding karya-karya Imam al-Nawawi yang lain, namun kandungannya sangat penting dan padat dengan beberapa permasalahan agama yang penting. Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi telah memuatkan 9 perbahasan mengenai permasalahan yang perlu diketahui oleh para penuntut ilmu syariat.

Permasalahan pertama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan pandangan Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mengenai beriman kepada Qadar. Manakala perbahasan-permaslahan  berikutnya adalah berkaitan dengan permasalahan fiqh dan usul fiqh.

Kitab ini telah ditahqiqkan oleh Dr Muhammad Hasan Hito dan diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Dar al-Basya-ir al-Islamiyyah pada tahun 1986/ 1406 dengan ketebalan 48 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan الأصول والضوابط.

Semoga bermanfaat.

Karya-Karya Fiqh Imam al-Nawawi


Dalam catatan ini akan disenaraikan judul-judul kitab fiqh yang disusun oleh al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). Selain kitab yang ditulis khusus dalam bidang fiqh, disebutkan juga beberapa karya beliau yang lain yang juga  ada membincangkan permasalahan fiqh seperti karya dalam bidang usul fiqh dan hadis. Berikut disenaraikan antara karya beliau tersebut;
3.   Daqa-iq al-Rawdhah (دقائق الروضة)  
10.  al-Minhaj fi Syarh Shahih Muslim (المنهاج شرح صحيح مسلم )[1]
11.  Muhimmah al-Ahkam (مهمات الأحكام)[2]
14.  Nukat al-Muhazzab
15.  Nuktah al-Tanbih (النكت على التنبيه)
16.  Nuktah ‘ala al-Wasith (نكت على الوسيط)
21.  al-Tanqih Syarh al-Wasith  (التنقيح في شرح الوسيط)[3]
22.  Tuhfah Thalib  Syarh al-Tanbih[4]
24.  al-Ushul wa al-Dhawabith (الأصول والضوابط)





[1] Walaupun ia merupakan kitab huraian hadis, namun begitu ia juga boleh dikatogori sebagai kitab fiqh Syafi’i kerana terdapat perbincangan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i.
[2] Karya beliau ini hanya sampai di pertengahan kitab al-Thaharah, iaitu mengenai kebersihan pakaian dan badan.
[3] Beliau hanya sempat menyusunnya sampai di pertengahan kitab al-Shalah, iaitu mengenai syarat-syarat solat.
[4] Beliau tidak sempat menyempurnakannya, hanya  di pertengahan kitab al-Shalah.

Tuesday, June 9, 2020

al-Khulashah Fi Ahaditsi al-Ahkam


Kitab al-Khulashah Fi Ahaditsi al-Ahkam atau nama lengkapnya “Khulashah al-Ahkam Fi Muhimmat al-Sunan  Wa Qawa’id al-Islam” (خلاصة الأحكام في مهمات السنن وقواعد الإسلام) adalah sebuah karya dalam bidang hadis ahkam, iaitu kitab hadis yang khusus hanya mengumpulkan hadis-hadis yang berkaitan dengan hukum fiqh. Kitab ini disusun oleh Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab ini menjadi rujukan para ulama sesudah Imam al-Nawawi sebagai sumber takhrij hadis-hadis ahkam.  Kebanyakan hadis-hadis hukum yang digunakan oleh fuqaha’ sebagai dasar “istinbath” fiqh telah dikumpulkan Imam al-Nawawi dalam kitab ini.

Kitab “Khulashah al-Ahkam” fokus pada hadis-hadis hukum yang diambil dari kitab-kitab hadis utama seperti Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Nasa-i, Sunan al-Tirmidzi, Sunan Ibnu Majah, Sunan al-Daroquthni, Sunan al-Baihaqi, Mustadrak al-Hakim, dan lain-lain. Hanya saja hadis-hadis hukum yang dikumpulkan oleh Imam al-Nawawi ini tidak lengkap. Beliau hanya sempat menyusun kitab ini sampai bab zakat saja. Barangkali usia al-Nawawi yang pendek (wafat dalam usia 45 tahun) yang menyebabkan kitab ini tidak sempat disempurnakan.

Mengenai faktor yang mendorong al-Nawawi menyusun kitab ini, ada diterangkan dalam muqaddimah kitab ini. Beliau menerangkan bahawa kitab “Khulashah al-Ahkam” disusun adalah didasarkan kepada pemahaman bahawa kaum muslimin wajib berqudwah kepada Rasulullah  dalam hal hukum dan adab. Juga demi melaksanakan perintah kembali kepada Rasulullah  jika terjadi “tanazu’” (perselisihan) yang hanya mungkin ditasfirkan kembali pada sunnah Rasul setelah beliau wafat. Juga demi menjaga diri agar tidak sampai terjatuh pada perkara yang diada-adakan (bid’ah)  yang tidak ada dasarnya dalam agama. Juga demi menjaga kaum muslimin agar hanya bertumpu pada hadis-hadis sahih saja dan selamat dari hadis-hadis dhoif, meskipun yang mengamalkannya banyak, bahkan meskipun disebutkan dalam kitab-kitab fikih besar. Juga untuk memberi pemahaman bahwa kebolehan beramal dengan hadis “dhoif” pada “fadhoil amal” itu tidak bersifat mutlak tapi bersifat “muqoyyad”. Sebelum menyusun kitab ini, al-Nawawi telah mengawalinya dengan beristikharah.

Kitab “Khulashah al-Ahkam” ini dipuji sejumlah ulama. Ibnu al-Mulaqqin mengatakan, “Seandainya saja al-Nawawi menyelesaikan kitab ini, maka akan menjadi kitab yang tiada taranya”. Al-Lakhmi berkata, “Tidak ada ahli hadis yang tidak memerlukannya, apalagi seorang ahli fikih.”

Perhatian ulama terhadap kitab ini juga cukup tinggi dengan bukti kitab ini dijadikan sebagai salah satu rujukan dalam hal “takhrij”. Di antara yang banyak merujuknya adalah al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam  kitab “al-Talkhish al-Habir” dan “Fathu Al-Bari” dan Imam al-Zaila’i dalam  kitab  “Nashbu al-Rayah”. Fakta ini sekaligus menunjukkan bahawa al-Nawawi juga seorang ahli hadis yang diakui.  

Adapun metode penulisannya, prinsip pentingnya adalah al-Nawawi hanya mengumpulkan hadis-hadis hukum. Jadi hadis-hadis yang terkait akidah, sirah, akhlak, zuhud dan semisalnya tidak ditulis.  

Dari sisi kualiti hadis, al-Nawawi hanya memasukkan hadis sahih dan hadis hasan saja. Hal ini penting, keraana sudah diketahui dalam ilmu fikih sebuah ketentuan yang menyatakan bahwa tidak boleh berhujjah dengan hadis “dhoif” dalam perkara halal-haram (hukum). Himpunan hadis “dhoif” dikumpulkan al-Nawawi secara terpisah dan diasingkan di akhir tiap bab (section). Tujuan al-Nawawi menulis hadis-hadis “dho’if” dalam kitab ini adalah agar diwaspadai dan diketahui sebagai hadis yang tidak boleh dijadikan hujjah dalam perkara hukum. Mengumpulkan hadis-hadis “dhoif” dalam “section” tersendiri seperti ini adalah kreativiti al-Nawawi yang nampaknya belum pernah dilakukan oleh ahli-ahli hadis yang lain yang mengumpulkan hadis-hadis “ahkam”.

Dalam penyusunan kitab ini, kekadang beliau  mengomentari terkait penekanan hukum yang dianggap beliau perlu. Misalnya pada saat beliau menerangkan “dhoif”nya hadis yang dijadikan dasar untuk menetapkan bahawa dalam solat hari raya perlu ada dua khutbah, bukan satu khutbah. Imam al-Nawawi menegaskan semua hadis yang dijadikan dasar itu “dhoif”. Manakala,  penetapan hukum dalam mazhab al-Syafi’i setelah solat hari raya disyariatkan khutbah dua kali bukan kerana ada hadis sahih/hasan tertentu yang menjadi dasar, tetapi kerana diqiyaskan dengan khutbah Jumaat.

Adapun berkaitan  “mukhorrij” hadis, jika hadis yang ditulis al-Nawawi tercantum dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim maka beliau cukup menyebutnya “muttafaqun ‘alaih”, atau “rawahu al-Bukhari”, “rawahu Muslim” dan yang semakna dengan itu. Jika ada perbedaan lafaz antara riwayat al-Bukhari dan Muslim maka dipilih salah satu lalu diterangkan dari mana diambil, misanya ditulis “wa lafzhuhu li muslim”. Jika ada “mukhorrij” lain selain Asy-syaikhan, mereka juga disebutkan. Jika al-Nawawi mengatakan “rawahu ats-tsalatsah” maka itu bermakna diriwayatkan Abu Dawud, al-Timidzi dan al-Nasai.

Imam al-Nawawi kadang-kadang juga melakukan “jarh” dan “ta’dil” pada riwayat-riwayat tertentu, terutama terhadap perawi hadis yang menjadi posisi kunci dalam hadis tersebut.

Himpunan hadis-hadis yang dikumpulkan al-Nawawi dalam kitab ini, dikelompokkan dalam sistem penggolongan “kutub” (chapters) dan “abwab” (sections). Secara keseluruhan, isi kitab ini terdiri dari sekitar lebih dari 20 “kutub” (chapters) dan 300 “abwab” (sections).

Manuskrip kitab ini boleh  ditemukan di antaranya di Al-Maktabah As-Sa’idiyyah di Hyderabad; India, Al-Jami’ah Al-Islamiyyah di Madinah, dll.

Kitab Khulashh  al-Ahkam telah diterbitkan oleh Mu-assasah Ar-Risalah dalam dua jilid setebal 1099 halaman atas jasa “tahqiq” Husain Isma’il Al-Jamal.


Semoga bermanfaat.