Wednesday, July 11, 2018

TANBIHUL GHAFILIN (تنبيه الغافلين)


Kitab yang ingin dikongsi dengan pembaca kali ini, ialah sebuah kitab dalam Bahasa Melayu lama (tulisan Jawi) yang berjudul Tanbihul Ghafilin (تنبيه الغافلين). Kitab ini disusun oleh Syaikh Abdullah bin Abdul Mubin al-Fathani al-Syafi’i (), seorang ulama dari Patani. Kitab ini merupakan sebuah karya dalam bidang hadis Nabi saw. Sebahagian besar hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab ini adalah berkaitan dengan perbuatan dosa besar.

Kandungan yang terdapat di dalam kitab ini ialah sebanyak 12 bab iaitu :

1)  Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang meninggalkan sembahyang.
2)    Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang derhaka kepada ibubapa.
3)     Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang meminum khamar (arak).
4)     Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang berzina.
5) Menyatakn mengenai dengan siksaan orang-orang yang melakukan liwat(hubungan sesama jenis).
6)     Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang memakan riba.
7)     Menyatakn mengenai dengan orang-orang yang tidak redha dengan qada dan qadar Allah dan yang menyatakan mengenai dengan pahala orang-orang yang sabar.
8)    Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat.
9)     Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang membunuh orang lain tanpa hak yang betul.
10) Menyatakan mengenai dengan hak wanita ke atas suaminya dan orang yang memutuskan hubungan silaturahim dengan ahli keluarga.
11)  Menyatakan mengenai dengan Hari Kiamat.
12) Menyatakan mengenai dengan syurga dan isi-isi di dalamnya.

Kitab Tanbihul Ghafilin versi tulisan Rumi sudah ada diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan bagi memudahkan para pembaca kini menjadikan kitab ini sebagai bahan  bacaan dan rujukan mereka.


Beberapa catatan mengenai kitab Tanbihul Ghafilin karya Syaikh Abdullah al-Fathani

Berikut dibawakan maklumat ringkas kitab ini, berdasarkan kajian al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, katanya;

Sheikh Abdullah menghasilkan sebuah kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin, yang diselesaikan penulisannya tahun 1184 H/1770 M. Kitab tersebut juga masih beredar di pasaran kitab. Karyanya yang pertama ialah terjemahan Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi. Terdapat tiga versi terjemahan beliau, ada yang lengkap merupakan terjemahan keseluruhan kandungan kitab asalnya. Namun, yang beredar di pasaran hanyalah merupakan terjemahan petikan-petikan kandungannya saja.

Versi yang sebuah lagi lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Dua versi yang agak lengkap tidak pernah dicetak. Beberapa manuskrip daripada ketiga-tiga versi tersebut telah dijumpai penulis, sekali gus menjadikannya koleksi sebagai bahan-bahan rujukan [1].

Berdasarkan kenyataan Haji Wan Mohd Shaghir di atas, ini menjelaskan bahawa kitab Tanbihul Ghafilin (Jawi) yang dicetak dan menjadi bacaan serta rujukan umat Islam kini, merupakan ringkasan terjemahan dari kitab Tanbihul Ghafilin bi Ahaditsi Sayyidil Anbiya’ wal Mursalin karya al-Imam Abu Al-Laith al-Samarqandi al-Hanafi (375H). Di samping kitab ringkasan ini, terdapat versi lain terjemahan Tanbih al-Ghafilin yang lebih lengkap yang masih dalam bentuk manuskrip.

Berikut beberapa kesimpulan yang saya perolehi berdasarkan pengamatan saya terhadap Tanbihul Ghafilin (Jawi) yang dicetak;

a)   Kitab ini merupakan kitab ringkasan bagi terjemahan Tanbihul Ghafilin susunan Syaikh Abdullah al-Fathani. Ini berdasarkan teks di awal kitab “Ku mulai mukhtashar ini (كملأي  مختصر اين )”, yang bermungkinan dari kata peringkasnya. Wallahu a’lam.

b)  Kitab ini ditulis pada 1184H. Berdasarkan petikan kata pengarangnya; “ Maka adapun kemudian dari itu. Maka adalah tatkala hijrah Nabi saw seribu seratus dulapan puluh empat tahun, maka sanya telah meminta kepada ku seorang daripada sahabatnya yang .... padaku menghimpunkan suatu risalah pada menyatakan ilmu hadis....”. Menurut pandangan saya, ini merupakan kata-kata penulis asal kitab, iaitu Syaikh Abdullah al-Fathani yang dipetik oleh peringkasnya. Manakala berdasarkan kenyataan al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir, tarikh ini adalah tahun kitab ini selesai ditulis. Wallahu a’lam.

c)      Di akhir kitab terjemahan Tanbih al-Ghafilin tercatat “ (تم هذا الكتاب يائت حديث يغ برنما تنبيه الغافلين فد وقت عشاء فد مالم ثلاث تيك هاري بولن شعبان فد تاهون سريب تيك راتس انم هجرة نبي صلى الله عليه وسلم)”. Di mana, dinyatakan selesai penulisan kitab ini pada malam selasa, 3 hb Sya’ban tahun 1306H. Berdasarkan jarak di antara tahun mula ditulis, iaitu tahun 1184H, dan tahun selesainya 1306H yang agak jauh, iaitu mengambil masa selama 122 tahun, ini menunjukkan teks terakhir kitab ini adalah kata-kata daripada peringkasnya. Wallahu a’lam.

d) Jika dianggap kitab ringkasan ini sememangnya ditulis oleh Syaikh Abdullah sendiri, kerana melihat kepada teks dalam muqaddimahnya;

Maka adapun kemudian dari itu. Maka adalah tatkala hijrah Nabi saw seribu seratus dulapan puluh empat tahun, maka sanya telah meminta kepada ku seorang daripada sahabatnya yang .... padaku menghimpunkan suatu risalah pada menyatakan ilmu hadis yang muwafakat atas Ahli Sunnah wal Jama'ah pada hal aku memindahkan daripada bahasa Arab kepada Bahasa Melayu supaya beroleh manfaat dengan dia kiranya bagi barangsiapa yang tidak tahu bahasa Arab, maka memperkenankan oleh faqir yang daif lagi bebal yang tiada mempunyai ilmu dan amal pada hal aku berpegang kepada Allah Ta’ala, iaitu Haji Abdullah anak Abdul Mubin Syafi’i mazhabnya dan bahawa dijadikan kiranya mukhtashar (ringkasan) ini tulus ikhlas bagi hadrat-Nya yang mulia dan ku namai hadis ini Tanbih al-Ghafilin .................. Maka adalah kitab hadis ini aku jadikan dua belas bab”. 

Maka teks di awal kitab “Ku mulai mukhtashar ini (كملأي  مختصر اين ) sebagaimana di nota (a) hingga akhir bab ke 12 adalah daripada penulisan Syaikh Abdullah al-Fathani sendiri. Manakala teks terakhir sebagaimana dalam nota (c) di atas, kemungkinan adalah kata-kata penyalin (nasikh) kitab ringkasan terjemahan Tanbihul Ghafilin ini. Wallahu a’lam.

Kitab Tanbihul Ghafilin (Jawi) ini boleh dimuat turun di pautan https://ia801606.us.archive.org/24/items/TanbihAlGhafilin/Tanbih%20al-Ghafilin.pdf.

Semoga bermanfaat.


[1] Dipetik dari artikel berjudul Penulisan hadis tokoh ulama Nusantara, karya Haji Wan Mohd Shaghir bin Abdullah.

Tuesday, July 10, 2018

Fath al-Mujib fi Syarh Mukhtashar al-Khathib (فتح المجيب في شرح مختصر الخطيب)


Kitab Fath al-Mujib fi Syarh Mukhtashar al-Khathib: al-Hajj wa al-‘Umrah (الحج والعمرة :فتح المجيب في شرح مختصر الخطيب) merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar al-Jawi al-Bantani al-Syafi’i ((1316H/1898M), seorang ulama terkenal dari Indonesia yang menetap di Makkah.

Kitab ini disusun sebagai sebuah huraian (syarah) bagi kitab yang membicarakan mengenai ibadat haji dan umrah mengikut mazhab Syafi’i yang berjudul Mukhtashar al-Khathib fi Manasik al-Hajj (مختصر الخطيب في مناسك الحج ), iaitu karya al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib al-Syarbini al-Syafi’i (977H).

Di antara keistimewaan kitab ini ialah dalam beberapa permasalahan tertentu, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi bukan sahaja menerangkan amalan haji dan umrah berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i, bahkan membawakan juga pandangan mazhab-mazhab lain bersama dalil-dalil masing-masing. Semoga bermanfaat.

Monday, July 9, 2018

Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud al Fathani - Pengetahuan Sembahyang Masyhur


Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud al Fathani – Pengetahuan Sembahyang Masyhur, merupakan sebuah buku yang disusun oleh al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir bin Abdullah (1945-2007) yang memuatkan kajian beliau terhadap kitab Munyah al-Mushalli, karya Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1847M), seorang ulama terkenal di Nusantara, yang menetap di Makkah al-Mukarramah.

Kandungan buku ini memuatkan transliterasi kitab Munyah al-Mushalli dari tulisan Jawi ke tulisan Rumi yang dilakukan tanpa merubah bahasa asal pengarangnya. Di samping teks asalnya, beberapa tambahan dimasukkan oleh Haji Wan Mohd Shaghir dalam buku ini, kata beliau dalam muqaddimah buku ini;

Transliterasi Mun-yatul Mushalli yang saya lakukan ini tanpa merubah bahasa asal pengarangnya, namun walau bagaimanapun diperlengkapkan dengan cara memetik beberapa karya-karya beliau yang besar-besar, iaitu petikan yang merupakan tambahan itu dicetak dengan huruf italik atau condong dan juga saya sebut rujukan dan halamannya dengan lengkap. Kata-kata atau huruf mahupun kalimat yang saya tambah kerana yang aslinya dianggap kurang sempurna menurut gaya bahasa sekarang saya beri tanda kurung, seperti [….]. huruf atau perkataan atau kalimat yang saya tambah yang terletak di dalam kurung tersebut juga dicetak dengan huruf italik atau condong ”.

Berikut secara ringkas diturun isi kandungan buku ini
a)     Muqaddimah penyusun.
b)  Maklumat penyelidikan Mun-yatul Mushalli (sejarah penulisan, manuskrip dan beberapa cetakannya).
c) Ringkasan Riwayat Hidup Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (termasuk maklumat ringkas mengenai karya-karyanya)
d)     Teks Transliterasi Mun-yatul Mushalli.
e)     Bibliografi.
f)  Lampiran (teks tiga buah kitab dalam tulisan Jawi) 1- Kitab al-Bahjatul al-Mardhiyah, 2- Kitab Mun-yatul Mushalli dan 3- Kitab Bulughul Maram.

Untuk dikongsi bersama pembaca, di samping beberapa tambahan dimasukkan oleh penyusun bersama teks Munyah al-Mushalli, yang secara tidak langsung menjadi sebagai huraian dan maklumat tambahan yang berdasarkan karya-karya Syaikh Daud al-Fathani sendiri, penyusun juga ada membuat huraian tambahan dengan nota-nota kaki, yang juga banyak merujuk kepada huraian-huraian yang terdapat dalam karya-karya Syaikh Daud al-Fathani sendiri. Di antara karya-karya Syaikh Daud al-Fathani yang menjadi rujukan buku ini ialah;

a)     Bughyatul Tullab
b)     Hidayatul Muta’allim
c)      Bulughul Maram
d)     Jawahirus Saniyah
e)     Fat-hul Mannan
f)       al-Bahjatul al-Mardhiyah

Di antara keistimewaan buku transliterasi Mun-yatul Mushalli, karya al-Marhum Haji Mohd Shaghir ini berbanding buku-buku transliterasi yang lain ialah rujukan utama beliau ialah beberapa manuskrip kitab Munyatul Mushalli dan kitab cetakan terawal serta cetakan-cetakan mutakhir. Di mana, beberapa perkataan dalam teks yang mengelirukan dalam beberapa versi kitab cetakan dapat diperbetulkan dan dimuktamad oleh beliau.

Berdasarkan catatan di atas, saya berpendapat buku ini patut menjadi rujukan peminat-peminat,  penuntut-penuntut, bahkan guru-guru yang mengajar kitab Munyatul Mushalli kepada masyarakat. Buku ini bukan sekadar memuatkan pengalihan tulisan Jawi ke tulisan Rumi, malahan juga bertindak sebagai buku huraian bagi teks kitab al-Munyatul Mushalli dengan tambahan maklumat berkaitan sejarah penyusunan kitab dan pengarangnya.

Dalam koleksi saya, ada edisi cetakan pertama buku Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud al Fathani – Pengetahuan Sembahyang Masyhur ini, iaitu cetakan Oktober 1991, yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala lumpur. Tebal buku ini merangkumi 215 halaman, tidak termasuk halaman muqaddimah penyusun dan isi kandungan. 

Semoga bermanfaat.

MISHBAHUD DUJA SYARAH SAFINAH AN-NAJA (مصباح الدجا شرح سفينة النجا)


Kitab Mishbahud Duja Syarah Safinah an-Naja (مصباح الدجا شرح سفينة النجا) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang terkini. Kitab ini disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll[1] sebagai huraian (syarah) bagi kitab Safinah al-Naja (سفينة النجا), karya Syaikh Salim Sumair al-Hadhrami al-Syafi'i (1271H).

Kitab Mishbahud Duja ini merupakan kitab syarah kitab Safinah an-Naja yang paling komprehensif dalam bahasa Melayu. Menurut Ustaz Muhadir, kitab ini merupakan edisi kemaskini daripada sebuah karya beliau sebelumnya yang berjudul Syarah Safinatun Naja. Kitab ini ditambah lebih banyak syarahan, permasalahan, keterangan, fawa’id (faedah-faedah), tanbih (perhatian), catatan dan tatimmah (penyempurna), di samping hikmah dan hikayah, untuk menjadikan ia lebih lengkap dan lebih bermanfaat kepada semua pembaca. Nota-nota tambahan daripada kitab-kitab feqah yang muktabar disertakan bersama dengan sumber rujukan. Ketebalan kitab ini juga lebih tebal -704 halaman (berbanding ketebalan kitab Syarah Safinatun Naja - 464 halaman).

Menurut Ustaz Muhadir, perbahasan dalam kitab asal Safinah al-Naja adalah sehingga tajuk “Puasa” sahaja. Oleh itu dalam kitab Mishbahud Duja ini beliau menambah tajuk “Haji dan’Umrah” dengan merujuk kepada kitab Matan al-Ghayah wa al-Taqrib, karya Imam Abu Syuja’ (500H) dengan syarahannya dari kitab Kifayah al-Akhyar, karya Imam Taqiyuddin al-Hishni (829H) dan tambahan syarahan-syarahan lain, untuk melangkapkan rubu’ al-‘ibadah (bahagian ibadat).

Kitab ini telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dengan cetakan pertamanya pada tahun 2017. Semoga bermanfaat.

[1] Sedikit biodata Ustaz Muhadir. Beliau berasal dari Kampung Senari, (Sarawak). Dilahirkan pada 27 Julai 1976 dan antara pendidikan awal beliau ialah di SK Kampung Senari, kemudian menyambung di SMK Agama Matang 2. Beliau meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Tafsir dan Hadith dan sekarang menyambung pengajian di peringkat kedoktoran (PhD) di Universiti Malaya juga di dalam bidang Tafsir dan Hadith. Antara guru-guru beliau ialah Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al Banjari al-Makki, Syaikh Ahmad Fahmi Zam Zam al Nadwi al Maliki, Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Rembawi, Syaikh Baba Aziz dan ramai lagi Masyaikh. Beliau merupakan pensyarah di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Petaling Jaya dan juga mengendalikan pengajian Talaqi di UIA Petaling Jaya dan UIA Gombak. Antara buku yang ditulis beliau ialah 6 Perkara Asas Memahami Khilafiyyah, Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama', Inilah, Solat Menurut Mazhab Syafi'i dan banyak lagi. 

Sunday, July 8, 2018

MATHLA' AL-NURAIN (مطلع النورين)


Kitab Mathla’ al-Nurain (مطلع النورين) adalah karya Dato' Syaikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar (1928-2011), seorang ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah Darul Aman.

Sebagaimana judul lengkapnya “Matla’ al-Nurain -Untuk Menghuraikan ‘Ibarat Kitab Matla’ al-Badrain”, maka tujuan penyusunan kitab ini adalah sebagai kitab syarah (huraian) bagi kitab Mathla’ al-Badrain wa Majma’al-Bahrain (مطلع البدرين ومجمع البحرين), karya Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (1914), untuk memudahkan ‘ibarat yang kusut dan uslub yang payah -yang tidak dapat difahami maksudnya oleh kebanyakkan generasi kini, yang terdapat di dalam kitab tersebut.

Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat bagi mendalami pengetahuan agama masing-masing. Ini kerana, penyusun merupakan seorang yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan beliau berpengalaman luas dan menjalankan dakwah dan pengajaran secara 'nizami' dan 'umumi' di serata tempat di negeri Kedah, di masjid-masjid, surau dan jabatan-jabatan kerajaan.

Oleh kerana itu, buku ini telah banyak digunakan oleh para guru ta'mir masjid surau seluruh Malaysia, khususnya di negeri Kedah Darul Aman sebagai salah satu sukatan (kurikulum) yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman. Kitab Mathla’ al-Nurain telah diterbitkan oleh Pustaka Darussalam – Kedah dalam tiga juzuz.

Semoga bermanfaat.

AL-SHOLAH 'ALA AL-MAZHAB AL-ARBA'AH (الصلاة على المذاهب الاربعة)


Kitab al-Sholat ‘ala al-Mazhab al-Arba’ah ma’a Adillah Ahkammiha (الصلاة على المذاهب الاربعة مع ادلة احكامها)  adalah sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikh Abdul Qadir al-Rahbawi (1935-1993), seorang ulama dari Syria.

Kitab ini merupakan sebuah karya fiqh perbandingan amalan solat mengikut 4 mazhab utama dalam Islam, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Penyampaian kandungannya yang menarik dan mudah difahami oleh semua kalangan, juga disertai dengan dalil-dalil yang dijadikan sandaran di dalamnya.  

Metode yang ditempuhi pengarang kitab ini dimaksudkan agar para ahli fiqh mempunyai bekal yang memadai dalam meneliti dan mengungkapkan hukum-hukum dan dalil-dalil dari berbagai kitab. Manakala bagi kalangan orang awam pula diharapkan akan menjadi penuntun sehingga mereka dapat memperluaskan wawasannya dalam melihat perbezaan-perbezaan kecil yang sama sekali tidak sampai mengganggu akidah. Oleh itu umat Islam akan dapat melakukan ibadat bersama, meskipun berbeza mazhab.

Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia oleh beberapa syarikat penerbitan dan menjadi bahan bacaan dan rujukan umat Islam di Nusantara, khususnya di Indonesia dan Malaysia.


Semoga bermanfaat.

Saturday, July 7, 2018

KHULASHAH AL-TASHANIF FI TASHAWWUF


Kitab Khulashah al-Tashanif fi al-Tashawwuf  (خلاصة التصانيف في التصوف ) merupakan sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang ditulis oleh Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).

Karya Imam al-Ghazali ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi, yang kemudiannya dialihbahasakan oleh Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Irbili al-Syafi’i al-Naqsyabandi (1840-1913) ke dalam bahasa Arab. Kitab ini asalnya merupakan sebuah jawapan bertulis Imam al-Ghazali kepada seorang muridnya, yang memohon isi intisari pengajaran tasawuf yang terkandung dalam karya-karya beliau, khususnya perbincangan mengenai ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat dalam melayari bahtera hidup menuju akhirat.

Dari pencarian saya di laman web, saya hanya menemui sebuah edisi kitab ini yang diterbitkan oleh Mathba’ah al-Najah di Mesir dengan cetakan pertamanya tanpa disebutkan tarikh cetakannya. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  خلاصة التصانيف في التصوف.

Kitab ini juga ada diterbitkan bersama beberapa karya Imam al-Ghazali yang lain dalam sebuah buku yang berjudul Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali (مجموعة رسائل الإمام الغزالي). Buku ini diterbitkan oleh al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, Mesir dengan memuatkan sebanyak 26 risalah karya Imam al-Ghazali. Buku ini boleh dimuat turun di pautan مجموعة رسائل الإمام الغزالي.


Terjemahan kitab Khulashah al-Tashanif fi al-Tashawwuf dalam bahasa Melayu

Dalam koleksi saya ada sebuah buku terjemahan bagi kitab Khulashah al-Tashanif fi al-Tashawwuf. Buku yang berjudul “ Intisari Karya-Karya Tasawuf ” yang dicetak dengan tulisan Jawi ini merupakan sebuah karya terjemahan yang diusahakan oleh Ustaz Haji Abdullah al-Qari bin Salleh dan Ustaz Muhammad Salleh bin Haji Arsyad. Buku ini merupakan edisi cetakan kedua pada tahun 1983, manakala cetakan pertamanya pada tahun 1980. Ia diterbitkan oleh Pustaka Aman Press dengan ketebalan 61 halaman termasuk kata pengantar penterjemah dan halaman isi kandungan.

Sekadar pemerhatian saya, buat masa sekarang saya belum menemui edisi terbaharu terjemahan ini yang diterbitkan oleh Pustaka Aman Press, atau syarikat penerbitan lain. Kemungkinan ada terjemahan lain yang telah diterbitkan sama ada dalam Bahasa Melayu atau Indonesia, yang boleh dikongsi maklumatnya dari pihak pembaca.

Semoga bermanfaat.

Friday, July 6, 2018

AL-NAZHM AL-WAFI FI AL-FIQH AL-SYAFI'I


Kitab al-Nazhm al-Wafi fi al-Fiqh al-Syafi’i (النظم الوفي في الفقه الشافعي), adalah sebuah karya Syaikh Abu Suhail Anwar Abdullah bin Abdul Rahman al-Fadhfari (1387-). Ia merupakan ringkasan dalam bentuk nazam bagi kitab Qurrah al-‘Ain fi al-Fiqh al-Syafi'i (قرة العين بمهمات الدين)  karya al-‘Allamah Syaikh Zaynuddin bin Muhammad al-Malibari al-Fannani (938-987H). Terdapat 999 bait dalam kitab ini. Kitab al-Nazhm al-Wafi ini boleh dimuat turun di  sini.

Semoga bermanfaat.

Thursday, July 5, 2018

Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin


Kitab Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin (تحفة الطالبين في ترجمة الإمام محيي الدين) adalah sebuah kitab biografi  al-Imam Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H), yang disusun oleh seorang murid beliau yang bernama al-Imam ‘Alauddin Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin Dawud bin Salman al-Dimasyqi (654-724H). 

Kitab ini menjadi rujukan utama para penulis terkemudian ketika menyusun karya-karya mereka mengenai biografi Imam Nawawi r.h. Kitab ini boleh dimuat turun di sini.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, July 4, 2018

BIDAYAH AL-MUBTADI WA 'UMDAH AL-AWLADI


Kitab Bidayah al-Mubtadi wa ‘Umdah al-Awladi (بداية المبتدي وعمدة الأولادي) merupakan sebuah kitab menerangkan tiga bidang utama keilmuan Islam iaitu tauhid (akidah), fiqh, dan tasawuf. Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu beraksara Arab (Jawi).

Mengenai penyusun kitab ini, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para pengkaji. Ini berlaku kerana penyusunnya tidak menyebutkan namanya, sama ada di bahagian pendahuluan kitab ataupun di bahagian akhir kitab sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para penulis kitab-kitab yang lain.

Berdasarkan beberapa cetakan kitab ini, di halaman depan kitab - nama pengarang tidak dicantumkan. Bahkan ada di bawah judul kitab ini keterangan berikut;

“  Pada bicara ‘aqaid al-Iman dan beberapa hukum bagi ibadat terjemah bahasa Melayu oleh setengah daripada mereka yang alim dan tiada disebutkan namanya kerana soleh dan waraknya

Menurut A. Ginanjar Sya’ban dalam bukunya, Mahakarya Islam Nusantara: Kitab, Naskah, Manuskrip dan Korespondensi Ulama Nusantara, penyusun kitab Bidayah al-Muhtadi ialah Syaikh Muhammad Shalih Rawah ibn Muhammad Murid al-Khalwati al-Sammani al-Rawi al-Jawi. Nama tokoh yang terkenal dengan panggilan Syaikh Shaleh Rawa ini ada disebutkan oleh editor di halaman terakhir bagi versi cetakan Maktabah Musthofa al-Babi al-Halabi, Kaherah - pada tahun 1374 H/ 1955 M[1].

Manakala menurut al-Marhum Haji Wan Muhd Shoghir bin Abdullah pula, penyusun kitab Bidayah al-Muhtadi  ini ialah Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman al-Banjari (1710-1812H)[2]. Sebagai makluman Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari  adalah guru kepada Syaikh Muhammad Shalih Rawa di atas.

Dalam kata pengantar kitab Bidayah al-Muhtadi, penyusunnya mengatakan  kitab ini merupakan sebuah risalah kecil yang ringkas, yang menghimpun kajian atas perkara-perkara yang harus diketahui oleh setiap muslim yang mukallaf, dari ilmu tauhid dan fiqh. Kitab ini diselesaikan oleh penyusunnya pada waktu pagi hari Ahad, awal bulan Jumadil Akhir tahun 1254 H.

Tujuan kitab ini disusun khusus sebagai panduan dan pegangan untuk mereka yang baru belajar dan kanak-kanak. Kata penyusun kitab; “ Dan aku namai akandia dengan Bidayah al-Mubtadi wa ‘Umdah al-Awladi (بداية المبتدي وعمدة الأولادي ) ertinya permulaan bagi segala orang yang baharu belajar dan perpegangan bagi segala kanak-kanak ”.

Muat turun kitab ini dipautan https://archive.org/details/BidayahAlMubtadi atau terus dipautan; 

Semoga bermafaat.

Tuesday, July 3, 2018

BISYARAH AL-'AMILIN WA NAZARAH AL-GHAFILIN


Kitab Bisyarah al-‘Amilin wa Nazarah al-Ghafilin (بشارة العاملين ونذارة الغافلين), karya al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad al-Fatani () merupakan sebuah kitab dalam bahasa Melayu (Jawi) yang menghimpunkan beberapa hadis Nabi saw berserta huraiannya, yang disusun mengikut tajuk-tajuk tertentu.

Kata Syaikh Ahmad Fatani dalam muqaddimah kitab ini;

“ Maka ini satu risalah yang hamba taruhkan padanya daripada segala kalimah yang dibangsakan kepada Nabi saw akan beberapa bab di dalamnya daripada beberapa hikmat yang dibangsakan kepada Mustafa saw barang yang mengandung ia akan menggemarkan pada berbuat taat dan menakutkan daripada berbuat maksiat............... dan hamba pakaikan tiap-tiap bab daripada dengan menggunakan beberapa ayat daripada al-Quran yang mulia yang munasabah sekaliannya baginya hal keadaannya tiada hamba membanyakkan daripadanya supaya adalah perkataan dengan demikian itu pendek ”.

Antara isi kandungan kitab ini;

1) Muqadimah pada kelebihan ilmu dan menuntutinya dan ahlinya dan mengajarnya.
2)  Pada menyatakan kelebihan segala sembahyang dan sembahyang berjemaah dan siksa orang yang meninggal akan dia.
3) Pada menyatakan kelebihan puasa dan kelebihan bulan ramadhan dan kelebihan malam lailatul qadar.
4)   Pada menyatakan kelebihan haji dan umrah.
5)  Pada menyatakan kelebihan sedekah dan siksa orang yang menegahkan zakat.
6) Pada menyatakan siksa orang yang memakan riba dan mencuri dan mengurangkan pada sukatan.
7)     Pada menyatakan siksa zina dan kasih akan muda belia.
8)    Pada menyatakan siksa orang yang minum arak.
9)     Pada menyatakan siksa orang yang membunuhkan orang.
10)Pada menyatakan kelebihan berbuat kebajikan akan dua ibubapa dan siksa menderhakakan keduanya dan pada menyatakan hak anak atas keduanya.
11)Pada menyatakan suruh syarak dengan menghubungkan Rahim dan diharamkan memutus akan dia.
12) Pada menyatakan kelebihan berbuat baik pada isteri dan beberapa hak atas suami.
13) Pada menyatakan menjaga lidah dan menjauhkan dusta.
14) Pada menyatakan elok perangai dengan segala perangai yang baik.
15)  Pada menyatakan pemerintah berlemah lembut kepada rakyat

Kitab Bisyarah al-‘Amilin wa Nazarah al-Ghafilin ini boleh dimuat turun di pautan

Semoga bermanfaat.

Monday, July 2, 2018

BIDAYAH AL-HIDAYAH SYARH MATN UMM AL-BARAHIN


Kitab Bidayah al-Hidayah Syarh Matn Umm al-Barahin (بداية الهداية شرح متن أم البراهين) adalah sebuah karya dalam bidang aqidah berdasarkan mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Zayn bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (), seorang ulama terkenal dari Acheh, Indonesia.

Kitab ini merupakan himpunan huraian dan ulasan di dalam bahasa Melayu terhadap kitab Umm al-Barahin(أم البراهين) , iaitu sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal, yang disusun al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Kitab Bidayah al-Hidayah ini selesai disusun di Makkah pada malam Jumaat 24 Syaaban (1170H/1756M). Menurut Tuan Guru Wan Muhammad Shaghir Abdullah, kitab karya ulama Aceh ini merupakan kitab aqidah yang tertua yang masih berada di pasaran, adapun kitab aqidah yang lebih awal ataupun yang berdekatan tahun selesai penulisan dengannya sudah tidak diterbitkan lagi.

Menurut Ustaz Zaidi Abdullah dari Akademi Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun, kitab ini ada diberikan taqrir (catatan) oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang diselesaikan pada hari Sabtu, 20 Rejab, 1303H.

Kitab Bidayah al-Hidayah boleh dimuat turun di pautan;

Semoga bermanfaat.