Kitab Fath al-Karim al-Rahman
Fi Ma Yughtafar Li al-Muwafiq Min
al-Arkan (فتح الكريم الرحمن فيما يغتفر للموافق
من الأركان) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun
oleh al-‘Allamah al-Syaikh al-Imam Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais
al-Zamzami al-Zubairi (1187 H/1773M M-1240 H/1824 M). Beliau merupakan seorang
tokoh ulama mazhab Syafi’i yang terkenal di Makkah pada zamannya.
Kitab yang terkenal dengan judul Syarh
Manzhumah al-‘Azizi (شرح منظومة العزيزي)
ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi matan fiqh dalam bentuk nazam berjudul
Manzhumah al-‘Azizi Fi al-Masail allati Yughtafar Li al-Muwafiq al-Takhalluf
Fiha Bi Tsalatsah Arkan Thawilah (في المسائل التي يغتفر للموافق التخلف فيها بثلاثة أركان طويلة منظومة العزيزي). Matan Manzhumah al-‘Azizi
“ yang membicarakan secara khusus mengenai
beberapa permasalahan yang dibolehkan makmum muwafiq ketinggalan dari imammya
dengan tiga rukun yang panjang” ini pula disusun al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin
Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M).
Kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi
ini kemudiannya telah diberikan huraian dalam bentuk hasyiah oleh Syeikh
al-Haris bin Hummam, melalui karya beliau yang berjudul Nushrah al-Halim Hasyiah
Manzhumah al-‘Azizi (نصر الحليم حاشية منظومة العزيزي).
Syeikh al-Haris adalah murid kepada Syeikh Muhammad Shalih al-Rais.
Manakala Syaikh Daud bin Abdullah
al-Fathani (1265H), seorang ulama terkenal di Nusantara yang berasal dari
Patani, telah memetik (menukil) dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kandungan kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi,
iaitu karya gurunya al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais dan
menghimpunkannya dalam sebuah risalah
yang diberi judul al-Bahjah al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an
al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن
الإمام).
Dalam risalah ringkas ini, Syaikh
Daud memetik dan menterjemahkan kesemua 6 bait nazam daripada matan Manzhumah al-‘Azizi yang khusus
menerangkan beberapa keadaan yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza
perlakuannya dengan imam atau disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il
yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada
diuzurkan ”. Setiap bait nazam tersebut telah diberikan huraiannya berdasarkan
kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi karya Syaikh Muhammad Shalih al-Rais tersebut[1].
Saya belum lagi menemui kitab Fath al-Karim al-Rahman /
Syarh Manzhumah al-‘Azizi ini dalam bentuk cetakan yang tersendiri. Namun
begitu, kandungan kitab ini boleh dibaca dan dimuat turun melalui sumber
berikut;
1. Manuskrip di pautan https://al-mostafa.info/data/arabic/depot/gap.php?file=m010066.pdf
2. Kandungan kitab yang
ditahkik oleh Dr Ali Shiddiq Syakar
al-Hayali yang terdapat dalam Majalah مجلة جامعة كركوك للدراسات
الإنسانيةmelalui pautan https://www.iasj.net/iasj/download/3bcd96ad2295e37b
.
Semoga bermanfaat.
__________________________________
1]. Syeikh Daud al-Fathani menterjemahkan keseluruhan isi kandungan kitab Syarh Manzhumah al-'Azizi yang meliputi matan dan huraiannya. Hanya bahagian pendahuluan dan penutup sahaja yang ditinggalkan oleh beliau, kerana beliau meletakkan pendahuluan dan penutupnya yang sendiri bagi karya beliau tersebut.