Wednesday, May 6, 2020

Kajian Meyakini Kitab-Kitab Allah Dan Sikap Kita Terhadapnya


Buku “Kajian Meyakini Kitab-Kitab Allah Dan Sikap Kita Terhadapnya: Pembongkaran Kitab-Kitab Dari Langit Dan Kitab-Kitab Ciptaan Manusia” adalah sebuah karya yang sangat penting yang disusun oleh Almarhum Tuan Haji Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh (1937-2020), seorang karyawan dan tokoh penulis yang terkenal dari negeri Kelantan. Buku ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1982 oleh penyusunnya sendiri melalui syarikatnya Pustaka ASA, Kubang Krian, Kota Bharu. Ketebalan buku ini adalah 189 halaman.

Kandungan buku ini membincangkan secara terperinci mengenai kitab-kitab yang yang telah diturunkan oleh Allah kepada para rasul-Nya. Perbincangan dalam buku ini telah dibahagikan kepada sembilan bahagian. Berikut dilampirkan ringkasan kandungan buku ini;

Bahagian 1: Mengenal Kitab, Lauh Mahfudz, Qalam dan Wahyu (Hal. 9-25)
1.      Kitab Allah Sebelum Diciptakan Alam.
2.      Lauh Mahfudz Dan Qalam.
3.      Pemindahan Kitab Dari Lauh Mahfudz.
4.      Menerima Kitab Dalam Bentuk Wahyu.

Bahagian 2: Kepentingan Kitab dan Pendapat Filsafah (Hal. 25-31)
1.      Kepentingan Cahaya kenabian dan Kitab Allah.
2.  Pendapat Sebahagian Ahli-ahli Filsafah Mengenai Kepercayaan Kepada Kitab-kitab Allah.
3.      Rahsia Dan Hikmat Kepercayaan Kepada Kitab-kitab Allah.

Bahagian 3: Kepercayaan Kepada Kitab-kitab Allah Secara Keseluruhan (Hal.31-44)
            1.      Kepercayaan Kepada Kitab-kitab Allah.
            2.      Perbedzaan Pokok Kitab-kitab Allah.

Bahagian 4: Kepercayaan Kepada Suhuf-Suhuf (Helaian Suci) (Hal. 38-44)
1.      Kepercayaan Kepada Suhuf-suhuf.
2.      Kandungan Suhuf Ibrahim.
3.      Kandungan Suhuf Musa.

Bahagian 5: Kepercayaan Kepada Kitab Taurat (Hal. 44-63)
1.      Erti Kata Taurat.
2.      Cara Diturunkan Taurat.
3.      Kandungan Kitab Taurat.
4.      Penyelewengan Kitab Taurat.

Bahagian 6: : Kepercayaan Kepada Kitab Zabur (Hal. 58-63)
1.      Pengenalan Kitab Zabur.
2.      Kandungan Zabur.
3.      Penyelewengan Ke atas Kitab Zabur.

Bahgaian 7: Kepercayaan Kepada Kitab Injil  (Hal. 63-100)
1.      Erti Kata Injil.
2.      Kandungan Injil.
3.      Perkembangan Agama Masehi yang Menyeleweng.
4.      Ajaran Triniti Bukan dari ajaran Allah.
5.      Sejarah Penulisan Injil dan Pemesongannya.
6.      Perjanjian Lama Dan Perjanjian Baru Kini.
7.      Injil Barnaba dan Hubungannya Dengan Kepercayaan Islam.
8.      Pertentangan Barnaba Dengan Lain-lain Injil.
9.      Penemuan Naskhah-naskhah Qumraan.
10.  Tipu daya Ahli Kitab: Yahudi dan Nasrani.

Bahgaian 8: Kepercayaan Kepada Kitab Suci Al-Quran (Hal. 100-152)
1.      Pengenalan Al-Quran.
2.      Kandungan Al-Quran.
3.      Pendapat al-Imam Ibnu Taimiyyah terhadap Al-Quran.
4.      Mempercayai Al-Quran Bererti Mempercayai seluruh Kitab-Kitab Allah.
5.      Al-Quran Sebuah Kitab Yang Terpelihara.
6.      Terjemahan kitab Suci Al-Quran Ke dalam Bahasa-bahasa Dunia.
7.      Adakah Al-Quran itu Makhluk?
8.      Keutamaan Kitab Al-Quran Lebih Dari Kitab-kitab Dari Langit.
9.      Pandangan As-Sayyid  Saabiq Mengenai Keistimewaan Al-Quran.
10.  Pandangan Al-Maududi Mengenai Keistimewaan Al-Quran.
11.  Kenyataan Ayat-ayat Al-Quran Tentang Berita Gembira Akan Kelahiran Nabi Muhammad saw, di dalam Kitab Dari Langit.
12.  Bukti-bukti Kebenaran Dan Kedatangan Nabi Muhammad saw Dalam Kitab-kitab Suci.
13. Dialog Antara Muqauqis Dan Hatiib Membuktikan Kebenaran Nabi Muhammad saw.
14.  Perbedzaan Antara al-Quran Dan Kitab-kitab Lain.
15.  Al-Quran Penggerak Perpustakaan Dunia.
16.  Kekufuran Kerana Salah I’tiqad Terhadap Al-Quran.
17.  Tuduhan Sarjana Barat Terhadap Al-Quran.
18.  Marilah mengamalkan Ajaran Al-Quran.

Bahagian 9: Berita, Seruan Dan Pandangan (hal.152-183)
1.      Kitab-kitab Agama Karya Nabi-nabi Palsu.
2.      Kitab-kitab Bacaan Iblis.
3.      Bolehkah Orang Islam Membaca Kitab-kitab Suci Yang Ada campur Tangan Manusia.
4.      Impikasi Mempercayai Kitab Allah.
5.    Apakah akibatnya manusia yang tidak sudi Membaca dan mengikuti Petunjuk Kitab-kitab Allah Taala?
6.      Ikutlah Arahan Allah SWT sendiri.
7.      Seruan Kepada Ahli Kitab.
8.      Segolongan Ahli Kitab Yang Jujur.
9.      Balasan Bagi Orang-orang Yang mempercayai  Kitab-kitab Allah 
10.  Lari Dari Fitnah Dengan memegangi Tali Allah.
11.  Al-Quran Sebagai Kitab Bacaan.
12.  Peminat Al-Quran Ialah Kekasih Allah.

Sekadar maklumat yang diperolehi, semenjak cetakan pertamanya (1982), buku ini belum lagi diterbitkan kembali, sama ada oleh penyusunnya ataupun penerbit yang lain. Semoga buku yang bermanfaat ini dapat diterbitkan kembali sebagai bahan bacaan dan rujukan umat Islam.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, May 5, 2020

Mu’tashar fi Mukhtashar al-Mukhtashar


Kitab Mu’tashar fi Mukhtashar al-Mukhtashar  (المعتصر في مختصر المختصر) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Rukn al-Islam Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Abdullah al-Juwaini (438H).

Kitab al-Mu’tashar ini merupakan ringkasan bagi kitab Mukhtashar al-Muzani (مختصر المزني), iaitu kitab yang disusun oleh Imam Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani  (175-246H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Muzani. Beliau merupakan murid dan sahabat utama kepada Imam al-Syafi’i ketika di Mesir.

Kitab al-Mu’tashar ini telah diberikan huraian (syarah)nya oleh beberapa ulama, antaranya;
1)      Imam Abu Amru ‘Usman bin Muhammad bin Ahmad al-Mush’abi (550H),
2)      Imam Abu Khalaf ‘Awdh bin Ahmad al-Syarwani al-Syirazi (550H)
3)      Imam Ibn Thahir.

Sekadar ini sahaja maklumat yang diperolehi mengenai kitab Mu’tashar  ini. Semoga bermanfaat.

Monday, May 4, 2020

Mursyidul Thullab Ila al-Karim al-Wahhab


Kitab Mursyidul Thullab Ila al-Karim al-Wahhab (مرشد الطلاب إلى الكريم الوهاب) adalah sebuah karya dalam bidang taasawwuf yang disusun oleh al-Imam Abu Yahya Zainuddin al-Makhdum Kabir bin Syeikh Qadhi Ali bin Syeikh Qadhi Ahmad al-Ma’bari al-Syafi’i al-Funnani al-Malibari (873-928H)[1]. Kandungan kitab ini membicarakan mengenai nasihat (الوعظ) dan bimbingan (الإرشاد) bagi pengabdian diri kepada Allah SWT. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba’ah Mafatihul Huda di Kerla, India pada tahun 1324H.

Kitab Mursyidul Thullab ini telah menjadi rujukan para ulama terkemudian dalam penuyusunan karya-karya mereka. Kitab ini juga menjadi rujukan utama cucu beliau Syeikh al-Imam Zainuddin Ahmad bin Muhammad al-Ghazali al-Malibari ketika menyusun kitab Irsyad al-'Ibad ila Sabil al-Rasyad (إرشاد العباد إلى سبيل الرشاد). 

Kitab Mursyidul Thullab ini telah diberikan huraian (syarah) oleh al-‘Allamah Syeikh Muhammad Kutti al-Malaibari al-Kaibatti (Kappatta) dalam dua juz (jilid) dengan judul Mu’allam Ulil Albab bi Latha-if  Mursyidil Thullab ila al-Karim al-Wahhab (معلم أولي الألباب بلطائف مرشد الطلاب إلى الكريم الوهاب).

Manuskrip kitab Mursyidul Thullab boleh dimuat turun di pautan مرشد الطلاب إلى الكريم الوهاب.

Sekadar ini sahaja maklumat yang diperolehi mengenai kitab Mursyidul Thullab ini. Semoga bermanfaat.


[1] Imam Zainuddin bin Ali  merupakan datuk kepada Syeikh Zainuddin Ahmad bin Muhammad al-Ghazali bin Zainuddin al-Ma’bari al-Malabari ((938-1028H)) pengarang kitab fiqh mazhab Syafi’i, iaitu kitab Fath  al-Mu’in Syarh Qurrah ‘Ain ().

Friday, May 1, 2020

Ithafu Ahli al-Islam Bi Khushushiyat al-Shiyam


Kitab Ithafu Ahli al-Islam Bi Khushushiyat al-Shiyam (إتحاف أهل الإسلام بخصوصيات الصيام) adalah sebuah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-'Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), seorang tokoh ulama’ mazhab Syafi’i yang terkenal. Tokoh yang terkenal dengan gelaran Ibnu Hajar al-Haytami ini merupakan tonggak mazhab Syafi’i pada zamannya.

Dalam kitab ini Imam Ibn Hajar al-Haytami membincangkan mengenai keutamaan atau keistimewaan puasa dan hukum hakam berkaitan ibadat puasa. Beliau telah membahagikan kandungan kitab ini kepada 4 bab utama, iaitu;

Bab I :  Keutamaan Puasa
Bab II:  Hukum-Hukum Puasa
Bab III: Perkara yang membolehkan tidak berpuasa, Tata cara Mengganti Puasa, dan Fidyah.
Bab IV: Hukum berpuasa selain puasa Ramadhan.

Dalam bab pertama, beliau membahagikan perbincangan mengenai keutamaan puasa dalam dua kategori, iaitu :
i)                Keutamaan Puasa secara Umum
Untuk mengungkap keutamaan puasa  pada kategori yang pertama, Imam Ibnu Hajar al-Haitami menggunakan dua dasar utama, yakni ditinjau dari aspek dalil naqli, iaitu keutamaan  yang disebutkan oleh hadith-hadith Rasulullah saw, dan tinjauan dari aspek kesihatan.

ii)              Keutamaan Puasa Ramadhan
Manakala pada kategori kedua, penulis menyertakan banyak sekali hadith-hadith tentang keutamaan Puasa Ramadhan.

Dalam bahagian penutup (khatimah), Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan beberapa hadith yang berhubungan dengan zakat fitrah dan dua hari raya.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Maktabah Thayyibah- Madinah (1990), kandungan kitab ini merangkumi 392 halaman.

Kitab ini telah diringkaskan oleh Syeikh Abdul Fattah Husain Rawah al-Makky melalui karya beliau yang berjudul al-Shiyam; Ahkamuhu wa khushushiyatihi wa ahkam muftariqat ukhra ()

Kitab ini boleh dimuat turun melalui pautan  إتحاف أهل الإسلام بخصوصيات الصيام.

Semoga bermanfaat.


Thursday, April 30, 2020

al-Muntakhab Mukhtashar al-Taznib


Kitab al-Muntakhab Mukhtashar al-Taznib (المنتخب مختصر التذنيب) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Imam al-Nawawi menyusun kitab al-Muntakhab ini sebagai ringkasan bagi kitab al-Taznib fi al-Furu’ ‘ala al-Wajiz (التذنيب في الفروع على الوجيز), iaitu sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikh al-Islam al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘i al-Qazwaini (555-624H). Manakala kitab al-Taznib pula merupakan huraian (syarah)[1] bagi kitab al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (الوجيز في فقه الإمام الشافعي), iaitu Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H).

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Darul Dhiya’- Kuwait (cet1/2019), kitab al-Muntakhab ini dicetak dalam satu jilid dengan 208 halaman.

Semoga bermanfaat.



[1] Selain kitab al-Taznib, Imam al-Rafi’i mempunyai kitab huraian yang lain bagi kitab al-Wajiz, iaitu kitab  al-Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز) atau juga terkenal dengan judul Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز  فتح ) atau al-Syarh al-Kabir (الشرح الكبير). Ia merupakan sebuah kitab huraian yang lebih panjang, yang merangkumi 13 jilid.

Monday, April 27, 2020

Hidayah al-Adzkiya’ ila Thariq al-Auliya’


Kitab Hidayah al-Adzkiya’ ila Thariq al-Auliya’ (هداية الأذكياء إلى طريق الأولياء) adalah sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang disusun dalam bentuk nazam (qasidah) oleh al-Imam Zainuddin al-Makhdum Kabir bin Syeikh Qadhi Ali bin Syeikh Qadhi Ahmad al-Ma’bari al-Syafi’i al-Funnani al-Malibari (873-928H)[1]

Kandungan kitab yang memuatkan 191 bait nazam ini telah mendapat perhatian para ulama dan menjadi rujukan serta diajar di pusat-pusat pengajian Islam. bagi memudahkan kefahaman para pelajar, kandungan kitab ini telah diulas dan diberikan huraiannya oleh para ulama.

Di antara ulama yang telah menyusun kitab huraian (syarah) bagi kitab Hidayah al-Adzikiya’ ini adalah;

a)   Syeikh Abdul Aziz bin Syeikh Zainuddin al-Malibari (993)[2] melalui dua buah karya beliau, iaitu;
i)         Irsyad al-Ba’ ila Hidayah al-Adzkiya’(إرشاد الألباء إلى هداية الأذكياء)[3].
ii)      Maslak al-Atqiya wa Manhaj al-Ashfiya’ fi Syarh Hidayah al-Adzkiya’ ila Thariq al-Auliya’ ( مسلك الأتقياء ومنهج الأصفياء في شرح هداية الأذكياء إلى طريق الأولياء)[4].

b)  Sayyid Abu Bakar bin Muhammad Syatha al-Dimyathi (1226-1310H)) melalui karya beliau yang berjudul Kifayatul Atqiya wa Manhaj al-Ashfiya (كفاية الاتقياء ومنهاج الاصفياء).

c)   Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani (1316H) melalui karyanya yang berjudul Salalim Fudhahala’ li Khatimah Nubala` (سلالم الفضلاء لخاتمه النبلاء,علي منظومه هدايه الاذكياء الي طريق الاولياء). 

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan هداية الأذكياء إلى طريق الأولياء.

Semoga bermanfaat.



[1] Beliau adalah datuk kepada al-Imam Ahmad Zaynuddin bin Muhammad al-Ghazali bin Zaynuddin bin Ali bin Ahmad al-Malibari al-Syafi’i (938-1028H), penyusun kitab Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain () yang terkenal dalam fiqh Syafi’i.
[2] Beliau adalah anak kepada penyusun kitab Hidayah al-Adzikiya’.
[3] Huraian yang ringkas
[4] Huraian yang yang lebih panjang.

Sunday, April 26, 2020

al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah


Kitab al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah  (الأجوبة العجيبة عن الأسئلة الغريبة) merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Imam Ahmad Zaynuddin bin Muhammad al-Ghazali bin Zaynuddin bin Ali bin Ahmad al-Malibari al-Syafi’i (938-1028H).

Kitab yang disusun dalam bentuk soal-jawab ini merupakan sebuah karya yang menghimpunkan beberapa fatwa yang pernah dikeluarkan oleh beberapa tokoh ulama yang terkenal (كبار من مشاهير علماء الإسلام) mengenai beberapa permasalahan fiqh yang berlaku dalam masyarakat. 

Ketika al-Imam Ahmad Zaynuddin al-Malibari menetap di Makkah al-Mukarramah, beliau telah menjadi murid kepada Syaikhul Islam Ahmad bin Hajar al-Haytami. Keberadaan beliau di kota suci ini, memberi peluang kepada beliau meminta fatwa kepada gurunya dan beberapa  ulama besar pada masa itu seperti kepada Syeikh Islam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (1004H), Syeikh Muhammad Khatib al-Syarbini (979H), Imam Abdullah Bamakhramah (972H), dan Imam Abdul Rauf bin Yahya al-Makki yang juga murid dari Syeikhul Islam Ibnu Hajar al-Haytami. Berdasarkan soalan-soalan dan jawapan-jawapan yang dikemukakan oleh para ulama tersebut, maka beliau mengumpulkannya dan diusahakan penyusunan kitab ini. 

Terdapat 177 fatwa dalam kitab ini, yang merangkumi beberapa bab fiqh seperti berkaitan dengan ibadat, muamalat, munakahat dan lain-lain.  Kitab ini sangat bermanfaat kerana sebahagian  besar fatwa-fatwa yang terdapat dalam kitab ini tidak terdapat dalam kitab-kitab  fiqh mazhab Syafi’i yang lain. Sebagai contoh terdapat fatwa yang diberikan oleh Imam Ibn Hajar Haytami dalam kitab ini tidak terdapat dalam kitab fatwanya yang terkenal iaitu al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الفتاوى الفقهية الكبرى على مذهب الإمام الشافعي) .

Di bahagian akhir kitab ini, Imam al-Malibari membawa sebuah penutup (خاتمة) yang menerangkan kewajipan beriltizam dengan salah satu daripada empat mazhab yang termasyhur, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.  Kemudian beliau menerangkan susunan keutamaan pendapat-pendapat para ulama mazhab Syafi’i yang perlu diikuti, di mana beliau menyebut; “ Ketahuilah bahawa telah sepakat ulama muhaqqiqin bahawa pendapat yang muktamad dalam mazhab ialah apa yang disebutkan oleh dua Syeikh (الشيخان)[1] dan jika berlaku perbezaan pendapat antara mereka berdua, maka didahulukan pendapat Imam al-Nawawi, kerana yang apa yang ditarjihkan oleh beliau adalah lebih banyak, lebih berilmu atau lebih warak. Oleh itu tidak harus bagi seorang hakim yang muqallid berhukum dengan pendapat yang tidak muktamad.....”

Kitab al-Ajwibah al-‘Ajibah ‘an al-As-ilah al-Gharibah ini boleh dimuat turun di pautan الأجوبة العجيبة عن الأسئلة الغريبة.

Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu Imam al-Rafi’i dan Imam al-Nawawi.