Thursday, September 12, 2013

al-Bayan fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi'i


Kitab al-Bayan fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i (البيان في فقه مذهب الشافعي) merupakan antara kitab fiqh yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab yang lebih dikenali dengan singkatannya ‘al-Bayan’ ini disusun oleh  al-Imam Abu Husain Yahya bin Abu al-Khair Salim al-‘Imrani al-Yamani (489-558H). Beliau adalah seorang tokoh ulama mazhab al-Syafi’i yang terkenal pada zamannya.
 
Kitab al-Bayan disusun oleh Imam Yahya al-‘Imrani sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Muhazzab (المهذب ), iaitu sebuah karya Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Ali al-Fayruzabadi al-Syirazi (476H). Kitab al-Bayan merupakan antara kitab huraian bagi kitab al-Muhazzab yang paling terkenal dan menjadi rujukan para ulama selepasnya dalam menghasilkan karya-karya fiqh dalam mazhab Syafi’i. Bahkan Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf  al-Nawawi (676H) ketika menghasilkan kitab al-Majmu’ ( المجموع )–nya, iaitu kitab huraian kepada kitab al-Muhazzab juga telah menyebut nama kitab al-Bayan sebagai karya fiqh yang sangat bermutu dan besar faedah.
 
Kitab ini telah diterbitkan oleh Dar al-Minhaj dalam 14 jilid termasuk jilid fihris (isi kandungan) nya. Jilid fihris diasingkan. Jilid tersebut mengandungi fihris ayat Quran, Hadis, Athar, akhbar, A’lam, fawa’idul bayan, asy’ar, kalimah masyruhah, mawarid mualif, masodir tahqiq dan sebagainya yang berkaitan.

Kandungan kitab ini….
 
Secara umumnya kandungan kitab al-Bayan ini bermula dari bab taharah (bersuci) dalam jilid pertama hinggalah bab ikrar di dalam bab yang ke sebelas. Berikut kandungannya mengikut jilidnya;

Jilid 1 -Merupakan jilid yang membahaskan bab taharah (bersuci). Dibahagikan mengikut perbahasan bermula dengan perbahsan mengenai apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan daripada air hinggalah bab membuang atau menghilangkan najis.
 
Jilid 2 -Membahaskan bab solat secara menyeluruh. Perbahasan merangkumi masalah umum hinggalah jemaah, takbir, dan masalah solat-solat sunat. Terdapat banyak lagi pecahan masalah yang tidak dapat saya selitkan disini. Apa yang mampu saya katakan, jilid kedua mempuyai 711 muka surat termasuk fihris dan semua muka surat itu membincangkan masalah solat sahaja.

Jilid 3 -Mengandungi perbincangan yang melibatkan 4 pembahagian hukum iaitu bab jenazah, zakat, puasa dan ‘itikaf. Bab jenazah membahaskan apa yang perlu kita lakukan ketika berdepan dengan mayat, mandikan mayat, kafan, solat keatas mayat, membawa mayat dan pengebumian, dan bab takziah keatas mayat.

Perbincangan bab zakat pula bermula dari kewajipan zakat, dan diakhiri permasalahan sedekah tathawwu’. Bab puasa dimulakan dengan perbincangan kewajipan puasa dan diakhiri dengan puasa tathawwu’ dan malam lailatul qadr. Bab I’tikaf adalah bab yang terakhir yang mengandungi permasalah yang paling sedikit dalam jilid ini dengan dimulakan dengan perbincangan syarat I’tikaf hingga lah mengqada’kan I’tikaf bagi mayat.

Jilid 4 -Membincangkan masalah haji secara meyeluruh termasuk umrah.Bermula dari perbahasan memasuki makkah dengan bukan sebab untuk menunaikan haji, diikuti perbahasan apa yang halal dan yang haram ketika menunaikan haji/umrah, nazar, dan diakhiri dengan bab sembelihan.

Jilid 5 - Dikhususkan untuk membahas bab buyu’ (jualbeli). Jilid ini mengandungi berbagai permasalahan yang melibatkan jualbeli.

Jilid 6 -  adalah jilid yang boleh dikatakan sebahagian dari urusan jualbeli, cuma penyusun memisahkan atau membahagikan kepada dua bahagian iaitu yang terdapat di dalam jilid kelima dan jilid yang keenam ini adalah jilid yang membahaskan bab-bab seperti pelaburan, hutang, pewarisan, syarikat dan diakhiri dengan perbahasan dari segi bank. Terdapat banyak lagi pecahan perbahasan didalam jilid ini yang tidak dapat saya nyatakan. Jilid ini mempunyai 558 muka surat termasuk fihris dan semuanya membincangkan masalah dalam perniagaan.

Sekian maklumat ringkas mengenai kandungan kitab al-Bayan  ini. Untuk mengetahui kandungan jilid seterusnya pembaca bolehkan merujuk sendiri kitab ini. Kitab al-Bayan yang diterbitkan oleh Dar al-Minhaj –dari  Arab Saudi- berdasarkan semakan dan tahqiq (editing) Qasim Muhammad al-Nuri ini,  boleh didownload di pautan berikut;

http://www.waqfeya.com/book.php?bid=2690 
http://adel-ebooks.sheekh-3arb.info/...y/Feqh/588.rar
 
Semoga bermanfaat.

Jima' al-'Ilm

 
Kitab Jima’ al-‘Ilm (جماع العلم) merupakan sebuah kitab yang membincangkan mengenai bidang usul fiqh, yang disusun oleh Imam Muhamad bin Idris al-Syafi’i (150-204). Beliau menyusun kitab ini di Mesir, setelah penulisan kitab al-Risalah al-Jadidah (iaitu kitab Risalah versi baru – setelah diubahsuai dari kitabnya yang lama). 
 
Dalam penyusunan kitab ini, al-Imam al-Syafi’i menjadikan kitab al-Risalah sebagai rujukan, misalnya beliau menyanggah orang yang menolak untuk menggunakan hadis ahad sebagai hujah dengan berkata; “Apa yang kami sampaikan di sini dan dalam al-Kitab (maksudnya al-Risalah) sebelum ini terdapat dalil yang membantah mereka dan orang selain mereka”.
 
Kitab al-Risalah dan Kitab Jima’ al-‘Ilm memiliki kaitan antara satu sama lain yang sangat kuat dan itu tidak sekadar menjadikan kitab al-Risalah sebagai rujukannya, malahan kitab Jima’ al-Ilm menjelaskan apa-apa yang disampaikan secara umum oleh Imam al-Syafi’i dalam kitab al-Risalah. Ada juga perkara yang disampaikan secara umum dalam kitab Jima’ al-Ilm, sudah ada penjelasannya dalam kitab al-Risalah sebelumnya. Adalah sangat bermanfaat jika kedua-dua kitab ini dicetak bersamaan, lalu dibuat ulasan dan kajian secara komprenhensif.
 
Tema utama kitab Jima’ al-‘Ilm ada tiga, iaitu;
 
  1. Menggunakan hadis ahad sebagai hujah, Sunnah menjelaskan hukum al-Quran dan kedudukan Sunnah terhadapnya.
  2. Menjelaskan kedudukan ijmak yang dapat dijadikan hujah dalam syari’at Islam.
  3. Apa yang dibolehkan dan apa yang tidak dibolehkan dalam perbezaan fiqh.
Kitab ini mengandungi banyak penerapan masalah-masalah fiqh. Ia ditulis menggunakan metode dialog-dialog dengan mengandaikan aspek-aspek yang diperselisihkan dan mengyanggah dalil-dalil yang kemungkinan besar dapat terjadi dalam dialog usul fiqh. Kitab ini termasuk dalam karya tulis yang bernilai tinggi dalam bidang usul fiqh.
 
Kitab Jima’ al-‘Ilm yang telah diterbitkan…..
 
Berdasarkan beberapa cetakan terawal, kitab Jima’ al-‘Ilm ini telah diterbitkan bersama dengan kitab al-Umm. Berikut dilampir beberapa versi cetakan kitab ini;
  1. Kitab Jima’ al-‘Ilm yang selesai ditahqiq oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir pada tahun 1940M dan diterbitkan oleh Maktabah Ibn Taymiyyah. Kandungannya (teks kitab dan teks tahqiq sahaja) merangkumi 128 halaman tidak termasuk halaman isi kandungan.
  1. Kitab Jima’ al-‘Ilm yang dimuatkan dalam Mawsu’ah al-Imam al-Syafi’i,( موسوعة الإمام الشافعى ) cetakan Dar Qutaibah – kandungannya merangkumi dalam 70 halaman dan memuatkan 460 perenggan. Kitab ini ditahqiq Dr. Ahmad Badruddin Hassun.  
  1. Kitab Jima’ al-‘Ilm yang ditahqiq oleh Muhammad Ahmad Abdul Aziz Zaidan dan dicetakan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah di Beirut pada tahun 1405H/1985 dengan ketebalannya mencapai 100 halaman, termasuk halaman isi kandungannya.
 Kitab Jima’ al-‘Ilm yang ditahqiq oleh Syaikh Ahmad Syakir  (dalam file pdf) boleh di didownload di pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Wednesday, September 11, 2013

al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi'i


Kitab al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (التهذيب فى فقه الإمام الشافعى) merupakan sebuah karya fiqh yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i dalam menghasilkan karya mereka. Kitab al-Tahzib ini disusun Imam Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi (516H).
 
Dalam penyusunan kitab ini, al-Baghawi  menyebutkan dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah dan al-Atsar di setiap permulaan bab, di samping turut memaparkan pendapat ulama mazhab al-Syafi’i dan pendapat mazhab lain. Pembahasannya cenderung ke arah metod ilmu khilaf (ilmu perbezaan pendapat) atau fiqh muqaran (fiqh perbandingan), meskipun kitab ini pada dasarnyaq disusun untuk menjelaskan pendapat mazhab al-Syafi’i. 
 
Kitab ini telah ditahqiq oleh Adil Ahmad Abdul Mawjud dan Ali Muhammad Mu’awwad yang kemudiannya  diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah di Beirut. Cetakan pertamanya pada tahun 1418H/1997M dengan ketebalan lapan jilid.

Kitab ini boleh didownload di pautan berikut;
http://www.almeshkat.net/vb/showthread.php?t=114469 / https://archive.org/compress/FP76521/formats=IMAGE%20CONTAINER%20PDF&file=/FP76521.zip

Semoga bermanfaat.

Tuesday, September 10, 2013

al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafi'i

 
Kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (كتاب المعتمد في الفقه الشافعي) adalah antara kitab fiqh aliran mazhab al-Syafi’i yang terkini. Kitab ini adalah karya Prof Dr. Muhammad al-Zuhaili, iaitu adik kepada Prof Dr. Wahbah al-Zuhaili (pengarang kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu). Beliau merupakan Dekan Fakulti Syariah & Pengajian Islam di Universiti al-Syariqah, Syria.
 
Kitab al-Mu’tamad ini mengandungi perbahasan lengkap mengenai permasalahan fiqh mengikut pandangan mazhab al-Syafi’i. Ia pertama kali diterbitkan pada tahun 2007, oleh Darul Qalam, Syria. Kandungan kitab ini terangkum dalam 5 buah buku (jilid).
 
Dalam penyusunan kitab ini, Dr Muhammad al-Zuhaili bersumberkan kepada pendapat yang rajih (القول الراجح) dalam mazhab. Namun begitu, kadang-kadang beliau memasukkan juga pendapat yang dianggap marjuh (القول المرجوح) atau dha’if (الضعيف) dalam mazhab al-Syafi’i, jika ianya bertepatan dengan pendapat dalam mazhab yang lain. Beliau juga ada menerangkan dalil-dalil setiap permasalahan hukum yang dibincangkan menurut mazhab al-Syafi’i. Bagi memastikan kitab ini memberi faedah yang besar kepada pembacanya, setiap permasalahan fiqh yang dibincangkan dilengkapi dengan sumber rujukan yang diterangkan di bahagian nota kakinya. Setiap ayat al-Quran dinyatakan nombor ayat dan surahnya, manakala setiap hadis dinyatakan takhrijnya secara ringkas dengan merujuk kepada kitab-kitab hadis yang telah diterbitkan.
 
Perkara penting yang perlu diketahui oleh pembaca adalah tidak semua permasalahan fiqh yang dibincangkan oleh para ulama terdahulu di terkandung dalam kitab ini. Penyusun lebih menumpukan kepada permasalah fiqh yang sering berlaku  dan sedang diamalkan dalam realiti masyarakat kini. Beliau meningggalkan permasalah fiqh yang jarang berlaku atau tidak diamalkan dalam masyarakat masa kini seperti hukum perhambaan (أحكام الرقيق والعبيد) dan sebagainya. 
 
 
Terjemahan kitab ini….
 
Kitab al-Mu'tamad ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Saya ada melihatnya beberapa kali di sebuah kedai buku di Sandakan. Edisi terjemahan kitab ini telah diterbitkan oleh Jasmin Publications - Selangor, dalam 5 jilid (buku). Sekadar maklumat yang  saya perolehi dari penerbitnya kitab terjemahan ini masih ada dalam stok jualan mereka.

Kitab al-Mu'tamad edisi 'Arabnya boleh didownload di pautan   المعتمد في الفقه الشافعي
Semoga bermanfaat.

Monday, September 9, 2013

Mukhtashar al-Tuhfah al-Ithna 'Asyariyyah


Kitab Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna ‘Ashariyyah (مختصر تحفة الاثنى عشرية) merupakan sebuah karya yang menerangkan secara terperinci mengenai kepercayaan yang dianuti pengikut Mazhab Syi’ah Ithna ‘Asyariah (Syiah Imam Dua Belas) atau juga dikenali dengan Mazhab Ja’fariyyah. Kitab ini disusun oleh al-Syaikh Abu al-Ma’ali Mahmud Syukri al-Alusi (1856–1924M) seorang ulama terkenal di ‘Iraq.
 
Untuk dikongsi bersama, mengenai penyusun sebenar kitab ini telah wujud kekeliruan, kerana berdasarkan edisi kitab ini yang telah diterbitkan terdapat dua nama yang dipaparkan, sama ada; al-Syaikh Mahmud Syukri al-Alusi atau Shah Abdul ‘Aziz bin Ahmad bin Abdul Rahim al-Dihlawi.
 
Kitab Mukhtashar al-Tuhfah al-Ithna ‘Asyariyyah sebenarnya merupakan sebuah kitab yang diringkaskan dari sebuah kitab lain yang berjudul al-Tuhfah Ithna ‘Asyariyyah (تحفة الاثنى عشرية), iaitu sebuah karya Imam al-Muhaddith Shah ‘Abdul ‘Aziz bin Ahmad al-Dihlawi (1745-1823M) seorang ulama terkenal dari India. Beliau merupakan anak kepada Shah Waliyullah Ahmad bin Abdul Rahim al-Dihlawi (1762M), seorang tokoh ulama yang terkenal sebagai mujaddid pada masanya. Di antara karya Shah Waliyyullah ialah kitab Hujjatullah al-Balighah.
 
Perlu juga saya catatkan, terdapat setengah penulis yang menulis artikel atau buku mengenai Mazhab Syiah di negara ini yang menyebutkan pengarang kitab ini sebagai Shah Waliyullah al-Dihlawi, iaitu bapa kepada pengarangnya sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Ini merupakan satu kekeliruan. 
 
 
Sejarah Penyusunan Kitab Mukhtashar al-Tuhfah….
 
Kitab al-Tuhfah Ithna ‘Asyariyyah disusun oleh Shah ‘Abdul ‘Aziz bin Ahmad al-Dihlawi dalam bahasa Parsi. Kitab ini kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa 'Arab oleh al-Syaikh al-Hafiz Ghulam Ahmad al-Aslami pada tahun 1227H.  Kitab ini mula terkenal dan tersebar luas di kalangan ulama dan masyarakat Islam di Timur Tengah apabila kitab terjemahan ini  diringkaskan  oleh al-Syaikh al-'Allamah Mahmud Syukri al-Alusi, seorang ulama terkenal 'Iraq pada tahun 1301 H.
 
Saya tidak pasti adakah kitab asalnya, sama ada dalam bahasa Parsi maupun terjemahan dalam bahasa 'Arabnya masih wujud dan diterbitkan ataupun tidak. Mungkin kitab ini masih wujud dalam bentuk manuskrip dan belum diterbitkan. Sekadar andaian dan pengetahuan saya, karya Shah ‘Abdul ‘Aziz al-Dihlawi yang penting ini, hanya dikenali dan menjadi rujukan di kalangan umat Islam kini hanya melalui kitab mukhtasharnya. Wallahu a’lam.
 
 
Terjemahan kitab ini….
 
Saya pernah membaca kitab terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Edisi terjemahan oleh Salahuddin Abdullah ini diterbitkan pada tahun 1992 dengan judul “ Ringkasan Syiah Mazhab Imam Dua Belas ”. Tebalnya 562 halaman.
 
Namun begitu, buku ini tiada dalam koleksi saya. Hingga sekarang saya cuba mencari di kedai-kedai buku jika masih ada dijual di pasaran buku. Saya sangat mengharap edisi baru kitab ini akan diterbitkan segera. Lebih-lebih lagi melihat kepada realiti sekarang, ajaran Syiah mula tersebar secara meluas di negara ini. 
 
Kitab edisi ‘Arabnya boleh dibaca secara online di pautan berikut:
 
Semoga bermanfaat.

Saturday, September 7, 2013

al-Fiqh 'ala Mazahib al-Arba'ah

 
 
Kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah ( الفقه على المذاهب الاربعة ) karya al-Syaikh ‘Abdul Rahman bin Muhammad ‘Awad al-Jaziri (1882/1299-1941/1360) adalah antara kitab fiqh perbandingan mazhab yang terkenal, yang menjadi rujukan para ulama dan umat Islam pada zaman kini. 
 
Kandungan kitab ini memuatkan semua permasalahan fiqh yang biasa dibincangkan oleh para ulama fiqh dalam kitab mereka dari Kitab Thaharah (bersuci) hingga Kitab Ta’zir. Setiap permasalahan hukum diterangkan mengikut pandangan empat mazhab fiqh yang muktamad di kalangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali. 
 
Berdasarkan edisi Arabnya yang diterbitkan oleh Dar al-Fikr , Beirut –Lubnan pada tahun 1990/ 1411, kitab ini disusun dalam buah 5 juzuk. Setiap juzuk diterbitkan dalam jilid yang berasingan ( Jilid 1- 5  = 5 buah buku).

 
Metode penyusunan kitab ini….

Isi kandungan kitab ini dibahagikan kepada dua bahagian, yang dipisahkan oleh satu garisan;

A) Bahagian tajuk dan penerangan ringkas permasalahan yang dibincangkan.

B) Bahagian nota kaki.

Di bahagian A dipaparkan setiap tajuk permasalahan fiqh dan penerangan ringkas setiap tajuk ada diterangkan. Setiap permasalahan hukum fiqh yang disepakati oleh sebahagian mazhab akan diterangkan di bahagian ini. Manakala, jika tedapat perbezaan pendapat di kalangan mazhab mengenai sesuatu permasalahan hukum, ia akan diterangkan di bahagian B (nota kaki) berdasarkan pendapat mazhab-mazhab tersebut.

 
Isi Kandungan kitab ini….

Berikut disenaraikan tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam kitab ini;

1. Kitab al-Thaharah (Bersuci)

2. Kitab al-Shalah (Solat)

3. Kitab al-Shiyam (Puasa)

4. Kitab al-Zakah (Zakat)

5. Kitab al-Haj (Haji)

6. Kitab Larangan dan Pembolehan (mengenai makan, minum dan perhiasan)

7. Kitab al-Ba’i (Jual beli) dan yang berkaitan (muamalat)

8. Kitab al-Nikah (Perkahwinan)

9. Kitab al-Thalaq.

10. Kitab al-Hudud.

11. Kitab al-Qisas.

12. Kitab al-Bughat (Pemberontak).

13. Kitab al-Riddah (Murtad).

14. Kitab al-Ta’zir.

15. Kitab al-Kabair (Dosa-Dosa Besar)

 
Terjemahan kitab ini…

Buku terjemahan lengkap kitab ini dalam bahasa Melayu / Indonesia telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan. Buku terjemahan di Malaysia, telah diterbitkan oleh Syarikat Perniagaan Jahabersa (cetakan 1/2011) dalam 2 jilid, yang merangkumi setebal  2177 halaman ( Jilid 1 =125o + Jilid 2= 927 ) tidak termasuk halaman isi kandungan.

Dari pengamatan saya, edisi terjemahan ini merupakan edisi yang telah diubahsuai dari terjemahan dari bahasa Indonesia, kerana saya dapati terdapat beberapa istilah terjemahan yang berasal dari bahasa tersebut. Lebih-lebih lagi, dari senarai nama penterjemahnya memang mereka berasal dari Indonesia. Wallahu a’lam.

Selain edisi di atas, pihak Jahabersa juga ada menerbitkan kitab ini dengan edisi yang lebih kecil mengikut kitab tertentu seperti Kitab Thaharah, Kitab Solat dan sebagainya.

Bagi mereka yang berminat mengetahui permasalahan fiqh berdasarkan beberapa pandangan mazhab, saya syor mereka memiliki buku terjemahan ini.
 
Semoga bermanfaat.

Friday, September 6, 2013

AL-HAWI LI AL-FATAWI (الحاوي للفتاوي)


Kitab  al-Hawi li al-Fatawi  (الحاوي للفتاوي ) merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh al-Imam al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr bin Muhammad al-Suyuthi (911H) dalam berbagai masalah yang dikemukakan umat Islam pada zamannya.

Dalam kitab ini, terdapat banyak persoalan yang telah dijawab oleh al-Suyuthi meliputi  masalah fiqh, ilmu tafsir, hadis, usul fiqh, ‘aqidah, ilmu bahasa ‘Arab (nahu, i’rab) dan berbagai bidang ilmu yang lain. Di samping itu, dalam kitab ini juga disertakan beberapa risalah yang telah disusun oleh al-Suyuthi mengenai beberapa masalah agama yang timbul pada zamannya. 

Di antara isu-isu yang disentuh oleh al-Suyuthi dalam kitab ini ialah beberapa isu yang agak kontroversi dan masih dibincangkan dan diperdebatkan pada masa kini, seperti isu sambutan mawlidur Rasul, zikir secara berjemaah dan sebagainya.  

Berdasarkan edisi ‘Arabnya yang diterbitkan Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut – Lebanon pada tahun 1982, kitab ini dicetakkan dalam dua jilid (juz). 

Edisi terbitan ini boleh dibaca ebooknya melalui fail PDF dan didownload di pautan: CoverJuz 1Juz 2  atau di pautan;  http://www.galerikitabkuning.com/2013/04/al-hawi-lil-fatawa.html

Kitab ini juga boleh dibaca secara online di pautan berikut;  http://www.al-eman.com/%D8%A7%D9%84%D9%83%D8%AA%D8%A8/الحاوي%20للفتاوي%20***/i254&p1.  

Semoga bermanfaat.

Thursday, September 5, 2013

al-'Aziz Syarh al-Wajiz


Kitab al-Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز) atau juga terkenal dengan judul Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز  فتح ) atau al-Syarh al-Kabir (الشرح الكبير) merupakan antara karya fiqh  terkenal yang menjadi rujukan utama dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab ini adalah antara karya fiqh  yang disusun oleh Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i  (623H).

Kitab al-‘Aziz  Syarh al-Wajiz ini disusun oleh al-Rafi’i sebagai huraian (syarah) kepada al-Wajiz fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i karya Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H), iaitu sebuah kitab ringkas dan padat yang menghimpunkan rumusan al-Ghazali terhadap pendapat-pendapat tokoh fuqaha al-Syafi’i sebelumnya dalam beberapa masalah fiqh.

Kitab al-‘Aziz, kemudiannya telah diringkaskan oleh Imam al-Nawawi (676H) dalam kitabnya Rawdhah al-Thalibin  dan Abdul Ghaffar al-Qazwaini (665H) dalam kitabnya al-Hawi al-Shaghir.

Metode Huraian al-Rafi’i…

Ketika membuat huraian terhadap kitab al-Wajiz, Imam al-Rafi’i melalui Kitab al-‘Aziz-nya  terlebih dahulu mengemukakan teks (nash) Imam al-Ghazali mengenai sesuatu masalah  fiqh, kemudian membuat penghuraiannya di bawah teks tersebut. Huraiannya dibuat secara terperinci dengan hujah dan dalil-dalil yang melatar belakangi teks yang menjadi pegangan mazhab al-Syafi’i yang telah dirumuskan Imam al-Ghazali tersebut.

Selain itu, al-Rafi’i juga turut mengemukakan beberapa perbezaan pendapat ulama terhadap sesuatu masalah fiqh yang dibincangkan sekiranya ada. al-Rafi’i kemudiannya membuat pentarjihan (pemilihan) pendapat yang kuat dan menjadi pegangan dalam ulama mazhab al-Syafi’i.

Berdasar kitab edisi Arab yang diterbitkan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut Lubnan pada tahun  1417H/1997, kitab ini dicetakkan sebanyak 13 jilid dan satu jilid tambahan yang memuatkan halaman isi kandungan tajuk, hadis-hadis dan sebagainya yang berkaitan dengan kitab ini. Edisi ini telah ditahqiq (edit) oleh Ali Muhammad Mu’awwadh dan Adil Ahmad ‘Abdul Maujud. Ia dilengkapi dengan semakan status hadis dan pentakhrijan periwayat hadis, serta beberapa huraian dan penjelasan bagi membantu dan memudahkan para pembaca dalam membuat semakkan dan rujukan lanjutan.

Terjemahan kitab ini…

Saya belum mendapat maklumat mengenai terjemahan lengkap kitab ini dalam bahasa Melayu, namun begitu saya ada memiliki buku terjemahan bab Solat  yang terdapat dalam Kitab al-Aziz ini. Buku edisi terjemahan ini diterbitkan oleh Pustaka ‘Azzam Indonesia dengan judul “Fikih Shalat Madzhab Syafi’i”. Ia dterbitkan dalam dua jilid. Walaupun hanya terbit sebahagian sahaja, namun bab solat ini bukanlah bab yang remeh, sebaliknya bab yang termasuk menjadi rujukan dan amalan kita seharian. Maka bagi yang benar-benar mahu mengkaji dan meneliti perbahasan fiqh solat dalam kalangan mazhab al-Syafi’i, ini adalah antara kitab besarnya selain kitab-kitab seumpama al-Majmu’ Syarah al-Muhadzab, Fathul Bari, al-Minhaj, Raudhah al-Thalibin, dan yang lainnya.

Kitab edisi Arab yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah di atas boleh didownload di pautan berikut; http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1450

Semoga bermanfaat.

AL-IQNA' FI HALL ALFAZH ABI SYUJA'


Kitab  al-Iqna' fi Hall Alfazh Abi Syuja' ( الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع ) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab al-Syafi'i  yang terkenal di kalangan ulama mazhab al-Syafi'i yang mutaakhir. Kitab ini adalah hasil karya al-Syaikh Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khathib al-Syarbiniy (977H) sebagai huraian (syarah) bagi sebuah matan fiqh yang terkenal, iaitu Matn al-Taqrib atau terkenal dengan nama Matn Abi Syuja'  sempena nama pengarangnya al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani(533-593H).

Kitab al-Iqna’ ini menjadi kitab standard bagi kebanyakan pusat pengajian Islam sama ada peringkat menengah maupun peringkat pengajian tinggi di universiti-universiti di Timur Tengah. Di Malaysia, ia dijadikan teks pengajian fiqh Syafi’iyyah di pondok-pondok.

Berdasarkan beberapa edisi Arabnya, kitab ini mempunyai dua juz, yang digabungkan dalam sebuah buku.

Saya dapati kitab ini ada diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Syarikat Perniagaan Jahabersa. Sebagaimana edisi Arabnya, kitab terjemahan ini juga mempunyai dua juz yang digabungkan dalam sebuah buku yang agak tebal, iaitu 1082 halaman.

Kitab versi Arabnya boleh dimuat turun di pautan http://www.waqfeya.com/book.php?bid=6204

Di antara kitab hasyiah bagi kitab al-Iqna’  ialah;

a)  Hasyiah ‘ala al-Iqna’, karya al-Imam al-Qalyubi, Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Salamah, Syihabuddin al-Qalyubi al-Mishri (1069H/1659M).

b)   Tuhfah al-Habib 'ala Syarh al-Khathib (تحفة الحبيب على شرح الخطيب), karya al-‘Allamah Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi al-Azhari (1131-1221H). Kitab ini terkenal di kalangan ulama mazhab Syafi’i sebagai  al-Bujairimi ‘ala al-Khathib. Baca lagi ...

c)   Hasyiah al-Nabrawi ‘ala al-Iqna’ (حاشية النبراوى على الاقناع شرح الخطيب لأبي شجاع) (masih hidup tahun 1257H), karya Syaikh Abdullah bin Muhammad al-Nabrawi. Berdasarkan terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, ia dicetak dalam 3 jilid. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan حاشية النبراوى على الاقناع.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, September 4, 2013

Sullam al-Tawfiq ila Mahabattillah ‘ala al-Tahqiq


Kitab Sullam al-Tawfiq ila Mahabattillah ‘ala al-Tahqiq (سلم التوفيق إلى محبة الله على التحقيق), adalah sebuah karya al-Syeikh 'Abd Allah bin al-Husain bin Hakim bin Muhammad bin Hasyim Ba'alawi al-Hadhrami al-Tarimi (1191-1272 / 1778-1855). Ia sebuah kitab yang sangat penting, di mana isi kandungan berkaitan dengan beberapa kewajiban bagi setiap muslim.

Kandungan kitab Sullam al-Taufiq merangkumi tiga perkara asas agama iaitu bidang tasawuf, fiqh dan aqidah, yang disusun secara ringkas dan padat, tanpa mengemukakan dalil dan tidak diberikan definisi secara panjang lebar. Ia dibahagikan kepada beberapa bab dan setiap bab pula dipecahkan kepada beberapa fasal.

Perbahasan kitab Sullam al-Tawfiq ini dimulai dengan perbahasan mengenai akidah. Di antaranya pembahasannya mengenai dua kalimah syahadah, keimanan kepada Allah, para Nabi, perkara sam’iyyat (perkara ghaib) dan perkara yang membatalkan keimanan dan hukum murtad.

Setelah membicara dimensi akidah, penulis selanjutnya menjelaskan tentang hukum Islam (fiqh) secara singkat, baik aspek ibadat seperti, tatacara wuduk, shalat, zakat, puasa, haji serta sedikit pembahasan tentang mu’amalah yang meliputi tatacara jual beli dan larangan riba. Perbahasan bahagian ini diakhiri dengan penerangan mengenai kewajipan memberi nafkah yang dijelaskan secara ringkas. Dalam menjelaskan tema-tema fiqh penulis hanya membahas tema asas sahaja. Sebagai contohnya mengenai solat diterangkan mengenai syarat, rukun serta perkara yang membatalkan tanpa membahaskan lebih lanjut tentang perkara sunat dan makruh.

Begitu juga dalam kajian tasawuf, diterangkan secara ringkas berkenaan dengan beberapa perkara maksiat (dosa), sama ada maksiat yang berhubungan dengan hati ataupun anggota tubuh yang lainnya seperti perut, mata, lisan (lidah), telinga, tangan, kemaluan, kaki dan badan. Perbahasan bahagian tasawuf ini diakhiri dengan anjuran segera bertaubat dengan memenuhi syarat-syaratnya.

Kitab Sullam al-Tawfiq telah mendapat perhatian para ulama mazhab Syafi’i. Beberapa kitab telah disusun sebagai huraian (syarah) kitab Sullam al-Tawfiq, antaranya;

a) Kitab Mirqat Su’ud al-Tashdiq fi syarh Sullam al-Taufiq ila Mahabattillah ‘ala al-Tahqiq (مرقاة صعود التصديق في شرح سلم التوفيق إلى محبة الله على التحقيق), sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin 'Umar bin Ali al-Jawi al-Bantani al-Tanariy (1316H/1898M), seorang ulama keturunan Melayu yang terkenal di Makkah pada zamannya.

b) Kitab Is’ad al-Rafiq wa Bughyah al-Shiddiq, karya Muhammad bin Salim bin Sa’id Ba Bashil al-Syafi’i.

c)  Kitab Sullam al-Tawfiq yang ditahkik dan diberikan hasyiah di bahagian nota kaki oleh Sibt al-Jilani. 

Di samping kitab-kitab huraian (syarah)nya, terdapat juga ulama yang menyusun kembali kitab Sullam al-Taufiq dalam bentuk prosa (nazam). Di mana  KH. Abdul Hamid Pasuruan telah menggubahkannya dalam bentuk prosa sebanyak 500 bait melalui karyanya yang judul Mandzumah Sullamut Tawfiq.

Selain itu, terdapat juga karya yang merupakan ringkasan (ikhtishar) bagi kitab Sullam  al-Tawfiq, iaitu kitab Mukhtashar al-Kafil bi Ilmi al-Din al-Dharuri yang disusun oleh Syaikh Abdullah al-Harari.

Kitab Sullam al-Tawfiq dalam file pdf boleh dimuat turun di pautan

Semoga bermanfaat.