Showing posts with label al-Baghawi. Show all posts
Showing posts with label al-Baghawi. Show all posts

Friday, December 18, 2015

Fatawa al-Baghawi


Kitab Fatawa al-Baghawi (فتاوى البغوي) adalah sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh al-Imam al-Hafizh al-Mujtahid al-Faqih Muhyis Sunnah Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud bin Muhammad al-Baghawi al-Syafi’i (433-516H).

Kitab Fatawa al-Baghawi merupakan antara kitab-kitab fatwa yang penting, yang menjadi rujukan para ulama, khususnya para ulama mazhab Syafi’i. Kandungannya menjadi hujjah dan rujukan para fuqaha’ kerana kedudukan Imam al-Baghawi sebagai seorang tokoh ulama panutan yang tinggi keilmuannya. Fatwa-fatwa al-Baghawi telah dinukil oleh para ulama dan tercatat dalam  karya-karya mereka. Antara ulama yang banyak menyebutkan fatwa-fatwa al-Baghawi dalam karya-karya mereka ialah Imam al-Rafi’i, al-Nawawi, al-Muzajjad al-Yamani, Ibn al-Rif’ah, Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari, Taqiyuddin al-Hushni, Ibn Hajar al-Haytami, al-Ramli, al-Syarbini al-Khathib, dan lain-lain.

Kitab ini disusun oleh al-Baghawi meliputi semua permasalahan dalam bab fiqh. Penyusunan babnya mengikut susunan kitab Mukhtashar al-Muzani. Isi kandungan fatwa-fatwa dalam kitab ini agak ringkas dan padat. Bilangan fatwanya yang disebutkan dalam kitab ini melebihi 700 permasalahan.

Melihat kepada kandungan fatwa yang disusun oleh al-Baghawi ini, menunjukkan keilmuan dan kemantapan kefahaman al-Baghawi mengenai sesuatu permasalahan hukum syarak. Para ulama menganggap al-Baghawi telah mencapai tahap mujtahid yang mampu mengeluarkan hukum syarak tanpa bertaklid kepada ulama sebelumnya. Perkara ini dapat kita ketahui dengan meneliti sebahagian fatwa-fatwa al-Baghawi yang terdapat dalam kitab ini, yang menyalahi pendapat para ulama sebelum beliau.

Kitab fatwa yang penting ini telah dicetak dan diterbitkan buat pertama kali pada tahun 2015, oleh Dar al-Minhaj. Kitab ini diterbitkan dalam satu jilid dengan ketebalan 608 halaman. Semoga bermanfaat.


Monday, August 10, 2015

Fatawa al-Qadhi Husain


Kitab “ Fatawa al-Qadhi Husain ”  (حسين القاضي فتاوى) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang disusun mengikut soal-jawab. Kandungan kitab ini memuatkan himpunan fatwa-fatwa yang pernah dituturkankan oleh al-Imam al-‘Allamah al-Qadhi al-Husain bin Ahmad bin Muhammad al-Marwarudzi (462H). Seorang tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal dengan julukan al-Qadhi, kerana selain menjadi guru fiqh , beliau juga menjawat sebagai hakim ( qadhi ), dan jawatan inilah yang membuatnya lebih terkenal dengan julukan Qadhi Husain.

Qadhi Husain mempunyai kedudukan yang tinggi dan sangat terhormat di lingkungan madzhab Syafi’i . Ramai ulama yang memuji tentang keilmuan Qadhi Husain.  Berkata al-Sam’aani , pengarang buku ‘ al-Ansab : “  Qadhi Imam Abu Muhammad,  Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Mawarudzi , merupakan tokoh pada zamannya… beliau  telah mampu melahirkan ramai ulama , sehingga kota Marwarudzi menjadi  tempat tumpuan para ulama dan tujuan para fuqaha. Semua itu , kerana di dalamnya ada Qadhi Husain… dan ini berlangsung terus hingga sekarang . ”

Selain itu, Qadhi Husain merupakan ulama “ Ashab al-Wujuh ” di dalam mazhab Syafi’i.  ” Ashab al-Wujuh ” ini adalah  julukan bagi ulama yang  telah memenuhi syarat-syarat ijtihad , dan telah menguasai fiqh mazhab Syafi’i secara baik, telah terbiasa di dalam melakukan istinbat hukum, mampu mengupas  pendapat-pendapat Imam  Syafi’i  serta menyimpulkan hal-hal yang belum disinggung oleh Imam Syafi’i , untuk kemudian diselaraskan sehingga sesuai dengan metodologi yang dipakai oleh Imam Syafi’i. Selain itu, dia juga mampu mengembangkan fiqh mazhab Syafi’I  menjadi cabang-cabang yang banyak sekali.

Oleh kerananya, dalam buku-buku fiqih karya-karya ulama Khurasan, seperti : Nihayah Matlab karya Imam Haramain, Tatimmah Ibanah karya Mutawalli, Muhadzab karya Syairazi, al-Wajiz, al-Basith dan al-Wasith, karya Imam Ghazali, jika disebut di dalamnya kata ” Qadhi ” , maka yang dimaksud adalah Qadhi Husain ini. Semua ulama- ulama yang disebut di atas adalah murid- muridnya Qadhi Husain. Bahkan menurut al Yafi’i , bahawa seluruh ulama dalam mazhab Syafi’i  jika menyebut kata ” Qadhi ” , di dalam bidang fiqh, maka yang dimaksud adalah Qadhi Husain.  Qadhi Husain meninggal dunia tepat selepas solat Isya’ , malam Rabu , tanggal 23 Muharram 462 H di kota kelahirannya Marwarudzi,Khurasan.


Mengenai kitab kitab Fatwa al-Qadhi Husain…..

Kitab fatwa ini sebenarnya tidak dibukukan (disusun dalam bentuk buku) sendiri oleh Qadhi Husain semasa hidupnya. Individu yang berusaha menyusun fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Qadhi Husaini ini ialah salah seorang murid terkenalnya iaitu al-Imam Muhyis Sunnah al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi (510H), yang terkenal dengan julukannya Imam “ al-Baghawi ”.

Kandungan kitab fatwa ini agak berbeza dengan beberapa kitab fatwa yang lain, yang menghimpunkan pelbagai fatwa yang meliputi semua bidang sama ada akidah maupun fiqh. Ini kerana kandungan kitab ini hanya menghimpunkan fatwa-fatwa yang berkaitan dengan bidang fiqh sahaja.

Isi kandungannya sebagaimana kitab fiqh yang lainnya, iaitu merangkumi perbincangan mengenai ibadat, muamalah, munakahat, jenayah,  kehakiman dan makanan serta pemburuan. Kitab ini dimulai dengan kitab “ Taharah”  (bersuci) dan diakhiri dengan bab al-‘Itq (pembebasan hamba). Berdasarkan kitab yang terbitkan oleh Dar al-Fath, Jordan, terdapat 854 fatwa Qadhi Husain yang terakam dalam kitab fatwa ini. Kandungan kitab ini banyak dijadikan rujukan oleh para ulama Mazhab Syafi’i.  


Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kitab ini, sila muat turun kitab ini (file PDF) di pautan berikut; 

Wednesday, September 11, 2013

al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi'i


Kitab al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (التهذيب فى فقه الإمام الشافعى) merupakan sebuah karya fiqh yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i dalam menghasilkan karya mereka. Kitab al-Tahzib ini disusun Imam Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi (516H).
 
Dalam penyusunan kitab ini, al-Baghawi  menyebutkan dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah dan al-Atsar di setiap permulaan bab, di samping turut memaparkan pendapat ulama mazhab al-Syafi’i dan pendapat mazhab lain. Pembahasannya cenderung ke arah metod ilmu khilaf (ilmu perbezaan pendapat) atau fiqh muqaran (fiqh perbandingan), meskipun kitab ini pada dasarnyaq disusun untuk menjelaskan pendapat mazhab al-Syafi’i. 
 
Kitab ini telah ditahqiq oleh Adil Ahmad Abdul Mawjud dan Ali Muhammad Mu’awwad yang kemudiannya  diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah di Beirut. Cetakan pertamanya pada tahun 1418H/1997M dengan ketebalan lapan jilid.

Kitab ini boleh didownload di pautan berikut;
http://www.almeshkat.net/vb/showthread.php?t=114469 / https://archive.org/compress/FP76521/formats=IMAGE%20CONTAINER%20PDF&file=/FP76521.zip

Semoga bermanfaat.

Monday, July 29, 2013

Misykat al-Masabih karya Imam al-Tabrizi

 
Pengenalan ringkas Imam al-Tabrizi
 
Nama penuh beliau ialah Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi. Digelarkan al-Tabrizi kerana dinisbahkan kepada Tibriz iaitu satu kampung yang terletak di Azerbaijan sekarang ini. Beliau merupakan seorang ulama yang mahir di dalam permasalahan hadith yang sering dipuji oleh orang-orang sezamannya. [ Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi (2003), Misykat al-Masabih, tahkik : al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya , Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan, j.1, hal 12 ]

Tidak banyak dapat diperkatakan mengeni beliau kerana terlalu sedikit maklumat mengenai latar belakangnya. Cuma apa yang dapat diperkatakan ialah mengenai pujian beberapa orang ulama kepadanya. Antaranya Syeikh al-Allamah Hassan bin Muahmmad al-Tibu di dalam kitab beliau Baqiyyah al-Auliya’ wa Qatb al-Sulha’ menganggap beliau sebagai seorang alim yang sukar ditandingi. Begitu juga tanggapan al-Mala Ali al-Qari dan al-Kittani. Di antara karangan beliau yang sampai ke tangan generasi terkemudian ialah Misykat al-Mashabih dan al-Ikmal fi Asma’ al-Rijal. Beliau wafat pada 737H iaitu pada tahun beliau menyempurnakan penulisan kitab Misykat al-Masabih pada hari Jumaat terakhir di bulan Ramadhan.

 
Pengenalan al-Imam al-Baghawi

Oleh kerana kitab ini merupakan syarah kepada kitab Mashabih al-Sunnah karangan Imam al-Baghawi, maka penulis merasakan amat perlu untuk turut diperkenalkan beliau selaku penulis asal kepada kitab yang disyarahkan oleh Imam Tabrizi.

Beliau ialah Abu Muhammad al-Husayn bin Mas’ud bin Muhamad bin al-Farra’ al-Baghawi. Digelar sebagai Muhyissunnah atau orang yang menghidupkan sunnah kerana kesungguhannya di dalam mempertahankan sunnah Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan pada 433H di satu kampung bernama ‘Bagh’ yang terletak di Khurasan. Oleh kerana itu, nama beliau dinisbahkan kepada kampung ini dan digelar sebagai al-Baghawi.

Ketika berumur 27 tahun, beliau bermusafir ke Marwu al-Ruzz Tempat ini terletak lebih kurang 5 hari perjalanan dari kampung asalnya untuk menuntut ilmu daripada syeikh-syeikh hadis di sana. Beliau merupakan seorang pelajar yang tekun di dalam menuntut ilmu. Berkata Imam al-Zahabi mengenai dirinya, “Beliau tidak akan belajar kecuali di dalam keadaan suci (berwudhuk)..” [ Muhamad bin Husayn al-Zahabi (t.t) Siyar a’lam al-Nubala’, j.19, hal 441 ].

Di antara guru-gurunya ialah Abu Salih Ahmad bin Abdul Malik al-Naysaburi (m. 470H), Abu Ali al-Husayn bin Muhammad bin Ahmad al-Maruzi (m.352H), Abu Turab Abd al-Baqi bin Yusof bin Ali bin Salih bin Abd al-Mulk al-Maraghi (m492H) dan ramai lagi. Manakala di antara murid-muridnya ialah saudaranya Hassan bin Mas’ud al-Baghawi (m529H) dan  Umar bin Hassan bin Husayn al-Razi (m606H) iaitu ayah kepada al-Imam al-Razi penulis al-Tafsir al-Kabir.

Beliau menghasilkan banyak karya, antaranya 40 Hadis, al-Anwar fi Syamail al-Nabiyy al-Mukhtar, Turjumah al-Ahkam fi al-Furu’ (bahasa farsi), al-Tahzib fi al-Fiqh, al-Jam’u bayna al-Sahihain dan lain-lain. Beliau akhirnya meninggal dunia pada bulan Syawwal tahun 510H. [ Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi (2003), Misykat al-Masabih, tahkik : al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya, Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan, j.1, hal 10 ]
 

Pengenalan Kitab Misykat al-Masabih

Kitab ini merupakan huraian kepada kitab Mashabih al-Sunnah yang disusun oleh Imam al-Baghawi. Ia merupakan kitab hadith yang memuatkan hadis-hadis berkaitan persoalan iman (Penyusunan bab di dalam kitab ini mirip kepada penyusunan Imam al-Bukhari di dalam sahihnya), ilmu dan seterusnya persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Di dalam menyusun kitab ini, Imam al-Baghawi pada asalnya meletakkan hadis-hadis tanpa sanad dan tidak dijelaskan sumber ambilannya. Menyedari hakikat ini, Imam al-Tabrizi yang dilahirkan beberapa ratus kemudian telah mengambil inisiatif untuk menyusun semula hadis-hadis ini, diletakkan sanad, dinyatakan sumber ambilannya dan diberikan sedikit komentar.  Ini dinyatakan sendiri oleh Imam Tabrizi di dalam mukaddimahnya. Karya ini dicetak di dalam pelbagai edisi. Manakala karya yang terdapat di tangan penulis berjudul Misykat al-Mashabih  karangan Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi. Ia diterbitkan sebanyak 3 jilid pada 2003 oleh Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan dan telah ditahkik oleh al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya.

Isi Kandungan Kitab

Kitab yang telah ditahkik ini dimulakan dengan muqaddimah daripada pentahkik yang juga menyebut pengenalan ringkas kitab Misykat al-Mashabih. Seterusnya ia diikuti dengan riwayat hidup Imam al-Baghawi dan Imam al-Tibrizi. Seterusnya pentahkik menjelaskan metodologinya di dalam mentahkik kitab ini. Antara metodologinya ialah :
 
ü  Membuat perbandingan naskhah asal (makhtutat) kitab ini dengan kitab yang telah dicetak yang terdapat di perpustakaan.
ü  Membuat perbandingan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab ini dengan naskhah asal Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Mashabih oleh al-Malla Ali al-Qari al-Harwi. Menurut pentahkik, beliau menemui beberapa perbezaan.
ü  Membuat takhrij hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab ini
-Meletakkan tanda baca.
ü  Meletakkan nombor bilangan hadith.[Metode ini dijelaskan sendiri oleh pentahkik di dalam muqaddimahnya]
ü  Kemudian ia diikuti dengan muqaddimah daripada Imam al-Tibrizi yang menjelaskan sedikit sebanyak faktor-faktor yang mendorong penulisan kitab ini. Beliau seterusnya meletakkan hadith yang berkaitan dengan niat yang berbunyi :
 إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Hadith ini diriwayatkan hampir kesemua ulama hadis dan ia mencapai taraf sahih mutawatir sebagai hadis yang pertama sekalipun ia bukanlah merupakan yang pertama di dalam naskhah asal Masabih al-Sunnah.

Mengenai penyusunan bab-bab di dalam kitab ini, Imam Tibrizi mengekalkan susunan yang dilakukan oleh Imam Baghawi. Ia dimulakan dengan kitab Iman diikuti dengan kitab ilmu, taharah, solat, janaiz, zakat, puasa, kelebihan al-Quran, doa, manasik, jual beli, faraid dan wasiat, nikah, ‘itq, sumpah dan nazar, qashash, hudud, imarah dan qadha’, jihad, buruan dan sembelihan, makanan, minuman, pakaian, perubatan, mimpi, adab, riqaq, fitan, hal ehwal kiamat, fadhilat dan akhir sekali manaqib.

Secara keseluruhannya, Misykat al-Mashabih ini mengandungi 30 kitab yang dipecahkan masing-masing kepada beberapa bab. Jumlah keseluruhan bab yang terdapat di dalam karya ini lebih kurang 350 buah bab. Manakala jumlah keseluruhan hadith di dalam karya ini ialah 6285 buah hadith.

Kelebihan Kitab

Kitab ini boleh diibaratkan sebagai ringkasan kepada Sahih Bukhari di mana penyusunan isi kandungannya hampir sama dengan sahih tersebut. Apa yang membezakan di antara keduanya ialah bilangan hadis yang lebih banyak terdapat di dalam Sahih Bukhari dan juga taraf hadis. Pembaca kitab ini akan dapat menghayati tuntutan hidup seorang muslim berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.
Selain dari itu, perbahasan dipecahkan kepada beberapa fasal mengikut orientasi isi kandungan hadith memudahkan pembaca membuat rujukan kepada mana-mana hadith yang dikehendaki.

Kelemahan

Penulis iaitu Imam Imam Baghawi dan Imam Tibrizi ternyata tidak meletakkan hadith-hadith yang dianggap sahih sahaja di dalam kitab mereka. Ini menyebabkan bercampurnya hadith-hadith yang dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah dengan hadith-hadith yang sahih. Menurut Sheikh Nasiruddin al-Albani, jumlah hadith dhaif di dalam kitab ini ialah sebanyak 773 buah hadith dan hadith maudhu’ pula sebanyak 19 buah [ Merujuk kepada perisian Maktabah Syamilah] Ini boleh menyebabkan pembaca yang tidak mempunyai asas ilmu hadith akan terpengaruh dan menjadikan sandaran mereka ke atas hadith-hadith yang lemah malah palsu.