Tuesday, May 14, 2013

AL-ARBA'IN AL-NAWAWIYYAH



Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah (), ia lebih dikenali dengan nama Hadis Arba'in Nawawi ataupun Hadis Empat Puluh. Ia merupakan karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676/1277) atau lebih terkenal dengan Imam al-Nawawi. Kitab al-Arbain adalah sebuah kitab kecil yang paling padat dengan hikmah dan ilmu. Ia memuatkan 42 buah hadis yang merupakan hadis berbentuk penjelasan dasar-dasar Syari'at Islam. Terlalu banyak pujian dan sanjungan dari para ulama sejak dahulu hingga kini terhadap karya ini. Kitab tersebut cukup dikenali dan tersebar ke serata dunia dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa.


Asal Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah

Diriwayatkan bahawa Syaikh al-Islam Taqiyuddin Abu Amr Utsman bin Musa al-Syarzuki, atau lebih dikenali dengan nama Ibn al-Sholah yang wafat pada tahun 643H, telah menghimpunkan hadis-hadis yang bersifat komprehensif ke dalam bukunya yang berjudul al-Ahaadits al-Kuliyyah (), yang dikatakan merangkumi dasar-dasar agama Islam. Kitab tersebut memuatkan sebanyak dua puluh enam hadis. Kemudiannya, Imam al-Nawawi (676H), menyalin semua dua puluh enam hadis-hadis tersebut, serta menambahkan hadis-hadisnya sehingga menjadi berjumlah empat puluh dua hadis ke dalam bukunya “al-Arba’in al-Nawawiyah ” yang sangat terkenal, banyak menjadi hafalan, dan Allah menjadikannya begitu bermanfaat berkat keikhlasan penyusun dan kebaikan maksudnya.


Kitab-kitab Huraian (Syarah) Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah


Para ulama yang muncul selepas al-Nawawi sangat mengambil perhatian terhadap kitab al-Arbain ini dengan menghasil berbagai karya bagi menghuraikan (syarah) 42 hadis yang terkandung dalamnya supaya manfaatnya tersebar di kalangan masyarakat. Antara kitab-kitab syarah bagi Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah dalam bahasa Arab yang telah diterbitkan;


1.      Syarh Ibn Daqiq al-‘Iyd, karya Taqiyuddin Abu al-Fath Muhammad bi ‘Ali bin Wahab al-Mishri al-Qusyairi (702H). Beliau terkenal dengan nama Ibn Daqiq al-‘Iyd.

2.      al-Ta’yin fi Syarh al-Arba’in, karya al-‘Allamah Najmuddin Sulaiman bin ‘Abdul Qawiy bin ‘Abdul Karim al-Thufi al-Hanbali (716H).

3.      Syarh al-‘Allamah al-Syaikh Sa’duddin bin ‘Umar al-Taftazani (791H).

4.      Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsin Haditsan min Jawami’ al-Kalim, karya al-Hafizh Ibn Rajab Zainuddin Abu al-Farj  ‘Abdul Rahman bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Hanbali (795H). Dalam kitab ini beliau menghuraikan 50 hadis, iaitu 42 hadis dari Kitab al-Arbai’in al-Nawawiyyah dan ditambah lagi dengan 8 hadis yang lain.

5.      al-Fath al-Mubin Syarh al-Arba’in, karya Syihabuddin Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H).

6.      al-Majalis al-Sunniyyah fi al-Kalam ‘ala al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya al-Syaikh Ahmad bin Hijaz al-Fasyni (978H).

7.      al-Jawahir al-Bahiyyah fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya al-Syaikh Abu al-Fadhl Muhammad Waliyuddin bin ‘Ali Salim al-Syasyriy (989H).

8.      al-Futuhat al-Wahabiyyah bi Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Syaikh Ibrahim bin Mar’i  bin  ‘Athiyyah al-Syarhiti (1106H).

9.      al-Mubin al-Mu’in li Fahm al-Arba’in, karya Mulla ‘Ali bin Sulthan bin Muhammad al-Qari al-Harawi al-Makki al-Hanafi (1114H).

10.  Syarh al-Arba’in karya  al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Hayat al-Sindi (1163H).

11.  ‘Arus al-Afrah, karya Syaikh Abdullah bin Muhammad al-Nairwai al-Syafi’i (1275H).

12.  al-Jawahir al-Lukluiyyah fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Jardani al-Dimyathi al-Syafi’I (1331H).

13.  Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Abdul Majid al-Syarnubi al-Azhari al-Maliki (1348H).

14.  al-Syuruh al-Arba’ah ‘ala al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya para ulama Fes Maghribi, iaitu Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Tawadi bin Sodah, Syaikh Abdul Qadir bin Ahmad bi Saqrun, Syaikh Muhammad bin Ahmad Banis dan al-Thayyib bin Abdul Majid Ibn Kirat.

15.  al-Nuzhah al-Bahiyyah fi Syarh Ahadits al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Qasim al-Qaisi . Karya beliau ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1372H.

16.  al-Syarh al-Mujiz al-Mufid, karya al-Syaikh Abdullah bin Shalih al-Muhsin.

17.  al-Tuhfah al-rabbaniyyah fi Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Ismail bin Muhammad al-Anshari (1317H).

18.  al-Minhah al-Khairiyah fi  Arba’in Hadith min Ahadits  Khair al-Bariyyah, karya Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah  bin Abdul Mannan al-Turmasi (1285-1329H)

19.  Syarh al-Alfazh al-Gharibah fi al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhyiddin Mistu.

20.  al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhyiddin Mistu dan Dr. Mustafa al-Bugha.

21.  al-Mukhtar fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Abdul Khaliq Mas’ud.

22.  al-Bayan fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Khalid al-Baythar.

23.  al-Mukhtar min Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhammad Adib al-Hamud.

24.  Qawa’id wa Fawa-id min al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Nazhim bin Muhammad Sulthan.

25.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah fi al-Ahadits al-Shahihah al-Nabawiyyah, karya Mahmud bin Abdul Qadir al-Arnauth.

26.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah fi Tsawb Jadid, karya Abdul Wahhab bin Rasyid Abu Shafiyyah.

27.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Dr. Mahmud Bikar Zakariyya.

28.  Iydhah al-Ma’ani al-Khafiyyah fi al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhammad Tatay.

29.  Min Misykat al-Nubuwwah Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Muhammad Shalih Furfur (1407H).

30.  Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah wa Mulhaqatih, karya Abdul ‘Aziz ‘Izzuddin al-Sairawan.


Kitab Huraian (syarah) al-Arba’in dalam bahasa Melayu;

Antara huraian Hadith 40 dalam bahasa Melayu yang sekadar dapat saya catatkan dalam artikel ini. Sebenarnya banyak lagi karya penulis tempatan yang menghuraikan karya al-Nawawi ini;

1.      Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya), karya al-Fadhil Ust. Mustafa Abdul Rahman (1968M).

2.      Kuliah Subuh pada membicarakan hadis 40 , karya Syed Ahmad Semait

       Semoga bermanfaat.

Thursday, May 9, 2013

Fatawa wa Masail Ibn al-Shalah


Kitab Fatawa wa Masa-il Ibn al-Shalah  فتاوى ومسائل ابن الصلاح  merupakan sebuah karya Imam Ibn al-Shalah atau nama lengkapnya Taqiyyuddîn Abu ‘Amr Utsman bin Abdurrahman bin Utsman bin Musa al-Kurdi al-Syahrazuri (577-643H). Seorang ulama besar dalam bidang hadis dan fiqh  al-Syafi’iyyah. Nama beliau banyak disebut oleh para ulama Syafi’iyyah dalam kitab-kitab mereka.  

Kitab Fatawa wa Masa-il Ibn Shalah adalah sebuah kitab yang masyhur dalam mazhab al-Syafi’i yang menghimpunkan fatwa-fatwa Ibn al-Shalah dalam empat bab (bidang) iaitu tafsir, hadist, ushul dan fiqh. Kitab ini bukanlah disusun secara langsung oleh Ibn al-Shalah, namun ia sebenarnya disusun oleh murid dan sahabat beliau, iaitu Syeikh Kamaluddin Ishaq bin Ahmad bin Utsman al-Maghribi. Beliau merupakan pembantu kepada Ibn al-Shalah di Madrasah al-Rawahiyyah. Beliau bersama Ibn al-Shalah selama 20 tahun. 

Kitab fatawa ini, kemudiannya telah diberikan komentar (hasyiah) oleh Ibn al-Ustaz al-Asadi, Kamaluddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Abdullah bin Abdul Rahman (662H) melalui karya al-Hawasyi  ‘ala Fatawa Ibn al-Shalah.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kandungan kitab Fatawa Ibn al-Shalah ini, pembaca yang memahami bahasa ‘Arab boleh men-downlod dan membaca kitab ini di pautan di bawah. Kitab versi PDF ini merupakan kitab yang di-scan dari kitab yang ditahqiq oleh Dr. ‘Abdul Mu’thi Amin Qal’aji dengan judul “ Fatawa wa Masa-il Ibn al-Shalah fi al-Tafsir, wa al-Hadits wa al-Ushul wa al-Fiqh ”. Bersama kitab ini juga dilampirkan di awalnya kitab Adab al-Mufti wa al-Mustafti, iaitu kitab karya Ibn al-Shalah juga. Kitab ini diterbitkan oleh Dar al-Ma’rifah, Beirut Lubnan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1986M.


Tuesday, May 7, 2013

Majmu' al-Rasail al-Darqawiyyah


Kitab " Majmu' al-Rasa-il al-Darqawiyyah "  مجموعة  رسائل الدرقاوي  merupakan himpunan surat-surat yang ditulis oleh Mawlay al-'Arabi al-Darqawi r.a, yang menjadi pengasas bagi Tarikat Darqawiah iaitu suatu cawangan daripada Tarikat Syazaliah yang diasaskan oleh Syeikh Abu Hassan al-Syazali r.a. pada abad yang ke 7 hijriah bersamaan dengan abad yang ke 13 masihi. di negeri Maghribi (Morocco).

Nama penuhnya ialah Abu Abdullah Muhammad 'Arabiy bin Ahmad al-Darqawi al-Hasani dari keturunan Sayidina 'Ali bin Abi Thalib melalui anakandanya al-Hassan r.anhuma. Tarikh kelahirannya tidaklah di ketahui dengan pasti, tetapi dianggarkan pada tahun 1150H, bersamaan 1737 M. Beliau wafat pada tahun 1239 Hijriah bersamaan 1823 M, dalam lingkungan usia 80an tahun. Beliau mengambil Tarikat Syazaliah daripada Mawlay Abu Hasan 'Ali, yang bergelar al-Jamal, dan menjadi pengganti syeikhnya pada tahun 1193 Hijriah bersamaan 1779 M. (lihat lebih lanjut mengenai beliau di pautan http://dakwahsufi.blogspot.com/2010/08/moulay-al-arabi-al-darqawi.html atau http://www.dar-sirr.com/Moulay_alArabi_Darqawi.html (bahasa Inggeris).

Di antara sumbangan terbesar Mawlay al-‘Arabi al-Darqawi ialah surat-surat yang ditulis beliau kepada anak-anak muridnya yang mengandungi nasihat-nasihat berbentuk kerohanian yang kini sudah di salin dan di cetak oleh muridnya dan beberapa orang yang terbabit. Suratnya di cetak banyak kali di kota Fez dengan chop batu. Surat ini masih di baca di zawiyah-zawiyah tarikat Darqawiyyah dengan syarahnya. Kandungannya membicarakan tentang kaifiat mujahadah untuk memdampingkan diri ke hadrat Allah Taala. Mengenal nafsu dan ruh, mengenal selok belok nafsu dan cara2 mengatasi gangguan nafsu dan syaitan dan beberapa sudut makrifat. Analisanya terhadap sakit jiwa dan pengubatannya secara rohaniah adalah lebih tepat dan mengatasi mana-mana huraian yang terdapat di dalam psikologi moden yang bersifat sekular.
 
Mengenai surat Mawlay al-‘Arabi al-Darqawi ini, Syeikh Muhammad bin Muhammad Makhluf menyatakan di dalam kitabnya “Syajarah al-Nur al-Zakiyyah,: “ Dan risalah-risalahnya itu teredar di kalangan manusia, baginya pada risalah-risalah itu terdapat nafas yang di berkati lagi luhur ”.

Berikut dilampirkan sedutan terjemahan daripada surat-surat al-Syeikh al-‘Arabi al-Darqawi al-Syazali al-Maliki;

“ Jikalau engkau menghendaki perjalananmu dipendekkan supaya segera engkau sampai kepada tahqiq atau mencapai kesedaran ruhaniah, maka hendaklah engkau berpegang teguh kepada faraidh yakni segala amalan yang fardhu [didalam teks asal disebut – waajibaat yakni perkara-perkara yang diwajibkan] dan kepada segala nawafil yakni segala amalan yang sunat. Pelajari ilmu zahir setakat yang tidak dapat tidak (yakni fardhu ain) untuk beribadat, tetapi jangan berlengah-lengah menghabiskan waktu padanya, kerana engkau tiada dikehendaki mempelajarinya secara mendalam, apa yang perlu bagimu ialah bahawa engkau memperdalami ilmu bathin (yakni ilmu selok-beluk hati atau ilmu jalan ke akhirat atau ilmu tasawwuf). Lawanlah nafsumu, nescaya engkau akan melihat pelbagai keajaiban al-khalq al-karim
(yakni “budi pekerti yang mulia”) tiada lainnya melainkan tasawuf kaum shufi, sebagaimana ianya agama bagi orang yang berpegang kepada agama. (Semoga laknat Allah lah atas orang-orang yang berdusta)

Demikian pula, sentiasalah jauhi daripada terikat kepada keseronokan atau kelazatan yang datang melalui saluran pancaindera, kerana ia adalah lawan daripada pengalaman ruhaniah atau kehidupan secara ruhaniah, dan dua yang berlawanan ini tak mungkin bertemu, yakni tak mungkin dihimpunkan sekali. Tiap-tiap engkau memperkuatkan pancaindera (yakni dengan menumpukan perhatian kepada keinginan-keinginan jasmani) maka engkau memperlemahkan ruh, demikanlah ‘akasnya [sebaliknya].

Dengarlah apa yang berlaku pada syaikh kami r.’a pada permulaan perjalanan ruhaniyahnya. Ia baharu sahaja memukul tiga takaran gandum lalu diberitahunya kepada syaikhnya bahawa ia telah perbuat demikan. Maulay al-‘Arabi bin ‘Abdullah berkata kepadanya: “Kian engkau tertumpu kepada pengalaman atau kelazatan-kelazatan pancaindera (yakni syahwat jasmaniah), maka kian berkuranglah engkau dalam pengalaman atau kelazatan ruhaniah, maka kian engkau tertumpu pada kepada pengalaman atau kelazatan ruhaniah, maka kian engkau berkuranglah engkau tertumpu atau terikat kepada pengalaman dan kelazatan pancaindera ”. (petikan dari http://al-fanshuri.blogspot.com/search/label/Risalah%20Darqawi).
 
Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa dunia,  termasuklah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.  Sebahagian terjemahan bahasa Melayu kitab ini boleh dibaca di pautan berikut;  http://al-fanshuri.blogspot.com/search/label/Risalah%20Darqawi.

Download kitab ini dengan versi Arab nya di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.

Karya Klasik Melayu Islam


Buku Karya Klasik Melayu Islam merupakan sebuah karya ilmiah yang dihasilkan oleh  Dr. Mahayudin Hj. Yahaya(1942- ) seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang aktif dan produktif dengan penghasilan karya ilmiahnya.

Buku Karya Klasik Melayu Islam ini telah diterbitkan olehh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan cetakan pertamanya pada tahun 2000.  Jumlah halamannya sebanyak 366 halaman.

Buku ini mengkaji beberapa buah manuskrip lama hasil tulisan ulama-ulama terkenal termasuk Hamzah Fansuri, Burhan al-Din al-Kurani, Syihab al-Din al-Jawi dan Abu al-Fauz al-Marzuqi. Sejumlah 86 buah manuskrip Melayu-Islam telah dipilih untuk dijadikan bahan kajian dan lima daripadanya telah ditaransliterasi dan dianalisis kandungannya. Kajian ini bertujuan untuk membuat pendedahan serta memberi peluang kepada kepada generasi masa kini untuk memahami dan mendalami ilmu dan pemikiran silam. Ini juga merupakan usaha kesarjanaan terhadap bidang yang kurang diberi perhatian berbanding dengan penyelidikan bidang-bidang lain. Oleh itu, kajian ini amat penting dan bermanfaat bagi mengembalikan kegemilangan dan keluhuran tamadun silam dalam usaha membina ilmu pada masa akan datang.

Antara  kitab Jawi yang telah ditransliterasikan dengan tulisan rumi adalah ( naskhah bertulisan Jawi juga turut disertakan);

  1. al-Muntahi, terjemahan karya Syeikh Hamzah Fansuri.
  2. Kasyf al-Muntazhar Li ma Yarahu al-Muhtadhar, terjemahan karya Syeikh Burhan al-Din Malik Ibrahim Bin Hasan al-Kurani.
  3. al-Risalah, terjemahan karya Syeikh Syihab al-Din Bin Abdullah Muhammad al-Jawi.
  4. Aqidah al-Awam, terjemahan karya Abu al-Fauz al-Marzuqi.
  5. Hadis-Hadis Nabi,  terjemahan karya Tanpa Nama Pengarang.

Thursday, May 2, 2013

Ensiklopedia Imam Syafi'i


Saya mula mengenali buku “ Ensiklopedia Imam Syafi’i ” ini, dengan judul ‘Arabnya al-Imam al-Syafi’i fi Mazhab al-Qadim wa al-Jadid ” melalui telaah saya terhadap kitab “ al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i ” versi terjemahannya, yang diterbitkan oleh al-Hidayah Publication dengan judul Ensiklopedia Imam al-Syafie Jilid 1 – Pengantar Mazhab Imam al-Syafie, karya Dr Akram Yusuf al-Qawasimi. Di mana dalam buku ini banyak dipetik pendapat Dr Ahmad Nahrawi al-Indunisi pengarang kitab al-Imam al-Syafi’i fi Mazhab al-Qadim wa al-Jadid, khususnya ketika menjelaskan mengenai karya-karya dan pendapat-pendapat Imam al-Syafi’i. Insya Allah dalam artikel berikut dicatatkan secara ringkas mengenai kitab ini.

Kitab “ al-Imam al-Syafi’i fi Mazhab al-Qadim wa al-Jadid adalah karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam al-Indunisi. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1999, ketika berusia 68 tahun.

Edisi asal kitab ini merupakan  thesis PhD Dr Ahmad Nahrawi di Universiti al-Azhar Mesir. Kitab ini pertama kali dicetak di Mesir pada tahun 1988. Kitab ini menjadi rujukan penting para mahasiswa universiti-universiti di Timur Tengah yang membuat kajian ilmiah mereka mengenai mazhab al-Syafi’i. Hingga kini, kitab ini masih dijual di kedai-kedai buku di Mesir.
 Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan judul Ensiklopedia Imam Syafi’ioleh Usman Sya'roni, S.Ag, Lc. Manakala editor penerbitannya  adalah Amirah Ahmad Nahrawi, Lc iaitu anak perempuan kepada Dr. Ahmad Nahrawi. Buku setebal 773 halaman ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 2008 oleh Penerbit Hikmah, Indonesia.

Dalam kitab ini, Dr. Ahmad Nahrawi membahaskan mengenai karya-karya dan pendapat-pendapat Imam al-Syafi’i ketika di Iraq dan Mesir. Bahkan beliau telah membincangkan secara khusus mengenai kedudukan kitab al-Umm, adakah benar ia karya Imam al-Syafi’i. Beliau menegaskan bahawa para ulama sepakat bahwa kitab al-Umm adalah karya Imam Syafi’i yang diriwayatkan oleh al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi. Tidak ada seorangpun yang menentang kesepakatan ini, sampai pada kurun ke-4 Hijriah muncul pendapat yang menyatakan kitab al-Umm bukan karya Imam Syafi’i dari seorang tokoh sufi yang bernama Abu Thalib al-Makki dalam kitabnya Qut al-Qulub. Kemudian al-Ghazali mengikuti juga pendapat tersebut dalam kitabnya al-Ihya'. Dr. Ahmad Nahrawi menyebutkan bahawa Syaikh Abu Zahrah seorang tokoh ulama al-Azhar telah secara panjang lebar membantah pendapat ini dalam kitabnya yang bertajuk “al-Syafi’i ”.

Selain itu, pendapat yang mengkritik penisbahan kitab al-Umm kepada Imam Syafi’i muncul dari seorang yang bernama Dr. Zaky Mubarak. Malangnya, kritikannya hanya mengekori pendapat Abu Thalib al-Makki dan al-Ghazali sebelumnya. Dr. Ahmad Nahrawi sekali lagi membawakan pendapat seorang tokoh hadis terkenal Syaikh Ahmad Syakir yang telah membantah pandangan Dr. Zaky Mubarak tersebut dalam mukaddimah tahqiqannya terhadap kitab al-Risalah karya Imam al-Syafi’i

Ini sekadar maklumat yang dapat saya paparkan untuk dikongsi bersama. Sebenarnya saya belum memiliki buku ini, sama ada edisi Arab atau terjemahannya. Catatan ringkas ini saya susun berdasarkan maklumat yang saya ubahsuai dari blog perbincangan ilmiah al-fikrah.net http://arkib.al-fikrah.net/index.php?name=Forums&file=viewtopic&p=761080.

Pembaca boleh membaca dan mendapat maklumat lanjut mengenai kandungan buku ini melalui edisi terjemahan yang boleh dibaca di pautan berikut;
Jika pembaca mengetahui mana-mana kedai buku di Malaysia yang ada menjual buku ini, boleh maklumkan kepada saya.

Tuesday, April 30, 2013

al-Hawi al-Kabir


Kitab al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i  - الحاوي الكبير في فقه مذهب الإمام الشافعي - merupakan sebuah kitab fiqh yang disusun oleh Imam Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi  al-Bashri (450H). Ia disusun sebagai huraian (syarah) kepada kitab Mukhtashar al-Muzani sebuah kitab fiqh rujukan utama mazhab Syafi’i karya Imam Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani (246H).

Kitab ini disusun dengan dilengkapi pemaparan pendapat Imam al-Syafi’i dan pendapat ulama mazhab dengan dalil-dalilnya. Selain itu, pengarang (al-Mawardi) juga melakukan perbandingan antara pendapat tersebut dengan pendapat mazhab fiqh yang lain seperti mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan mazhab Zahiri. Beliau telah membuat pentarjihan terhadap masalah yang dibincangkan dengan mentarjihkan (memilih) pendapat mazhab Syafi’i diakhir setiap perbahasan. Menurut Dr. Akram Yusuf al-Qawasimi bentuk pentarjihan yang dilakukan oleh al-Mawardi ini menunjukkan pembelaannya terhadap mazhab Syafi’i kerana dipengaruhi oleh fanatisme mazhab pada zamannya.

Kitab al-Hawi al-Kabir ini telah diterbitkan secara lengkap buat pertama kalinya oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah di Beirut pada tahun 1414H/1994M yang ketebalannya mencapai 18 jilid, yang ditahqiq oleh ‘Ali Muhammad Mu’awwad dan ‘Adil Ahmad Abdul Mawjud. (al-Qawasimi, 2012: 503).

Sumber:

Artikel di atas dipetik dengan sedikit olahankembali dari Kitab al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i  karya Dr Akram Yusuf ‘Umar al-Qawasimi, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia dengan judul Ensiklopedia Imam al-Syafi’i Jilid 1 (Pengantar Mazhab Imam al-Syafie) dan diterbitkan oleh AL-HIDAYAH PUBLICATION, cet., 2012 .

Kitab al-Hawi al-Kabir boleh didownload di pautan berikut;     
 

Monday, April 29, 2013

Sejarah Tamadun Islam


Karya ulama yang ingin dipaparkan ini adalah sebuah karya terjemahan dari kitab asal Arabnya yang berjudul al-Bidayah wa al-Hidayah karya al-Imam al-Hafiz ‘Imaduddin Ibn Katsir.

Terjemahan kitab ini dengan judul Sejarah Tamadun Islam telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan cetakan pertamanya pada tahun 2005. Ia telah dicetakkan dalam 14 jilid. Kita ikuti beberapa catatan mengenai buku ini yang saya nukilkan dari http://taman-buku.blogspot.com/2011_01_01_archive.html, tanpa sebarang perubahan teksnya.

Buku Sejarah Tamadun Islam Ibn Kathir merupakan buku karya agung klasik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2005. Ibn Kathir merupakan seorang tokoh ilmuwan yang banyak meriwayatkan hadis. Beliau juga seorangahli matematik, tafsir dan sejarawan terkenal pada zamannya. Buku Sejarah Tamadun Islam Ibn Kathir ini merupakan terjemahan daripada buku Al-Bidayah wa al-Nihayah karangan Ibn Kathir. Penerbitan edisi buku ini dipetik daripada sebuah manuskrip yang diperoleh daripada Madrasah al-Ahmadiah yang terletak di Kota Halb, dalam Republik Arab Syria. Manuskrip ini dikumpulkan oleh Jumhur Muhaqqiqin (kumpulan penyemak) dan mereka telah menjalankan penyelidikan dengan merujuk kitab induk sejarah, dan kitab Sirah zaman dahulu.

Buku ini mempunyai 14 jilid dan terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu bahagian pertama menyentuh sejarah permulaan pemerintahan umat yang lalu hingga zaman Arab Jahiliyyah, sejarah hidup Rasulullah s.a.w., perutusan wahyu, dan kemunculan Islam hingga peristiwa Hijrah Nabi s.a.w. dari Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Bahagian ini bersumberkan al-Quran, Hadis dan karya para sejarawan Islam yang terkemuka seperti Imam al-Tabary, Ibn 'Umar, al-Waqidiy dan lain-lain lagi.                     

Bahagian kedua kitab ini mencatatkan sejarah pemerintahan Khulafa al-Rashidin, Kerajaan Umawiyyah, Kerajaan Abasiyyah dan kerajaan serta negara-negara yang merupakan pecahan daripada kerajaan Abasiyyah pada era keruntuhannya, sehingga ke saat ia ditakluki oleh Moghul yang berlanjutan ke tahun 774 Hijrah.

Bahagian terakhir kitab ini pula mengutarakan persoalan mengenai hari akhirat, kebangkitan kiamat melalui tanda-tanda awal dan akhir, serta kata-kata nasihat yang mengajak pembaca bertakwa kepada Allah s.w.t.. Semua persoalan tadi hanya terkandung dalam jilid buku yang terakhir sahaja, iaitu jilid ke-14.

RAWDHAH AL-THALIBIN (روضة الطالبين)


Kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin (روضة الطالبين وعمدة المفتين) merupakan sebuah kitab fiqh yang masyhur dan menjadi rujukan utama para penuntut ilmu dan ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab yang terkenal dengan nama singkatannya sebagai Kitab Rawdhah al-Thalibin (روضة الطالبين) atau  Kitab al-Rawdhah () ini adalah salah sebuah hasil karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab al-Rawdhah ini merupakan sebuah ringkasan (mukhtashar) yang dilakukan oleh Imam al-Nawawi terhadap Kitab al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (al-Syarh al-Kabir) karya Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (557-623H). Judul kitab ini (Rawdhah al-Thalibin) digabungkan dengan ‘Umdah al-Muftin, kerana ia memaparkan persoalan-persoalan fiqh secara terperinci, berbeza dengan Kitab Minhaj Thalibin karya al-Nawawi yang lain yang dianggap sebagai karya fiqh yang ringkas. Ukuran kedua-dua kitab ini tidak dapat dibandingkan, kerana al-Rawdhah lebih besar berbanding al-Minhaj hingga sepuluh kali ganda[1].

Di dalam mukaddimah kitabnya, al-Nawawi menjelaskan tujuan beliau menulis kitab al-Rawdhah  al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin. Beliau berkata;

Allah swt memberikan inspirasi kepadaku untuk meringkaskan kitab al-‘Aziz karya al-Rafi’i ke dalam beberapa jilid. Saya pun memulai projek ini dengan tujuan memudahkan jalan pemanfaatannya bagi orang yang mempunyai keinginan dan semangat. Dalam projek ini, saya menerapkan metod pertengahan antara sangat ringkas dan sangat panjang lebar. Bagaimanapun, ia merupakan salah satu tuntunan. Saya menghapuskan sebahagian dalilnya, menghuraikan maksud yang samar, menambahkan padanya dalam banyak perbahasan beberapa keterangan permasalahan dan menyebutkan beberapa tema perbahasan yang padanya terdapat beberapa perbezaan pandangan terhadap al-Rafi’i. Saya berharap, jika kitab ini dapat diselesaikan dengan sempurna bahawa orang yang mentelaahkannya akan benar-benar mengetahui mazhab Syafi’i, memperolehi kepercayaan yang sempurna terhadapnya dan menguasai seluruh apa yang dia perlukan dari berbagai permasalahan[2]. Jika apa yang saya tambahkan dalam kitab ini tidak dinisbahkan kepada orang yang mengatakannya, maka itu saya maksudkan untuk meringkaskannya, dan itu saya telah jelaskan di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dan saya mengemukakannya di dalam kitab itu dengan adanya beberapa tambahan” (al-Nawawi,tt: 47).

Ulama fiqh mazhab al-Syafi’i sangat mengambil berat kitab al-Rawdhah dan mereka menuliskan banyak kitab hasyiah terhadapnya. Sebahagian meringkaskannya dan sebahagiannya lagi menghuraikannya. Banyaknya syarah dan karya yang dilakukan terhadap kitab ini menunjukkan ia diterima secara luas oleh ulama fiqh mazhab al-Syafi’i setelah era al-Nawawi. Kitab al-Rawdhah ini sudah dicetak berulang kali. Salah satu cetakannya yang terbaik adalah cetakan Dar al-Fikr, edaran al-Maktabah al-Tijariyyah di Mekah dan bersamanya disertakan beberapa hasyiah karya Sirajuddin ‘Umar bin Ruslan al-Bulqini (805H), dan karya dua orang anaknya; Abdul Rahman bin ‘Umar (824H) dan Soleh bin ‘Umar (868H). Kitab ini terdiri daripada dua belas jilid.

Artikel di atas dipetik dengan sedikit olahankembali dari Kitab al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i  karya Dr Akram Yusuf ‘Umar al-Qawasimi, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia dengan judul Ensiklopedia Imam al-Syafi’i Jilid 1 (Pengantar Mazhab Imam al-Syafie) dan diterbitkan oleh AL-HIDAYAH PUBLICATION, cet. 1 2012.

Download kitab Rawdhah al-Thalibin di pautan روضة الطالبين وعمدة المفتين.

Semoga bermanfaat,




[1] Kitab Minhaj al-Thalibin dan kitab Rawdhah al-Thalibin pada dasarnya berasal daripada satu sumber. Kitab Minhaj al-Thalibin merupakan ringkasan kitab al-Muharrar, sementara kitab Rawdhah al-Thalibin merupakan ringkasan kitab al-‘Aziz (al-Syarh al-Kabir). Kedua-duanya, iaitu al-Muharrar dan al-‘Aziz adalah sama-sama karya al-Rafi’i.

[2] Ini menunjukkan al-Nawawi menyusun kitab al-Rawdhah untuk menyajikan satu kitab yang menghimpun pendapat muktamad untuk fatwa di dalam mazhab Syafi’i. Di dalam ungkapan al-Nawawi ini terdapat sanggahan terhadap orang yang mendakwa bahawa kitab Rawdhah al-Thalibin bukan kitab yang muktamad dalam mengetahui pendapat yang rajih di dalam mazhab.


Sunday, April 28, 2013

al-Luma' fi Ushul al-Fiqh


 
Kitab al-Luma’ fi Ushul al-Fiqh  adalah antara karya dalam bidang usul fiqh yang sangat penting. Kitab al-Luma’ ini merupakan sebuah kitab ringkasan (mukhtashar) yang disusun oleh Imam Abu Ishaq Ibrahim bin ‘Ali al-Syairazi bagi sebuah kitab karya beliau yang lain, iaitu Kitab al-Tabhsirah fi Ushul al-Fiqh. Kitab ini sangat istimewa kerana isi kandungan banyak memaparkan dalil-dalil dan perbincangan. 
 
Download Kitab al-Luma’ fi Ushul al-Fiqh