Showing posts with label al-Mawardi. Show all posts
Showing posts with label al-Mawardi. Show all posts

Thursday, February 25, 2016

al-Iqna’ fi al-fiqh al-Syafi’i


Kitab al-Iqna’ fi al-fiqh al-Syafi’i (الإقناع في الفقه الشافعي) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Bashri al-Baghdadi (364-450H).

Kitab ini merupakan sebuah kitab yang ringkas dan padat dengan beberapa permasalahan fiqh menurut mazhab Syafi’i. Walaupun ringkas, kandungannya merangkumi hampir keseluruhan bab fiqh yang biasa dibincangkan oleh para fuqaha dalam kitab-kitab mereka. Dikatakan kitab ini diringkaskan oleh Imam al-Mawardi dari kitab beliau yang berjudul al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i ( - الحاوي الكبير في فقه مذهب الإمام الشافعي) .

Menurut Haji Khalifah, kitab ini  memaparkan beberapa permasalahan hukum syarak, tanpa mendatangkan sokongan atau dalil dari al-Quran atau al-Sunnah. Namun begitu,  pendapat-pendapat yang disebutkan oleh al-Mawardi dalam kitab ini adalah berdasarkan pendapat para fuqaha yang terpercaya.

Imam al-Nawawi banyak menukil pendapat al-Mawardi yang terdapat dalam kitab al-Iqna’ dan menyebutkan dalam beberapa karya beliau. Kandungan kitab iqna’ juga ada dinukilkan oleh Imam al-Ramli  sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Fatawanya.

al-Yaqut al-Hamawi ada menyebutkan dalam kitab al-Mu’jam al-Udaba’ bahawa penyusunan  kitab al-Iqna’ oleh al-Mawardi ini berdasarkan perintah oleh Khalifah al-Qadir Billah, iaitu Khalifah ‘Abbasiyyah ketika itu. Di mana khalifah memerintahkan  para ulama dari mazhab yang empat, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali agar menyusun sebuah kitab yang ringkas dan padat dengan permasalahan fiqh mengikut pendapat mazhab masing-masing. 

Lalu perintah itu disambut oleh beberapa orang ulama terkenal mewakili mazhab masing-masing,  iaitu; Imam al-Mawardi telah menyusun kitab al-Iqna’ berdasarkan mazhab Syafi’i, Imam Abu al-Husain al-Qadduri menyusun kitab al-Mukhtashar (Mukhtashar al-Qadduri) berdasarkan mazhab Hanafi,  al-Qadhi Abu Muhammad Abdul Wahhab bin Nashr al-Maliki menyusun kitab Mukhtashar-nya berdasarkan mazhab Maliki, dan seorang ulama di kalangan mazhab Hanbali yang tidak dipastikan namanya telah menyusun kitab al-Mukhtashar berdasarkan mazhabnya.  

al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (533-593H) telah menyusun sebuah kitab huraian bagi kitab al-Iqna’ melalui karyanya Syarh al-Iqna’.

Catatan ringkas ini disusun berdasarkan pengenalan ringkas yang disebutkan di awal kitab al-Iqna’ fi al-Fiqh al-Syafi’i, yang dterbitkan dalam satu jilid oleh Dar Ehsan, Iran  dengan cetakan pertamanya pada tahun 1420H /2000M.

Kitab ini boleh dibaca dan di “download” di pautan

Semoga bermanfaat.

Monday, September 16, 2013

al-Ahkam al-Sulthaniyyah


Kitab al-Ahkam al-Sulthaniyyah wa al-Wilayaat al-Diniyyah (الأحكام السلطانية والولايات الدينية  ) adalah sebuah karya al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi (450H). Kitab ini dianggap sebagai kitab fiqh mazhab al-Syafi’i yang paling masyhur membincangkan sistem pemerintahan Islam atau lebih dikenali dengan istilah  al-Siyasah al-Syar’iyyah (السياسة الشرعية). 

Dalam kitab ini, al-Mawardi menerapkan metod fiqh perbandingan dengan cara memaparkan pendapat para ahli fiqh berbagai mazhab dan dalil-dalil mereka ketika membahaskan suatu permasalahan di dalam kitabnya itu. Kandungan kitab ini dibahagikan kepada dua puluh bab. Dalam kitab ini dibincangkan mengenai sistem pemerintahan, kementerian, kepolisian dan kehakiman, harta fai’, jizyah, cukai dan lain-lain. 

Selain kitab al-Ahkam al-Sulthaniyyah karya Imam al-Mawardi al-Syafi’i,  terdapat sebuah lagi kitab yang sama judulnya iaitu kitab al-Ahkam al-Sulthaniyyah karya Imam al-Qadhi Abu Yu’la al-Farrak al-Hanbali (458H). Saya suka melampirkan di sini petikan pendapat al-Marhum al-Syaikh ‘Ali al-Thanthawi mengenai kedua-dua kitab al-Ahkam al-Sulthaniyyah ini;

وفي ذكريات المرحوم علي الطنطاوي ((8/ 324) قال :

والأحكام السلطانية كتابان بين أيدي الناس، عنوانهما واحد وموضوعهما واحد، وترتيبهما واحد وكل شيء فيهما واحد إلا أن أحدهما يستشهد بأحكام الفقه الشافعي، والآخر بأحكام الفقه الحنبلي، ومؤلفاهما كانا يعيشان في عصر واحد وفي بلد واحد، وكلاهما كان قاضيا، وأحسب أنهما كانا في محكمة واحدة، وكلاهما عالم كبير في مذهبه هما: الماوردي الشافعي الملقب بأقضى القضاة والقاضي أبو يعلى الذي إذا أطلق اسم القاضي عند الحنابلة انصرف إليه: فمن منهما الذي أخذ من الآخر؟ معضلة مرت عليها القرون ولم يستطع أحد أن يحكم فيها بدليل، ولكن الذي يميل القلب إليه أن المؤلف الأصلي هو الماوردي الشافعي لأن له كتبا أخرى تشبه هذا الكتاب، وأبو يعلى على علو قدره في الفقه، ما في كتبه ما يشبه هذا الكتاب، لا في ترتيبه ولا في أسلوبه، وهذا والله وحده العالم بحقيقة ما كان.


Kitab ini boleh didownload di pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Tuesday, April 30, 2013

al-Hawi al-Kabir


Kitab al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i  - الحاوي الكبير في فقه مذهب الإمام الشافعي - merupakan sebuah kitab fiqh yang disusun oleh Imam Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi  al-Bashri (450H). Ia disusun sebagai huraian (syarah) kepada kitab Mukhtashar al-Muzani sebuah kitab fiqh rujukan utama mazhab Syafi’i karya Imam Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani (246H).

Kitab ini disusun dengan dilengkapi pemaparan pendapat Imam al-Syafi’i dan pendapat ulama mazhab dengan dalil-dalilnya. Selain itu, pengarang (al-Mawardi) juga melakukan perbandingan antara pendapat tersebut dengan pendapat mazhab fiqh yang lain seperti mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan mazhab Zahiri. Beliau telah membuat pentarjihan terhadap masalah yang dibincangkan dengan mentarjihkan (memilih) pendapat mazhab Syafi’i diakhir setiap perbahasan. Menurut Dr. Akram Yusuf al-Qawasimi bentuk pentarjihan yang dilakukan oleh al-Mawardi ini menunjukkan pembelaannya terhadap mazhab Syafi’i kerana dipengaruhi oleh fanatisme mazhab pada zamannya.

Kitab al-Hawi al-Kabir ini telah diterbitkan secara lengkap buat pertama kalinya oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah di Beirut pada tahun 1414H/1994M yang ketebalannya mencapai 18 jilid, yang ditahqiq oleh ‘Ali Muhammad Mu’awwad dan ‘Adil Ahmad Abdul Mawjud. (al-Qawasimi, 2012: 503).

Sumber:

Artikel di atas dipetik dengan sedikit olahankembali dari Kitab al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i  karya Dr Akram Yusuf ‘Umar al-Qawasimi, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia dengan judul Ensiklopedia Imam al-Syafi’i Jilid 1 (Pengantar Mazhab Imam al-Syafie) dan diterbitkan oleh AL-HIDAYAH PUBLICATION, cet., 2012 .

Kitab al-Hawi al-Kabir boleh didownload di pautan berikut;