Showing posts with label Mahayudin Yahya. Show all posts
Showing posts with label Mahayudin Yahya. Show all posts

Tuesday, May 7, 2013

Karya Klasik Melayu Islam


Buku Karya Klasik Melayu Islam merupakan sebuah karya ilmiah yang dihasilkan oleh  Dr. Mahayudin Hj. Yahaya(1942- ) seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang aktif dan produktif dengan penghasilan karya ilmiahnya.

Buku Karya Klasik Melayu Islam ini telah diterbitkan olehh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan cetakan pertamanya pada tahun 2000.  Jumlah halamannya sebanyak 366 halaman.

Buku ini mengkaji beberapa buah manuskrip lama hasil tulisan ulama-ulama terkenal termasuk Hamzah Fansuri, Burhan al-Din al-Kurani, Syihab al-Din al-Jawi dan Abu al-Fauz al-Marzuqi. Sejumlah 86 buah manuskrip Melayu-Islam telah dipilih untuk dijadikan bahan kajian dan lima daripadanya telah ditaransliterasi dan dianalisis kandungannya. Kajian ini bertujuan untuk membuat pendedahan serta memberi peluang kepada kepada generasi masa kini untuk memahami dan mendalami ilmu dan pemikiran silam. Ini juga merupakan usaha kesarjanaan terhadap bidang yang kurang diberi perhatian berbanding dengan penyelidikan bidang-bidang lain. Oleh itu, kajian ini amat penting dan bermanfaat bagi mengembalikan kegemilangan dan keluhuran tamadun silam dalam usaha membina ilmu pada masa akan datang.

Antara  kitab Jawi yang telah ditransliterasikan dengan tulisan rumi adalah ( naskhah bertulisan Jawi juga turut disertakan);

  1. al-Muntahi, terjemahan karya Syeikh Hamzah Fansuri.
  2. Kasyf al-Muntazhar Li ma Yarahu al-Muhtadhar, terjemahan karya Syeikh Burhan al-Din Malik Ibrahim Bin Hasan al-Kurani.
  3. al-Risalah, terjemahan karya Syeikh Syihab al-Din Bin Abdullah Muhammad al-Jawi.
  4. Aqidah al-Awam, terjemahan karya Abu al-Fauz al-Marzuqi.
  5. Hadis-Hadis Nabi,  terjemahan karya Tanpa Nama Pengarang.

Tuesday, July 17, 2012

Ensiklopedia Sejarah Islam

Assalamu ‘alaikum warahmatullah.

Kali ini, saya ingin memaparkan sebuah buku yang biasa menjadi bacaan saya. Ia merupakan satu koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Islam di sekolah saya. Berikut butiran ringkas buku tersebut.

Tajuk        : Ensiklopedia Sejarah Islam
Penyusun : Dr. Mahyuddin Hj Yahya

Terbitan   : Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia
Cetakan   :  1/1989


Diterbitkan dalam 6 Jilid dan  disusun mengikut sistem abjad.

Kandungannya:

Ensiklopedia ini memaparkan berbagai maklumat sejarah umat Islam di merata dunia, catatan dan rekod sejarah umat islam termasuk aspek politik, geografi, ekonomi dan sosiobudaya. Di samping itu dimuatkan juga peristiwa-peristiwa penting yang terkandung dalam al-Quran seperti kisah-kisah para nabi dan rasul serta kisah lain yang dianggap sebahagian daripada sejarah Islam. Namun begitu sejarah dan tamadun Islam pada zaman Nabi Muhammad saw, zaman sahabat, tabiin, dan zaman perkembangan Islam hingga kini lebih banyak ditekankan. Kira-kira 320 kata masukan dimuatkan dalam ensiklopedia ini dan setiap kata masukan mengandungi antara 26-24,000 perkataan. Tajuk-tajuk penting yang dibincangkan secara terperinci termasuklah tokoh ulama tanahair dan tokoh-tokoh islam yang terkemuka. Tajuk-tajuk yang dimuatkan termasuklah peristiwa seperti perjanjian , peperangan, tempat, negeri atau wilayah, kaum, fahaman dan mazhab, kerajaan, pemerintahan,  dan istilah-istilah sejarah Islam yang penting.
 
Setakat pengetahuan saya, ensiklopedia ini merupakan sebuah ensiklopedia sejarah yang pertama yang pernah disusun oleh individu.