Showing posts with label Ensiklopedia. Show all posts
Showing posts with label Ensiklopedia. Show all posts

Thursday, May 2, 2013

Ensiklopedia Imam Syafi'i


Saya mula mengenali buku “ Ensiklopedia Imam Syafi’i ” ini, dengan judul ‘Arabnya al-Imam al-Syafi’i fi Mazhab al-Qadim wa al-Jadid ” melalui telaah saya terhadap kitab “ al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i ” versi terjemahannya, yang diterbitkan oleh al-Hidayah Publication dengan judul Ensiklopedia Imam al-Syafie Jilid 1 – Pengantar Mazhab Imam al-Syafie, karya Dr Akram Yusuf al-Qawasimi. Di mana dalam buku ini banyak dipetik pendapat Dr Ahmad Nahrawi al-Indunisi pengarang kitab al-Imam al-Syafi’i fi Mazhab al-Qadim wa al-Jadid, khususnya ketika menjelaskan mengenai karya-karya dan pendapat-pendapat Imam al-Syafi’i. Insya Allah dalam artikel berikut dicatatkan secara ringkas mengenai kitab ini.

Kitab “ al-Imam al-Syafi’i fi Mazhab al-Qadim wa al-Jadid adalah karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam al-Indunisi. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1999, ketika berusia 68 tahun.

Edisi asal kitab ini merupakan  thesis PhD Dr Ahmad Nahrawi di Universiti al-Azhar Mesir. Kitab ini pertama kali dicetak di Mesir pada tahun 1988. Kitab ini menjadi rujukan penting para mahasiswa universiti-universiti di Timur Tengah yang membuat kajian ilmiah mereka mengenai mazhab al-Syafi’i. Hingga kini, kitab ini masih dijual di kedai-kedai buku di Mesir.
 Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan judul Ensiklopedia Imam Syafi’ioleh Usman Sya'roni, S.Ag, Lc. Manakala editor penerbitannya  adalah Amirah Ahmad Nahrawi, Lc iaitu anak perempuan kepada Dr. Ahmad Nahrawi. Buku setebal 773 halaman ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 2008 oleh Penerbit Hikmah, Indonesia.

Dalam kitab ini, Dr. Ahmad Nahrawi membahaskan mengenai karya-karya dan pendapat-pendapat Imam al-Syafi’i ketika di Iraq dan Mesir. Bahkan beliau telah membincangkan secara khusus mengenai kedudukan kitab al-Umm, adakah benar ia karya Imam al-Syafi’i. Beliau menegaskan bahawa para ulama sepakat bahwa kitab al-Umm adalah karya Imam Syafi’i yang diriwayatkan oleh al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi. Tidak ada seorangpun yang menentang kesepakatan ini, sampai pada kurun ke-4 Hijriah muncul pendapat yang menyatakan kitab al-Umm bukan karya Imam Syafi’i dari seorang tokoh sufi yang bernama Abu Thalib al-Makki dalam kitabnya Qut al-Qulub. Kemudian al-Ghazali mengikuti juga pendapat tersebut dalam kitabnya al-Ihya'. Dr. Ahmad Nahrawi menyebutkan bahawa Syaikh Abu Zahrah seorang tokoh ulama al-Azhar telah secara panjang lebar membantah pendapat ini dalam kitabnya yang bertajuk “al-Syafi’i ”.

Selain itu, pendapat yang mengkritik penisbahan kitab al-Umm kepada Imam Syafi’i muncul dari seorang yang bernama Dr. Zaky Mubarak. Malangnya, kritikannya hanya mengekori pendapat Abu Thalib al-Makki dan al-Ghazali sebelumnya. Dr. Ahmad Nahrawi sekali lagi membawakan pendapat seorang tokoh hadis terkenal Syaikh Ahmad Syakir yang telah membantah pandangan Dr. Zaky Mubarak tersebut dalam mukaddimah tahqiqannya terhadap kitab al-Risalah karya Imam al-Syafi’i

Ini sekadar maklumat yang dapat saya paparkan untuk dikongsi bersama. Sebenarnya saya belum memiliki buku ini, sama ada edisi Arab atau terjemahannya. Catatan ringkas ini saya susun berdasarkan maklumat yang saya ubahsuai dari blog perbincangan ilmiah al-fikrah.net http://arkib.al-fikrah.net/index.php?name=Forums&file=viewtopic&p=761080.

Pembaca boleh membaca dan mendapat maklumat lanjut mengenai kandungan buku ini melalui edisi terjemahan yang boleh dibaca di pautan berikut;
Jika pembaca mengetahui mana-mana kedai buku di Malaysia yang ada menjual buku ini, boleh maklumkan kepada saya.

Tuesday, July 17, 2012

Ensiklopedia Sejarah Islam

Assalamu ‘alaikum warahmatullah.

Kali ini, saya ingin memaparkan sebuah buku yang biasa menjadi bacaan saya. Ia merupakan satu koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Islam di sekolah saya. Berikut butiran ringkas buku tersebut.

Tajuk        : Ensiklopedia Sejarah Islam
Penyusun : Dr. Mahyuddin Hj Yahya

Terbitan   : Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia
Cetakan   :  1/1989


Diterbitkan dalam 6 Jilid dan  disusun mengikut sistem abjad.

Kandungannya:

Ensiklopedia ini memaparkan berbagai maklumat sejarah umat Islam di merata dunia, catatan dan rekod sejarah umat islam termasuk aspek politik, geografi, ekonomi dan sosiobudaya. Di samping itu dimuatkan juga peristiwa-peristiwa penting yang terkandung dalam al-Quran seperti kisah-kisah para nabi dan rasul serta kisah lain yang dianggap sebahagian daripada sejarah Islam. Namun begitu sejarah dan tamadun Islam pada zaman Nabi Muhammad saw, zaman sahabat, tabiin, dan zaman perkembangan Islam hingga kini lebih banyak ditekankan. Kira-kira 320 kata masukan dimuatkan dalam ensiklopedia ini dan setiap kata masukan mengandungi antara 26-24,000 perkataan. Tajuk-tajuk penting yang dibincangkan secara terperinci termasuklah tokoh ulama tanahair dan tokoh-tokoh islam yang terkemuka. Tajuk-tajuk yang dimuatkan termasuklah peristiwa seperti perjanjian , peperangan, tempat, negeri atau wilayah, kaum, fahaman dan mazhab, kerajaan, pemerintahan,  dan istilah-istilah sejarah Islam yang penting.
 
Setakat pengetahuan saya, ensiklopedia ini merupakan sebuah ensiklopedia sejarah yang pertama yang pernah disusun oleh individu.