Showing posts with label Hadis 40. Show all posts
Showing posts with label Hadis 40. Show all posts

Tuesday, October 28, 2014

AL-FATH AL-MUBIN BI SYARH AL-ARBA'IN


Kitab al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba’in الفتح المبين بشرح الأربعين))[1] merupakan kitab huraian bagi kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah[2] karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi r.h.(676H), iaitu sebuah kitab yang terkenal, yang menghimpunkan 42 hadis Nabi saw. Isi kandungan hadis tersebut membicarakan asas-asas penting agama Islam yang perlu diketahui umat Islam.

Kitab al-Fath al-Mubin merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih al-Muhaqqiq Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami (909-974H). Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Ibnu Hajar al-Haytami ini adalah seorang tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal yang menjadi ikutan di kalangan para ulama Syafi’i yang mutakhir. Di antara karya beliau yang paling terkenal dalam bidang fiqh ialah kitab Tuhfah al-Muhtaj, iaitu sebuah kitab huraian bagi kitab Minhaj al-Thalibin  karya Imam al-Nawawi.

Kitab al-Fath al-Mubin adalah antara kitab huraian matan al-Arba’in yang terbaik,  yang menjadi pilihan dan rujukan utama para ulama terkemudian, khususnya pengikut mazhab al-Syafi’i dalam menghuraikan matan al-Arba’in al-Nawawiyyah. Dalam kitab ini Imam Ibn Hajar al-Haytami telah menghuraikan ke semua 42 hadis yang terkandung dalam kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah. Huraian dan kupasan beliau bagi setiap hadis begitu meluas dan terperinci sekali sehingga hampir mencakupi ke semua yang berkaitan dengan hadis tersebut.

Kitab al-Fath al-Mubin ini telah diberikan hasyiah (komentar) oleh al-‘Allamah al-Hasan bin ‘Ali al-Madabighi (1177H) melalui karya beliau yang  terkenal dengan  judul “Hasyiah al-Madabighi ‘ala al-Fath al-Mubin (حاشية العلاّمة الحسن بن علي المدابغي على الفتح.المبين).

Berdasarkan edisi kitab al-Fath al-Mubin yang diterbitkan oleh Dar al-Minhaj, Beirut, dengan cetakan ke 3, pada tahun 2011 – ketebalan kitab ini merangkumi 688 halaman.

Semoga bermanfaat.



[1] Kitab ini juga ada diterbitkan dengan judul Fath al-Mubin li Syarh al-Arba’in   ( فتح المبين لشرح الأربعين).
[2] Catatan ringkas mengenai kitab al-Arba’in karya al-Nawawi ini boleh dibaca di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/05/al-arbain-al-nawawiyyah.html

Tuesday, February 4, 2014

Hadith Empat Puluh


Kitab Hadis 40 (الأربعين النووية) karya Imam al-Nawawi merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan 42 hadis Rasulullah saw yang sangat terkenal di dunia Islam. Ia telah dihuraikan oleh para ulama dalam buku-buku mereka semenjak dahulu sehingga sekarang dalam berbagai bahasa. Dalam bahasa Melayu terdapat banyak buku telah disusun oleh para ulama / penulis bagi menghuraikan kandungan buku hadis 40 ini, sama secara ringkas maupun yang agak terperinci. 

Dalam ruangan karya ulama kali ini, saya ingin kongsi bersama pembaca sekalian sedikit catatan mengenai sebuah buku dalama bahasa Melayu yang menghuraikan kitab hadis 40 ini. Judul buku ini adalah “ Hadith Empat Puluh ” karya seorang penulis dari Pulau Pinang yang bernama ‘Asbiran Yaaqub pada tahun 1929. 

Buku ini merupakan buku huraian hadis 40 yang sangat popular digunakan sebagai rujukan dan bacaan di sekolah-sekolah pondok dan pengajian agama hingga sekarang ini, di samping beberapa karya-karya lain muncul kemudiannya. Saya sendiri, mula mengenali kitab Hadith 40 karya Imam al-Nawawi itu adalah melalui buku Hadith 40 karya ‘Asbiran Yaaqub ini – yang diterbitkan dengan edisi Jawinya.


Berikut saya bawakan petikan kata pengantar penyusunnya;

“…Oleh demikian dan kerana berkhidmat kepada bangsaku Melayu, berusahalah aku memetik dan mengarang kitab ini di dalam bahasa Melayu, sekalipun aku bukan orang yang pintar dalam perkara yang demikian, tetapi aku berfikir bahawa pencapaian aku tiada akan berlebih daripada panjang tangan dan seruan tiada akan bertambah daripada jauh suara. Sebab  itu tiadalah yang menjadi halangan bagiku buat meneruskan sekadar pendapatku, istimewa pula aku yakin bahawa saudara-saudara yang bijaksana tidak akan lupa dan lalai buat menegur dan memperelok kesalahanku. Karangan ini aku namakan dengan “ Hadith Empat Puluh ”, bersesuaian dengan kandungannya .”

Buku edisi Jawinya masih ada dijual di pasaran. Sekadar pengetahuan saya, buku edisi Jawi yang masih dijual di pasaran sekarang ini, telah diterbitkan oleh Matba’ah Ben Halabi, Thailand.

Untuk kesinambungan ilmu yang tidak ternilai ini, buku ini telah diterbitkan semula dalam tulisan rumi oleh beberapa syarikat penerbitan. Ini bagi memberi peluang dan ruang kepada para pencinta ilmu yang mungkin tidak begitu mahir dengan tulisan Jawi untuk mengambil manfaat isi kandungannya.

Berikut dicatatkan antara edisi tulisan rumi yang ada di pasaran sekarang;


Hadith Empat Puluh, yang diterbitkan oleh Syarikat Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru. Buku ini dialih tulisannya  oleh Aunur Rafiq Ma’ruf. Berdasarkan edisi cetakan ketiganya pada tahun 2010, halaman buku ini sebanyak 115 halaman, termasuk halaman isi kandungan, kata pengantar dan kata penerbitnya. 


Hadith Empat Puluh, yang diterbitkan oleh al-Hidayah Publication. Buku ini dialih tulisannya oleh Ustazah Noraine Abu. Ketebalan buku ini merangkumi 171 halaman. 

Link berkaitan:  http://abusyahmin.blogspot.com/2013/05/al-arbain-al-nawawiyyah.html. 

Semoga bermanfaat.

Tuesday, May 14, 2013

AL-ARBA'IN AL-NAWAWIYYAH



Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah (), ia lebih dikenali dengan nama Hadis Arba'in Nawawi ataupun Hadis Empat Puluh. Ia merupakan karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676/1277) atau lebih terkenal dengan Imam al-Nawawi. Kitab al-Arbain adalah sebuah kitab kecil yang paling padat dengan hikmah dan ilmu. Ia memuatkan 42 buah hadis yang merupakan hadis berbentuk penjelasan dasar-dasar Syari'at Islam. Terlalu banyak pujian dan sanjungan dari para ulama sejak dahulu hingga kini terhadap karya ini. Kitab tersebut cukup dikenali dan tersebar ke serata dunia dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa.


Asal Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah

Diriwayatkan bahawa Syaikh al-Islam Taqiyuddin Abu Amr Utsman bin Musa al-Syarzuki, atau lebih dikenali dengan nama Ibn al-Sholah yang wafat pada tahun 643H, telah menghimpunkan hadis-hadis yang bersifat komprehensif ke dalam bukunya yang berjudul al-Ahaadits al-Kuliyyah (), yang dikatakan merangkumi dasar-dasar agama Islam. Kitab tersebut memuatkan sebanyak dua puluh enam hadis. Kemudiannya, Imam al-Nawawi (676H), menyalin semua dua puluh enam hadis-hadis tersebut, serta menambahkan hadis-hadisnya sehingga menjadi berjumlah empat puluh dua hadis ke dalam bukunya “al-Arba’in al-Nawawiyah ” yang sangat terkenal, banyak menjadi hafalan, dan Allah menjadikannya begitu bermanfaat berkat keikhlasan penyusun dan kebaikan maksudnya.


Kitab-kitab Huraian (Syarah) Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah


Para ulama yang muncul selepas al-Nawawi sangat mengambil perhatian terhadap kitab al-Arbain ini dengan menghasil berbagai karya bagi menghuraikan (syarah) 42 hadis yang terkandung dalamnya supaya manfaatnya tersebar di kalangan masyarakat. Antara kitab-kitab syarah bagi Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah dalam bahasa Arab yang telah diterbitkan;


1.      Syarh Ibn Daqiq al-‘Iyd, karya Taqiyuddin Abu al-Fath Muhammad bi ‘Ali bin Wahab al-Mishri al-Qusyairi (702H). Beliau terkenal dengan nama Ibn Daqiq al-‘Iyd.

2.      al-Ta’yin fi Syarh al-Arba’in, karya al-‘Allamah Najmuddin Sulaiman bin ‘Abdul Qawiy bin ‘Abdul Karim al-Thufi al-Hanbali (716H).

3.      Syarh al-‘Allamah al-Syaikh Sa’duddin bin ‘Umar al-Taftazani (791H).

4.      Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsin Haditsan min Jawami’ al-Kalim, karya al-Hafizh Ibn Rajab Zainuddin Abu al-Farj  ‘Abdul Rahman bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Hanbali (795H). Dalam kitab ini beliau menghuraikan 50 hadis, iaitu 42 hadis dari Kitab al-Arbai’in al-Nawawiyyah dan ditambah lagi dengan 8 hadis yang lain.

5.      al-Fath al-Mubin Syarh al-Arba’in, karya Syihabuddin Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H).

6.      al-Majalis al-Sunniyyah fi al-Kalam ‘ala al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya al-Syaikh Ahmad bin Hijaz al-Fasyni (978H).

7.      al-Jawahir al-Bahiyyah fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya al-Syaikh Abu al-Fadhl Muhammad Waliyuddin bin ‘Ali Salim al-Syasyriy (989H).

8.      al-Futuhat al-Wahabiyyah bi Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Syaikh Ibrahim bin Mar’i  bin  ‘Athiyyah al-Syarhiti (1106H).

9.      al-Mubin al-Mu’in li Fahm al-Arba’in, karya Mulla ‘Ali bin Sulthan bin Muhammad al-Qari al-Harawi al-Makki al-Hanafi (1114H).

10.  Syarh al-Arba’in karya  al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Hayat al-Sindi (1163H).

11.  ‘Arus al-Afrah, karya Syaikh Abdullah bin Muhammad al-Nairwai al-Syafi’i (1275H).

12.  al-Jawahir al-Lukluiyyah fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Jardani al-Dimyathi al-Syafi’I (1331H).

13.  Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Abdul Majid al-Syarnubi al-Azhari al-Maliki (1348H).

14.  al-Syuruh al-Arba’ah ‘ala al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya para ulama Fes Maghribi, iaitu Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Tawadi bin Sodah, Syaikh Abdul Qadir bin Ahmad bi Saqrun, Syaikh Muhammad bin Ahmad Banis dan al-Thayyib bin Abdul Majid Ibn Kirat.

15.  al-Nuzhah al-Bahiyyah fi Syarh Ahadits al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Qasim al-Qaisi . Karya beliau ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1372H.

16.  al-Syarh al-Mujiz al-Mufid, karya al-Syaikh Abdullah bin Shalih al-Muhsin.

17.  al-Tuhfah al-rabbaniyyah fi Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Ismail bin Muhammad al-Anshari (1317H).

18.  al-Minhah al-Khairiyah fi  Arba’in Hadith min Ahadits  Khair al-Bariyyah, karya Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah  bin Abdul Mannan al-Turmasi (1285-1329H)

19.  Syarh al-Alfazh al-Gharibah fi al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhyiddin Mistu.

20.  al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhyiddin Mistu dan Dr. Mustafa al-Bugha.

21.  al-Mukhtar fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Abdul Khaliq Mas’ud.

22.  al-Bayan fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Khalid al-Baythar.

23.  al-Mukhtar min Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhammad Adib al-Hamud.

24.  Qawa’id wa Fawa-id min al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Nazhim bin Muhammad Sulthan.

25.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah fi al-Ahadits al-Shahihah al-Nabawiyyah, karya Mahmud bin Abdul Qadir al-Arnauth.

26.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah fi Tsawb Jadid, karya Abdul Wahhab bin Rasyid Abu Shafiyyah.

27.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Dr. Mahmud Bikar Zakariyya.

28.  Iydhah al-Ma’ani al-Khafiyyah fi al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhammad Tatay.

29.  Min Misykat al-Nubuwwah Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Muhammad Shalih Furfur (1407H).

30.  Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah wa Mulhaqatih, karya Abdul ‘Aziz ‘Izzuddin al-Sairawan.


Kitab Huraian (syarah) al-Arba’in dalam bahasa Melayu;

Antara huraian Hadith 40 dalam bahasa Melayu yang sekadar dapat saya catatkan dalam artikel ini. Sebenarnya banyak lagi karya penulis tempatan yang menghuraikan karya al-Nawawi ini;

1.      Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya), karya al-Fadhil Ust. Mustafa Abdul Rahman (1968M).

2.      Kuliah Subuh pada membicarakan hadis 40 , karya Syed Ahmad Semait

       Semoga bermanfaat.