Kitab Hadis
40 (الأربعين النووية) karya
Imam al-Nawawi merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan 42 hadis Rasulullah
saw yang sangat terkenal di dunia Islam. Ia telah dihuraikan oleh para ulama
dalam buku-buku mereka semenjak dahulu sehingga sekarang dalam berbagai bahasa.
Dalam bahasa Melayu terdapat banyak buku telah disusun oleh para ulama /
penulis bagi menghuraikan kandungan buku hadis 40 ini, sama secara ringkas
maupun yang agak terperinci.
Dalam
ruangan karya ulama kali ini, saya ingin kongsi bersama pembaca sekalian sedikit
catatan mengenai sebuah buku dalama bahasa Melayu yang menghuraikan kitab hadis
40 ini. Judul buku ini adalah “ Hadith Empat Puluh ” karya
seorang penulis dari Pulau Pinang yang bernama ‘Asbiran Yaaqub pada tahun 1929.
Buku ini
merupakan buku huraian hadis 40 yang sangat popular digunakan sebagai rujukan dan bacaan di
sekolah-sekolah pondok dan pengajian agama hingga sekarang ini, di samping beberapa
karya-karya lain muncul kemudiannya. Saya sendiri, mula mengenali kitab Hadith
40 karya Imam al-Nawawi itu adalah melalui buku Hadith 40 karya ‘Asbiran Yaaqub
ini – yang diterbitkan dengan edisi Jawinya.
Berikut saya bawakan petikan kata pengantar penyusunnya;
“…Oleh demikian dan kerana berkhidmat kepada bangsaku Melayu,
berusahalah aku memetik dan mengarang kitab ini di dalam bahasa Melayu,
sekalipun aku bukan orang yang pintar dalam perkara yang demikian, tetapi aku
berfikir bahawa pencapaian aku tiada akan berlebih daripada panjang tangan dan
seruan tiada akan bertambah daripada jauh suara. Sebab itu tiadalah yang menjadi halangan bagiku buat
meneruskan sekadar pendapatku, istimewa pula aku yakin bahawa saudara-saudara
yang bijaksana tidak akan lupa dan lalai buat menegur dan memperelok
kesalahanku. Karangan ini aku namakan dengan “ Hadith Empat Puluh ”,
bersesuaian dengan kandungannya .”
Buku edisi Jawinya masih ada dijual di pasaran. Sekadar pengetahuan
saya, buku edisi Jawi yang masih dijual di pasaran sekarang ini, telah
diterbitkan oleh Matba’ah Ben Halabi, Thailand.
Untuk kesinambungan ilmu yang tidak ternilai ini, buku ini telah
diterbitkan semula dalam tulisan rumi oleh beberapa syarikat penerbitan. Ini
bagi memberi peluang dan ruang kepada para pencinta ilmu yang mungkin tidak begitu
mahir dengan tulisan Jawi untuk mengambil manfaat isi kandungannya.
Berikut dicatatkan antara
edisi tulisan rumi yang ada di pasaran sekarang;
Hadith Empat Puluh, yang diterbitkan oleh
Syarikat Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru. Buku ini dialih
tulisannya oleh Aunur Rafiq Ma’ruf.
Berdasarkan edisi cetakan ketiganya pada tahun 2010, halaman buku ini
sebanyak 115 halaman, termasuk halaman isi kandungan, kata pengantar dan
kata penerbitnya.
Hadith Empat Puluh, yang diterbitkan oleh
al-Hidayah Publication. Buku ini dialih tulisannya oleh Ustazah Noraine
Abu. Ketebalan buku ini merangkumi 171 halaman.
Link berkaitan: http://abusyahmin.blogspot.com/2013/05/al-arbain-al-nawawiyyah.html.
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment