Kitab yang ingin dipaparkan dalam
koleksi karya ulama kali ini adalah sebuah kitab Jawi yang terkenal di Nusantara ini yang menjadi
teks pengajian ilmu-ilmu Islam (akidah, fekah dan tasawwuf) dan rujukan para
ulamanya, iaitu kitab yang berjudul:
al-Jawahir
al-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa
Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah
( الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية
وطريق سلوك الطريقة المحمدية )
Karya yang dianggap muktabar di kalangan
ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ini merupakan sebuah karya al-‘Alim al-‘Allamah
al-‘Arif al-Rabbani al-Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani رحمه الله. Menurut Syaikh Daud al-Fathani karya ini, beliau selesai
menyusunnya pada waktu Dhuha, hari Itsnain, 16 Jamadilawwal 1252H/1836M, di
Thaif.
Kandungan kitab ini..
Kandungan kitab ini, sebagaimana yang
disebutkan sendiri oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله;
“ Dan adapun kemudian daripada itu,
maka sungguhnya ini suatu terjemah yang tiada dapat tiada orang yang
berkehendak bahgia dunianya dan akhiratnya daripada mengetahui ia akan dia
daripada segala kanak-kanak yang mubtadi barang yang wajib bagi Allah Subhanahuwa
Ta’ala dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus bagiNya.
Demikian lagi seperti demikian itu
wajib pada hak segala pesuruhNya, demikian lagi wajib pula mereka itu barang
yang ta’alluq dengan sam’iyyat dan demikian lagi tak dapat tiada daripada hukum
furu’ syariat yang dituntut atas mukallaf daripada hukum ‘ibadat dan hukum
mu’amalat dan barang yang bergantung dengan keduanya dan hukum berkahwin dan
barang yang bergantung dengan dia dan hukum jinayah dan yang bergantung dengan
dia dan hukum diat dan hudud dan sair dan jihad dan qadhi dan dakwa baiyinaat
dan I’tiqad dan hukum suluk ila mulk al-muluk.
Hamba sebutkan dengan jalan ikhshor sekira-kira
dapat faham oleh mubtadi umum orang yang awam umat al-Muhammadiah yang
munasabah bagi orang yang mubtadi yang dungu yang seumpama dengan yang
menterjemahkan kitab ini yang bernama;
الجواهر السنية في شرح العقائد
العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية
ertinya yang bernama terjemah ini Jawaahirus
Saniyyah pada menyatakan beberapa i’tiqad yang tinggi yakni yang
sebenar-benarnya dan beberapa hukum fiqhiyyah yang diredhaiNya yang disukakan
Dia dan jalan suluk tariqat penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.
Kitab ini ditashhihkan dan dicetak
oleh Syaikh Daud bin Ismail al-Fathani berdasarkan kepada naskhah tulisan
tangan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani رحمه الله. Walaupun kitab ini sudah berusia 180 tahun, namun ianya masih
sangat-sangat relevan untuk dijadikan teks pengajian di masjid-masjid atau
surau-surau, terutamannya di kala tersebarnya fahaman yang mengatakan Allah
bertempat, anti-mazhab, anti tarekat tasawwuf dan sebagainya. Kitab ini adalah
berteraskan kepada aqidah dan pegangan Ahlussunnah wal Jamaah.
Di dalam kitab ini Syaikh Daud bin
‘Abdullah al-Fathani رحمه الله ada
menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut
perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah
muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariah.
Mengenai orang yang mengatakan bahwa Allah Ta’ala
bertempat, beliau berkata;
“ Dan barangsiapa menghinggakan dzat
Allah Ta’ala pada tempat maka tiada syak ia kafirnya seperti katanya Allah
Ta’ala itu terhingga di atas langit atau pada bumi dan barangsiapa menyabitkan
bagi Allah jihat (arah) dengan ketiadaan dihinggakan dengan tempat yang
tertentu maka tiada kafir, tetapi fasiq jua seperti berkata ia, Allah pada
langit atau pada bumi dengan tiada terhingga pada tempat dan atas yang demikian
itu …
(Kata Imam) Syafi’e نور الله ضريحه barangsiapa meninggalkan
4 perkara ini sempurna imannya dian iaitu kam (كم) dan kaif (كيف) dan mata (متى) dan aina (أين). (Maka adapun)
‘kam’, maka ditanyakan dengan dia menuntut kenyataan bilangan, maka jika dikata
orang bagimu ‘كم الله’ yakni berapa Allah? Maka
jawab olehmu Waahid yakni Esa pada dzatNYa dan pada sifatNya dan pada af’alNya.
(Dan kaif) itu ditanya dengan dia daripada kaifiat, maka jika dikata orang
bagimu ‘كيف
الله؟’ yakni betapa
Allah? Maka jawab olehmu tiada mengetahui seorang akan haqiqat dzat Allah
melainkan Ia jua. (Dan mata) itu tiada dengan Dia daripada zaman. Maka jika
dikata orang bagimu ‘متى
الله؟’ ertinya
manakala di dapat Allah? Maka jawab olehmu Allah itu awalNya tiada permulaan
dan akhirnya tiada kesudahan. (Dan aina) tiada dengan Dia daripada makan
(tempat). Maka jika dikatakan orang bagimu ‘أين الله؟’. Maka jawab olehmu, Allah itu tiada bertempat dan tiada dilalu
atasNya masa, kerana zaman dan makan itu baharu keduanya …”
Menurut beliau رحمه الله juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada
sahabat-sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, kerana tiada guna sekalian
amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan para tabien adalah
seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang
melakukan perjalanan (musafir).
Kata beliau رحمه الله, pada halaman 34 – 35;
“ Ketahui olehmu! Hendaklah kamu
jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus
Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat,
lontarkanlah ia daripada dirimu ”.
“Janganlah engkau dengar banyak
perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh
nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap
yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya
seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu ”.
Artikel ini dipetik dengan sedikit
pengubahsuaian paparannya dari http://pustaka-alfanshuri.blogspot.com/2011/02/kitab-al-jawahir-as-saniyyah-fi-syarh.html
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment