Friday, January 24, 2020

Syarh al-Sittin Mas-alah fi al-Fiqh al-Syafi’i


Kitab Syarh al-Sittin Mas-alah fi al-Fiqh al-Syafi’i  (شرح الستين مسألة في الفقه الشافعي) merupakan sebuah karya fiqh yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas  Ahmad bin Hamzah bin Ahmad al-Anshari al-Ramli (957H).

Kitab Syarh al-Sittin Mas-alah ini disusun sebagai huraian bagi kitab al-Sittin Mas-alah (الستين مسألة), iaitu sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang ringkas, yang menghimpunkan enam puluh masalah agama yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Alim Abu al-‘Abbas Ahmad al-Zahid (819H), seorang yang terkenal dengan kesalihannya dan banyak beribadat. 

Kitab Syarh al-Sittin Mas-alah karya Imam Syihabuddin al-Ramli ini, merupakan antara kitab huraian matan al-Sittin Mas-alah yang paling terkenal dan kerap menjadi rujukan para ulama. Kitab ini telah diberikan komentar (hasyiah) oleh beberapa ulama terkemudian.

Berikut adalah antara karya para ulama mazhab Syafi’i yang menghuraikan kitab Syarh al-Sittin Mas-alah telah diberikan hasyiah oleh beberapa ulama, antaranya; 

a)      Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah li Syaikh Ahmad al-Ramli, yang disusun oleh al-Syaikh al-'Allamah Ahmad al-Mihi al-Syibini(1263H)[1]. Beliau merupakan murid kepada Imam Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim  al-Syarqawi (1150-1226H).  

b)      Hasyiah 'ala Syarh al-Syihab al-Ramli 'ala al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh al-Syaikh al-'Allamah 'Abdul Karim Karimuddin al-Mathari al-Dimyathi[2].

c)       al-Hawasyi al-Muhkamah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh Syaikh Muhammad bin Umar bin Qasim bin Ismail al-Muqri (w +1146H).

d)        al-Futuhat al-Ahmadiyyah al-Mutqinah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh Hasan al-Banhawi (w+1194H).

e)        Hasyiah ‘ala Syarh al-Ramli, yang disusun oleh Muhammad al-Ahmadi al-Khalfi al-Binawi (+1217H).

f)         Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh Yussuf bin Abdul Rahman al-Sanbalawini al-Syarqawi al-Makki (1285H).

g)        al-Durar al-Fara-id ‘ala Syarh al-Syihab al-Ramli ‘ala Muqaddimah al-Zahid, yang disusun oleh Abdul Rahman al-Makawi (Abad 13H)

Kitab Syarh al-Sittin Mas-alah ini boleh dimuat turun melalui pautan شرح الستين مسألة في الفقه الشافعي.

Semoga bermanfaat.



[1] Dalam koleksi saya, ada sebuah kitab “ Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah li Syaikh Ahmad al-Ramli ” ini. Kitab ini diterbitkan oleh Mathba’ah Bin Halabi, Patani, Thailand (tanpa tarikh). Bentuk cetakan sebagaimana “kitab kuning” yang lain. Di pinggirnya diletakkan “ Syarh al-Sitin Mas-alah”, karya Imam Ahmad al-Ramli. Tebalnya, sebanyak 84 halaman.
[2] Kitab ini juga ada dalam koleksi saya, sebagaiman kitab di atas ia juga terbitan Mathba'ah Ben Halabi. Kitab ini lebih tebal berbanding kitab karya Syaikh Ahmad al-Mihi, di mana isi kandungannya merangkumi 140 halaman.

No comments:

Post a Comment