Wednesday, January 29, 2020

Kemunculan Isa bin Maryam Di Akhir Zaman


Buku “Kemunculan Isa bin Maryam Di Akhir Zaman” merupakan sebuah karya terjemahan  bagi sebuah karya berbahasa Arab yang berjudul Nuzul ‘Isa Ibn Maryam Aakhir al-Zaman (نزول عيسى ابن مريم آخر الزمان). 

Edisi asalnya adalah disusun oleh al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H). Manakala edisi terjemahannya pula disusun oleh Syed Ahmad Semait dan Muhammad Fauzi Ali Zahra. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional PTE LTD, Singapura dengan cetakan pertamanya pada tahun 1990, merangkumi 114 halaman.

Isi kandungan buku ini memuatkan perbicaraan mengenai kepercayaan tentang turunnya Nabi Isa bin Maryam pada akhir zaman. Kepercayaan ini memang sudah menjadi iktikad umat Islam yang tidak boleh dinafikan lagi. Ia telah ditetapkan oleh hadis-hadis Nabi saw yang mutawatir yang tidak boleh disangsikan lagi.

Imam al-Suyuthi menyusun buku ini ekoran daripada beberapa pertanyaan yang dikemukakan kepada beliau mengenai beberapa permasalahan yang berkaitan dengan penurunan Nabi Isa ‘a.s. pada akhir zaman. Berikut disebutkan isi kandungan buku ini;

A.    1) Pergolakan Politik Di Masa As-Sayuthi
                  2) Imam As-Sayuthi: Kelahiran dan kewafatannya.

B.     Terjemahan teks kitab Nuzul ‘Isa Akhir al-Zaman;
1)    Dengan syariat apakah Isa ‘a.s diturunkan?
2)    Hukum yang dipergunakan Nabi Isa ‘a.s.
3)     Adakah Nabi Isa ‘a.s. akan mendapat wahyu dari Tuhan di akhir zaman?
4)     Cara Nabi Isa ‘a.s mengatur harta Baitul Mal.
5)     Ketetapan solat Nabi Isa di belakang Mahdi.

C.     Di bahagian akhir buku ini dilampirkan;
1)   Sumber dari hadis-hadis dan Atsar yang menjelaskan tentang turunnya  
     Nabi Isa ‘a.s[1].
2)    Kata penerangan (nota kaki) bagi teks terjemahan buku ini.

Sebagai maklumat tambahan, selain terjemahan terbitan Pustaka Nasional ini, terdapat sebuah lagi karya terjemahan bagi buku Nuzul ‘Isa Ibn Maryam Aakhir al-Zaman yang ditemui, iaitu buku yang diterbitkan oleh Syarikat Jahabersa, Johor dengan judul Kembalinya Isa Bin Maryam Di akhir Zaman. Kandungan buku ini merangkumi 167 halaman, yang diterbitkan dengan kulit keras (hardcover).

Kitab edisi Arabnya boleh dimuat turun di pautan نزول عيسى ابن مريم آخر الزمان Semoga bermanfaat.



[1] Dalam edisi terjemahan ini hanya dilampirkan terjemahan sahaja. Lihat edisi Arabnya untuk membaca teks asalnya.

No comments:

Post a Comment