Kitab Irsyad al-Faqih Ila Ma’rifah Adillah al-Tanbih (إرشاد الفقيه إلى معرفة ادلة
التنبيه) merupakan sebuah karya dalam bidang hadis yang menghimpunkan
hadis-hadis yang berkaitan dengan hukum fiqh (hadis ahkam).
Kitab
ini disusun oleh al-Imam Imam al-Hafiz ‘Imaduddin Abu al-Fidak Ismail bin ‘Umar
bin Katsir al-Qurasyi al-Dimasyqi al-Syafi’i (701-774H) berdasarkan kitab al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafi'i (التنبيه في الفقه الشافعي),
iaitu sebuah kitab fiqh yang berdasarkan mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam
Abu Ishaq Ibrahim al-Syairazi al-al-Fairuzabadi (393-476H). Di dalam kitab
Irsyad al-Faqih ini, Imam Ibn Katsir telah menghimpunkan kembali hadis-hadis
yang terdapat di dalam kitab al-Tanbih tersebut dengan menyusunnya mengikut
kitab-kitab dan bab-bab fiqh yang sesuai dengan urutan kitab al-Tanbih, yang
bermula kitab al-Taharah (Bersuci), al-Sholah (Sembahyang) dan seterusnya
sebagaimana susunan kitab-kitab fiqh.
Dalam
kitab ini, Imam Ibn Katsir mentakhrijkan hadis-hadis (menjelaskan sumber atau
ulama hadis yang mencatat hadis tersebut) dan menjelaskan kedudukan
hadis-hadisnya sama ada sahih, hasan, atau dha’if berdasarkan ketetapan para
ulama hadis yang muktabar. Adakalanya beliau membahasnya secara ilmiah. Beliau menyebutkan
‘illat hadis jika ada berserta masalah sanadnya jika perlu.
Ada
ketikanya dalam bab tertentu, beliau menjelaskan kaedah pendalilan (pengambilan
hukum) dari sesuatu hadis dan pandangan terpilih yang dipegang oleh para ulama
mazhab Syafi’i[1].
Berdasarkan
judul kitab ini (Irsyad al-Faqih ila Ma’rifah Adillah al-Tanbih), Imam Ibn
Katsir berharap semoga karya beliau ini menjadi panduan berguna kepada para fuqaha
(ahli fiqh) pelajar dan pengkaji kitab al-Tanbih mengenai kedudukan sanad hadis-hadis
yang terdapat dalam kitab al-Tanbih dan pandangan para ulama muktabar mazhab
Syafi’i mengenainya.
Berdasarkan
edisi kitab Irsyad al-Faqih yang diterbitkan oleh Muassah al-Risalah, ia telah
dicetak dalam 2 juzuz. Ia boleh dimuat turun di pautan berikut;
Semoga bermanfaat.
[1] Ketika menjelaskan sesuatu hadis
beliau kerap menyebut pandangan (Ashabuna ), iaitu Ashab Mazhab al-Syafi’ (Para
Ulama Mazhab Syafi’i).
No comments:
Post a Comment